Friday, May 3, 2013

ALIA & MENJEJAK MEMORI

Apa kaitan novel kanak-kanak Alia dengan novel dewasa Menjejak Memori?

Sebenarnya, Menjejak Memori yang diterbitkan pada tahun 2009 adalah sambungan daripada cerita Alia yang diterbitkan setahun sebelum.
Watak utama Alia dalam novel kanak-kanak Alia ialah seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun. Dan dalam novel Menjejak Memori, Alia sudah dewasa. Umur 20-an. 
Novel Alia mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Alia yang dipulaukan rakan-rakan. Mereka menuduhnya beribukan pontianak. Sehingga muncul murid baru bernama Rifqi yang cuba mendekatinya. Mereka bersahabat baik sebelum fikiran Rifqi diracuni. Kehilangan Alia secara tiba-tiba menjadi misteri yang tak terungkap. 
Namun segala misteri itu akan terjawab dalam novel Menjejak Memori. Rifqi yang merasa bersalah dengan kehilangan Alia, sering dihantui mimpi lalu beliau cuba menjejaki gadis itu semula. Berjayakah Rifqi menemui Alia semula? Nak tau kenalah dapatkan novel Menjejak Memori. 

Novel Alia dan Menjejak Memori boleh dibeli secara online di Karnadya dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran. http://store.karnadya.com.my/


PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6


BAB 5
“Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak yang dihantar Dean.
Selain Ayra dan Suhaila, Dean juga turut belikan nasi lemak untuk Aisyah. Alasannya, sebagai membalas bantuan mereka bertiga yang telah membantunya menyiapkan tugasan Ilmu Pendidikan semalam.
            “Tak ada apa-apa. Kawan je.”
Ayra hanya menganggap Dean tidak lebih dari seorang rakan.  
            “Meraung Dean kalau dengar pengakuan kau ni. Kesian dia. Dia betul-betul suka pada kau. Takkan kau tak perasan semua tu?”
            “Dahlah. Aku malas nak berbual soal ni lagi. Aku dan Dean tak ada apa-apa.”
Ayra tak ingin terus didesak soal hati dan perasaan. Bukan sekali dua Suhaila mengajukan pertanyaan yang sama, tapi sudah berkali-kali. Dia pernah terfikir, mungkin Dean berpakat dengan Suhaila hendak mengorek apa yang terpendam di hatinya.
            Suhaila pernah menuduhnya sebagai seorang gadis yang kuat berahsia.
            “Bila Dean tinggalkan kau nanti, barulah kau akan hargai perasaannya.”
Suhaila menyokong kuat andai Ayra menerima cinta Dean. Lelaki itu baik orangnya dan suka membantu. Sesuai sangat dengan Ayra, seorang gadis periang. Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya. Cuma, sejak akhir-akhir ini dia nampak lebih pendiam.  
            Tidak! Ayra tidak dapat menerima kehadiran Dean sebagai seorang kekasih, apa lagi teman hidupnya. Ayra bangun lalu memerhati raut wajah di depan cermin. Mukanya kelihatan tidak bermaya.
Ah, malasnya nak ke Butterworth pagi esok...
Berat keadaan yang sedang dilalui sekarang. Ayra tahu, kesudahannya nanti dia yang akan merasai kekecewaan. Pasti Dean atau mana-mana lelaki tidak dapat menerimaya andai mereka tahu kisah lalu yang pahit dan pedih.
Pada usia remaja, Ayra terpaksa melalui detik-detik getir dalam hidup. Bersendirian menempuh cubaan dan dugaan! Bila diingat kembali kenangan itu, terasa dirinya cukup tabah, walaupun sebenarnya dia hampir tewas.
            “Jadi, sebelum terlambat, buangkanlah ego kau tu. Aku tahu kau sukakan Dean. Tapi mungkin kerana Dean tu cikgu juga macam kita, kau tak boleh terima. Yelah, zaman sekarang ni, kerjaya guru bukan lagi kerjaya yang dihormati masyarakat. Kerja kerajaan ni, manalah orang suka. Gadis zaman sekarang lebih suka memburu lelaki yang berjawatan tinggi, berstatus orang kaya. Tak kisah umur berapa, sebaya dengan bapa sendiri pun sanggup terima asalkan berharta. Mereka mencari kesenangan dengan jalan mudah.”
            “Kenapa dengan kau ni? Membebel sampai ke situ pulak!”
Bengang Ayra dengan tuduhan Suhaila. Dia benar-benar tersepit sekarang. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran mesej misteri tersebut.
            “Aku bukan membebel. Apa yang aku cakap tu adalah realiti.”
            “Aku faham. Tapi, kalaulah kau tahu keadaan yang sedang aku tanggung sekarang...” matanya tepat memandang ke wajah Suhaila.
