Saturday, February 11, 2012

Filem - Hafalan Shalat Delisa

Salam buat rakan2 yg sudi singgah. N3 kali ni nak cerita pasal sebuah filem bertajuk Hafalan Shalat Delisa yang sedang ditayangkan di Astro First. Aku berkesempatan menonton filem ni minggu lepas masa balik kampung. Thanks my sis yg melanggan filem ni. Hafalan Shalat Delisa berdasarkan novel bestseller karangan Tere Liye. Novel ni dah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh penerbit buku PTS. Orang kata baca novel lebih touching dr filem. Nantilah nak cari gak novel ni kat kedai buku.

 Kisah bermula di Lok Nga, Acheh. Kisah mengenai seorang kanak2 yang aku tak pasti berapa umurnya, mungkin 6 atau 7 tahun bernama Delisa yang tinggal bersama ibunya dan 3 orang kakak bernama Fatimah, Zahra dan Aisyah. Ayahnya seorang kelasi kapal. Delisa ni seorang kanak2 periang, suka bermain bola bersama budak lelaki. Hari-hari dia akan belajar agama bersama rakannya. Guru agama mereka bernama Ustaz Rahman. Kanak2 seumur Delisa diwajibkan untuk hafal ayat dalam solat. Mereka akan diuji - Amali Solat. Mereka kena baca ayat-ayat semasa solat dengan suara yang boleh didengar oleh pak ustaz. Seorang demi seorang murid akan diuji bacaan solat (bagus kan). 

 Delisa hari-hari hafal ayat2 dalam solat. Ibunya dah berjanji kalau Delisa lulus test amali solat, Delisa akan diberi kalung/rantai emas. Macam kakak2nya jugak yang dah lulus test amali solat. Di sini berlaku perasaan iri hati Aisyah terhadap Delisa. Biasalah adik beradik mesti ada perasaan iri hati. Ibunya memainkan peranan untuk mendidik anak2nya supaya tidak merasa iri hati antara adik beradik. 

Delisa cukup gemarkan ganjaran. Apabila dia melakukan sesuatu, dia akan menuntut hadiah. Ada babak di mana Delisa meluahkan perasaan sayangnya terhadap ibunya kerana Allah ~ Delisa cintakan ibu kerana Alah ~. Ibunya terus menangis kerana terharu. Kemudian Delisa tuntut hadiah dari Ustaz Rahman. Dia telah ikut kata2 Ustaz Rahman. 
26 Dec 2004, hari test amali solat. Delisa ditemani ibunya ke sekolah. Ibu bapa kena tunggu di luar. Ada tingkap cermin untuk mereka melihat anak2 mereka sedang test amali solat. Sebelum solat, Ustaz Rahman dah pesan, kalau solat mesti khusyuk. Jangan pedulikan gangguan. Masa Delisa tengah solat, tsunami melanda.

Dalam kejadian tersebut, Delisa 3 orang kakaknya. Delisa sendiri kudung sebelah kaki. Dia dipertemukan dengan ayahnya yang bergegas balik ke Acheh bila dengar berita tentang tsunami. Walaupun kehilangan sebelah kaki, Delisa tetap meneruskan hidup bersama mangsa2 tsunami lain yg masih bernafas. Sambil tu, Delisa dan abinya berusaha mencari ibunya.

Test Amali Solat tetap diadakan walaupun dalam serba kekurangan. Delisa lulus. Ketika solat, dia dipertemukan dengan ibunya. Nak tau ibu Delisa hidup atau tak, belilah novel atau tonton filem ni ye. 

p/s : filem ni memang touching.. jalan cerita menarik sbb novel pun menarik.. hajat di hati nak karang novel mcm ni, yg memberi kesan, tapi mampukah aku?
      


Delisa bersama ummi dan kakak2nya


Delisa ditemani Ummi ke test amali solat

Delisa tengah test amali solat




 


