Showing posts with label Kalung. Show all posts
Showing posts with label Kalung. Show all posts

Thursday, May 9, 2013

PROMO KALUNG : BAB 1


BAB 1
            Ketika kabus tebal masih menyelubungi alam, dan sang mentari belum bersedia untuk menampakkan diri, aku menjejakkan kaki pertama kali ke Kempung Jerai Tua. Irfan sentiasa di sampingku. Kami tiba dengan menaiki sebuah teksi. Tambang yang dikenakan agak mahal kerana tiada pemandu teksi yang sanggup membawa kami ke Kampung Jerai Tua. Kampung yang terletak di hujung dunia kerana bukan mudah untuk ke sini. Setelah puas memujuk dan berbincang akan jumlah tambang, barulah pemandu teksi tersebut memberi kata persetujuan. Dan akhirnya aku tahu kenapa pemandu teksi enggan menghantar aku dan Irfan ke kampung ini….
Kami ditinggalkan di tepi jalan. Sebaik sahaja teksi berlalu pergi, keadaan terus menjadi gelap gelita. Dahiku berkerut kehairanan, sambil mataku tak berkelip memandang keadaan sekeliling. Gelap! Aku tak nampak apa-apa. Pejam atau celik sama sahaja.
“Irfan?”
“Ye kak.” Terdengar suara Irfan di sebelah. Tanganku merayap menyentuh tubuh Irfan. Aku memegang erat tangan Irfan yang menggigil kesejukan dan mungkin juga ketakutan. Aku tidak dapat melihat wajah Irfan dalam kegelapan itu.
            Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Kampung Jerai Tua… pada pertengahan Januari.
“Kak Nia, betul ke ni kampung yang ibu sebut?” soalan Irfan memecah keheningan pagi.
“Agaknya.” Aku sendiri tidak pasti kerana aku tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung ibu. Bagaimana jika pemandu teksi telah membuat aniaya pada kami? Keresahan ini semakin menebal namun terpaksa disembunyikan dari Irfan. “Kita tunggu hari cerah. Baru kita boleh pastikan.”
“Fan takutlah kak. Kenapa tak nampak pun rumah orang?”
“Nak nampak macam mana… hari belum siang lagi. Tu kat atas sana tu ada cahaya.” Hanya cahaya dari tempat tersebut sahaja yang kelihatan. Itupun nun jauh di sana. Sukar hendak membayangkan bagaimana rupa bentuk muka bumi Kampung Jerai Tua…. Namun lebih sukar memikirkan bagaimana nanti penerimaan keluarga bapa saudaraku terhadap aku dan Irfan….
“Takkan satu je cahaya lampu kak? Takkan kampung ni ada sebuah rumah je.” Rungut Irfan. Sejak di Pekan Manggis lagi, Irfan tak berhenti merungut. Hendak mencari sebuah teksi pun bukan main susah. Bila aku beritahu destinasiku, mereka terus menggeleng. Mujurlah akhirnya aku bertemu dengan seorang pemandu teksi yang sanggup menghantar aku dan Irfan ke Kampung Jerai Tua. Perjalanan dengan teksi tersebut mengambil masa hampir dua jam. Dari Pekan Manggis, kami melalui sebuah pekan kecil sebelum sampai ke destinasi. Sakit pinggangku duduk di dalam teksi daif itu.
“Fan jangan takut. Kakak kan ada.” Aku memujuk Irfan. Ketakutan yang turut aku rasai, aku pendamkan saja di dalam hati. Sebagai seorang kakak, aku tidak harus menunjukkan apa yang kurasa di dalam hati pada seorang adik yang masih belum mengerti apa-apa.
Telefon bimbit aku keluarkan. Dengan cahaya kebiru-biruan yang malap, aku suluh kawasan sekitar. Yang ada di kiri kanan adalah semak-samun. Terdetik di hati kecilku yang pemandu teksi mungkin telah menipu aku dan Irfan memandangkan kami berdua langsung tidak tahu di mana letaknya Kampung Jerai Tua. Aku berdoa di dalam hati supaya kebimbangan aku itu tidak menjadi kenyataan.
“Dah pukul berapa sekarang kak?” soal Irfan dengan suara yang terketar-ketar.
Aku melihat jam di telefon. “Baru pukul 4.30 pagi.” Hari belum pun subuh lagi. Lambatlah hendak menanti hari cerah. Selagi kawasan tersebut belum disimbah cahaya matahari, aku tak mampu hendak bergerak walau selangkah. Bahaya mungkin sedang menanti di sekeliling. 
“Kakak hubungilah ibu segera. Bagitahu yang kita dah sampai di kampung. Suruh ibu dengan abah menyusul segera.”
Line kosong, dik.” Aku mengetuk-ngetuk Nokia 3100 di telapak tangan sambil otak ligat berfikir. Bukan keresahan ibu akan keselamatan kami berdua yang menjadi persoalan, tetapi bagaimana penerimaan bapa saudaraku nanti.
“Kita kena cari rumah Pak Long. Irfan tak tahan cuaca di sini. Sejuk…” menggigil-gigil suara Irfan. Kesejukan ini juga tak pernah kurasai di bandar mahu pun di tempat lain yang pernah ku jejaki.
“Bila hari cerah baru kita boleh cari rumah Pak Long.” Aku menepuk beg pakaianku. Irfan menyuluh dengan telefon bimbit. “Irfan duduk sini. Nanti kakak ambil tuala dalam beg Fan.” Aku tidak mahu Irfan merengek kesejukan. Tuala terpaksa dijadikan selimut.
Irfan akur. Kepalanya terlentok di atas ribaanku. Tak sampai lima minit, dengkuran kecil terus terdengar. Mengantuk benar si Irfan. Keadaan yang sunyi sepi itu membolehkan telingaku menangkap bunyi air yang sedang mengalir. Semakin lama, semakin asyik aku dibuai bunyi deruan air dan burung-burung yang berdecit. Sang mentari akhirnya menampakkan diri.
Irfan masih terlentok di ribaanku. Dia keletihan. Aku juga keletihan. Perjalanan yang bermula dari Pudu Raya mengambil masa hampir 10 jam. Namun sesaat pun aku tak mampu lelapkan mata. Aku ketakutan, keresahan dan kebimbangan.