Suhaila anak kedua dari tiga beradik, semua perempuan. Dia orang Kelantan. Ibunya guru dan bapanya Pengetua di daerah kelahirannya. Kakaknya pula sudah bergelar doktor, manakala adiknya masih berada di universiti. Sebulan sekali Suhaila akan balik kampung untuk menziarahi orang tuanya. Kadang-kadang orang tuanya yang akan datang menziarahinya di Kuala Kangsar. Bahagianya kehidupan Ila...
Ayra yakin Suhaila pasti tidak sanggup untuk menggantikan tempatnya. Air mata menitis jatuh membasahi pipi.
            “Kau ada masalah ke?”
Suhaila segera bangun lalu menghampiri Ayra yang sedang berdiri di sebelah meja hujung kepala katil. Suhaila menggenggam erat tangan Ayra. Selain kerinduan pada keluarga, Suhaila dapat merasakan yang Ayra ada menyimpan masalah lain yang jauh lebih berat.
            Ayra sudah tidak mampu menahan perasaan lagi. Sedih, sedih sangat. Ayra melepaskan perasaan dengan menangis sepuas hati. Dugaan yang sedang dilalui tak tertanggung lagi. Kecewa dengan apa yang dialami, dia pernah pasang niat untuk menamatkan saja riwayat hidupnya.
Mujurlah akalnya masih panjang. Mujurlah masih ada iman di dada. Allah masih sayangkannya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan suatu ujian yang tak mampu ditanggung.
‘Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menempuh segala dugaan di alam fana ini.’
            “Maafkan aku, Ayra. Aku tak ada niat nak sakiti hati kau. Maafkan kata-kata aku tadi.”
Bersungguh-sungguh Suhaila memohon maaf sambil mencium tangan Ayra.
            Ayra mengetap bibir, cuba menahan sendu yang semakin menjadi-jadi. Sudah lama dia tak melepaskan perasaan dengan menangis sepuas-puasnya seperti sekarang. Hampir enam tahun dia berjaya mengawal keadaan. Tapi hari ini, dia tak mungkin lagi dapat menyembunyikan perasaan hati.
‘Aku tak pernah rasa bahagia!’
            “Ayra, maafkan aku...”
Air mata Suhaila bergenang di kelopak mata, turut simpati melihat keadaan Ayra walaupun dia tidak tahu punca sebenar tangisan Ayra.
            “Jangan salahkan diri kau. Aku bukan menangis kerana kata-kata kau tu. Langsung aku tak ambil hati. Tiba masanya nanti, aku akan ceritakan segalanya. Berikan aku sedikit masa lagi.”
            “Kau ada masalah?”
Suhaila mengesat air mata. Dia menepuk lembut bahu Ayra. Ayra mengangguk, tertunduk dan menangis lagi.
            “Ceritakan pada aku. Aku janji akan bantu kau.”
Suhaila memeluk erat tubuh Ayra.
“Betullah tekaan aku sebelum ini. Melihat gerak-geri dan air muka kau, aku yakin kau sedang menghadapi masalah besar.”
            “Sekarang bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan semua ni.”
            Ayra sebenarnya mahu luahkan kisah yang pernah dilaluinya pada seseorang. Dia pernah baca artikel dalam majalah, dengan berkongsi masalah yang sedang dihadapi, dapat mengurangkan bebanan di hati. Setakat ini, hanya Suhaila sahaja teman yang boleh dipercayai untuk memegang rahsia yang selama ini tersimpan kemas di sanubari.
            Dia juga berharap Suhaila masih sudi berkawan dengannya sebaik sahaja gadis itu tahu apa yang telah dia lakukan...
‘Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku tidak berniat untuk melakukan sesuatu seperti itu.’