Cerpen - Mencari Bahagia

"Baru balik dari sekolah?"
Ah, kau lagi! Hari-hari kaulah orang pertama yang selalu menegurku sebaik sahaja aku melangkah turun dari bas sekolah. Kalau gadis lain, tentu mereka suka jika sering disapa lelaki. Tapi, aku tidak. Aku memang tidak gemar dengan sikap kau itu. Benci! Menyampah! Tak ada kerja lain lagi ke yang kau boleh lakukan? Cuma yang kau tahu, melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang. Lelaki lain yang sebaya dengan kau tentu berada di menara gading sekarang atau sudah melangkah ke alam pekerjaan. Ah, buang masa saja jika aku layan pemuda yang tak ada masa depan seperti kau! Masuk hari ini dah cukup seminggu kau menunggu kepulanganku dari sekolah. Sebelum ini aku tak pernah lihat kau. Dan aku langsung tak kenal siapa diri kau. Sudah hampir tiga bulan aku menetap di sini. Tak pernah aku lihat kau di kedai kopi mahupun di tempat lain. Mungkinkah kau orang luar yang bertandang ke rumah saudara mara yang menetap di kampung ini? Ah tak mungkin! Berdasarkan dialek yang kau tuturkan, aku yakin benar kau penduduk jati kampung ini. Ah, persetankan dia! Buat apa aku memeningkan kepala memikirkan lelaki seperti kau. Aku benci dengan pemuda-pemuda yang suka lepak dan ganggu pelajar-pelajar sekolah.
"Nadyne, telefon!" Laung Kak Nadya sebaik sahaja aku tiba di rumah. Lelah pun masih belum hilang. Telefon? Siapa pulak yang hubungi aku ni? Inilah panggilan pertama yang aku terima sejak tinggal di rumah Mak Nab. Seingat aku, nombor telefon rumah Mak Nab tak pernah aku berikan kepada sesiapa pun, hatta teman sekelas sekali pun. Dulu memang aku suka berbual di telefon, berjam-jam lamanya pun tak kisah. Tapi kini tidak lagi. Telefon bimbit juga telah aku jualkan.
"Lelaki." Bisik Kak Nadya sambil menghulurkan gagang telefon. Kak Nadya tersengih-sengih. Lelaki? Aku bertambah hairan. Lelaki mana pulak yang ingin bercakap denganku? Irshad?
Aku meletakkan gagang selesai sahaja berbual pendek dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Siapakah Irshad? Dari mana dia tahu aku tinggal di rumah Mak Nab? Telah aku ajukan soalan itu kepada Irshad, namun jawapan Irshad memeningkan kepalaku. Katanya, kalau dia dah suka seseorang, dia akan berusaha untuk mendapatkan maklumat gadis itu. Aku minta dia perkenalkan dirinya secara empat mata denganku, tapi dia enggan. Katanya, masih terlalu awal untuk mengatur temu janji. Mengada-ngada! Bukannya aku mahu buat temu janji dengannya, aku sekadar ingin melihatnya, sama ada Irshad itu memang wujud atau tidak. Hairan! Entah-entah rakan sekelasku menyamar sebagai Irshad, sengaja untuk mengenakan aku. Ah, tak mungkin! Aku cam suara Daud, Maliq dan rakan-rakan sekelasku yang lain. Siapakah gerangan lelaki yang bernama Irshad? Mustahil Afzal menyamar sebagai Irshad. Telah aku padamkan namanya dalam kamus hidupku. Afzal lelaki tak guna yang terus menjauhkan diri apabila aku ditimpa kesusahan. Afzal, lelaki yang tak setia pada cinta. Afzal. lelaki yang pandai suka berjanji itu ini tapi takut untuk mengotakannya. Aku tak terdaya lagi untuk memikirkan siapa Irshad. Dia ingin berkenalan lebih rapat denganku. Aku berterus-terang kepadanya yang aku sudah punya ramai kawan lelaki. Cukuplah kawan-kawan lelaki di sekolah, aku tidak ingin menambah kenalan lagi. Bukannya aku gadis yang sombong, tapi…kenangan lalu menyiksa jiwa. Sudah masuk minggu ketiga, kau masih setia menanti kepulanganku. Buat apa kau sia-siakan masa emasmu dengan menantiku. Apa yang ada pada aku ini sehingga menarik perhatianmu? Tak bosankah kau dengan aku yang tak pernah melayan kehendakmu. Kau ajak aku berbual, aku tolak. Kau pelawa aku minum, pun aku tolak. Berhentilah menggangguku. Aku tidak akan sekali-kali melayan lelaki sepertimu. Aku bukanlah gadis murahan yang sekali ditegur terus boleh diusung ke sana dan ke mari. Jangan kau harap wajahmu yang kacak akan dapat mencairkan kekerasan hatiku.
"Masam aje muka, kena marah dengan cikgu ke?" Terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi.
Geramnya aku! Muka aku masam ke, manis ke, buat apa kau peduli? Biarkan aku begini. Ingin sekali aku menjerit dan menyatakan yang aku bencikan kau, bencikan usikan kau. Tapi fikiran aku masih waras. Hatiku masih mampu menahan sabar. Dan aku tidak mahu memalukan kau di hadapan teman-teman kau. Jatuh pula saham kau nanti. Lebih baik aku mendiamkan diri. Pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas yang sama pasti tersenyum-senyum setiap kali terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi menggangguku. Pasti mereka cukup arif menilai sikap kau. Lelaki yang tak tahu malu. Tak pernah aku layan, tapi kau masih tak jemu-jemu menggangguku. Memang kau seorang lelaki yang penyabar… Aku suka tinggal di kampung yang terletak di pedalaman ini. Segala-galanya yang ada di kampung memikat hatiku, kecuali satu. Kau! Ah, kenapa mesti ada kau di sini? Jika kau tiada, tentu bertambah tenteram kehidupanku di sini. Kampung ini telah banyak mengajar aku erti ketabahan hidup. Mama juga tidak lagi bersedih sejak tinggal di sini. Aku sedar mama menderita akibat perbuatan papa. Badan mama kurus dan saban hari mama menangis. Syukurlah kerana di kampung ini mama telah banyak berubah. Aku dan Kak Nadya gembira melihat perubahan mama. Di kampung ini juga aku sudah dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Tidak seperti di bandar dulu. Jiwaku tertekan dan aku tewas untuk menghadapi dugaan hidup. Masalah mama dan papa mengganggu pelajaranku. Hinggakan semangat untuk belajar terus pudar.
Suasana di kampung ini berbeza sekali dengan di bandar. Segala-galanya mendamaikan. Kampung terpencil ini terlalu indah buatku. Kicauan burung dan lambaian pohon kelapa memikat hatiku. Aku juga dapat merasa betapa dinginnya mandi air bukit. Aku bahagia di sini. Di bandar dulu, aku hidup dalam kemewahan. Namun kemewahan tersebut tidak dapat memberi ketenangan padaku. Bahkan kemewahan itulah yang meragut kebahagiaan keluargaku.