Hari sudah cerah namun kabus masih menyelubungi alam. Aku dan Irfan berdiri betul-betul di tepi jalan tanah merah yang menghala entah ke mana. Di tepi jalan tanah merah, kelihatan dua buah kereta dan sebuah van berderet di bawah bangsal. Bangsal yang tidak sempurna binaannya. Namun tidak kelihatan rumah di kawasan berhampiran. Di sebelah belakang pula kelihatan sebatang sungai sederhana luas. Tebing sungai tersebut ditumbuhi semak-samun yang tebal. Ada jambatan kayu yang sempit merintangi sungai tersebut. 
“Kak, arah mana satu kita nak tuju? Jalan ni ke atau ikut jambatan sungai?” Irfan membuka mulut.
Aku teringat pesan ibu. Katanya, rumah Pak Long terletak di seberang sungai. Mungkin sungai inilah yang dimaksudkan ibu. Aku dan Irfan mencapai kata persetujuan untuk mengikut jalan merentasi sungai. Di seberang sana, aku tidak nampak apa-apa melainkan semak samun, pohon-pohon kelapa dan hutan tebal yang membentuk bukit. Mungkin Kampung Jerai Tua terletak nun di kaki bukit.
Ketika berdiri di atas jambatan kayu itulah, buat pertama kalinya aku melihat sebuah banglo tersergam megah nun di atas bukit. Aku yakin, arus sungai yang sedang mengalir berpunca daripada bukit tersebut. Terpaku seketika aku kerana banglo tersebut seolah-olah menyapu awan. Kedudukannya di puncak bukit juga melahirkan rasa kagum dalam hati. Lalu terus tertanam impian di dasar hati untuk menjengah banglo tersebut suatu hari nanti. Tentu indah binaannya.
Aku dan Irfan melintasi jambatan kayu tersebut dengan berhati-hati. Arus deras mengalir di bawah. Batu-batu besar dan pokok bunga raya yang sedang kembang bunganya mengindahkan sungai tersebut. Wajah Irfan tampak sedikit ceria dengan keindahan alam yang disaksikannya. Dia tersenyum memandangku. Pandanganya kemudian dialihkan semula pada sungai yang sederhana lebar itu. Kami belum pernah menjejakkan kaki ke sebuah kampung di pedalaman sebelum ini.
Aku dan Irfan kemudian memasuki denai sempit yang dilitupi semak samun kiri dan kanan. Jalan tanah merah itu kami redah. Rasa takut tak henti-henti diluahkan Irfan. Dan aku terus memainkan perananku sebagai seorang kakak yang juga pelindung bagi seorang adik. 
Ketika merentas denai, kepala penuh dengan pelbagai pertanyaan kerana sebuah rumah pun belum kelihatan. Kebimbangan ini aku simpan saja di dalam hati. Telingaku tiba-tiba menangkap bunyi enjin motosikal. Bunyi deruan enjin membuatkan hatiku sedikit tenang. Itu memberi petunjuk, ada rumah orang kampung di kawasan tersebut. Mungkin Kampung Jerai Tua terletak jauh nun di dalam hutan.
Aku segera menahan sebaik sahaja motorsikal yang ditunggangi seorang lelaki semakin hampir. Aku mahu bertanya kepada lelaki yang menunggang tersebut akan arah  rumah Pak Long, bapa saudaraku. Ibu yang memintaku mencari rumah Pak Long. Ibu hanya menyebut nama kampung tempat diamnya Pak Long, tetapi tidak diberi bayangan bagaimana rumah Pak Long atau nombor rumah.
Motosikal terus berlalu! Aku kebingungan. Adakah lelaki tersebut tidak melihat isyarat tangan yang kuberi? Atau dia dalam keadaan tergesa-gesa sehingga tidak sempat untuk berhenti seketika.
“Kenapa orang tu tak berhenti kak?” Irfan turut meluahkan kehairanan.
Aku menjungkit bahu. “Sibuk agaknya.” Kami teruskan perjalanan. Sesekali kami terpaksa membuat lompatan supaya dapat mengelak denai yang becak. Hujan mungkin turun semalam menyebabkan jalan becak. Rumah-rumah kampung masih tidak kelihatan. Sedangkan aku dan Irfan sudah berpeluh. Aku tetap yakin Kampung Jerai Tua nun di dalam sana.
“Kak, tu! Rumah orang. Kita dah sampai kampung ibu.” Irfan separuh menjerit.
Akhirnya setelah berjalan tanpa henti sehingga badan berpeluh-peluh, kami menemui sebuah kedai makan.
Sedikit kelegaan mengganti keresahan. Sebuah kedai yang berdinding buluh separas pinggang terletak di sebelah kiri denai. Terdapat beberapa orang pelanggan berada di dalam kedai tersebut. Kedai yang beratap nipah. Meja pelanggan pula dibina dari papan dan buluh. Terasa seperti berada di zaman 6o-an. Gambaran kedai kopi tersebut persis dalam filem Melayu klasik yang sering ditonton di kaca tv.
Tiga orang lelaki yang berada di kedai kopi tersebut terus memandang ke arah aku dan Irfan ketika kami menghampiri kedai tersebut. Aku berdebar-debar. Pandangan mereka menakutkan aku. Tak berkelip! Tiada senyuman! Mereka melopong memandang aku dan Irfan seolah-olah kami berdua adalah makhluk asing yang baru muncul di kampung mereka.
            “Assalamualaikum,” aku memberi salam. Memberi petanda kepada mereka yang kami datang bukan dengan niat jahat.
            “Kumsalam.” Lelaki berbaju biru lusuh dan berkain pelikat menjawab salam yang tak penuh. Seperti dia tidak ikhlas. “Cari siapa?” dia menyoal lagi dengan nada sedikit tinggi. Rokok daun di bibirnya hampir terjauh.           
Tali perutku terasa terjerut. Genggaman Irfan kian erat. Mereka melayan aku dan Irfan seolah-olah kami adalah orang jahat. Atau… mereka mungkin tidak suka dengan kehadiran orang luar ke kampung mereka.