BAB 6
            Ayra melangkah keluar dari bilik air sambil membimbit baldi yang berisi mandian badan, syampu, pencuci wanita, pencuci muka serta span menuju ke bilik. Dia menolak daun pintu yang tidak berkunci. Suhaila sedang mengadap skrin komputer di mejanya.
            “Khusyuk nampak. Buat apa tu?”
Ayra menyapa sambil meletakkan baldi di balik pintu.
            “Main game.”
            “Dah agak dah. Apa yang best sangat tu main game. Aku tak pernah cuba.”
            “Baik kau jangan cuba-cuba. Kalau dah cuba sure kau tak boleh berhenti.”
            “Ye ke... kalau macam tu aku tak nak cubalah!”
Suhaila tersengih. Ayra membuka pintu almari lalu mengeluarkan penyangkut baju yang dibawa dari rumah sewa. Tuala segera digantungkannya pada penyangkut baju. Ayra menuju ke tingkap dan menggantungkan penyangkut di situ. Biar kena cahaya matahari.
            Matanya sempat melirik ke arah telefon bimbit yang berada di atas meja. Ada cahaya yang berkelip-kelip. Cahaya yang berkelip-kelip itu menandakan ada mesej yang masuk dan belum dibaca. Jantungnya terus berdegup kencang. Resah hatinya setiap kali menerima mesej. Rasa mahu tutup sahaja telefon bimbit tersebut.
            Harap-harap mesej dari Dean. Ayra sempat berdoa.
Mengeluh Ayra sebaik sahaja membaca mesej. Hari ni saja sudah enam kali dia menerima mesej yang membuatkan fikirannya jadi serabut. Semakin hari semakin kerap mesej menerjah ke kotak mesej. Siapa pengirimnya dan apa motifnya yang sebenar, dia masih samar-samar.
Ayra sudah banyak kali balas mesej tersebut dengan meminta pengirim mesej tersebut datang bersemuka dengannya, tapi tiada balasan. Kalau dia telefon, jangan harap nak berangkat.
“Penakut!!!”
Ayra melepaskan geram. Daripada rasa takut pada mulanya, kini perasaannya bertukar menjadi marah setiap kali menerima mesej sebegitu.
“Terkejut aku!”
Suhaila mengurut dada. Dia memandang Ayra. “Kau cakap dengan siapa?”
“Maaf...”
Ayra tergelak kecil. Dia terlepas cakap.  
“Err... boleh tak nak kesan seseorang melalui nombor telefon?”
            “Maksud kau, kau nak dapatkan maklumat pemilik sekian-sekian nombor?”
            “Ya. Boleh tak?”
Ayra berharap sangat untuk mengetahui identiti si pengirim yang misteri itu.
            “Susah. Maklumat pemilik nombor telefon dirahsiakan oleh penyedia telekomunikasi. Kenapa? Kau selalu terima panggilan dari nombor yang tak dikenali ke?”
            “Bukan panggilan, sekadar mesej je.”
            “Peminat kau agaknya. Peminat dalam diam. Cemburu la Dean kalau dia tahu semua ni.”
            “Entahlah Ila, bila aku balas mesej, tanya siapa dia, dia diam je. Langsung tak balas.”
Ayra belum bersedia memberitahu Suhaila kandungan mesej yang sering diterimanya itu. Dia lebih suka biarlah Suhaila fikir yang dia menerima mesej dari peminat rahsia atau secret admirer. Itu lebih baik buat masa sekarang.
            Kalau diberitahu Suhaila isi kandungan mesej tersebut, Ayra yakin Suhaila pasti akan bertanya bertalu-talu. Terpaksalah Ayra ceritakan dari A sampai Z, kisah yang tak ingin dikenang lagi. Suhaila mungkin akan rasa simpati atau juga membencinya setelah mendengar kisah itu.
            Belum masanya lagi...
            “Entah-entah... Dean?” duga Suhaila setelah terdiam sejenak. “Setahu aku, hanya Dean sahaja yang terang-terangan menyukai kau.”
            “Dean?” Ayra menjuih. “Mustahil. Aku ada nombor Dean.”
            “Mana tahu mungkin Dean ada nombor kedua yang kita semua tak tahu. Lepas tu dia gunakan nombor tu untuk uji kau. Nak tengok kau ni jenis cepat layan mesej ke tak.”
            Suhaila terus membuat andaian. Macam-macam cara seorang lelaki untuk menarik perhatian gadis yang dicintainya. Suhaila terbayang wajah Muiz, lelaki yang cuba menarik perhatiannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Macam-macam cara Muiz lakukan. Antaranya, menghantar surat, mempertahankannya ketika dia diganggu pelajar lelaki lain, menulis namanya pada setiap helaian buku dan macam-macam lagi.
            “Mungkin juga... geliga otak kau!”
Ayra pura-pura teruja dengan pendapat Suhaila. Suhaila fikir sebegitu kerana dia tidak mengetahui isi kandungan mesej yang diterima Ayra. Kalau Suhaila tahu isi kandungan mesej, pasti dia tidak akan mengeluarkan pendapatnya itu. Ayra tetap dengan keputusannya untuk tidak menceritakan isi kandungan mesej pada sesiapa sahaja. Dia mahu membuat siasatan.
