Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Wednesday, December 14, 2016

PARUT BY ZAHIDA ZARKASI

Salam buat pengunjung blog catatan zz yang masih setia (haha perasan jap...rasa2nya aku sorang je yg jengah blog ku ini). Btw, aku baru tengok 5 popular post blog aku, Parut termasuk. Bulan Julai hari tu aku ada masukkan sedikit sedutan. Kiranya ada la yang berminat, google cari novel aku. Perasan lagi.

Okey, nak cerita pasal Parut (entah kenapa aku segan nak tulis pasal karya aku kat fb mahupun fan page atau insta). Tapi kat blog feel lain.

Apa yang korang mungkin nak tahu pasa novel ke 7 aku ni :

1. Mula karang hujung 2013 (selepas kelahiran novel Mak Datin Isteri Cikgu setahun kemudian)

2. Novel pertama aku karang lepas bergelar mommy.

3. Siap awal 2015.

4. Pernah dihantar ke sebuah penerbitan, tapi lepas setahun no respons

5. Lepas hantar, baru dapat ramalan dari Prolog Media (PM)

6. Terus karang cerita baru ingat nak bagi PM. Cadang nak siapkan sebelum berakhir 2015. Tapi like always, si pemalas ni tak siap2kan jugak.

7. Lepas setahun no feedback, tarik balik manuskrip dan hantar ke PM (by email je)

8. Alhamdulillah tak lama kemudian dapat reply dr PM. Akan diterbitkan tapi kena ikut beberapa syarat. Pertama, kena cut sbb mrk perlukan 65k dan ke bawah patah perkataan sedangkan Parut 90k lebih.

9. Terpaksa cut banyak terutama pasal tempat2 menarik yg sengaja aku promosi dalam novel tu. Nak tau kat mana kena la baca wokes.

10. Kemudian kena baiki terutama show dont tell. Sumpah aku tak tau pun apa itu show don't tell. Lepas diberi penerangan oleh novelist Anna Lee, baru aku faham sikit2. Rupa2nya novel aku ni lebih banyak tell dr shownye. Patut aku rasa kureng je. So masa tengah edit tu, dapat idea lain pulak. biasalah kalau uolls novelist uolls akan faham. Asal baca balik manuskrip mesti nak ubah itu ini.

11. Dapat perkhabaran gembira, dah setel semua. Tunggu cover jer.

12. 1/12/2016 Prolog Media telah mengumumkan kelahiran novel baru keluaran mereka. Parut terbit bersama Magisial. Order pun dibuka.

13. Tak sangka bila baca komen, ramai jugak yang kenal nama aku melalui novel Kalung (2007).

14. Dan start tarikh tu, ramai yg add friend kat fb ku...(salam perkenalan buat semua).

15. Aku akan ke Ekspo Buku 1Malaysia kat PWTC Sabtu ni. Aku akan berada di sana antara jam 12-2.00 petang. Jom berahmah mesra. (Maaf kalau aku tak berapa nak ramah sebab aku penyegan)
Inilah kembar Parut -Magisial dari penulis baru Jun Ahmad. Koang nak order, korang sila zoom gambar

Tiga buah novel karya zz yg genre misteri

Offer beli 3 buah lagi dapat murah

My Parut

Kalendar poket 2017 utk pembeli tersayang. Boleh simpan dalam dompet. Walaupun semua dah ada kalendar kat hset, namun yang mcm ni tetap diperlukan kan kan

Sunday, February 21, 2016

Me kat Sinar Harian - Profil Penulis

Hari Khamis ( 28/1/2016)
Aku terima whatsapp dr wartawan Sinar Harian. Nak interview katanya. Jam 12.30 thari, masa tgh meeting, dia call. Tepat masa yg dijanjikan!
Dia pun aju itu ini. aku pun jawab la bala bala bla.
Dia mintak kirim gambar novel dan gambar aku tengah layan peminat. Tapi sebab dah lama tak join majlis layan2 peminat ni, so aku pun ambik gambar tengah sain novel sorang je. Huhu....
Hari Ahad berita I pun masuk. Hik hik! awal pagi dah pergi cari surat khabar. Sebelum ni dah bertahun tak membeli.

Saturday, April 25, 2015

Pesta Buku ANTARABANGSA 2015

Kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa 2015 di PWTC datang lagi. Bermula 23 April sehingga 3 Mei 2015. Maka berpusu-pusulah pencinta buku ke PWTC. Inilah masanya nak beli buku dengan harga murah gila. Inilah masanya jugak nak jumpa selebriti dan artis...dan tak lupa Novelist. 

Dah beberapa tahun aku miss Pesta Buku. Kalau tak silap sejak 2011 aku dah tak jejak kaki ke sana. Bukan tak nak pergi, tapi ada komitmen lain yang harus diutamakan. Tahun ni? Ermmm pun tak pasti lagi walaupun cadangnya 1 Mei nak turun KL sampai 4 Mei. Ada 'baby' ni susah sikit nak masuk tempat sesak. Anak pun mesti tak suka. Rimas. Lain la kalau bujang...

Siapa2 yg pergi tu bolehlah try usha novel pertama dan keduaku bersama Buku Prima
1. Hanya PadaMu
2. Mak Datin, Isteri Cikgu
Tengok kat booth Karangkraf. 

Selamat Berpesta!!!