            “Er… Encik Tahir.” Tahir adalah nama sebenar Pak Long, abang kandung ibu. Aku tidak pernah melihat wajah Pak Long. Aku juga tidak pernah tahu kewujudan bapa saudara sebelah ibu. Ibu tidak pernah menceritakan tentang adik-beradiknya sehingga aku sangkakan ibu yatim piatu. Rupa-rupanya ibu masih mempunyai seorang abang lelaki. Tak sabar aku hendak bertemu dengan bapa saudaraku itu. Aku harap dia mempunyai anak perempuan yang sebaya atau hampir sebaya denganku.
            “Tahir?” dahi lelaki tersebut berkerut seribu.
Aku terus jadi resah dengan reaksi lelaki tersebut, seakan-akan dia belum pernah mendengar nama bapa saudaraku itu. Aku berdoa semoga kami tidak tersalah destinasi. Aku sudah tidak berduit lagi hendak berpatah balik kerana semua duit yang dibekalkan ibu habis untuk membayar teksi dan membeli sedikit makanan buat mengalas perut.
Lelaki berbaju biru lusuh itu memandang ke arah dua orang lagi temannya. Mereka berbisik-bisik. Aku sabar menanti jawapan. Harapanku tinggi agar lelaki tersebut mengenali bapa saudaraku itu. Masalah akan melandaku jika Pak Long sudah berpindah. Terpaksalah aku meminta bantuan mereka untuk menghantarku keluar dari tempat ini.
            “Pak Long?” lelaki itu mengajukan pertanyaan beberapa minit kemudian.
            “Ye, Pak Long.” Aku mengangguk kelegaan. Aku tidak tersalah tempat. Memang benar inilah kampung kelahiran ibu. Irfan juga mengukir senyum.
            “Kenapa cari dia? Kamu berdua ni siapa?”
            Aku segera menjelaskan pada mereka bahawa aku dan Irfan adalah anak saudara kepada Pak Long. Lelaki tersebut seperti terkejut dan tidak mempercayai kata-kataku. Mereka menjelaskan padaku yang Pak Long tiada anak saudara. Malah anak sendiri pun tiada. Aku terus dihantui perasaan was-was. Benarkah Pak Long yang dimaksudkan mereka adalah abang kandung ibu atau seseorang yang kebetulan mempunyai nama dan panggilan yang sama?
“Kamu anak siapa?” soal lelaki berbaju biru lusuh pula.
            “Roziah.” Aku menyebut nama penuh ibu dengan harapan dia mengenali ibu. 
            Mereka kelihatan terkejut apabila aku menyatakan yang aku adalah anak kepada Roziah, adik Pak Long. Mereka rancak berbual. Aku gagal menangkap topik perbualan mereka tetapi aku yakin mereka sedang berbual tentang ibu. Akhirnya salah seorang dari lelaki tersebut melahir kekesalan kerana menyangka ibu sudah tiada. Aku tidak salahkan mereka kerana seingatku, ibu tidak pernah kembali ke kampung kelahirannya. Tentulah mereka berfikiran sedemikian.
            “Kamu nak ke rumah Pak Long?”
            Akhirnya, salah seorang dari mereka menawarkan bantuan untuk menghantar aku dan Irfan ke rumah Pak Long. 
*          *          *          *          *          *
Pagi Khamis itu, buat pertama kalinya aku dapat melihat rumah tempat kelahiran ibu…. Sungguh daif sehingga membuatkan air mataku hampir menitis.
“Kak, nampak macam tak de orang tinggal kat sini je. Fan takutlah.” Irfan menyuarakan apa yang dirasainya. “Entah-entah pak cik tadi tu tipu kita….” Irfan tidak dapat menyembunyikan keresahannya. Tangannya masih erat memegang lenganku.
“Fan tak usah bimbang. Fan tunggu sini ye. Biar kakak cakap dulu dengan Pak Long.” Aku harus perkenalkan diri terlebih dahulu dan kemudian memberitahu tujuan kedatanganku dan Irfan supaya Pak Long tidak terkejut nanti.
Aku tinggalkan Irfan di bawah sepohon pokok rendang, tidak jauh dari rumah yang didakwa sebagai rumah Pak Long. Aku mahu menjelaskan sendiri tujuan kedatanganku pada Pak Long. Pada saat itu aku paling bimbang andai Pak Long menolak kehadiranku dan Irfan. Aku tidak mengenali Pak Long jadi aku tidak tahu bagaimanakah reaksi Pak Long nanti.
Aku melangkah menghampiri rumah Pak Long yang terletak beberapa meter sahaja di hadapan mataku. Sebuah rumah kecil yang berdinding kayu dan beratap zink. Bahagian anjungnya berdinding separuh. Sepanjang perjalanan ke rumah Pak Long, aku dapat melihat bentuk rumah yang hampir serupa. Sudah dapat aku bayangkan keadaan ekonomi mereka.
Ada basikal tua di bawah rumah. Basikal itu mungkin sudah tidak berfungsi lagi memandangkan najis ayam yang menjijikkan memenuhi basikal tersebut. Bau kurang enak menyusuk ke hidungku. Melihat keadaan rumah Pak Long yang uzur, aku sudah dapat meneka keadaan Pak Long yang tentunya serba kedaifan. Tiba-tiba rasa berat pulak hati ini untuk menyuarakan hasrat kedatanganku. Aku dan Irfan tentu akan membebankan Pak Long.
Di sebelah kiri rumah Pak Long, pokok kelapa tinggi menjulang. Pokok manggis, langsat, rambutan dan remia turut kelihatan. Halaman rumah kelihatan redup kerana cahaya matahari terhalang oleh daun-daun pokok. Angin bertiup lembut. Hatiku terasa tenang….
Namun rumah Pak Long sunyi dan sepi seolah-olah tidak berpenghuni. Hanya kedengaran bunyi kokokan ayam di belakang rumah. Aku memberi salam. Namun tiada yang menyambut salamku. Terdetik hatiku yang aku dan Irfan telah dipermainkan oleh lelaki di kedai makan. Irfan semakin resah. Dia memanggilku lalu mengajakku beredar dari situ segera. Takut katanya dengan rumah yang kelihatan seram dan langsung tidak berseri itu.
Lalu aku tinggikan suara sehingga ke tahap maksimum.
“Nak apa?” seorang perempuan dengan rambut mengerbang terjengul di jendela.  