Pip! Pip! Hon motosikal yang lalu di hadapan rumah Mak Nab mengejutkan lamunanku. Aku cam siapa penunggang motosikal tersebut. Kau! Sempat lagi kau menghadiahkan senyuman untuk aku. Terus aku mencebik! Tak sampai lima minit, kau lalu lagi di hadapan rumah Mak Nab dengan motor kapcai. Aku terus melangkah ke dalam rumah, malas untuk melayan karenahmu yang seperti budak-budak.
Hari ini aku terima panggilan dari Irshad lagi. Selang tiga hari aku akan terima panggilan darinya. Irshad, siapa dirimu yang sebenar? Kau membuatkan aku sering tertanya-tanya. Kau masih menyatakan keinginanmu untuk berkenalan dengan aku. Dan seperti biasa, aku tidak pernah melayan keinginanmu itu. Selagi kau tidak berani untuk berhadapan dan bertentang mata denganku, aku tidak akan menerima kehadiranmu dalam hidupku. Apa yang membuatkan kau begitu beria-ia untuk menjalin persahabatan denganku? Tiada apa-apa keistimewaan pada diri ini. Aku gadis yang banyak menanggung derita...
"Sekarang ni Nadyne dah ada peminat, mama. Selalu terima panggilan dari lelaki."
"Itu bukan peminat Nadynelah, kak."
"Tak nak mengaku pulak.” Kak Nadya mencubit pipiku.
"Nadyne, mama harap Nadyne tumpukan perhatian pada pelajaran dulu. Ketepikan dulu soal cinta." Sampuk mama.
"Mama, Nadyne tak bercinta dengan lelaki tu. Kenal dia pun tak, mama." Aku membela diri.
"Setakat nak berkawan, mama tak halang. Tapi pandai-pandailah jaga diri."
Mama, kau terlalu mengambil berat tentang diriku. Aku berjanji akan membahagiakan hidupmu, mama. Aku berjanji akan memenuhi segala impianmu… Aku tahu mengapa mama meminta aku agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Mama takut aku kecundang di tangan lelaki. Pengalaman hidup masa lalu telah banyak mengajar mama. Mama tidak mahu aku dan Kak Nadya menerima nasib yang serupa dengannya. Mama telah banyak berkorban untuk aku, Kak Nadya dan papa. Papa? Ah, papa seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan! Papa tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dalam keluarga. Papa hanya tahu melepaskan kemarahannya pada mama. Aku dan Kaka Nadya turut menjadi mangsa kemarahan papa. Sakitnya tamparan dan tali pinggang papa menghentam tubuhku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hidupku diselubungi ketakutan yang memanjang. Terasa saat itu tiada gunanya lagi aku meneruskan hidup sehingga aku pernah cuba untuk membunuh diri... Mama banyak berkorban untuk papa. Malangnya papa tidak pernah menghargai pengorbanan mama. Mama sanggup membuang orang tua semata-mata kerana cintakan papa. Kedegilan mama kerana tidak mahu dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya menyebabkan mama disingkirkan. Sehinggalah kelahiran Kak Nadya, datuk dan nenek masih tidak dapat menerima perkahwinan mama dengan papa. Akhirnya mama mengerti dia tidak diperlukan lagi oleh keluarganya. Mama tidak pernah pulang lagi untuk menemui orang tuanya. Aku dan Kaka Nadya tidak pernah melihat datuk dan nenek sebelah mama mahupun papa. Orang tua papa telah lama meninggal dunia ketika papa masih bersekolah. Papa dibesarkan oleh bapa saudaranya. Masih kuingat lagi kemesraan papa tika aku dan Kak Nadya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu kehidupan kami sekeluarga sedehana sahaja. Papa masih pekerja bawahan. Papa telah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang pada kami. Papa tidak pernah memarahi kami, jauh sekali untuk memukul. Apa yang kami hajati akan cuba dipenuhi. Ah, betapa aku bahagia saat itu, mempunyai seorang ayah yang penyayang. Tuhanku, kenapa manusia cepat benar berubah?
"Awak seorang gadis yang sangat cantik. Tapi kalau awak bertudung, lagi cantik!" Kau menghampiriku. Satu tindakan yang agak berani. Selama ini kau hanya berani menyapaku dari jauh sahaja.
"Tolong jangan ganggu saya!" Aku membuka mulut buat pertama kali. Sindiran lelaki itu terlalu tajam.
"Saya bukannya mengganggu, cuma memberi teguran secara ikhlas. Awak tentu tambah cantik jika bertudung. Satu lagi teguran ikhlas dari saya, kalau awak nak tinggal di kampung, kenalah ikut cara kampung. Tak manis kalau anak dara macam awak ni berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan."
"Awak siapa pandai-pandai tegur saya? Macamlah awak tu baik sangat! Satu-satunya kerja yang awak tahu buat hanyalah melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang!” Aku melepaskan kemarahan. Tentu kejadian tempoh hari menyebabkan dia berani berkata begitu. Ketika dia melalui rumah Mak Nab, aku memang berpakaian ringkas. Cuaca yang panas menyebabkan aku berpakaian begitu.
"Sebagai saudara sesama Islam haruslah kita saling tegur-menegur jika ada sesuatu yang tak kena. Tak semestinya saya ni abang awak atau ayah awak atau… suami awak baru saya boleh nasihat. Tak gitu?"
"Huh! Nasihat diri awak tu dulu sebelum nak menasihati saya!" Aku terus mempercepatkan ayunan langkah. Darahku membuak-buak. Berani betul kau menegur caraku. Kita bukannya sahabat atau saudara yang membolehkan kau menegur apa yang tak kena denganku. Aku akui, memang aku gadis yang sensitif. Aku terus ke dalam bilik dan menghempas diri ke atas katil. Aku bengang dengan sikap kau yang kurang ajar. Kenapa kau suka ganggu hidup aku? Semakin lama, semakin kau menjadi-jadi. Mentang-mentanglah aku tak pernah tinggikan suara pada kau setiap kali kau menggangguku. Ah, kenapa masalah tak habis-habis menyerang hidupku?
Deringan telefon di luar bilik kedengaran. Aku segera menghampiri.
"Boleh saya cakap dengan Nadyne?"
"Orang lelaki semuanya sama! Nak menasihati orang lain tapi diri sendiri jauh lebih teruk!" Aku terus menghempas gagang. Aduh, kasihan Irshad! Dia terpaksa menjadi mangsa kemarahanku. Aku terlalu mengikut perasaan.Telefon berdering lagi.
"Maafkan saya."
"Tak semua lelaki sama. Saya boleh buktikan. Awak ada masalah ke? Saya sedia mendengar luahan hati awak."
"Saya tak kenal awak."
"Awak ada masalah ke?" Dugaan awak memang tepat, Irshad. Aku ada masalah dengan insan bernama lelaki.