Wednesday, January 30, 2013

PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4



BAB 4
            ‘TALAM DUA MUKA!’
            Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen yang dihantar ke blog Mawar. Dadanya berdebar-debar. Dia pandang kiri dan kanan.
Suhaila dan Aisyah sedang khusyuk membantu Dean menyiapkan tugasan. Mereka yang mempelawa diri untuk membantu Dean sebagai balasan pada Ayra yang telah sudi mewakili mereka semua untuk menghadiri kenduri kahwin kakak Nadira.
            ‘Siapa yang hantar mesej?’
Persoalan itu mengganggu hidup Ayra sekali lagi, membuatkannya jadi tak senang duduk selagi ianya belum selesai. Selagi belum tahu pengirimnya...
Sebelum ini, komen yang mengganggu seluruh hidupnya dihantar ke blog kesayangannya. Dua tiga hari Ayra cuba melupakan komen tersebut. Tapi bila mesej pula diterima, dia tak boleh duduk diam lagi. Pengirim misteri itu mengetahui nombor telefonnya. Nombor yang dia tidak pernah diberi pada sesiapa melainkan kawan-kawan rapat sahaja.
            Ayra mula diganggu dengan mesej-mesej yang menyentak jantung sejak petang semalam ketika berada bersama Dean. Pengirimnya langsung tak dikenali. Ayra beranikan diri dengan menghubungi nombor telefon yang tertera. Namun, panggilan tidak berangkat.
‘Tahu pun takut! Kalau berani, dah tentu dia tak akan ugut aku secara senyap. Tentu dia akan datang jumpa aku sendiri! Siapa sebenarnya yang sedang menakut-nakutkan aku? Tunjukkanlah siapa diri kau yang sebenar!’
Kadang-kadang Ayra jadi takut dan resah bila menerima mesej yang menakutkan, namun kadang-kadang sakit hati pulak apabila terasa seolah-olah dirinya sedang dipermainkan oleh seseorang.
            Tiada sesiapa yang tahu nombor telefon bimbitnya melainkan Syafiqah, Suhaila, Nadira, Aisyah dan Dean. Guru besar dan kerani tempat dia bertugas juga mengetahui nombor telefon yang baru didaftarnya dua bulan yang lalu.
Sebelum ini, Ayra tidak pernah memiliki kad SIM, apa lagi telefon bimbit. Atas desakan Dean dan pihak sekolah, dia terpaksa akur untuk menggunakan alat telekomunikasi tersebut. Kata mereka, senang untuk berhubung dengannya. Secara rasminya, dia mula menggunakan telefon bimbit baru dua bulan lepas.
            Bila dah ada telefon bimbit, ini pula yang terjadi! Ini yang dia tak suka! Terasa menyesal pulak dia kerana akur dengan permintaan rakan-rakan untuk menggunakan telefon bimbit.
            “Pucat saja muka kau! Kenapa?”
            Ayra tersentak lagi bila ditegur Dean.
            “Sakit?”
            Suhaila bimbang dengan keadaan Ayra yang dilihatnya sejak sehari dua ini asyik termenung panjang saja. Bimbang juga dia andai Ayra marah padanya kerana enggan memenuhi jemputan Nadira. Malah, pandai-pandai pulak dia memberi cadangan agar Ayra mewakilinya. Mungkin Ayra rasa terbeban dengan cadangannya itu.
            Ayra menggelengkan kepala. Telefon bimbit berada erat dalam genggaman. Tak ingin telefon tersebut jatuh ke tangan sesiapa pun saat ini. Jika ianya berlaku, hidupnya akan musnah sekali lagi. Ya, sekali lagi! Ayra tak sanggup. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
            “Mesej dari siapa?”
            Dean perasan perubahan pada raut wajah Ayra sebaik sahaja membaca mesej yang baru diterimanya. Muka Ayra kelat semacam.
            “Er... keluarga di kampung.”
Ayra terpaksa berbohong. Ada getar dalam nada suaranya. Harap Dean tak perasan.
Tiada sesiapa yang tahu kisah hidupnya yang tragis. Dan tiada sesiapa harus tahu kisah silam itu. Ayra sudah menutup buku. Dia sudah menjalani kehidupan baru sejak beberapa tahun yang lalu. Dia tak ingin diganggu lagi.
‘Tapi kenapa ada yang masih ingin menggangguku? Tak senangkah dengan kebahagiaan yang sedang aku kecapi sekarang?’
            “Oh ya... ada hal apa?” soal Dean.
            “Mereka tanya bila aku nak balik kampung.”
Bohong lagi! Dengan wajah yang selamba, Ayra berharap agar tidak ada yang berjaya membaca gelora di hatinya. Namun suaranya nyata sedikit bergetar.
Suhaila simpati pada Ayra. Ayra pernah beritahu padanya, sudah bertahun-tahun dia tidak balik Sabah kerana masalah kewangan. Dia yakin kerinduan Ayra pada keluarganya pasti tak tertanggung lagi. Sebab itulah Ayra asyik termenung sepanjang malam.
Ayra tunduk. Tiga pasang memandang ke arahnya, masing-masing cuba membaca apa yang terbuku di hatinya. Siapalah yang tidak gusar andai ada seseorang yang sedang memerhati gerak gerinya, sedangkan dia tidak tahu siapa orangnya. Tambah menakutkan bila orang tersebut tahu kisah lalunya yang penuh kepedihan dan kesedihan.
Ayra menarik nafas dan menghembuskannya perlahan-lahan, mencari sedikit ruang untuk merasai ketenangan.
“Bila kau nak balik kampung? Aku teringin nak ikut.”
Dean mengajukan pertanyaan yang sukar untuk dijawab.
“Aku pun nak ikut jugak.” Sampuk Aisyah. “Dah lama aku menyimpan impian untuk ke Sabah. Tapi tak tahu nak ke sana dengan siapa. Nak tuju ke mana. Sekarang, kau ada. Senanglah nak atur.”
            Habis! Takkan aku nak terus-terusan berbohong dengan mereka?
Sejujurnya, Ayra tak ingin menipu sahabat-sahabatnya itu. Dia merenung Suhaila. Hanya Suhaila yang tahu dia tak pernah balik Sabah sudah beberapa tahun. Ayra jadikan alasan kerinduan di hati pada keluarga nun di Sabah penyebab dia asyik termenung apabila Suhaila mengajukan pertanyaan.      
“Tak apalah, kalau tak sudi...”
Dean meninggalkan kerusi batu.
“Hoi, kau nak ke mana tu?” jerit Aisyah.
“Kafe, beli air.”
“Beli untuk kami semua.” Jerit Aisyah lagi.
            “Macam merajuk je si Dean tu!”
Suhaila yang sedang menyusun maklumat berguna untuk menyiapkan tugasan Dean meminta Ayra cepat pujuk Dean.
            “Biarkanlah! Tak kuasa nak pujuk.” Ayra mencebik.
            Dean bukannya jenis yang suka merajuk. Sudah beberapa bulan Ayra mengenali Dean. Semakin hari semakin masak dia dengan sikap Dean. Dean bukan lelaki yang cepat marah atau cepat hilang sabar. Dean matang berbanding usianya yang sebenar. Itulah yang membuatkan hati Ayra senang bila bersama Dean. Lelaki itu juga ditempatkan di sekolah dalam daerah Kuala Kangsar. Hujung minggu, Dean akan mengajak Ayra dan Syafiqah keluar ke pekan. Mereka berborak perihal sekolah masing-masing, karenah murid-murid dan guru-guru serta macam-macam lagi di restoran tepi sungai.
            “Peliklah kau ni. Lelaki baik macam Dean pun kau tak sudi. Nak tunggu lelaki yang macam mana lagi?”
Suhaila geleng kepala. Dia tumpang gembira kalau Ayra dan Dean menjalin hubungan. Dia berharap, sekurang-kurangnya perhubungan itu dapat mengurangkan kerinduan Ayra pada keluarganya.
Suhaila tiba-tiba terus terkenangkan tunangnya, seorang tentera laut. Mereka bercinta sejak sekolah menengah. Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, Muiz terus melamar Suhaila. Mereka merancang hendak berkahwin hujung tahun depan setelah Suhaila selesai mengikuti kursus LPBS.
            “Aku sedang tunggu putera katak.”
Ayra sedar, dia sedang buat lawak bodoh, sengaja melindungi permasalahan yang sedang melanda diri sejak akhir-akhir ini.
Ada seseorang yang tahu siapa dirinya yang sebenar. Orang itulah yang telah menghantar mesej-mesej tersebut sehingga membuatkan dia tidak dapat melelapkan mata sebelah malam dan hilang selera makan. Malah, tumpuan terhadap pelajaran dan kerja juga makin terganggu.
Ayra dalam ketakutan. Kalaulah aku tahu siapa orangnya... Ayra perhati kawasan sekitar. Mana tahu pengirim mesej ada di kawasan berdekatan, sedang memerhati gerak gerinya.
            “Ye la tu. Datang putera katak nanti, baru kau tahu. Nak pandang sebelah mata pun kau takut nanti.”
            Ayra menutup mulut, tergelak kecil. Sudah hampir enam tahun dia memulakan hidup baru. Sepanjang tempoh terseut juga, dia cuba melenyapkan kisah lalu yang telah memusnahkan hidupnya. Saat hampir berjaya melupakan peristiwa lalu, mesej yang menakutkan itu pula muncul.
Kenapa harus ada yang dengki dengan kebahagiaanku???