Hubungi saya atau klik sini  http://store.karnadya.com.my/
untuk mendapatkan novel KALUNG
                                

Sunday, January 20, 2013

PROMO KALUNG : PROLOG


PROLOG
Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng di atas rak tepi katil. Sudah pukul 7.05 pagi. Entah bila dia berlalu pergi, langsung aku tidak sedar. Aku terlalu mengantuk kerana semalam kami berbual sehingga dinihari. Berbual tentang kisah lalu. Kisah kali pertama kami bertentang mata….  Aku bingkas bangun lalu meninggalkan katil. Dia mungkin baru sampai di pintu pagar. Aku harus menghalangnya pergi. Aku tak ingin melalui kehidupan ini tanpanya di sisi biarpun sesaat….
Langsir berjalur biru laut dan putih itu kuselit ke tepi. Jendela kubuka sedikit luas. Cahaya matahari sepantas kilat terus memancar ke dalam bilik. Seolah pokok yang baru disirami air, begitulah keadaannya dengan bilik yang sentiasa suram itu. Udara yang selama ini berlegar-legar di dalam bilik berganti tempat dengan udara bersih dari luar. Yang lebih nyaman dan segar. Mataku bulat memerhati ke perkarangan banglo dan terus ke jalan keluar. Tiada sesiapa di situ. Aku merintih kehampaan kerana tidak sempat menghalangnya pergi.
Tak guna aku mencarinya, kerana aku yakin dia takkan kutemui. Dia memang bijak menghilangkan diri kerana kawasan ini miliknya.
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut menyinggah pipiku. Rambut  terus menutupi pandangan mataku. Segera kuselit rambut depan yang menutup pandangan. Pemandangan indah Kampung Jerai Tua terbentang luas di depan mata. Sayu hatiku melihat kampung kelahiran ibu. Kampung yang masih serba kekurangan itu.
Terasa baru semalam aku menjejakkan kaki ke Kampung Jerai Tua. Cepat benar masa berlalu. Diam tak diam sudah hampir dua tahun aku menjadi sebahagian dari penduduk kampung itu. Walaupun aku tak ingin menjadi sebahagian penduduk kampung Jerai Tua, namun takdir Tuhan… di sinilah akhirnya aku terdampar. Di sebuah banglo suram, di puncak bukit….  Segalanya sudah tersurat. Aku akan berkelana di sini sehingga dia bebas dari segala tuduhan.
            Sesekali terlintas di hatiku untuk ke Kampung Jerai Tua, menjejak sisa-sisa kenangan lalu. Namun aku sedar, aku tidak diterima oleh penduduk kampung. Mereka telah memulau aku seperti mana mereka memulaukan insan yang kusayang. Ah, betapa kejamnya mereka. Aku dibenci hanya kerana aku mencintai dia.
Kaki ini juga terasa berat hendak melangkah ke sana. Seolah-olah ada besi yang merantai kedua-dua belah kakiku. Aku tak boleh sekali-kali meninggalkan banglo ini! Aku ada tanggungjawab yang lebih besar di sini. Aku harus menanti kedatangannya. Dia pasti muncul malam ini. Aku harus berada di sini untuk menyambut kepulangannya demi membuktikan kesetiaanku hanya kepadanya. Cintaku ini tak akan beralih arah biar seribu tahun lagi.
Aku mengalih kedudukan, membelakangkan jendela. Mataku merawang ke seluruh bilik. Bilik yang indah namun sepi. Sesepi diriku…. Biar pun tiada keindahan lagi di sini, aku tidak akan sekali-kali meninggalkan banglo ini biar pun dipaksa. Biarlah aku hidup sendirian di sini. Aku lebih rela memenjarakan diriku di sini daripada pulang ke kampung. Keindahan di luar bukan lagi menjadi satu keutamaan. Semuanya sudah berlalu sebaik sahaja mereka memutuskan tali silaturrahim denganku hanya kerana aku enggan menurut kata mereka agar meninggalkan banglo ini segera.
            Ketukan di pintu mematikan lamunanku. Aku segera menoleh ke arah pintu. Dadaku berdebar saat daun pintu terbuka kian luas. Diakah? Diakah yang akan muncul di depanku sebentar lagi? Dia yang sering datang pada lewat malam dan pergi sebelum mentari muncul. Dia yang kurindui…. Walaupun dia tidak pernah mengetuk pintu untuk memasuki bilik kepunyaannya ini, hatiku tetap berdebar-debar.
Seorang lelaki berjambang putih tercegat di muka pintu sambil menatang dulang. Terus lenyap debaran di hati ini sebaik sahaja melihat lelaki berjambang dan berwajah bengis itu melangkah masuk. Harapan yang menggunung tinggi turut punah sekelip mata. Dia tak mungkin datang pada siang hari kerana bimbang nyawanya terancam. 
“Sarapan.” Lelaki itu meletakkan dulang ke atas meja. Entah sarapan apa yang dimasaknya pagi ini, aku tak ingin ambil tahu. Aku juga tak ingin melihatnya. Seleraku sudah tertutup. Tertutup dengan berita mengejut itu. Mujurlah berita tersebut palsu semata-mata. Namun selera ini tetap berada di tahap rendah tanpanya di sisi menemani diri ini.