"Awak jangan hubungi saya lagi."
"Kenapa..." Aku terus matikan panggilan sebelum Irshad sempat menghabiskan kata-katanya. Insan bernama lelaki hanya menyusahkan hidup aku, menyakitkan hati aku! Kebahagiaan hidup bertahan seketika cuma.
Kehadiran Munirah, setiausaha papa yang jelita sejak tiga tahun lalu perlahan-lahan mengubah sikap papa. Papa lupa diri, sekaligus melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan suami. Pertemuan mama dengan Munirah menimbulkan kemarahan papa. Mama merayu Munirah agar meninggalkan papa. Munirah tidak mengendahkan rayuan mama. Tanpa pengetahuan mama, aku pula yang pergi menemui Munirah. Aku lepaskan geram padanya. Akibatnya, aku dipukul papa setengah mati. Munirah mengambil tindakan drastik dengan mengugut untuk meninggalkan papa jika papa tidak menceraikan mama. Akhirnya papa menurut kehendak Munirah. Alasan papa menceraikan mama ialah kerana mama tidak pandai melayan kehendak suami dan gagal menjadi seorang ibu yang baik. Papa tuduh mama itu ini. Semua yang dilakukan mama tak pernah disenangi papa. Ah, bijaknya papa berkata-kata. Kesalahan sendiri tak pernah diakui. Mama telah dihalau papa tanpa belas kasihan. Papa menghalang aku dan Kak Nadya mengikut mama namun halangan papa tidak kami endahkan. Mujurlah ada Mak Nab, pembantu rumah yang baik hati. Mak Nab mengajak kami tinggal bersamanya di kampung.
Mak Nab mengajak aku menghadiri majlis kenduri kahwin. Mama tak dapat ikut kerana kurang sihat. Kak Nadya pula ada hal. Aku mengenakan sepasang baju kurung corak batik. Rambut kutocang satu. Terpegun aku melihat betapa ramai orang yang menghadiri majlis kenduri. Tampak betul-betul meriah. Tak pernah aku melihat suasana sebegini sewaktu menetap di bandar. Dari kanak-kanak bertatih sehinggalah orang tua, semuanya ada. Namun khemah yang didirikan terlalu kecil berbanding jumlah tetamu yang datang. Sesetengahnya terpaksa berdiri menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk, termasuklah aku dan Mak Nab.
“Baru sampai Mak Nab?” Terdengar suara seseorang menegur Mak Nab. Aku terus toleh ke kiri. Kau! Tersenyum-senyum macam kerang busuk. Aku terus alih pandangan.
“Mari Mak Nab. Di hujung sana ada tempat kosong.”
Wah, baiknya kau! Ikhlas atau nak menunjuk-nunjuk? Aku kawal diri yang tersangat meluat dengan sikap kau. Tentunya ada niat yang tersembunyi. Sindiran kau tempoh hari masih mengganggu emosiku. Kau layan aku dan Mak Nab baik sekali. Kau yang hidangkan makanan. Kau yang berikan bunga telur. Kau yang carikan tisu untuk aku. Tersentuh juga hati kecilku dengan layanan istimewa darimu. Aku pandang sekeliling. Barulah aku sedari, hanya aku seorang sahaja gadis remaja yang tidak bertudung. Dan mungkin kerana itu juga, aku menjadi perhatian sejenak.
"Untuk awak."
Aku terpinga-pinga. Bungkusan di tangan kau masih belum aku sambut. Untuk apa tiba-tiba kau menghadiahkan aku sesuatu? Aku bukannya sahabatmu, jauh sekali kekasihmu.
"Tak sudi?"
Hairan! Setahu aku, kita saling tidak mengenali, malah pergaduhan hampir berlaku di antara aku dan kau tempoh hari. Alih-alih hari ini kau mahu menghadiahkan aku sesuatu. Pelik! Mimpi apa kau malam semalam?
"Awak masih marah dengan teguran saya tempoh hari? Saya sekadar beri nasihat, terpulang pada awak nak menerimanya atau tidak. Saya tak memaksa. Saya buat begitu sebab saya tak suka dengar orang cakap tentang awak di belakang. Sebab tu saya sanggup bersemuka dan berterus-terang dengan awak. Saya bagitahu mereka yang awak pasti akan berubah, cuma awak memerlukan sedikit masa. Lagipun….saya tak sampai hati dengar kutukan mereka pada awak. Panas telinga ni!"
Aku terkedu mendengar bicaramu. Kau telah membelaku di hadapan mereka yang tidak senang dengan kehadiranku di sini.
"Saya tak akan ganggu awak lagi. Jadi, awak tak perlu lihat muka saya lagi lepas ni. Nah, ambil hadiah dari saya yang tak seberapa ni."
Kau menarik tanganku lalu meletakkan bungkusan. Aku terpinga-pinga. Setibanya di rumah Mak Nab, aku terus membuka bungkusan yang kau hadiahkan padaku. Selendang. Sehelai selendang berwarna biru laut. Terasa kau sengaja mahu menyindirku, lalu aku terus menyimpan selendang itu ke dalam kotak di bawah katil.
Aku melangkah turun dari bas ketika jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Kiri dan kanan tidak aku toleh lagi, bimbang terpandang wajahmu. Aku berjalan terus ke depan. Sesuatu yang 'luar biasa' telah berlaku. Aku tidak mendengar lagi jeritan suaramu. Syukurlah. Mungkin kau sudah memahami kehendak hatiku yang tidak suka diganggu. Barulah aman rasa hati ini. Dua… tiga… empat hari… aku masih tidak mendengar suaramu. Rutin hidupku sejak hampir dua bulan yang lalu ialah mendengar jeritan suaramu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Tapi sekarang…Hairan! Adakah kau masih di kedai kopi itu, melepak bersama rakan-rakanmu? Atau adakah kau sudah insaf lalu pergi melakukan sesuatu yang lebih berfaedah? Ke mana kau menghilang? Mustahil cepat benar kau berubah sikap…
Hari ini aku beranikan diri menoleh ke arah kedai kopi. Kucuba amati. Ternyata benar telahanku, kau tiada lagi di situ. Ke mana kau menghilangkan diri secara tiba-tiba? Kotak fikiranku diasak pelbagai persoalan. Betapa hari-hari yang aku lalui terasa sepi tanpamu. Tiba-tiba aku jadi rindu akan usikan nakalmu. Selama ini memang aku benci dengan usikanmu, tapi sekarang.... Ah, aku sendiri tidak faham dengan perasaanku sendiri! Setelah hampir sebulan tidak mendengar suaramu apatah lagi melihat wajahmu, kerinduan di hati kian menyesak.
Aku beranikan diri menghampiri teman-temanmu di kedai kopi. Aku ingin tahu ke mana kau menghilangkan diri. Aku harus mendapatkan jawapan. Agar terhurai segala persoalan yang bermain di fikiran.
"Maafkan saya...saya nak jumpa...er...er..." Siapakah nama kau? Nampak sangat selama ini aku tak pernah ambil tahu tentang dirimu. Yang ada hanya perasaan benci...
"Irshad?"