Friday, December 14, 2012

Promo MDIC : BAB 2



BAB 2
            “Kenapa dengan kau ni? Macam tak sihat aje,” tegur Suhaila.
            “Muka aku macam orang tak sihat ke?”
Ayra meraba pipi dan dahinya. Cepat-cepat dia menghadap cermin bulat atas meja. Dia membelek-belek wajahnya. Nampak biasa saja!
            “Lain macam aje kau sejak petang semalam. Tapi aku takut nak tegur. Kau ada masalah ke?”
            Suhaila dapat membaca reaksi Ayra yang tampak kurang bercakap sejak petang semalam. Dia juga asyik mengelamun, seolah-olah ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.
            “Tak adalah. Aku okey apa.”
Ayra membetulkan selendang yang dipakai. Beg galas dan fail atas meja segera dicapai.
            “Jomlah. Dah pukul 7.30 ni.”
Ayra terus menuju ke muka pintu, enggan mengulas komen yang baru keluar dari mulut Suhaila. Walaupun mereka baru saja kenal, hanya beberapa bulan sahaja, namun Suhaila sudah pandai meneka apa yang bermain jauh di sudut hatinya. Suhaila seolah-olah tahu yang dia sedang menyembunyikan sesuatu.
            Suhaila cepat-cepat menyapu gincu di bibirnya yang mungil.
“Tunggu aku kat luar.”
            Ayra menarik daun pintu. Matanya terus melekat pada pintu bilik yang bertentangan dengan biliknya. Pintu bilik penghuni di hadapan dan di kiri tertutup rapat.
            Ayra menyandar di dinding konkrit asrama. Fail kemas dalam pelukan. Matanya terpejam rapat. Sepotong ayat yang mengganggu hati dan perasaan terus berlegar di kepala. Siapakah yang menghantar komen tersebut? Ayra terus berteka-teki. Dia menggigit bibir. Langsung tak boleh meneka pengirim komen misteri itu.
            Bingung! Semalaman dia sukar tidur memikirkan komen tersebut!
Ayra tidak mampu menolak ke tepi atau membiarkan sahaja komen tersebut. Dia telah cuba untuk tidak mengingati komen tersebut namun gagal. Sebaik terbaca komen tersebut, dia cepat-cepat memadamkannya dan terus menutup komputer riba. Keresahan bermain di fikiran. Dia terus meninggalkan tepian tasik dan kembali ke asrama.
            Sampai sahaja di bilik, Ayra terus merebahkan diri atas katil. Rakan sebiliknya, Suhaila masih belum pulang. Suhaila dan rakan-rakan yang lain ke pasaraya Giant berhampiran The Lost World Of Tambun untuk membeli barang keperluan. Elaun baru masuk. Kursus interaksi pula baru bermula. Selama dua minggu semua guru LPBS (Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah) akan berkampung di institut perguruan ketika semua guru-guru dan murid-murid sedang menikmati cuti persekolahan.
            Terasa kepala otaknya seperti hendak pecah memikirkan komen yang melampau itu. Dia amat berharap pengirim komen tersebut tersilap menghantar komen ke blog Mawar.
            Ayra menghela nafas berat.
            “Eh Ayra, mengantuk lagi ke?” sapa Aisyah yang menghuni bilik bertentangan.
Aisyah tertunduk-tunduk di muka pintu. Dia sedang menyarung kasut. Calon-calon guru tidak boleh memakai kasut sembarangan. Mereka harus memakai kasut yang bertutup depan dan belakang.
            Mata Ayra terus terbuka.
            “Tak adalah. Saja berangan. Dira dah siap?”
            “Tengah bersolek lagi tu ha... Ila?”
            “Nak siap dah. Kejap lagi keluar la tu.”
            “Eh, Iqa dah bangun ke?” soal Aisyah.
            Ayra mengangkat bahu. Matanya tertancap ke pintu bilik Syafiqah yang tertutup rapat. Syafiqah tidak mempunyai teman sebilik. Dia lebih suka duduk seorang diri.
            Aisyah terus mengetuk pintu bilik Syafiqah.
            “Sekejap!” jerit Syafiqah dari dalam bilik.
            “Tengah bersiap la tu.”
            “Dia memang ambil masa ke bila bersiap?” soal Aisyah.
            “Kadang-kadang.”
Selama lebih kurang empat bulan tinggal serumah dengan Syafiqah, Ayra memahami serba sedikit teman serumahnya itu. Syafiqah lemah-lembut orangnya. Bila melakukan sesuatu, dia memerlukan masa yang panjang. Mandi berjam-jam, bersiap pun berjam-jam, nak menyiapkan tugasan lagi lama masa yang diambil.
Ayra dan Syafiqah menyewa rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar. Mereka mengajar di sekolah yang berlainan. Ayra mengajar di sebuah sekolah di Padang Rengas, manakala Syafiqah pula mengajar di Lubuk Merbau.
Di asrama, mereka tidak tinggal sebilik. Ayra lebih selesa tinggal dengan rakan sebilik yang telah ditentukan sejak mula-mula mendaftar pada bulan Mac yang lalu iaitu Suhaila. Syafiqah pula memang tidak berteman sejak mula lagi.
            “Kak Ayra, Kak Aisyah, maafkan Iqa, Iqa terlambat.”
Syafiqah tercegat di pintu. Kasut hitam berkilat tergantung di tangan kiri.
            “Ada lagi orang lambat daripada kau Iqa.”
Aisyah mengerling ke biliknya. Dia sebilik dengan Nadira.
            “Hoi, kutuk aku ke?”
Nadira tercegat di muka pintu bersama sepasang kasut Cinderella kesayangannya. Kasutnya yang bertatahkan batu permata itu mengalahkan kasut pengantin.
            “Bukan kutuk, tapi kami sedang puji. Cantik kau hari ni! Vouge! Dah tak macam nak ke kuliah dah.”
Mulut Aisyah boleh tahan lancangnya. Dia suka mengenakan Nadira.
            “Dah macam lecturer kita, Dr. Kamelia. Kelas gitu!” usik Suhaila.
            “Kalau tak bersolek, rugi pulak alat make up yang aku beli ribu riban tu.”
            Aisyah mencebik. Ayra senyum-senyum. Komen misteri lenyap sekejap dari kepalanya. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan rakan sekelas yang satu kepala. Suhaila, Aisyah, Nadira dan Syafiqah adalah teman rapatnya.
            Ayra dan Aisyah berjalan menuruni anak tangga, diikuti Suhaila, Nadira dan Syafiqah. Bilik mereka di aras tiga, blok C. Sampai sahaja di tempat parkir, Nadira terus menekan alarm keretanya.
Toyota Rush dihadiahkan oleh ibunya kerana dia bersetuju untuk mengikuti kursus LPBS. Ibunya berharap sangat agar dia menjadi seorang pendidik. 
Nadira sebenarnya langsung tidak berminat hendak bergelar seorang pendidik. Dia lebih suka dengan pekerjaan glamour seperti menjadi model atau pramugari. Namun hasratnya dibantah keras oleh orang tuanya. Dia dipaksa menjadi guru sandaran tidak terlatih dan seterusnya diserap ke jawatan tetap dengan mengikuti kursus di institut perguruan ketika cuti sekolah.
            Nadira memandu keretanya menuju ke kawasan kafeteria. Dia memarkir keretanya di bawah sepohon pokok. Lima orang gadis melangkah menuju ke kafeteria untuk bersarapan.
            “Diam saja Kak Ayra. Kenapa?” soal Syafiqah yang muda setahun darinya.
            “Err... tak ada apa-apa.”
Ayra mengukir senyum hambar. Dia belum bersedia hendak menjawab soalan yang diajukan oleh Syafiqah secara tiba-tiba itu.
            “Tadi aku dah tegur,” balas Suhaila. “Sejak semalam Si Ayra ni diam saja. Macam ada masalah besar je.”
            “Aku tak apa-apalah.”
Ayra beratur. Dia mencapai piring untuk mengisi kuih.
            “Kalau ada masalah, ceritalah pada kami. Jangan segan. Walaupun kita semua baru kenal, tapi kita kan dah macam adik-beradik.” Ujar Aisyah.
            “Betul cakap Aisyah. Jangan pendam masalah. Lebih baik diluahkan. Mana tahu kami semua dapat membantu.” Sokong Suhaila.
            “Terima kasih semua. Aku hargai bantuan korang semua. Buat masa sekarang memang aku tiada masalah. Cuma, aku penat sikit. Hari Ahad sampai sini, Isnin dan mula kuliah. Barang-barang masih dalam beg. Tak sempat nak susun dalam almari lagi.”
            “Tapi sempat lagi pergi online tepi kolam,” usik Suhaila.
            “Kat sini internet free. Sebab tu aku tak boleh lepaskan peluang.”
            “Peluang untuk chatting dengan pakwe,” sampuk Aisyah.
            “Isy tak adalah... mana aku reti nak chatting.”
Ayra cepat-cepat isi dua biji karipap dan memesan teh tarik lalu terus ke meja makan yang masih kosong.
            Sebentar kemudian Suhaila dan Aisyah memenuhi tempat kosong.
            “Oh ye, hujung minggu ni kenduri kahwin kakak aku. Korang semua kena datang tau.”
Nadira yang baru tiba dengan nasi goreng menjemput rakan-rakan ke rumahnya.
            “Penang... jauh tu. Kau nak pergi ke?” Aisyah memandang tepat ke wajah Ayra.
            “Aku ikut je.”
            “Kalau nak pergi, kena bertolak awal sehari. Penang tu jauh.”
Suhaila memberi cadangan.
            “Ish, tak jauhlah. Tapi, kalau korang nak datang awal, aku lagi suka. Korang tidurlah kat rumah aku. Jangan risau, rumah aku tu banyak bilik kosong.”
            “Tapi bila kenduri, bilik kosong mesti penuh dengan saudara mara kau. Eh Iqa, kau orang Kedah, kan? Jauh tak rumah kau dengan rumah Dira.”
            “Dekat je. Kak Dira kat Butterworth, Iqa kat Kulim. Kalau korang nak duduk rumah Iqa pun apa salahnya. Hari Ahad tu Iqa suruh abang Iqa hantar kita ke rumah Dira.”
            “Okeylah Dira. Kalau tak ada apa-apa, kami datanglah nanti,” ujar Suhaila.
            ‘Tidur di rumah Iqa?’ Ayra menghela nafas berat. Dia tidak suka bermalam di rumah orang.
            