            “Dean dah parah tu. Baik kau terima sajalah cinta dia tu. Baik apa budak tu walaupun...”
            “Walaupun apa?”
            Geram Ayra bila Suhaila sengaja tidak menghabiskan kata-katanya.
            “Ngada-ngada sikit.... ops, maaf, aku sedang kutuk boyfriend kau.”
            Suhaila ketawa mengekek sambil menutup mulut. Itulah kekurangan Dean yang nampak ketara. Agak mengada! Cerewet pun ya. Memilih bukan main. Kalau gadis tu tak berkulit putih, tak ada pelajaran, jangan harap dia nak pandang.
            “Eh, ke situ pulak. Kutuklah kalau kau nak kutuk pun. Ada aku kesah?”
            Ayra langsung tak terasa apa-apa dengan kutukan Suhaila ke atas Dean. Dia pun sebenarnya sokong dengan pendapat Suhaila. Dean mengada-ngada! Dean melayannya seolah-olah mereka adalah pasangan kekasih. Bila dalam kelas, Dean akan mencari tempat duduk di sebelahnya. Kalau pensyarah suruh tubuh kumpulan, Dean cepat-cepat memasukkan namanya sekali. 
            “Woi, korang sedang kutuk sapa?”
Aisyah yang entah dari planet mana muncul tiba-tiba. Sempat lagi dia mengetuk pintu dengan kuat, dengan harapan Suhaila dan Ayra akan terkejut. Dia yakin, sahabat-sahabatnya itu tentu sedang bergosip sakan di dalam bilik.
“Bagilah salam kalau nak masuk!”
Suhaila membebel. Dia mengurut dada, terkejut dengan ketukan Aisyah. Mengalahkan bunyi guruh di langit.
            “Assalamualaikum... rakan-rakanku yang sedang bergosip...”
            Aisyah menukar lirik, melodinya masih sama dengan lagu raya dendangan Jamal Abdillah. Siap dengan aksi sekali.
            Suhaila dan Ayra ketawa berdekah-dekah dengan aksi Aisyah. Gadis Selangor itu memang kelakar orangnya. Kalau di kelas, dialah yang akan menceriakan kelas dengan lawaknya. Pensyarah juga suka padanya. Suruh menyanyi, berlakon, menari, semuanya tak pernah ditolak Aisyah. Dia akan lakukannya dengan caranya sendiri. Aksinya akan mengundang ketawa semua pelajar.
“Kutuk aku ya?”
Aisyah melabuh punggung atas katil Ayra. Dia mencapai bantal kecil berbentuk hati lalu terus dipeluknya erat.
            “Tak adalah! Kau kan kawan kami, takkan kami nak kutuk pulak,” balas Suhaila.
“Baiknya... syukur aku dapat kawan macam korang tau. Dah tu, sapa yang korang kutuk tu?”
Aisyah masih tak puas hati. Masa di luar tadi, bukan main Suhaila dan Ayra rancak berbual. Siap ketawa-ketawa lagi. Aisyah panas pedih di dalam biliknya. Dia sedang membaca novel.
“Nak cerita tak Ayra?”
Suhaila pandang tepat ke wajah Ayra. Ayra terkelip-kelip matanya memandang Suhaila.
“Korang ni buat suspen aje. Cepatlah cakap!”
Aisyah sudah tidak sabar. Suhaila dan Ayra pasti menyembunyikan cerita yang menarik dari pengetahuannya. Dia harus korek sampai dapat.
“Pasal Dira ke?” Aisyah memperlahankan suara.
“His, tak ada kena mengena langsung!”
“Dah tu???”
Aisyah terus mendesak.
“Aku terima mesej dari pengirim yang tak dikenali. Ila syak Dean yang hantar.”
Ayra membuka cerita. Kalau dengan Aisyah, jangan haraplah nak simpan rahsia. Pasti akan dikoreknya sampai dapat. Tambah-tambah lagi kalau dia dah tahu sebahagian cerita.
“Mana mesej tu? Bak sini aku nak baca!”
Aisyah sudah bangun. Dia menghulur tangan. Tersentak Ayra dengan permintaan Aisyah. Suhaila tak ada pulak sampai mintak nak baca mesej.
“Aku dah padam.”
Ayra bercakap benar. Dia memang akan memadam setiap mesej yang diterimanya dari pengirim misteri tersebut. Dia tak boleh biarkan mesej tersebut tanpa dipadam. Bimbang kalau ada yang terbaca nanti.
            “Huh! Dia tulis apa?”
Aisyah agak kecewa. Tapi dia masih tak puas hati selagi tak tahu isi kandungan mesej yang diterima Ayra.
“Biasalah. Ayat nak tackle awek la tu. Betul tak Ayra?’
Suhaila mengenyit mata pada Ayra. Dia dapat mengagak, Ayra pasti rimas dengan sikap Aisyah yang suka ambil tahu hal orang.
“Ya. Betullah tu. Perut aku ni terasa lapar pulak. Korang tak lapar ke?”
Ayra segera menukar topik. Makin dilayan makin menjadi.
“Aku pun lapar. Jom ke kafe.”
Aisyah menggosok perutnya yang agak buncit. Tinggi dan beratnya tidak sepadan. Puas sudah makan ubat kurus, badannya tetap tak kurus-kurus. Makin berisi adalah. Cemburu jugak dia dengan tubuh badan Ayra dan Suhaila. Pakai apa pun nampak cantik.
            “Jom!”
Suhaila bingkas bangun lalu meninggalkan katil. Aisyah pulak terus melangkah keluar dari bilik.
            “Kita jumpa kat bawah nanti.”
            Jerit Aisyah dari luar bilik.