“Irshad? Lelaki yang selalu mengganggu saya tu, namanya Irshad?” Jadi insan yang selalu menghubungiku melalui telefon dan selalu menggangguku tika aku pulang dari sekolah adalah orang yang sama. Patutlah sejak aku terima hadiah darimu, aku turut tidak lagi menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Irshad. Suara kau di dalam telefon jauh bezanya.
"Dia dah ke Jerman." Itulah jawapan yang kuterima mengapa kau menghilangkan diri secara tiba-tiba. Mulanya aku menyangka rakan-rakanmu mahu mempermainkan aku. Setelah Pak Mat pemilik kedai kopi mengiakannya, barulah aku percaya. Kau pulang ke kampung untuk bercuti. Dan kini kau kembali ke Jerman, meneruskan pengajianmu dalam bidang kejuruteraan automatif. Dua tahun baru kau akan tamat pengajianmu. Satu tempoh yang singkat sekiranya aku memang mahu berjauhan denganmu. Namun, jauh di sudut hati kecil ini, terasa dua tahun itu satu jangka masa yang amat panjang… Maafkan aku Irshad kerana menuduhmu yang bukan-bukan. Kau bukan seperti yang aku fikirkan. Tentu kau hanya tersenyum mendengar luahan kemarahanku tempoh hari. Tuduhan aku pada kau semuanya tidak benar. Tapi tuduhan kau ke atas aku, memang benar…Mujurlah kau sudah tiada di sini lagi. Jika tidak, pasti aku malu hendak bertentang mata denganmu. Tapi Irshad, aku sebenarnya lebih suka jika kau masih di sini…
"Kenapa Nadyne? Akak lihat...Nadyne sekarang selalu sangat bermenung."
"Tak adalah kak." Aku cuba menafikan. Memang aku sering bermenung sekarang. Ingatan aku selalu melayang pada kau. Irshad... insan yang aku tak pernah hargai kehadirannya. Kenapa lambat benar aku hendak memahami perasaan hati ini terhadapmu? Setelah kau pergi, yakinlah aku yang kau amat bererti dalam hidupku. Ketiadaan kau menyebabkan aku jadi perindu sepi... Teguran darimu masih terngiang-ngiang di telinga. Terus aku membuka almari pakaian. Baju yang tidak sesuai dipakai oleh seorang gadis Muslim terus aku ketepikan! Tudung pemberianmu aku gayakan di depan cermin. Jika aku mahu menjadi orang kampung ini, aku haruslah bijak membawa diri. Irshad, berikan aku sedikit masa untuk berubah. Dua tahun lagi, pasti kau akan melihatku dengan rupa dan gaya yang berlainan. Aku akan menunggu kepulanganmu, Irshad.
“Nadyne?” Aku terhenti melangkah. Segera aku toleh ke sisi. Seorang lelaki yang sudah agak lama tidakku temui berdiri di sebelahku dengan senyuman di bibir.
“Kau dah berubah. Aku hampir tak kenal kau.” Dia memandangku dari atas ke bawah.
“Manusia pasti akan berubah jua suatu hari nanti.” Balasku. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya. Yang anehnya, aku langsung tidak merasa gembira bertemu dengannya. Sudah hilangkah perasaan hati ini terhadapnya? Afzal mengangguk, bersetuju dengan pendapatku. Papa datang secara tiba-tiba! Aku dan Kak Nadya terkejut dengan kehadiran papa yang tak diundang, apatah lagi mama. Wajah papa tampak sugul… Papa memohon maaf atas kesalahannya. Papa benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu. Munirah telah diceraikan papa. Dan kini papa mahu merujuk semula dengan mama.
“Terpulang pada mama. Kami akan akur dengan setiap keputusan mama. Kalau mama mahu kembali ke pangkuan papa, kami tidak akan menghalang. Begitu juga sekiranya keputusan mama adalah yang sebaliknya. Namun, yang pasti, kami akan sentiasa berada di sisi mama.” Luah Kak Nadya apabila mama memohon pendapat kami berkenaan niat papa.
Aku kemaskan barang-barang. Sebak rasa hati hendak meninggalkan rumah Mak Nab. Namun lebih sebak hati ini hendak meninggalkan kampung permai ini. Terlalu banyak kenangan tercipta di sini biarpun persinggahanku seketika cuma. Irshad, tentu kita tidak akan bertemu lagi. Aku akan pergi dari sini. Aku tidak sempat menunggu kepulanganmu. Mama sudah memaafkan kesalahan papa dan sanggup memberi peluang kedua untuk papa. Begitu murninya hati mama. Papa sudah benar-benar insaf. Esok, papa akan menjemput kami untuk pulang ke rumah. Aku tidak mampu menjadi seperti mama. Afzal datang merayuku, ingin kembali bercinta seperti dulu. Dia telah lama cuba menjejakiku. Katanya, sejak pemergian aku, barulah dia tahu bahawa dia amat mencintaiku. Aku memahami perasaanmu Afzal. Aku juga berkeadaan sepertimu sejak pemergian seseorang. Maaf Afzal, aku tidak dapat menerima kehadiranmu semula dalam hidup aku. Irshad, terima kasih di atas teguran kau tempoh hari. Terima kasih juga di atas kenangan indah yang telah kau berikan padaku. Sekiranya kau masih di sini, pasti aku akan mencari kau untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih di atas segalanya.
"Nah, surat!” Kak Nadya menghulurkan sepucuk surat ketika aku selesai mengemaskan pakaian.
"Surat? Dari siapa?" Aku mencapai surat yang dihulurkan Kak Nadya. Terpinga-pinga. Tiada seorang pun teman lama sekolahku yang tahu aku tinggal di kampung ini. Aku ke sini secara tiba-tiba tanpa sempat bertukar alamat dengan teman-temanku.
"Setem dari Jerman. Nadyne ada penpal ke?” Aku cuma ada penpal dari Argentina dan Itali sahaja. Itupun sudah lama terputus hubungan. Jerman? Aku mengamati setem. Memang benar. Mungkinkah dari Irshad? Nama itu terus bermain di kotak fikiranku.
Aku terus membawa surat ke dalam bilik. Isi surat aku keluarkan. Mataku terus tertumpu pada baris-baris ayat yang tertera.
Nadyne... Saya harap warkah saya ini tidak mengganggu kosentrasi Nadyne. Mungkin Nadyne sudah dapat menduga siapa saya, kan? Saya beranikan diri mengutus surat pada Nadyne setelah saya mendapat tahu dari Halim yang Nadyne datang ke kedai kopi Pak Mat mencari saya. Sehingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa Nadyne mencari saya sedangkan saya tahu Nadyne membenci saya. Nadyne, luangkanlah sedikit masa untuk membalas surat saya. Saya harus mendengar jawapan kenapa Nadyne mencari saya. Jika Nadyne kesuntukan masa, terus sahaja singgah di cyber cafe. Saya sertakan alamat email saya di bawah. Cepat-cepat berikan jawapan pada saya. Namun jika pencarian Nadyne itu itu tidak membawa sebarang erti, lupakanlah surat ini.
Ikhlas, Irshad.
Aku terus ke cyber cafe di pekan petang itu.