Thursday, November 8, 2012

Promo MDIC : BAB 1



KOMPUTER riba dari dalam beg dikeluarkan. Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba itu menjadi milik Ayra. Sudah lama dia mengimpikan untuk memiliki sebuah komputer riba, sejak bergelar mahasiswi, namun hajatnya itu tidak kesampaian.
Semasa di UiTM Arau dulu, pinjaman yang dia dapat sekadar cukup untuk perbelanjaan pengajian enam semester. Selesai diploma, dia sambung ke ijazah sarjana muda pula selama dua tahun di tempat yang sama.
Dia tiada sumber kewangan lain, hanya mengharapkan pinjaman PTPTN dan pendapatan yang diperolehi dengan bekerja ketika cuti semester. Selesai pengajian, dapatlah dia mengumpul sedikit wang dengan bekerja di sebuah pasar raya.
Apabila ditawarkan untuk mengikuti kursus Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau LPBS, Ayra terus membeli komputer riba. Gembira hatinya saat komputer riba bertukar tangan daripada penjual kepada dirinya. Komputer riba itu ditatang bagai minyak yang penuh. Bukan mudah untuk memilikinya, sebab itu Ayra menjaga komputer ribanya dengan baik.
Ayra mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, dengan opsyen Bahasa Inggeris. Kekurangan guru Bahasa Inggeris menyebabkan mereka dipanggil untuk mengikuti kursus LPBS. Ayra bersyukur kerana tidak sampai tiga bulan menjadi guru sandaran tidak terlatih atau GSTT, akhirnya dia ditawarkan kursus LPBS untuk diserap ke jawatan tetap.
Mengikut perjanjian, Ayra perlu menghadiri kursus interaksi setiap kali cuti sekolah di IPG Kampus Ipoh. Pengisytiharan naik taraf IPG Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru telah dilakukan pada tahun 2006. Pengisytiharan ini memberikan satu perubahan besar kepada institusi perguruan dengan bermulanya Program Pensiswazahan Guru yang dijalankan di IPG seperti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR).
Selain itu, IPG juga mula menjalankan latihan pra perkhidmatan yang boleh memberi pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda kepada guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSM) seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan B.Ed TESL.
Kampus Ipoh salah satu daripada 27 Institut Pendidikan Guru yang ada di Malaysia. Terletak di Hulu Kinta, Ipoh, IPG ini menawarkan pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kampus Ipoh mempunyai lapan blok asrama perempuan dan hanya tiga blok asrama lelaki.
Duduk berhadapan kolam di belakang blok A sambil menghirup udara segar memberi ketenangan yang sungguh bermakna buat Ayra. Dia melayari internet dan mengemaskini blog yang baru dibina. Dia berasa bebas bersendirian di situ. Tiada sesiapa yang mengganggu. Ayra boleh melayari internet selama mana dia mahu tanpa sebarang gangguan.
Semalam, hampir tiga jam dia berada di situ sambil melayari internet.Gila dia dengan dunia tanpa sempadan itu. Sebelum ini, Ayra kurang berminat dengan dunia internet. Dia sekadar melayari internet untuk mencari maklumat bagi menyiapkan tugasan. Namun sejak diperkenalkan oleh Nadira dengan blog, twitter, dan facebook, hatinya mula tertarik untuk memiliki akaun-akaun itu. Namun, masa tidak mengizinkan. Dia bukannya selalu melayari internet. Hanya hari-hari tertentu sahaja. Buat masa sekarang Ayra lebih berminat untuk memiliki blog.
Sebenarnya, banyak kebaikan blog jika pandai memanfaatkannya. Pengguna boleh memaparkan produk-produk yang dihasilkan. Jika rajin berusaha, mereka mampu menjadi jutawan dalam masa yang singkat. Pelayar internet semakin bertambah bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Ada juga yang mempamerkan hasil karya seperti sajak, cerpen dan novel. Malah ada juga yang memaparkan sesuatu topik untuk dibincangkan. Tapi, jika disalahgunakan, diri sendiri yang akan menerima akibatnya nanti.
Jari-jemarinya pantas menggerakkan tetikus lalu menekan ‘klik’ pada Mozilla Firefox sebaik sahaja isyarat sambungan internet sudah terpampang. Nadira yang mengajarnya membina blog. Hendak buat sendiri, dia tidak pandai. Baginya, Nadira seorang yang pakar. Nadira juga memiliki blog yang sudah berusia lima tahun. Namun sejak setahun lalu, blog Nadira tidak dikemaskini lagi. Terbiar begitu sahaja.
Ayra menarik nafas dan memandang alam sekitar di depan mata. Air kolam dan bukit-bukau yang hijau menenangkan jiwa. Memandang keindahan alam yang masih belum tercemar itu membuatkan matanya yang pedih kembali segar. Ayra menghabiskan masa selama beberapa minit menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa sebelum menyambung kembali aktiviti.
Mawar – itulah nama blog kesayangan Ayra. Dia tidak tahu hendak letak nama yang sesuai ketika mendaftar blog. Memandangkan dia minat pada bunga, jadi dia terus meletakkan nama Mawar ketika Nadira memintanya memberikan nama blog.
Minggu pertama, Ayra hanya letak info tentang pelbagai spesies bunga. Info itu turut diperolehi daripada internet. Adalah dua tiga orang peminat bunga yang mengunjungi blog Mawar dan memberikan respons mereka mengenai bunga. Ia menjadi perangsang buat Ayra untuk terus mengemaskini blog dan meletakkan sebanyak mungkin info tentang bunga.
Setakat ini, sudah lapan info yang dimasukkan berkaitan bunga. Blog Mawar masih kosong, berbeza dengan rakan-rakan blog lain yang sering dikunjungi. Tiada hiasan yang diletakkan melainkan beberapa kuntum bunga yang menjadi wallpaper. Nadira sekali lagi membantu Ayra meletakkan wallpaper bunga-bungaan. Ada jam digital dan kalendar di sebelah tepi. Maklumat diri langsung tidak ada. Gambar bunga mawar menggantikan gambar pemilik blog.
Pada mulanya, Nadira berkeras hendak meletakkan gambar Ayra. Apa lagi, Ayra terus menentang habis-habisan. Dia bukannya malu hendak meletakkan gambar, tetapi dia ada alasan tersendiri mengapa enggan mendedahkan diri. Identitinya biarlah menjadi rahsia.
“Apalah kau ni... itu pun nak malu. Manalah tahu, ada lelaki yang tersalah masuk blog kau ni, terus terpikat bila terlihat gambar kau.”
“Aku bukan nak cari jodoh dengan blog aku ni.”
Ayra tetap berkeras dengan keputusannya. Nadira terpaksa akur dengan keputusan temannya itu.
Mata Ayra tertancap pada satu komen di bawah entri terbaru yang dimasukkannya dua hari lepas. Dia memasukkan entri itu ketika berada di perpustakaan. Ketika itu, dia ke sana untuk mencari buku-buku yang sesuai bagi menyiapkan tugasan. Mujur dengan bantuan rakan-rakan, iaitu Dean dan Suhaila, mereka berjaya mengumpul maklumat tugasan. Malah berjaya menyiapkan tugasan lebih awal.
Selesai menyiapkan tugasan, Ayra menggunakan kesempatan untuk meletakkan entri baru di blog menggunakan sumber buku dari perpustakaan.
Jari-jemarinya menggosok keypad sehingga anak panah berhenti pada perkataan ‘1 komen.’ Ayra terus klik di situ kerana teruja hendak membaca komen yang dihantar pengunjung blog Mawar.
Terkebil-kebil matanya membaca sepotong ayat yang tercatat di situ.

Penipu! Topeng Muka Kau Akan Terbongkar!

Terpinga-pinga Ayra dengan baris ayat itu. Berulang kali dia membacanya, masih tidak percaya komen begitu dihantar ke blog kesayangannya. Pucat muka Ayra. Dahinya berkerut-kerut. Jantungnya berdegup kencang.
‘Pengirimnya; anonymous! Tak diketahui! Siapa penipu? Topeng siapa pula yang akan dibuka?’
Komen itu dihantar di bawah catatan yang berkaitan dengan penanaman bunga melur. Langsung tiada kaitan!
Ayra cepat-cepat daftar masuk ke akaun Google untuk segera memadam komen itu. Habislah kalau pengunjung lain membaca komen daripada seseorang yang enggan memperkenalkan dirinya itu. Tentu mereka akan memikirkan sesuatu yang buruk tentang dirinya. Itulah yang dia bimbang.
Ayra berjaya memadam komen itu. Dia menarik nafas lega untuk seketika. Terus hilang minatnya untuk mengemaskini blog. Dia juga hilang minat untuk membaca blog-blog lain. Fikirannya terus melayang pada komen itu tadi.
‘Penipu! Topeng muka kau akan terbongkar!’
Keresahan terus melanda jiwa. Siapakah yang menghantar komen itu? Adakah penghantar komen itu saja suka-suka? Atau ada makna tersirat? Peluh menitik di dahi. Ketakutan menguasai dirinya. Ayra bingkas meninggalkan tempat itu bersama komputer ribanya.

                                                                       

P/S : Dapatkan novel MDIC keluaran Buku Prima di toko buku berhampiran dengan harga RM19.90 sebuah.

Saturday, February 18, 2012

Cerpen - Bosannya Hidup

“Arghhh... bosannya!” jerit Fida sekuat hati sehingga mengejutkan lamunan sahabatnya, Jaja.
“Duduk tak buat apa, memanglah bosan. Cuba belek-belek majalah depan mata tu, ada juga faedahnya.” Balas Jaja yang sedang mencari ilham di tepian jendela.
“Dah… aku dah baca dah. Semua rencana yang tertulis aku dah khatam. Bosanlah! Kau tak rasa bosan ke duduk diam tak buat apa-apa?” soal Fida.
“Kau memanglah nampak aku duduk diam tak buat apa. Tapi otak aku ligat berfikir, tahu tak? Sampai nak pecah cari idea sesuai.”
“Ee… bosanlah. Macam manalah kau boleh jatuh hati dengan bidang penulisan? Hentikanlah minat kau tu kalau setakat menulis untuk diri sendiri.”
“Kau jangan hina aku, okey?” Jaja bercekak pinggang.
“Aku tak hina. Aku nak cabar kau. Cubalah kau hantar karya kau tu ke majalah.” Fida memberi cadangan.
“Aku belum ada keberanian…. Tunggulah, satu saat nanti aku pasti akan hantar. Kau tengoklah.”
“Huh!” Fida mencebik. “Arghhh… bosan!” dia menjerit lagi. “Hidup aku mendatar sekarang. Bangun pagi, bersiap-siap, sarapan, naik motor pergi kerja. Pukul 12.30 rehat. Makan. Kemudian masuk balik pejabat sampai pukul 4.00. Habis kerja, balik. Duduk rumah sampai malam. Tidur, Bangun dan perkara yang sama berulang lagi. Nak pergi bersiar-siar hujung minggu tak boleh. Tak ada kenderaan. Yang ada hanya motor. Tak boleh pergi jauh. Lesen tak ada. Bosanlah!”
Jaja tersengih. “Putaran hidup aku pun sama macam kau. Yang berbeza, otak aku ligat berfikir. Jadi taklah bosan sangat. Kau carilah hobi.”
“Hobi? Hobi apa nak buat? Hobi aku berjalan-jalan. Tapi tak ada kenderaan.”
“Naiklah bas.”
“Lecehlah! Melambatkan masa aku saja. Kalaulah aku ada boyfriend….”
“Itulah, kau jual mahal dengan Leman. Kalau kau terima dia, sekurang-kurangnya hujung minggu tak adalah terdengar jeritan bosan lagi!”
“Guard tu? Sorry!”
“Jangan hina. Dia ada juga kereta. Boleh bawa kau jalan-jalan hujung mingu.”
“Malu aku nak naik kereta dia tu.” Juih Fida.
Jaja hanya mampu menggeleng kepala. Citarasa Fida tinggi tak padan dengan kedudukannya sebagai kerani stor. Yang diidamkan Fida adalah penyelia kilang, bos dan artis. Jaja bangun meninggalkan ruang tamu, malas hendak melayan Fida yang seperti orang sakit jiwa itu. Hari-hari menjerit perkataan bosan. Sampai naik bosan Jaja mendengarnya.
“Jaja, kau nak ke mana?” soal Fida yang bertambah bosan jika tiada teman berbual.
“Tandas. Nak ikut?” Jaja tersengih-sengih.
“Huh!” Fida menjeling tajam. Dia mencapai remote tv di atas meja. Chanel Media Prima ditekan satu demi satu. Namun tiada rancangan menarik yang sedang ke udara.
“Bosan!!!” jeritnya sekuat hati bagi melepaskan perasaan yang terbuku di hati.