            “Biarkan di situ.” Aku terus menoleh ke luar jendela. Air mata kukesat. Mudah benar air mata ini mengalir setiap kali merasa hampa.
            “Nia nak apa-apa lagi?”
            “Terima kasih, Pak Mat. Nia tak nak apa-apa.” Hampa, benar-benar hampa. Namun aku takkan berputus asa menanti saat itu. Saat di mana kami akan bertemu secara terang-terangan, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang atau was-was. Masa akan menentukan kebenaran. Dia tidak bersalah. Dia lelaki terbaik yang pernah ku temui dalam hidup ini.
            “Pak Mat, tunggu!” aku menahan Pak Mat yang sudah hampir ke pintu.
            Pak Mat menoleh ke arahku. Sinar bebola matanya penuh simpati. Aku tak inginkan simpati siapa-siapa. Yang aku perlukan adalah doa. Doa supaya aku dan dia dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh rasa gembira dan bahagia setelah penat mengharungi derita.
Ada apa?”
            “Pak Mat jangan kunci pintu luar.”
“Kenapa?”
“Dia akan datang lagi malam ni.” Aku mahu dia datang tanpa sebarang halangan.
“Nia… Tuan kan dah tak ada. Nia kena terima hakikat ni.”
            Aku tersenyum kelat. Bicara Pak Mat terasa kelakar. “Pak Mat… jangan percaya dengan cakap orang kampung. Dia masih hidup. Sihat walafiat. Baru semalam kami bertemu. Cuma keadaan sahaja yang tak mengizinkan dia muncul secara terang-terangan. Bila kebenaran sudah terbukti, dia tak akan sembunyi-sembunyi lagi menemui saya, Pak Mat.” Aku jelaskan perkara yang sebenar. Aku tetap yakin khabar gembira akan menyusul jua suatu hari nanti. Khabar dia tidak bersalah. Dia tidak pernah terlibat dengan kejadian buruk yang menimpa penduduk kampung. 
            “Jangan biarkan fikiran Nia dipengaruhi oleh perkara yang bukan-bukan. Hakikat yang Tuan sudah pergi tak dapat ditolak lagi.”
“Dia masih hidup!” hati ini menjadi panas tiba-tiba dengan dakwaan Pak Mat yang tak berasas. Telah aku minta dia untuk menemui Pak Mat, tetapi dia enggan. Aku mahu dia bertentang mata dengan Pak Mat untuk membuktikan kebenaran kata-kataku ini. Namun dia tetap enggan. Katanya, masanya masih belum tiba.
Pak Mat menggeleng-geleng kepala sebelum keluar dari bilikku.
Pak Mat sama seperti penduduk kampung yang lain. Mereka masih tak henti-henti menyakiti hatiku. Mereka berpakat mengatakan yang pekerja ladangnya sendiri yang telah membunuhnya. Sedikit pun aku tak percaya pada tuduhan orang kampung. Buktinya, dia setiap malam mengunjungiku. Cuma dia masih keberatan menampakkan diri terang-terangan kerana bimbang orang kampung yang sememangnya membencinya tidak dapat menerima kenyataan. Dia juga bimbang nyawanya diancam semula oleh pekerja ladang yang tak berpuas hati dengan layanannya.
Aku melangkah malas ke kerusi lalu melabuhkan punggung. Roti bakar dan sejag oren hanya menjadi tatapan mataku.
Walaupun pelbagai halangan menghalang, kami tidak pernah berputus asa.  Sesungguhnya aku bersyukur kerana dipertemukan dengannya. Lelaki yang dipulaukan, dihina, dituduh macam-macam oleh orang kampung hanya kerana kisah silam yang belum tentu kesahihannya. Namun dia mempunyai sekeping hati yang suci dan murni sehingga akhirnya berjaya mengetuk pintu hatiku.
Aku meninggalkan meja lalu menapak ke jendela. Itulah tempat yang paling aku gemar menghabiskan masa sambil menantinya. Terasa tenang bila berada di situ. Ketenangan yang sukar dimengertikan. Dari jendela tersebut aku dapat melihat alam yang terbentang luas di depan mata. Hanya kehijauan yang terpampang, segar mata memandang.
Menerusi jendela itu juga aku boleh melihat jalan masuk dengan jelas. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke perkarangan banglo menggunakan jalan tersebut tidak akan lepas dari pandangan mataku. Aku terus dan terus mengharap dia akan melangkah masuk ke perkarangan melalui jalan tersebut. Satu, dua, tiga.… Tiada sesiapa pun melalui jalan itu… aku melepas keluhan panjang. Aku ingin bersamanya setiap masa namun keadaan tidak mengizinkan.
Angin pagi bertiup lebih kencang. Sejuk. Di puncak bukit ini kesejukan lebih terasa. Aku lantas memeluk tubuh. Bibirku menggigil kesejukan. Kesejukannya mencengkam sehingga ke dalam tulang. Kesejukan itu terus menghanyutkan aku pada kenangan lalu.