p/s : Tersiar Dalam Majalah Remaja Edisi Jun 2006. Pun hasil karya kakak aku jugak yang aku dah edit 70%. Cerpen ni juga terselit dalam Kompilasi Cerpen Remaja Best (buku prima)

Friday, February 10, 2012

Cerpen - Pendirianku

Sesekali teringat juga kisah suka dan duka bersama Muhammad Raees Hady atau lebih senang ku panggil Ady. Perkenalan terjadi secara kebetulan. Hari itu aku singgah di Kedai Buku Malini untuk membeli alat tulis. Ady ada di situ, sedang membelek majalah. Sewaktu membayar di kaunter, aku dapat rasakan yang Ady sedang merenungku. Lama. Tergesa-gesa aku keluar dari kedai buku itu. Takut pun ada, menyampah pun ada. Lelaki mata keranjang! Gerutuku dalam hati. Ady mengekoriku! Kecut perutku. Aku percepatkan ayunan langkah.
“Saudari, tunggu!” Terdengar jeritan suara Ady buat pertama kali. Aku terus berhenti melangkah lalu menoleh ke arah Ady. Mata kita bertatapan. Kau ukir senyuman. Aduh, aku terus terpesona!
“Ini dompet saudari."
Ya Tuhan, aku tertinggal dompet di kedai buku tadi. Syukurlah kerana Ady sudi memulangkan dompetku. Kalau orang lain yang jumpa, entahlah… Nasib baik Ady tidak mengambil kesempatan di atas kelalaianku.
“Terima kasih.”
“Itulah, lain kali jangan tergesa-gesa!” Sindir Ady.
“Macam manalah saya tak tergesa-gesa, awak merenung saya macam nak terkam aje. Takut saya!”
“Saya ni harimau ke?” Ady tergelak.
Mulai detik itu, perkenalan di antara aku dengan Ady bermula dan terus berkembang. Ady merupakan anak seorang kontraktor terkemuka. Sebut sahaja nama bapanya, seluruh penduduk di situ akan mengenalinya. Tak sangka Encik Hisyamuddin mempunyai seorang anak lelaki yang merendah diri. Hidup Ady penuh dengan kemewahan. Aku? Aku hanyalah gadis pingitan yang serba kekurangan. Ayah hanyalah seorang petani serta mempunyai anak-anak yang ramai. Tinggal di sebuah rumah usang yang jauh terpencil dari kesibukan kota. Kata Ady, semua itu bukan penghalang untuk kami terus menjalinkan perhubungan. Justeru itu, aku tidak ragu-ragu untuk menerima cinta dari Ady. Ketika aku masih di UPSI, Ady pula sedang melanjutkan pelajaran di UKM. Jurusan kita berlainan. Aku bakal bergelar pendidik suatu hari nanti dan Ady pula bakal jurutera. Cinta kita terus bersemi. Setiap hujung minggu, Ady akan mengunjungiku di kampusku. Indahnya dunia kurasakan saat itu. Ady seorang lelaki yang mengambil berat dan pandai mengambil hatiku.
“Mengelamun jauh nampak! Ingat buah hati di kampung ke?” Sergahan Izzah mematikan lamunanku serta-merta.
“Tak adalah! Aku cuma berangan-angan nak jadi jutawan.” Ah Ady, kenapa namamu masih melekat di hati ini? Izzah ketawa mendengar jawapanku. Ketawalah Izzah selagi kau mampu ketawa. Izzah merupakan seorang gadis yang periang. Tika aku pertama kali sampai ke daerah ini, kaulah orang pertama yang mempelawa aku untuk tinggal serumah denganmu. Hatiku yang terluka ini sedikit sebanyak terhibur juga dengan telatah Izzah. Tika kesepian bertamu di hati, ingatanku sering tertumpu pada detik-detik manis bersama Ady. Terlalu sukar untuk dikikis ingatan terhadap Ady. Saban hari aku merinduimu, Ady. Sudah setahun berlalu, namun namamu terus subur di hati. Dan kerana Ady juga aku menderita…
“Ris, Ady hanya menyintai Ris sehingga akhir hayat. Hanya Ris sahaja yang berada di hati Ady untuk selamanya.” Kata-kata itulah yang menjadi penawar dukaku. Kusimpan kata-kata azimat itu jauh di sanubariku. Biarpun aku tahu Ady kini milik orang…
“Awak Arisha, kan?”
“Ye saya, kenapa?” “Saya Farzana. Saya akan ditunangkan dengan Ady bulan depan. Jangan ganggu Ady, faham! Awak memang tak layak berdampingan dengan Ady. Sedarlah sikit siapa diri awak tu!”
“A…awak akan bertunang dengan Ady? Tapi kenapa Ady tak bagitahu saya?”
“Lupakan Ady! Dia akan menjadi milik saya. Jangan ganggu dia lagi!”
Keluarga Ady tidak merestui perhubungan kami. Alasan mudah yang diberikan, aku tidak setaraf dengan mereka. Perbezaan taraf hidup memisahkan aku dan Ady. Kiranya ini menjadi penghalang, aku rela melepaskan Ady pergi. Pergilah pada Farzana yang sama taraf denganmu dan Farzana yang amat mengharapkan cintamu, Ady. Humbankan namaku dari ingatanmu. Biarkan aku sendiri menanggung derita ini.
“Ris, kenapa ni? Ady tak faham dengan sikap Ris yang tiba-tiba sahaja berubah.” Ady menggoncang tubuhku. Mulutku bagai terkunci untuk bersuara. Air mata semakin deras mengalir.
“Pandanglah Ady, Ris. Ady menyinggung perasaan Ris ke?”
“Inilah pertemuan terakhir kita.”
“Ris, kenapa Ris cakap macam ni?”
“Sudahlah. Ris dah tahu segala-galanya. Ady akan bertunang dengan gadis lain, kan? Gadis yang sama taraf dengan Ady.”
“Er…tapi….”
“Cintailah Farzana sepenuh hati, Ady.”
“Tak mungkin Ady dapat mencintai Zana sepertimana Ady mencintai Ris. Lagipun perkahwinan ini bukan atas kerelaan Ady, tapi atas desakan orang tua Ady.”
“Berjanjilah pada Ris yang Ady akan mencintai Farzana dan melayan bakal isteri Ady dengan baik.”
“Tapi Ris…”
“Berjanjilah!”
“Ris…”
“Selamat tinggal Ady! Ris akan doakan kebahagiaan Ady.”
Perpisahan tanpa kerelaan pun terjadi. Kedukaan menyelubungi hidupku. Sebak dada menahan kesedihan. Jika ini sudah suratan takdir, aku terima dengan kepasrahan. Untuk mententeramkan jiwa, aku memohon untuk ditempatkan di pantai timur. Jauh beribu batu dari keluargaku dan Ady. Sebuah daerah pedalaman yang serba kekurangan seperti diriku ini. Kehadiranku di sini disambut mesra anak-anak yang dahagakan ilmu pengetahuan. Biarlah aku berbakti untuk mereka. Tit tit! Lamunanku terhenti bila mendengar isyarat penerimaan mesej. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Siapakah pengirimnya? Dalam menghadapi kekecewaan ini ada juga insan yang ingin menghulurkan salam perkenalan. Mana mungkin aku dapat menerimanya jika hati dan perasaan ini telah berkecai. Saat ini aku lebih suka bersendirian dan mengingati kenangan indah bersama Ady. Pintu hatiku sudah tertutup untuk bercinta lagi.
“Amboi, dapat mesej dari siapa?” Soal Izzah sambil senyum lebar.
“Entah…dia hanya tulis namanya, Haaziq dan bekerja di sebuah bank. Itu saja.”
“Peminat kau agaknya.” Aku biarkan sms Haaziq. Namun keesokan harinya, dan seterusnya berlarutan sehingga seminggu, aku terus menerima sms dari Haaziq. Pagi petang siang malam dia menghantar mesej, menyatakan hasrat ingin berkawan denganku secara serius. Lalu pada hari kelapan aku membalas sms Haaziq, memohon padanya agar jangan mengganggu aku lagi dengan smsnya. Sia¬-sia saja usahamu Haaziq kerana hati ini masih terluka. Minggu kedua, minggu ketiga dan sebulan, aku tidak menerima lagi sms dari Haaziq. Hatiku lega. Haaziq memahami bahawa aku tidak suka diganggu. Tetapi….hati ini mula diragut resah yang memanjang apabila menerima sms Haaziq pagi tadi. Haaziq mahu datang ke rumah sewa. Bingung aku dibuatnya.
“Izzah, tolonglah aku. Dulu, smsnya mengganggu, sekarang orangnya pulak. Haaziq nak datang sini. Dia tak faham ke yang aku tak mahu diganggu saat ini.” Izzah hanya tersenyum melihat aku yang resah gelisah. Geramnya aku. Izzah buat muka selamba sahaja.
“Ris, aku mohon maaf banyak-banyak. Sebenarnya aku yang perlu dipersalahkan dalam soal ni. Haaziq tu sepupu aku. Dia beria-ia sangat nak berkenalan dengan kau setelah dia lihat gambar kau dalam handset aku. Kau tak marah, kan?”