Fida meninggalkan pejabat. Tugasnya sebagai kerani stor sudah selesai. Dia menjenguk ke ruangan operator. Jaja sedang tekun bekerja.
“Tak balik lagi?” sapa Fida.
“Aku buat OT hari ni.” Balas Jaja. Terpaksalah Fida pulang ke rumah bersendirian. Ketika sedang mengeluarkan motor dari garaj dia tiba-tiba ditegur seseorang.
“Nak pulang dah ke?” Mulut Fida kumat kamit. Dah tahu tanya lagi. Bosan! Mahu sahaja dia terbang dari tempat tersebut.
“Abang Leman pun dah nak pulang. Fida dahaga tak? Abang Leman nak ajak minum.”
“Terima kasih ajelah!” Fida tidak pernah memberi muka pada Leman. Namun Leman tidak pernah berhenti mengusiknya. Satu kilang sudah tahu. Fida cepat-cepat menghidupkan enjin motor. Dia segera memecut laju membelah jalan raya. Kilang roti ditinggalkan segera. Fida menggetap bibir. Melalui cermin sisi, dia dapat melihat sebuah kereta sedang mengikutinya. Leman! Lelaki tu masih tak faham-faham! Rungut Fida. Dia membelok ke kanan, memasuki kawasan kampung. Leman juga membelok keretanya ke sebelah kanan. Tak guna! Fida membebel. Setahunya Leman menyewa di sebuah taman perumahan, bukan rumah kampung sepertinya. Dia dan Jaja menyewa rumah kampung kerana sewanya yang rendah berbanding ruman di taman.
Tiba-tiba…
“Mak!!!!!!!!!” Fida menjerit kuat. Dia telah melanggar sesuatu! Kakinya segera menekan brek. Kepala ditoleh ke belakang. Seekor itik sedang menggelupur. Fida bingung. Apa yang harus aku lakukan sekarang? Melarikan diri? Membantu itik yang sedang nazak? Fida masih kebingungan di atas motor. Leman sudah tidak mengekorinya. Mungkin dia memang patut melarikan diri.
“Ha, kakak langgar itik Tok Yah.” Satu suara kedengaran dari dalam semak berdekatan. Seorang budak lelaki terjengul sambil mendukung anak ayam. Fida kaget. Ada saksi yang melihat perlanggaran tersebut. Ah, budak mentah! Fida yang ketakutan segera memecut laju motor. Dia kenal dengan Tok Yah. Nenek tua itu memang garang orangnya. Mulutnya becok. Bercakap tak pernah berlapik.
Sampai sahaja di rumah, Fida terus masuk ke dalam bilik. Peristiwa yang berlaku terus mengganggu fikirannya. Budak lelaki itu pasti akan mengkhabarkan kepada Tok Yah apa yang dilihatnya. Fida berharap itik Tok Yah selamat. Jika mati, habislah Fida. Fida ingat lagi waktu Tok Yah kehilangan anak ayamnya yang baru menetas kerana dilanggar kereta. Dia terus menyumpah seranah pemandu tersebut.
“Boleh aku masuk?” terdengar suara Jaja di luar.
“Ma… masuklah.” Balas Fida yang berteleku di atas katil. Dia tidak sedar dua jam sudah pun berlalu.
Jaja menolak daun pintu. “Aku dengar kau langgar itik Tok Yah sampai mati. Betul ke?” soal Jaja yang inginkan kepastian.
“Kau pun tahu?” kecut perut Fida.
“Satu kampung dah tahu Fida…. Apasal kau biar je itik tu sebaik kau langgar dia?”
“Aku… aku takut tuannya marah.”
“Memang tuannya marah pun. Ha, selama ni kau asyik merungut bosan. Mulai saat ini, aku yakin kau tak akan merasa bosan lagi. Hidup kau juga takkan mendatar lagi. Tok Yah sedang tunggu kau di luar tu!”
“Hah?!” Jaja tersenyum sinis.
“Pergilah keluar, minta maaf kat Tok Yah.”
Perlahan-lahan Fida bangun meninggalkan katil. Sebentar lagi dia pasti akan dimaki hamun Tok Yah. Betul kata Jaja, hidupnya tidak akan menjadi bosan lagi. Bukankah ini yang aku mahu? Fida menyesal. Sepatutnya dia merasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Ilahi kepadanya selama ini. Putaran hidup yang baik. Dia harus bersyukur dan bukannya merungut bosan dengan apa yang dilaluinya.
Hidupnya tidak mendatar lagi!

p/s : tahun 2007 punya story..adaptasi 50% kisah benar..hehehehe...



 

Friday, February 17, 2012

Preview - Hanya Padamu

Jemput baca novel Hanya Padamu di http://booklens.com/dannie-sofea/hanya-padamu

Lain2 novel keluaran Buku Prima pun boleh dibaca jugak kat sini.

Sunday, February 12, 2012

Yakjuj & Makjuj - 5 Gelombang Pembawa Bencana


Ini adalah buku ke 4 karangan Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander, penulis dari tanah seberang. Sebelum ni aku pernah baca buku beliau bertajuk Yakjuj & Makjuj Bencana Sebalik Gunung, Alexander ialah Zulqarnain dan Aramagedon 2012-Bencana Akhir Zaman. Aku minat baca buku beliau sebab kajian yang dibuat memang detail. Bila baca buku-buku beliau, rasa macam dekat jer dengan peristiwa-peristiwa dunia yang telah berlaku Sebelum Masihi. Sebelum ni rasa kelam jer dengan sejarah masa lampau. Rupa-rupanya banyak catatan-catatan masa lampau yang masih kekal hingga ke hari ini.

Buku ni dimulakan dengan Kajian Tafsir - mencari kata kunci Yakjuj dan Makjuj. Penulisan beliau bersumberkan Al Quran dan Tafsir, Hadith, Jurnal, Internet, Kamus, Ensiklopedia, Video/Filem Dokumentari.  Bagi menjejak siapakah Yakjuj & Makjuj, penulis menyusuri zaman lampau bermula zaman Nabi Nuh selepas banjir. Yakjuj & Makjuj ni dikenalpasti dari keturunan Yafith Bin Nun. Mereka tinggal di padang rumput Eurasia. Mereka orang yang mula2 menjinakkan kuda dan seterusnya menjadikan kuda sebagai kenderaan dalam peperangan. 

Dikatakan yang Yakjuj & Makjuj ni dah keluar lima kali (5 gelombang). Pertama, mereka keluar menyerang Mesopotamia dan India. Nabi Ibrahim yang tinggal di Mesopotamia ketika tu berhijrah ke Mekah kerana kaum Mesopotamia tidak menerima ajarannya yang disampaikannya - monotisme - menyembah Allah Yang Esa. Jadi Nabi Ibrahim selamat. Kedua, mereka keluar menyerang Timur Tengah. Ketiga ke atas China. Keempat ke Eropah dan kelima ke atas China, Timur Tengah, Eropah dan Nusantara abad 12-13M. 

Terdapat 5 kriteria kaum Yakjuj & Makjuj. Di manakah mereka sekarang? Setelah dikaji, tidak terdapat kaum yang memenuhi 5 kriteria tersebut pada zaman sekarang. Dikatakan mereka akan muncul semula setelah dunia kehilangan teknologi akibat hentaman meteor besar. Hentaman ini menyebabkan munculnya mi selama berbulan-bulan. Tamadun dunia kembali ke zaman unta dan kuda. Penduduk utara kembali ke kehidupan nomad barbar dan mereka akan keluar menyerang. Inilah episod akhir keluarnya Yakjuj & Makjuj.

p/s : Dapatkan buku keluaran PTS dengan harga RM35. 749m/s.