KALUNG : Terbitan KarnaDya
RM16.00
p/s : Kalung amat istimewa bagi diriku

Saturday, February 23, 2008

Ulasan 'Kalung'

Oleh Adhan dr Blog Dunia Novel
http://dunia-novel.blogspot.com/2007/07/kalung.html

Tajuk : Kalung
Penulis : Zahida Zarkasi
Penerbit : KarnaDya
Harga : RM16.00

Kebahagiaan hidup Nia diragut pergi tanpa disangka..pelbagai peristiwa sedih, perit dan misteri berlaku dalam hidupnya…siapa sangka dia boleh terperangkap dengan lelaki yang disangka menyintainya tetapi sebaliknya yang berlaku…dia juga terperangkap atau lebih nyata terpukau dengan kalung yang diberikan oleh Aries.

Kataku:` Dari maklumat yang aku terima dari peminat novel yang lain, Zahida Zarkasi pernah menulis novel cinta dewasa bersama penerbit lain tapi aku tak pernah membacanya jadi aku tak boleh nak buat perbandingan. Just boleh cerita tentang Kalung.` Aku pernah membaca novel terbitan KarnaDya yang sebelum-sebelum ni dan aku rasa Kalung lain dari yang lain. Tapi kisah percintaan tak lari..semua syarikat yang menerbitkan novel ada kisah cintanya jadi Kalung pun begitu cuma dalam Kalung, ia lebih menumpukan kepada misteri. Jarang aku jumpa (atau memang tak pernah jumpa) penulis perempuan yang menulis cerita misteri semuanya penulis lelaki tetapi ZZ berani menulis cerita misteri..mungkin saudari ZZ minat benda-benda yang berkaitan misteri…jalan cerita menarik Cuma aku tak puas bila tiba penghujungnya..bagi aku penghujungnya tergantung dan mungkin saudari ZZ ingin menyambung Kalung.` Tahniah buat Zahida Zarkasi. Teruskan usaha anda dan semoga selepas ini anda boleh duduk sebaris dengan penulis novel misteri atau thriller yang ada sekarang yang kebanyakannya lelaki.

p/s : janganlah ada yang terperangkap dengan ‘kalung’ macam nia…habis dia tak percaya kat orang lain…bahaya sungguh….

Utk sdr Adhan ~ Terima kasih atas ulasan yang anda berikan. Tergantung ke? Rasanya dah lengkap cuma ending tu mungkin terlalu ringkas.