“Izzah!” Aku menggigit bibir, geram! Terima kasih Izzah. Aku tahu, kau sekadar ingin membantu aku untuk menyembuhkan kelukaan di hati ini. Untuk bersahabat dengan Haaziq, boleh. Tapi untuk cinta….serik! Tak ingin aku kecewa buat kali kedua. Luka di hati masih berdarah dan tak mungkin akan sembuh dalam masa terdekat. Dari cerita Izzah, aku mendapat tahu Haaziq dikecewakan oleh kekasihnya. Kekasih Haaziq sudah menjadi isteri orang. Kita senasib Haaziq. Bezanya, aku tidak dikecewakan oleh Ady. Tapi keadaan yang meragut kebahagiaan kami. Tahukah kau Ady, aku menangis seharian di hari perkahwinanmu. Emak tidak kuasa memujuk aku lagi. Bahkan emak turut bersedih melihat keadaanku. Hanya Allah yang mengetahui segalanya. Dalam doaku, aku tidak lupa menyebut namamu, mendoakan agar kau mengecap kebahagiaan bersama Farzana. Jika kau bahagia, aku juga akan turut bahagia. Aku sedar, kau dilahirkan bukan untukku, tapi untuk Farzana. Ady….aku sudah dapat menerima kenyataan bahawa kau kini menjadi suami Farzana, biarpun terlalu pahit untukku telan. Tiada jodoh antara kita Ady… Itulah kata-kata yang sering aku bisikkan pada diriku sendiri. Tuhan, aku sedar ini ujian dariMu. Aku insaf kini. Sesungguhnya kekecewaan ini mengajar aku erti ketabahan. Semoga kebahagiaan menjadi milikmu, Ady. Jadilah seorang suami yang bertanggungjawab serta curahkan sepenuh kasih sayangmu pada Farzana. Aku masih mampu meneruskan hidup ini walau tanpa kau di sisi. Tuhan masih bersamaku. Pertemuanku dengan Haaziq di rumah sewa tidak berakhir begitu saja. Sms dan panggilan telefon mengunjungiku saban hari. Haaziq banyak memberi semangat untuk aku meneruskan hidup ini. Kata Haaziq, walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan juga. Dan kata Haaziq lagi, pasti ada hikmah atas apa yang telah berlaku. Kau sudah melupakan kekasih hatimu yang tidak ikhlas mencintaimu. Aku ingin menjadi sepertimu Haaziq. Mudah untuk melenyapkan kisah lalu. Namun aku tidak berhasil. Ady masih melekat di hati ini. Empat bulan berkenal mesra, Haaziq menghantar wakil untuk merisikku. Sesuatu yang aku tidak pernah jangka akan berlaku dalam tempoh yang sesingkat ini. Emak, ayah, Mak Long dan Pak Long serta Izzah menyarankan agar aku menerima Haaziq.
“Dah seminggu tapi Risha belum beri kata putus.”
“Haaziq, kenapa cepat sangat? Kita baru berkenalan. Haaziq pun masih belum tahu latar belakang Ris sepenuhnya. Ris dari keluarga yang serba kekurangan.”
“Semua itu tak penting bagi Haaziq. Haaziq hanya akan memandang kejujuran di hati Risha.”
“Keluarga Haaziq?” Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Kalau keluarga Haaziq tak setuju, tak adalah Haaziq nak hantar wakil untuk merisik, kan?” Setelah melihat kesungguhan Haaziq, aku akhirnya bersetuju. Lagipun, kata Izzah, cinta boleh hadir selepas perkahwinan. Seminggu kemudian majlis pertunangan dilangsungkan serba sederhana. Aku dikejutkan dengan panggilan dari seseorang suatu petang. Panggilan yang membuatkan aku tidak dapat tidur malam. Panggilan yang membuatkan tugas seharianku terganggu. Ady mahu bertemu denganku. Aku mereka pelbagai alasan untuk tidak bertemu dengannya. Bukan kerana aku sudah menjadi tunangan orang, tetapi memang hati ini sudah tawar untuk bersua dengannya lagi. Apa guna bertemu dengan Ady, kerana yang pasti pertemuan tersebut akan menambahkan luka di hati.
“Antara kita dah tak ada apa-apa perhubungan lagi.” Aku terpaksa mengalah. Ady berjanji, dia tidak akan mengganggu aku lagi jika aku sudi bertemu dengannya.
“Ady selalu merindui Ris. Perkahwinan tak memberi kebahagiaan pada Ady. Zana banyak melukai hati Ady. Ady tak dapat menunaikan janji Ady pada Ris untuk mencintai Zana sepenuh hati.”
“Ady, Ris dah bertunang. Tak elok kalau orang nampak Ris berjumpa dengan suami orang. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ady berbincanglah dengan Zana. Jangan nak libatkan Ris.”
“Ady dah merancang untuk berpisah dengan Zana.”
“Ady, janganlah bertindak terburu-buru. Fikirlah secara rasional. Masih ada waktu untuk Ady dan Zana memperbaiki kesilapan.” Aku mengatur langkah.
“Ris, jangan tinggalkan Ady!” Ady mencapai pergelangan tanganku.
“Risha!” Aku terpanar. Haaziq berdiri tidak jauh dari situ! Aku menangis lagi. Haaziq telah memutuskan pertunangan. Haaziq memberi alasan yang aku masih belum dapat melupakan cinta pertamaku, Ady. Perkahwinan kami pasti goyah jika di hatiku hanya ada Ady. Itu kata Haaziq. Pada hakikatnya, aku sudah belajar untuk melupakan Ady. Aku yakin kehadiran Haaziq pasti dapat melenyapkan ingatan aku pada Ady sedikit demi sedikit. Haaziq telah membuat tindakan melulu sebelum sempat aku memberi penjelasan. Sampai hatimu Haaziq….aku tersiksa untuk kali kedua.
“Ady dah bercerai dengan isterinya?” Soal Izzah. Aku mengangguk. Bercerai atau tidak bukan urusanku lagi.
“Kau masih cintakan Ady?” Tak ada gunanya aku mencintai lelaki yang tak pandai menghargai cintaku ini. “Ris, aku nak minta maaf. Aku yang kenalkan Haaziq dengan kau. Aku harapkan kau dan dia akan ke jinjang pelamin. Tak sangka pulak boleh jadi macam ni.”
“Izzah, dah banyak kali kau minta maaf dari aku. Sudahlah. Segalanya dah berlalu. Aku tak mahu ingat lagi.” Aku menerima berita yang mengejutkan suatu hari. Haaziq sudah berkahwin dengan kekasih pertamanya. Kekasih yang pernah mengecewakan perasaannya. Haaziq memutuskan pertunangan dengan memberi alasan bahawa aku masih mencintai Ady. Itu hanyalah alasannya semata-mata. Hakikatnya aku hanyalah persinggahan sementara buat Haaziq. Walau apapun yang telah kau lakukan pada aku, aku tetap akan mendoakan kebahagiaanmu bersama Farzana, gadis yang kononnya telah kau lupakan apabila mengambil tindakan berkahwin dengan lelaki lain. Ternyata kau masih gagal untuk melupakan Farzana. Buktinya, sebaik sahaja Farzana habis edah, kau terus menyambar Farzana. Ah, gadis itu sering sahaja menjadi penghalang untuk aku mengecap kebahagiaan! Ady saban hari terus setia merayuku, cuba merebut cintaku kembali. Hati ini sudah hancur, Ady. Tak ada gunanya kau merayuku lagi. Hati ini sudah tertutup buat insan bernama lelaki. Cuti persekolahan aku kembali ke kampung. Adik-adikku menyambut girang kepulanganku. Gembira hatiku dapat bertemu dengan adik-adikku, Arina, Aziah, Aznida dan Afiq. Namun kegembiraan bertukar menjadi sedih apabila mendapat tahu ayah mengidap kencing manis. Tambah menyedihkan apabila melihat luka di kaki ayah yang semakin teruk saban hari. Ayah terkena sabit ketika sedang menebas beberapa minggu lalu. Ayah tidak dapat melakukan kerja-kerja berat lagi.
“Durian tentu dah gugur kat dusun. Tak ada ke sesiapa tolong pungutkan buah-buah durian tu, mak?” Emak terdiam. Soalanku tidak dijawab.
“Terbiar macam tu saja?” Bukannya sepokok dua sahaja pokok durian di kebun. Tapi berbelas-belas. Selain durian, pokok rambutan, langsat dan manggis pun ada. Biasanya, ayah akan mendapat pendapatan sampingan pada musim buah-buahan dengan menjual buah durian, langsat, rambutan dan manggis. Emak menggeleng.
“Ady, dia yang bantu menguruskan dusun.”
“Apa? Mak terima pertolongan Ady?”
“Dia yang hulurkan bantuan, bukan mak yang minta. Dia bersungguh-sungguh nakkan kau, Ris. Kenapa kau masih tak dapat menerimanya kembali? Mak dah lihat keikhlasannya pada kau.” Ady bukan seperti Ady yang kukenal dulu. Ady sudah banyak berubah. Ady tidak lagi mengikut telunjuk orang tuanya. Ady sudah bijak membuat keputusan sendiri. Dan aku juga bukan seperti aku yang dulu lagi. Gadis yang sering mendengar dan mengikut kata orang. Tiada pendirian! Jika ya kata mereka, aku terus bersetuju. Jika tidak kata mereka, aku terus tidak bersetuju. Itu dulu. Aku kini hanya akan membuat keputusan sendiri, mengikut gerak hati. Baik atau buruk, biar aku yang tanggung sendiri.
“Ris masih marahkan Ady, kan?” Aku diam.
“Ris masih marah sebab Ady kahwin dengan pilihan orang tua Ady, kan?”
“Ris dah tak tahu macam mana nak fahamkan Ady. Segala yang telah berlaku Ris dah lupakan. Ris tak mahu ingat lagi. Ris harap Ady faham pendirian Ris.”
“Kalau macam tu, kenapa Ris tak mahu sambung kembali hubungan kita? Atau…Ris masih menyimpan perasaan pada Haaziq?”
“Haaziq tak ada kena-mengena dengan keputusan Ris.” Biarlah aku hidup sendirian tanpa cinta. Aku tidak ingin dikecewakan lagi. Maafkan aku Ady, aku tidak dapat menerimamu kembali….
~ Terima kasih sudi membaca ~
p/s : Cerpen ni asalnya karya my sis (kakak sulungku yg juga berbakat dlm bidang penulisan). Memandangkang dia tulis hanya utk simpanan sendiri, so aku ambik dan edit sesuai dengan zaman skrg. Akhirnya tersiarlah dalam majalah Dara.com Keluaran Jan 2006.