 





Saturday, February 11, 2012

Cerpen - Mencari Bahagia

"Baru balik dari sekolah?"
Ah, kau lagi! Hari-hari kaulah orang pertama yang selalu menegurku sebaik sahaja aku melangkah turun dari bas sekolah. Kalau gadis lain, tentu mereka suka jika sering disapa lelaki. Tapi, aku tidak. Aku memang tidak gemar dengan sikap kau itu. Benci! Menyampah! Tak ada kerja lain lagi ke yang kau boleh lakukan? Cuma yang kau tahu, melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang. Lelaki lain yang sebaya dengan kau tentu berada di menara gading sekarang atau sudah melangkah ke alam pekerjaan. Ah, buang masa saja jika aku layan pemuda yang tak ada masa depan seperti kau! Masuk hari ini dah cukup seminggu kau menunggu kepulanganku dari sekolah. Sebelum ini aku tak pernah lihat kau. Dan aku langsung tak kenal siapa diri kau. Sudah hampir tiga bulan aku menetap di sini. Tak pernah aku lihat kau di kedai kopi mahupun di tempat lain. Mungkinkah kau orang luar yang bertandang ke rumah saudara mara yang menetap di kampung ini? Ah tak mungkin! Berdasarkan dialek yang kau tuturkan, aku yakin benar kau penduduk jati kampung ini. Ah, persetankan dia! Buat apa aku memeningkan kepala memikirkan lelaki seperti kau. Aku benci dengan pemuda-pemuda yang suka lepak dan ganggu pelajar-pelajar sekolah.
"Nadyne, telefon!" Laung Kak Nadya sebaik sahaja aku tiba di rumah. Lelah pun masih belum hilang. Telefon? Siapa pulak yang hubungi aku ni? Inilah panggilan pertama yang aku terima sejak tinggal di rumah Mak Nab. Seingat aku, nombor telefon rumah Mak Nab tak pernah aku berikan kepada sesiapa pun, hatta teman sekelas sekali pun. Dulu memang aku suka berbual di telefon, berjam-jam lamanya pun tak kisah. Tapi kini tidak lagi. Telefon bimbit juga telah aku jualkan.
"Lelaki." Bisik Kak Nadya sambil menghulurkan gagang telefon. Kak Nadya tersengih-sengih. Lelaki? Aku bertambah hairan. Lelaki mana pulak yang ingin bercakap denganku? Irshad?
Aku meletakkan gagang selesai sahaja berbual pendek dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Siapakah Irshad? Dari mana dia tahu aku tinggal di rumah Mak Nab? Telah aku ajukan soalan itu kepada Irshad, namun jawapan Irshad memeningkan kepalaku. Katanya, kalau dia dah suka seseorang, dia akan berusaha untuk mendapatkan maklumat gadis itu. Aku minta dia perkenalkan dirinya secara empat mata denganku, tapi dia enggan. Katanya, masih terlalu awal untuk mengatur temu janji. Mengada-ngada! Bukannya aku mahu buat temu janji dengannya, aku sekadar ingin melihatnya, sama ada Irshad itu memang wujud atau tidak. Hairan! Entah-entah rakan sekelasku menyamar sebagai Irshad, sengaja untuk mengenakan aku. Ah, tak mungkin! Aku cam suara Daud, Maliq dan rakan-rakan sekelasku yang lain. Siapakah gerangan lelaki yang bernama Irshad? Mustahil Afzal menyamar sebagai Irshad. Telah aku padamkan namanya dalam kamus hidupku. Afzal lelaki tak guna yang terus menjauhkan diri apabila aku ditimpa kesusahan. Afzal, lelaki yang tak setia pada cinta. Afzal. lelaki yang pandai suka berjanji itu ini tapi takut untuk mengotakannya. Aku tak terdaya lagi untuk memikirkan siapa Irshad. Dia ingin berkenalan lebih rapat denganku. Aku berterus-terang kepadanya yang aku sudah punya ramai kawan lelaki. Cukuplah kawan-kawan lelaki di sekolah, aku tidak ingin menambah kenalan lagi. Bukannya aku gadis yang sombong, tapi…kenangan lalu menyiksa jiwa. Sudah masuk minggu ketiga, kau masih setia menanti kepulanganku. Buat apa kau sia-siakan masa emasmu dengan menantiku. Apa yang ada pada aku ini sehingga menarik perhatianmu? Tak bosankah kau dengan aku yang tak pernah melayan kehendakmu. Kau ajak aku berbual, aku tolak. Kau pelawa aku minum, pun aku tolak. Berhentilah menggangguku. Aku tidak akan sekali-kali melayan lelaki sepertimu. Aku bukanlah gadis murahan yang sekali ditegur terus boleh diusung ke sana dan ke mari. Jangan kau harap wajahmu yang kacak akan dapat mencairkan kekerasan hatiku.
"Masam aje muka, kena marah dengan cikgu ke?" Terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi.
Geramnya aku! Muka aku masam ke, manis ke, buat apa kau peduli? Biarkan aku begini. Ingin sekali aku menjerit dan menyatakan yang aku bencikan kau, bencikan usikan kau. Tapi fikiran aku masih waras. Hatiku masih mampu menahan sabar. Dan aku tidak mahu memalukan kau di hadapan teman-teman kau. Jatuh pula saham kau nanti. Lebih baik aku mendiamkan diri. Pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas yang sama pasti tersenyum-senyum setiap kali terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi menggangguku. Pasti mereka cukup arif menilai sikap kau. Lelaki yang tak tahu malu. Tak pernah aku layan, tapi kau masih tak jemu-jemu menggangguku. Memang kau seorang lelaki yang penyabar… Aku suka tinggal di kampung yang terletak di pedalaman ini. Segala-galanya yang ada di kampung memikat hatiku, kecuali satu. Kau! Ah, kenapa mesti ada kau di sini? Jika kau tiada, tentu bertambah tenteram kehidupanku di sini. Kampung ini telah banyak mengajar aku erti ketabahan hidup. Mama juga tidak lagi bersedih sejak tinggal di sini. Aku sedar mama menderita akibat perbuatan papa. Badan mama kurus dan saban hari mama menangis. Syukurlah kerana di kampung ini mama telah banyak berubah. Aku dan Kak Nadya gembira melihat perubahan mama. Di kampung ini juga aku sudah dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Tidak seperti di bandar dulu. Jiwaku tertekan dan aku tewas untuk menghadapi dugaan hidup. Masalah mama dan papa mengganggu pelajaranku. Hinggakan semangat untuk belajar terus pudar.
Suasana di kampung ini berbeza sekali dengan di bandar. Segala-galanya mendamaikan. Kampung terpencil ini terlalu indah buatku. Kicauan burung dan lambaian pohon kelapa memikat hatiku. Aku juga dapat merasa betapa dinginnya mandi air bukit. Aku bahagia di sini. Di bandar dulu, aku hidup dalam kemewahan. Namun kemewahan tersebut tidak dapat memberi ketenangan padaku. Bahkan kemewahan itulah yang meragut kebahagiaan keluargaku.
Pip! Pip! Hon motosikal yang lalu di hadapan rumah Mak Nab mengejutkan lamunanku. Aku cam siapa penunggang motosikal tersebut. Kau! Sempat lagi kau menghadiahkan senyuman untuk aku. Terus aku mencebik! Tak sampai lima minit, kau lalu lagi di hadapan rumah Mak Nab dengan motor kapcai. Aku terus melangkah ke dalam rumah, malas untuk melayan karenahmu yang seperti budak-budak.
Hari ini aku terima panggilan dari Irshad lagi. Selang tiga hari aku akan terima panggilan darinya. Irshad, siapa dirimu yang sebenar? Kau membuatkan aku sering tertanya-tanya. Kau masih menyatakan keinginanmu untuk berkenalan dengan aku. Dan seperti biasa, aku tidak pernah melayan keinginanmu itu. Selagi kau tidak berani untuk berhadapan dan bertentang mata denganku, aku tidak akan menerima kehadiranmu dalam hidupku. Apa yang membuatkan kau begitu beria-ia untuk menjalin persahabatan denganku? Tiada apa-apa keistimewaan pada diri ini. Aku gadis yang banyak menanggung derita...
"Sekarang ni Nadyne dah ada peminat, mama. Selalu terima panggilan dari lelaki."
"Itu bukan peminat Nadynelah, kak."
"Tak nak mengaku pulak.” Kak Nadya mencubit pipiku.
"Nadyne, mama harap Nadyne tumpukan perhatian pada pelajaran dulu. Ketepikan dulu soal cinta." Sampuk mama.
"Mama, Nadyne tak bercinta dengan lelaki tu. Kenal dia pun tak, mama." Aku membela diri.
"Setakat nak berkawan, mama tak halang. Tapi pandai-pandailah jaga diri."