Oleh Rinn dr Novel Cinta
http://novelcinta.multiply.com/reviews/item/204

Kalung by Zahida Zarkasi Terbitan KarnaDya Solutions
"Penantian yang menyeksakan... Namun kebenaran lebih menyakitkan"
SEkali sekala beralih ke novel thriller menarik juga. terima kasih AMY atas cadangan novel Kalung by Zahida Zarkasi. Sungguh2 betul makcik tu mempromosikan buku ni kat saya :) tapi saya terkilan sikit sbb amy terrrrrrrlepas citer part yang sepatutnya dia tak cakap.. aduih.. memang spoil. hehe.. tapi apa2pun citer ni memang saspen. Persoalan utama dalam citer ni "did he or didn't he?" dia yang bunuh ke? atau bukan dia? Nia, watak utama cerita ini amat yakin yang Aries bukan pembunuh seperti yang disangka seluruh penduduk kampungnya. Sbg pembaca kita turut tidak ketinggalan utk berfikir, siapa yang benar? Ada masanya kita rasa ARies tak mungkin seorang pembunuh.. ada juga masanya kita merasakan dia ni mungkin juga seorang pembunuh. susah juga kalau jadi juri dalam situasi yang macam ni.
Cerita ini dimulai dgn penghijrahan Nia bersama adiknya Irfan ke kampung yg ditinggalkan ibunya bertahun-tahun yang lalu. Ibunya nekad menyuruh Nia meninggalkan pembelajarannya dan pergi ke kg dgn serta merta. Misteri pertama. Mengapa? SEtelah sekian lama di kampung, ibu bapanya tak sampai2 sedangkan mereka sudah berjanji. Nia dan Irfan tersiksa dgn layanan Mak Longnya yg kejam mengalahkan mak tiri. benci sungguh dia pada ibu Nia.
Kemunculan ARies, kebaikannya terhadap Nia memang menghairankan sedangkan seluruh penduduk kampung amat takutkan Aries. Pada mulanya Nia yang tak berapa tahu cerita layan ajer Aries tu, tapi bila terlalu banyak cerita yg didengarinya, dia menjadi takut dan lari hingga tak cukup tanah bila terserempak dgn Aries. Kalung misteri yang dijumpainya bersama selonggok kayu api yang dihantar ke rumah maklongnya membingungkan Nia.memang mendebarkan... tragedi yg menimpa Nia memang bertalu-talu. Pemergian Irfan, tragedi ngeri ibu bapanya, keraguannya terhadap keikhlasan Firham... semuanya menyakitkan, hanya cinta Aries yang menguatkan semangat Nia... tapi benarkan Aries pembunuh?

sure fine whatever
Rinn
Tags: , , ,

Utk Sdr Rinn ~ Terima kasih kerana sudi buat ulasan untuk novel saya ni.

Oleh Deidaa
http://sengih.blogspot.com/2007/10/novel-kalung.html

_____sekarang aku tgh layan novel kalung ni. Mmg bkn novel cinta la. Sesekali nak jg aku lari dr cite cinte je. Kalung ni novel thriller [xde la thrill sgt tp kisah cerita ceriti kat dlm utan]. Mmg btol pon, aku rasa mcm xsabar nak abiskan. Heheh.. skang ni baru smpai chater 15. Time aku jg bdk2 intebiu la aku bley baca.
Aku agak la kan.. kalo novel ni dibuat drama.. baru real skit.
Sape2 yg suke baca cite mencabar kepala otak.. blh la novel ni.. ahehehhe! Ada 2 3org kat ofis ni pon ckp best. Sile la baca.. yg tak suke bkn cite cinte.. xpyh la kutuk2 ok?

Utk Deidaa ~ Terima kasih sudi ulas novel saya ni. Buat drama? Susah sikit sebab wajah Aries sukar

Saturday, November 17, 2007

KALUNG - TANGGA KE 7

Sepupu sms awal pagi. Dia maklumkan novel KALUNG termasuk dalam 10 novel terlaris kedai buku MPH di tangga ke 7. Alhamdulillah. Dia mengetahuinya dari rancangan Selamat Pagi Malaysia. Sayang tak tengok. Bekalan elektrik terputus dari jam 7.00 sampai jam 7.00 malam ni.
So saya pun layari web MPH. Untuk minggu berakhir 11 Nov 07, inilah kedudukan novel melayu terlaris MPH.

1. Cinta... Tiada Akhirnya (Fauziah Ashari)
2. Gelora Asmara (Haryani Kamilan)
3. My Baby Girl (Nass Alina Noah)
4. Nafas Terakhir (Murad Arshad)
5. Kasih Yang Tercalar (Norhayati Berahim)
6. Bulan Berbisik (Samsiah Mohd Nor)
7. Kalung ( Zahida Zarkasi )
8. Air Mata Cinta (Rabiatul Adawiyah)
9. Bahtera Cinta (Iffa Irdina)
10. Kuseru Namamu (Ilani Mysara)

http://www.mph.com.my/books/bestseller1_local.cfm

Sunday, September 30, 2007

POPULAR'S CHOICE

Salam semua...
KALUNG termasuk Popular's Choice (Kedai buku Popular). Jika anda mahu menjadi BE THE FIRST TO READ atau mereka yang sudi membaca novel ni, silalah ke Popular kerana jika anda mempunyai kad keahlian Popular, anda akan diberi diskaun 20%. Tapi saya tak pastilah sama ada semua rangkaian kedai buku Popular atau untuk Popular di Central Square, Sungai Petani sahaja yang memilih Kalung.
Terima Kasih

Friday, August 31, 2007

Kalung Novel Istimewa - Review oleh Berita Harian 25/8/07


KALUNG, novel thriller pertama karya pengarang muda berbakat, Zahidah Zarkasi, menampilkan kisah dendam tidak berkesudahan yang mengakibatkan pelbagai perkara buruk terjadi dan pasti menghanyutkan pembaca dengan pelbagai debaran ekoran kebijaksanaan pengarang mengatur plot cerita selain diselitkan dengan unsur cinta. Novel setebal 45 bab terbitan KarnaDya Solutions Sdn Bhd berharga RM16 senaskhah yang dicetak 3,000 naskhah dan berada di pasaran sejak Julai lalu, turut memberi pengajaran betapa bahayanya untuk meletakkan kepercayaan kepada seseorang yang baru dikenali.