Friday, February 3, 2012

CastleVille

Salah satu game kat facebook. Sebelum ni aku tak pernah tergoda dengan sebarang permainan di fb. Hinggalah aku berjumpa dengan CastelVille. Mula2 tak rasa apa. Tapi bila en. suami ajar mcm mana nak main game ni, hati aku terus jatuh cinta sama game ni. Aduss... dah tak boleh berhenti. Sambil buat kerja, sambil main. Kutip sayur, beri makan lembu, ayam, kambing, kutip duit kat cottage, buat kraf dll. Dulu bukan main kutuk lagi bila suami main game. Sekarang aku dah berjangkit! Ambik kau!!!

Thursday, February 2, 2012

Paip Air Buat Hal

Tension!!! Paip air luar pulak buat hal. Dah pulas habis tapi air tetap keluar. Bukan sikit tapi banyak. Entah bila keluar, aku pun tak perasan. Baru perasan tadi lepas balik sekolah. Kalau dah 2, 3 hari, tentu bil air aku melabung bulan ni. Grrr... tension tahap gaban. Sebelum ni paip air kat sinki dapur buat hal. Sudahnya, tiap kali nak mandi atau nak cuci kain atau nak memasak, kena buka paip ibu kat luar. Dah lapor ke tuan rumah tapi ambik masa. Pernah housemate aku lupa tutup, sudahnya bilik aku banjir. Habis rak buku dan buku aku yang bertimbun di rak paling bawah. Nak mengelap satu hal. Bukan senang. Perabot semua kena alih. Bil pun bulan2 mahal siot. Kembali ke topik paip kat luar ni, entah bila tuan rumah nak datang baiki. Aku pun belum adu lagi. Adu pasal atap bocor pun tak der tindakan lagi. Haish! Nak suruh suami tukar kepala paip pun, dia tak ada kat rumah. Hujung minggu baru balik. Terpaksalah bersusah payah dulu aku hidup tanpa air. Erk...malasnya nak ulang alik buka paip ibu kat luar tu.

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...