Mama, kau terlalu mengambil berat tentang diriku. Aku berjanji akan membahagiakan hidupmu, mama. Aku berjanji akan memenuhi segala impianmu… Aku tahu mengapa mama meminta aku agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Mama takut aku kecundang di tangan lelaki. Pengalaman hidup masa lalu telah banyak mengajar mama. Mama tidak mahu aku dan Kak Nadya menerima nasib yang serupa dengannya. Mama telah banyak berkorban untuk aku, Kak Nadya dan papa. Papa? Ah, papa seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan! Papa tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dalam keluarga. Papa hanya tahu melepaskan kemarahannya pada mama. Aku dan Kaka Nadya turut menjadi mangsa kemarahan papa. Sakitnya tamparan dan tali pinggang papa menghentam tubuhku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hidupku diselubungi ketakutan yang memanjang. Terasa saat itu tiada gunanya lagi aku meneruskan hidup sehingga aku pernah cuba untuk membunuh diri... Mama banyak berkorban untuk papa. Malangnya papa tidak pernah menghargai pengorbanan mama. Mama sanggup membuang orang tua semata-mata kerana cintakan papa. Kedegilan mama kerana tidak mahu dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya menyebabkan mama disingkirkan. Sehinggalah kelahiran Kak Nadya, datuk dan nenek masih tidak dapat menerima perkahwinan mama dengan papa. Akhirnya mama mengerti dia tidak diperlukan lagi oleh keluarganya. Mama tidak pernah pulang lagi untuk menemui orang tuanya. Aku dan Kaka Nadya tidak pernah melihat datuk dan nenek sebelah mama mahupun papa. Orang tua papa telah lama meninggal dunia ketika papa masih bersekolah. Papa dibesarkan oleh bapa saudaranya. Masih kuingat lagi kemesraan papa tika aku dan Kak Nadya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu kehidupan kami sekeluarga sedehana sahaja. Papa masih pekerja bawahan. Papa telah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang pada kami. Papa tidak pernah memarahi kami, jauh sekali untuk memukul. Apa yang kami hajati akan cuba dipenuhi. Ah, betapa aku bahagia saat itu, mempunyai seorang ayah yang penyayang. Tuhanku, kenapa manusia cepat benar berubah?
"Awak seorang gadis yang sangat cantik. Tapi kalau awak bertudung, lagi cantik!" Kau menghampiriku. Satu tindakan yang agak berani. Selama ini kau hanya berani menyapaku dari jauh sahaja.
"Tolong jangan ganggu saya!" Aku membuka mulut buat pertama kali. Sindiran lelaki itu terlalu tajam.
"Saya bukannya mengganggu, cuma memberi teguran secara ikhlas. Awak tentu tambah cantik jika bertudung. Satu lagi teguran ikhlas dari saya, kalau awak nak tinggal di kampung, kenalah ikut cara kampung. Tak manis kalau anak dara macam awak ni berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan."
"Awak siapa pandai-pandai tegur saya? Macamlah awak tu baik sangat! Satu-satunya kerja yang awak tahu buat hanyalah melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang!” Aku melepaskan kemarahan. Tentu kejadian tempoh hari menyebabkan dia berani berkata begitu. Ketika dia melalui rumah Mak Nab, aku memang berpakaian ringkas. Cuaca yang panas menyebabkan aku berpakaian begitu.
"Sebagai saudara sesama Islam haruslah kita saling tegur-menegur jika ada sesuatu yang tak kena. Tak semestinya saya ni abang awak atau ayah awak atau… suami awak baru saya boleh nasihat. Tak gitu?"
"Huh! Nasihat diri awak tu dulu sebelum nak menasihati saya!" Aku terus mempercepatkan ayunan langkah. Darahku membuak-buak. Berani betul kau menegur caraku. Kita bukannya sahabat atau saudara yang membolehkan kau menegur apa yang tak kena denganku. Aku akui, memang aku gadis yang sensitif. Aku terus ke dalam bilik dan menghempas diri ke atas katil. Aku bengang dengan sikap kau yang kurang ajar. Kenapa kau suka ganggu hidup aku? Semakin lama, semakin kau menjadi-jadi. Mentang-mentanglah aku tak pernah tinggikan suara pada kau setiap kali kau menggangguku. Ah, kenapa masalah tak habis-habis menyerang hidupku?
Deringan telefon di luar bilik kedengaran. Aku segera menghampiri.
"Boleh saya cakap dengan Nadyne?"
"Orang lelaki semuanya sama! Nak menasihati orang lain tapi diri sendiri jauh lebih teruk!" Aku terus menghempas gagang. Aduh, kasihan Irshad! Dia terpaksa menjadi mangsa kemarahanku. Aku terlalu mengikut perasaan.Telefon berdering lagi.
"Maafkan saya."
"Tak semua lelaki sama. Saya boleh buktikan. Awak ada masalah ke? Saya sedia mendengar luahan hati awak."
"Saya tak kenal awak."
"Awak ada masalah ke?" Dugaan awak memang tepat, Irshad. Aku ada masalah dengan insan bernama lelaki.
"Awak jangan hubungi saya lagi."
"Kenapa..." Aku terus matikan panggilan sebelum Irshad sempat menghabiskan kata-katanya. Insan bernama lelaki hanya menyusahkan hidup aku, menyakitkan hati aku! Kebahagiaan hidup bertahan seketika cuma.
Kehadiran Munirah, setiausaha papa yang jelita sejak tiga tahun lalu perlahan-lahan mengubah sikap papa. Papa lupa diri, sekaligus melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan suami. Pertemuan mama dengan Munirah menimbulkan kemarahan papa. Mama merayu Munirah agar meninggalkan papa. Munirah tidak mengendahkan rayuan mama. Tanpa pengetahuan mama, aku pula yang pergi menemui Munirah. Aku lepaskan geram padanya. Akibatnya, aku dipukul papa setengah mati. Munirah mengambil tindakan drastik dengan mengugut untuk meninggalkan papa jika papa tidak menceraikan mama. Akhirnya papa menurut kehendak Munirah. Alasan papa menceraikan mama ialah kerana mama tidak pandai melayan kehendak suami dan gagal menjadi seorang ibu yang baik. Papa tuduh mama itu ini. Semua yang dilakukan mama tak pernah disenangi papa. Ah, bijaknya papa berkata-kata. Kesalahan sendiri tak pernah diakui. Mama telah dihalau papa tanpa belas kasihan. Papa menghalang aku dan Kak Nadya mengikut mama namun halangan papa tidak kami endahkan. Mujurlah ada Mak Nab, pembantu rumah yang baik hati. Mak Nab mengajak kami tinggal bersamanya di kampung.
Mak Nab mengajak aku menghadiri majlis kenduri kahwin. Mama tak dapat ikut kerana kurang sihat. Kak Nadya pula ada hal. Aku mengenakan sepasang baju kurung corak batik. Rambut kutocang satu. Terpegun aku melihat betapa ramai orang yang menghadiri majlis kenduri. Tampak betul-betul meriah. Tak pernah aku melihat suasana sebegini sewaktu menetap di bandar. Dari kanak-kanak bertatih sehinggalah orang tua, semuanya ada. Namun khemah yang didirikan terlalu kecil berbanding jumlah tetamu yang datang. Sesetengahnya terpaksa berdiri menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk, termasuklah aku dan Mak Nab.
“Baru sampai Mak Nab?” Terdengar suara seseorang menegur Mak Nab. Aku terus toleh ke kiri. Kau! Tersenyum-senyum macam kerang busuk. Aku terus alih pandangan.
“Mari Mak Nab. Di hujung sana ada tempat kosong.”
Wah, baiknya kau! Ikhlas atau nak menunjuk-nunjuk? Aku kawal diri yang tersangat meluat dengan sikap kau. Tentunya ada niat yang tersembunyi. Sindiran kau tempoh hari masih mengganggu emosiku. Kau layan aku dan Mak Nab baik sekali. Kau yang hidangkan makanan. Kau yang berikan bunga telur. Kau yang carikan tisu untuk aku. Tersentuh juga hati kecilku dengan layanan istimewa darimu. Aku pandang sekeliling. Barulah aku sedari, hanya aku seorang sahaja gadis remaja yang tidak bertudung. Dan mungkin kerana itu juga, aku menjadi perhatian sejenak.
"Untuk awak."
Aku terpinga-pinga. Bungkusan di tangan kau masih belum aku sambut. Untuk apa tiba-tiba kau menghadiahkan aku sesuatu? Aku bukannya sahabatmu, jauh sekali kekasihmu.
"Tak sudi?"
Hairan! Setahu aku, kita saling tidak mengenali, malah pergaduhan hampir berlaku di antara aku dan kau tempoh hari. Alih-alih hari ini kau mahu menghadiahkan aku sesuatu. Pelik! Mimpi apa kau malam semalam?
"Awak masih marah dengan teguran saya tempoh hari? Saya sekadar beri nasihat, terpulang pada awak nak menerimanya atau tidak. Saya tak memaksa. Saya buat begitu sebab saya tak suka dengar orang cakap tentang awak di belakang. Sebab tu saya sanggup bersemuka dan berterus-terang dengan awak. Saya bagitahu mereka yang awak pasti akan berubah, cuma awak memerlukan sedikit masa. Lagipun….saya tak sampai hati dengar kutukan mereka pada awak. Panas telinga ni!"
Aku terkedu mendengar bicaramu. Kau telah membelaku di hadapan mereka yang tidak senang dengan kehadiranku di sini.
"Saya tak akan ganggu awak lagi. Jadi, awak tak perlu lihat muka saya lagi lepas ni. Nah, ambil hadiah dari saya yang tak seberapa ni."
Kau menarik tanganku lalu meletakkan bungkusan. Aku terpinga-pinga. Setibanya di rumah Mak Nab, aku terus membuka bungkusan yang kau hadiahkan padaku. Selendang. Sehelai selendang berwarna biru laut. Terasa kau sengaja mahu menyindirku, lalu aku terus menyimpan selendang itu ke dalam kotak di bawah katil.