Nia, gadis kota yang hidup bahagia bersama keluarga tercinta melalui putaran hidup yang memilukan apabila dihantar ke perkampungan terpencil tempat kelahiran ibunya, Kampung Jerai Tua, bersama adiknya Irfan dengan janji akan diambil semula kedua-dua ibu bapanya.Bagaimanapun, janji tinggal janji apabila ibu bapa mereka tidak pernah muncul dan mereka berdua terpaksa melalui kehidupan serba daif dan keadaan diburukkan lagi oleh sikap ibu saudara mereka yang begitu membenci kedua-dua remaja terbabit.


Penyeksaan demi penyeksaan terpaksa dilalui Nia manakala Irfan terus merindu keluarganya sehingga akhirnya membawa kematian, pasti menyayat hati pembaca novel ini yang akan meneruskan bacaan mereka bagi mengetahui kesudahan cerita tanpa sabar.Kampung Jerai Tua menyimpan misteri terutama kewujudan banglo lama di atas bukit yang didakwa berhantu selain penghuninya, Aries, dituduh sebagai pembunuh gila dan sering dipersalahkan apabila sesuatu musibah melanda perkampungan terbabit.


Pembaca dibawa menyelami pergolakan jiwa Aries, pemuda kacukan Melayu Inggeris yang kehilangan ibunya dalam pembunuhan misteri dan bapanya dipenjarakan seumur hidup apabila mengaku bersalah menyebabkan kematian itu selain peristiwa itu menimbulkan dendam tidak berkesudahan di hati anak muda itu.Perkenalan Nia dan Aries secara kebetulan merubah persepsi gadis itu terhadap lelaki yang menjadi ketakutan seluruh penduduk kampung, meskipun ada perasaan takut untuk mendekatinya pada peringkat awal, tetapi kebijaksanaanpemuda terbabit mengaburi matanya sehingga menyebabkan persahabatan berubah menjadi cinta.


Yakin dengan kata hatinya, Nia menolak segala tanggapan buruk penduduk kampung terhadap Aries, meskipun sedar pelbagai peristiwa tragis, misteri dan menyedihkan menimpa dirinya mahupun semua lelaki yang cuba memilikinya, tetap tidak mampu mengubah pendirian Nia.Kemalangan yang menimpa Tok Ketua Manaf dan Hisyam serta tragedi yang meragut nyawa Firham menambah curiga penduduk kampung, tetapi Nia tetap dengan pendiriannya bahawa Aries tidak bersalah dan semua tuduhan ke atasnya dianggap sebagai fitnah belaka.Pada penghujung cerita, pembaca akan menemui jawapan kepada semua tragedi, terutama kematian yang mempunyai kaitan dengan Nia dan misteri kehilangan ibu bapanya turut terjawab sehingga menyebabkan pembaca terfikir apakah mungkin watak seperti Aries hidup di alam nyata.


Banyak pengajaran boleh diceduk daripada kisah dalam novel ini, terutama melalui perwatakan Nia kerana sifatnya yang penyabar, penyayang dan lemah lembut itu sebenarnya tidak memadai, jika terlupa memohon pertolongan daripada Yang Maha Esa. Pengarang secara halus turut menegur sikap terlalu mudah mempercayai seseorang terutama mereka yang baru dikenali akan mengakibatkan kita mudah terpedaya dan novel ini tampil sebagai naskhah istimewa sehingga pembaca tidak sabar menyelak setiap muka surat dari mula hingga akhir.



Mula novel cinta kini thriller


ZAHIDAH Zarkasi atau nama penanya, Zahida Zarkasi yang berkarya sejak zaman persekolahannya lagi, mula berkarya dengan novel cinta, tetapi kini beralih ke thriller dalam usahanya mempelbagaikan karya dan menguji kebolehannya dalam penulisan kreatif.


Novel cintanya, Mawar Cinta dan berada di pasaran pada 2005, disusuli dengan Kembara Cinta (2006), sebelum novel sulung thrillernya, Kalung menyusul pada tahun ini dan guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Ribu, Kuala Kangsar, Perak ini kini dalam proses menyiapkan novel berikutnya.Pada peringkat awal pembabitannya dalam penulisan kreatif adalah untuk mencari kepuasan diri dan beliau sanggup meminjamkan bahan bacaannya kepada ahli keluarga serta rakan sekolah selain banyak masa cuti sekolahnya dihabiskan dengan menulis.Pemegang Ijazah Sains Perniagaan Tani, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ini akhirnya terbabit secara profesional dalam bidang penulisan pada 2005 dan dorongan keluarga serta sahabat menjadi pendorong kepadanya untuk lebih gigih bagi membolehkan namanya sebaris dengan novelis terkenal di Malaysia pada masa ini.



INFO

KalungKarya: Zahidah Zarkasi
Tebal: 375 halaman
Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
Harga: RM16 senaskhah
Bintang: ****
P/S : Belum sempat scan, nanti sy scan keratan akhbar bila scanner dah dibaiki.

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...