Aku melangkah turun dari bas ketika jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Kiri dan kanan tidak aku toleh lagi, bimbang terpandang wajahmu. Aku berjalan terus ke depan. Sesuatu yang 'luar biasa' telah berlaku. Aku tidak mendengar lagi jeritan suaramu. Syukurlah. Mungkin kau sudah memahami kehendak hatiku yang tidak suka diganggu. Barulah aman rasa hati ini. Dua… tiga… empat hari… aku masih tidak mendengar suaramu. Rutin hidupku sejak hampir dua bulan yang lalu ialah mendengar jeritan suaramu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Tapi sekarang…Hairan! Adakah kau masih di kedai kopi itu, melepak bersama rakan-rakanmu? Atau adakah kau sudah insaf lalu pergi melakukan sesuatu yang lebih berfaedah? Ke mana kau menghilang? Mustahil cepat benar kau berubah sikap…
Hari ini aku beranikan diri menoleh ke arah kedai kopi. Kucuba amati. Ternyata benar telahanku, kau tiada lagi di situ. Ke mana kau menghilangkan diri secara tiba-tiba? Kotak fikiranku diasak pelbagai persoalan. Betapa hari-hari yang aku lalui terasa sepi tanpamu. Tiba-tiba aku jadi rindu akan usikan nakalmu. Selama ini memang aku benci dengan usikanmu, tapi sekarang.... Ah, aku sendiri tidak faham dengan perasaanku sendiri! Setelah hampir sebulan tidak mendengar suaramu apatah lagi melihat wajahmu, kerinduan di hati kian menyesak.
Aku beranikan diri menghampiri teman-temanmu di kedai kopi. Aku ingin tahu ke mana kau menghilangkan diri. Aku harus mendapatkan jawapan. Agar terhurai segala persoalan yang bermain di fikiran.
"Maafkan saya...saya nak jumpa...er...er..." Siapakah nama kau? Nampak sangat selama ini aku tak pernah ambil tahu tentang dirimu. Yang ada hanya perasaan benci...
"Irshad?"
“Irshad? Lelaki yang selalu mengganggu saya tu, namanya Irshad?” Jadi insan yang selalu menghubungiku melalui telefon dan selalu menggangguku tika aku pulang dari sekolah adalah orang yang sama. Patutlah sejak aku terima hadiah darimu, aku turut tidak lagi menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Irshad. Suara kau di dalam telefon jauh bezanya.
"Dia dah ke Jerman." Itulah jawapan yang kuterima mengapa kau menghilangkan diri secara tiba-tiba. Mulanya aku menyangka rakan-rakanmu mahu mempermainkan aku. Setelah Pak Mat pemilik kedai kopi mengiakannya, barulah aku percaya. Kau pulang ke kampung untuk bercuti. Dan kini kau kembali ke Jerman, meneruskan pengajianmu dalam bidang kejuruteraan automatif. Dua tahun baru kau akan tamat pengajianmu. Satu tempoh yang singkat sekiranya aku memang mahu berjauhan denganmu. Namun, jauh di sudut hati kecil ini, terasa dua tahun itu satu jangka masa yang amat panjang… Maafkan aku Irshad kerana menuduhmu yang bukan-bukan. Kau bukan seperti yang aku fikirkan. Tentu kau hanya tersenyum mendengar luahan kemarahanku tempoh hari. Tuduhan aku pada kau semuanya tidak benar. Tapi tuduhan kau ke atas aku, memang benar…Mujurlah kau sudah tiada di sini lagi. Jika tidak, pasti aku malu hendak bertentang mata denganmu. Tapi Irshad, aku sebenarnya lebih suka jika kau masih di sini…
"Kenapa Nadyne? Akak lihat...Nadyne sekarang selalu sangat bermenung."
"Tak adalah kak." Aku cuba menafikan. Memang aku sering bermenung sekarang. Ingatan aku selalu melayang pada kau. Irshad... insan yang aku tak pernah hargai kehadirannya. Kenapa lambat benar aku hendak memahami perasaan hati ini terhadapmu? Setelah kau pergi, yakinlah aku yang kau amat bererti dalam hidupku. Ketiadaan kau menyebabkan aku jadi perindu sepi... Teguran darimu masih terngiang-ngiang di telinga. Terus aku membuka almari pakaian. Baju yang tidak sesuai dipakai oleh seorang gadis Muslim terus aku ketepikan! Tudung pemberianmu aku gayakan di depan cermin. Jika aku mahu menjadi orang kampung ini, aku haruslah bijak membawa diri. Irshad, berikan aku sedikit masa untuk berubah. Dua tahun lagi, pasti kau akan melihatku dengan rupa dan gaya yang berlainan. Aku akan menunggu kepulanganmu, Irshad.
“Nadyne?” Aku terhenti melangkah. Segera aku toleh ke sisi. Seorang lelaki yang sudah agak lama tidakku temui berdiri di sebelahku dengan senyuman di bibir.
“Kau dah berubah. Aku hampir tak kenal kau.” Dia memandangku dari atas ke bawah.
“Manusia pasti akan berubah jua suatu hari nanti.” Balasku. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya. Yang anehnya, aku langsung tidak merasa gembira bertemu dengannya. Sudah hilangkah perasaan hati ini terhadapnya? Afzal mengangguk, bersetuju dengan pendapatku. Papa datang secara tiba-tiba! Aku dan Kak Nadya terkejut dengan kehadiran papa yang tak diundang, apatah lagi mama. Wajah papa tampak sugul… Papa memohon maaf atas kesalahannya. Papa benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu. Munirah telah diceraikan papa. Dan kini papa mahu merujuk semula dengan mama.
“Terpulang pada mama. Kami akan akur dengan setiap keputusan mama. Kalau mama mahu kembali ke pangkuan papa, kami tidak akan menghalang. Begitu juga sekiranya keputusan mama adalah yang sebaliknya. Namun, yang pasti, kami akan sentiasa berada di sisi mama.” Luah Kak Nadya apabila mama memohon pendapat kami berkenaan niat papa.
Aku kemaskan barang-barang. Sebak rasa hati hendak meninggalkan rumah Mak Nab. Namun lebih sebak hati ini hendak meninggalkan kampung permai ini. Terlalu banyak kenangan tercipta di sini biarpun persinggahanku seketika cuma. Irshad, tentu kita tidak akan bertemu lagi. Aku akan pergi dari sini. Aku tidak sempat menunggu kepulanganmu. Mama sudah memaafkan kesalahan papa dan sanggup memberi peluang kedua untuk papa. Begitu murninya hati mama. Papa sudah benar-benar insaf. Esok, papa akan menjemput kami untuk pulang ke rumah. Aku tidak mampu menjadi seperti mama. Afzal datang merayuku, ingin kembali bercinta seperti dulu. Dia telah lama cuba menjejakiku. Katanya, sejak pemergian aku, barulah dia tahu bahawa dia amat mencintaiku. Aku memahami perasaanmu Afzal. Aku juga berkeadaan sepertimu sejak pemergian seseorang. Maaf Afzal, aku tidak dapat menerima kehadiranmu semula dalam hidup aku. Irshad, terima kasih di atas teguran kau tempoh hari. Terima kasih juga di atas kenangan indah yang telah kau berikan padaku. Sekiranya kau masih di sini, pasti aku akan mencari kau untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih di atas segalanya.
"Nah, surat!” Kak Nadya menghulurkan sepucuk surat ketika aku selesai mengemaskan pakaian.
"Surat? Dari siapa?" Aku mencapai surat yang dihulurkan Kak Nadya. Terpinga-pinga. Tiada seorang pun teman lama sekolahku yang tahu aku tinggal di kampung ini. Aku ke sini secara tiba-tiba tanpa sempat bertukar alamat dengan teman-temanku.
"Setem dari Jerman. Nadyne ada penpal ke?” Aku cuma ada penpal dari Argentina dan Itali sahaja. Itupun sudah lama terputus hubungan. Jerman? Aku mengamati setem. Memang benar. Mungkinkah dari Irshad? Nama itu terus bermain di kotak fikiranku.
Aku terus membawa surat ke dalam bilik. Isi surat aku keluarkan. Mataku terus tertumpu pada baris-baris ayat yang tertera.
Nadyne... Saya harap warkah saya ini tidak mengganggu kosentrasi Nadyne. Mungkin Nadyne sudah dapat menduga siapa saya, kan? Saya beranikan diri mengutus surat pada Nadyne setelah saya mendapat tahu dari Halim yang Nadyne datang ke kedai kopi Pak Mat mencari saya. Sehingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa Nadyne mencari saya sedangkan saya tahu Nadyne membenci saya. Nadyne, luangkanlah sedikit masa untuk membalas surat saya. Saya harus mendengar jawapan kenapa Nadyne mencari saya. Jika Nadyne kesuntukan masa, terus sahaja singgah di cyber cafe. Saya sertakan alamat email saya di bawah. Cepat-cepat berikan jawapan pada saya. Namun jika pencarian Nadyne itu itu tidak membawa sebarang erti, lupakanlah surat ini.
Ikhlas, Irshad.
Aku terus ke cyber cafe di pekan petang itu.

p/s : Tersiar Dalam Majalah Remaja Edisi Jun 2006. Pun hasil karya kakak aku jugak yang aku dah edit 70%. Cerpen ni juga terselit dalam Kompilasi Cerpen Remaja Best (buku prima)

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...