Tuesday, February 26, 2013

MDIC - Cetakan Ke-3

Alhamdulillah syukur tak terhingga bila melihat novelku Mak Datin Isteri Cikgu sudah masuk cetakan ke -3.

So siapa yg belum dapatkan MDIC dapatkanlah segera di kedai buku berhampiran atau secara online di Karangkraf Mall.


Monday, February 25, 2013

Menanti Hari


Berada di kampung sekarang. Bermacam-macam perasaan. Setiap hari menunggu detik pertama tanda kelahiran semakin hampir. Detik itu yg aku tunggu. Harap ianya tiba sebelum sampai due yg ditetapkan. Aku tak nak bersalin paksa. Orang kata bersalin paksa lebih sakit dr normal. 
Saat ini hujan sdg mencurah ke bumi. Sekejap lebat sekejap renyai2. Hanya aku dan mak berada di rumah. Suami pergi memancing. Harap dpt hasil. Kesian bermandi hujan klu hasil tak seberapa. Dua org adikku pergi mengajar.
Kekadang rasa bosan menyelubungi diri bila tak ada apa2  nak dibuat. Yelah, aku ambik cuti awal 2 minggu. Sudahnya terkontang-kanting kat rumah. Tak ada kerja nak dibuat. Hmm cuti panjang pun membosankan. Nak mengarang tak der mood pulak.

Friday, February 15, 2013

Bermulanya Cuti 3 Bulan

90 hari!
Detik yang dinantikan akhirnya tiba.
Bukannya tak suka mengajar, tetapi keadaan diri yang memaksa.
Dah tak larat sangat.
Mengajar pun macam nak tak nak.
Tak selesa, tapi tetap bersabar.
3 bulan lagi aku akan kembali mendidik anak muridku.
Insya-Allah, dengan semangat yg lebih berkobar-kobar.
Dengan aktiviti yang lebih mencabar.
Yang akan menarik minat muridku untuk belajar.

Dalam hati sebenarnya ada rasa debar.
Dan juga tak sabar.
Menanti kelahiran pertama.
Pembawa bahagia kami sekeluarga.
Pengikat kasih sayang kami berdua.

Selamat tinggal SKUR.
Hujung bulan 5 nanti kita bersua.



Wednesday, February 13, 2013

Apabila Jemaah Nazir Kata Nak Datang

Minggu lepas, pihak sekolah mendapat berita kedatangan jemaah nazir dari KPM untuk pemeriksaan penuh kat sekolah dari 18 hingga 22 Februari. Minggu depan! Maka mesyuarat tergempar pun diadakan. Semua guru mulai sibuk mengemaskini fail selepas selesai cuti tahun baru cina. Ada jugak yang tak lena tidur dan tak lalu makan. Begitulah penangan jemaah nazir.

Aku pun bukan main sibuk kemaskini fail. Harap-harap lengkap la. Tapi debaran aku tak sama dengan debaran cikgu2 lain. Sebabnya aku dah start cuti minggu depan. Selamatlah aku dari diobserve pihak nazir. Huhu... bukan senang oi nak mengajar ketika ada pihak yang sedang memantau melihat kita mengajar. Dengan suara yang terketar2 mungkin, dan gerak geri yang tak kena, lenggang-penggok pun tak menjadi dek penangan ada orang sedang duduk di satu sudut kelas memerhatikan cara kita mengajar. Kalau dorang takder, kelas boleh berjalan lancar. Tapi bila dorang ada, segalanya serba tak kena. Syukurlah aku tak ada time dorang ada... tuah anak..hehe

PPM aku dah la baru. Dia PPM Pend Khas dulu so tak berapa nak reti lagi dengan tugas sebagai PPM prasekolah. Kepada dia aku dah sampaikan jika ada sebarang maklumat dari jemaah nazir yang datang buat pemantauan kat kelas pra, sila maklum aku segera. Kadang2 kalau tak ada org pantau, kita tak tau apa kekurangan kita, apa isi fail yang tak lengkap. 

Anyway, semoga segalanya berjalan lancar... Amin... Chaiyok Seri Permata!!!

Saturday, February 2, 2013

Bengkel Penyelarasan Aktiviti Prasekolah

Semalam, tepat jam 2.45 petang, aku menghadiri bengkel pertama untuk prasekolah bagi tahun 2013 ini. Sebenarnya bukan bengkel pun tapi lebih kepada taklimat mengenai aktiviti2 prasekolah yang dikeluarkan oleh JPN Perak. 

Sengaja aku keluar dari rumah jam 2.25 petang dan tiba 5 minit lebih awal. Sebabnya, aku terpaksa ambil masa untuk menapak dari tempat parkir ke dewan PPD. Perutku sudah memboyot, maklumlah dah masuk 36 minggu. Maknanya dah 9 bulan. Fuh, penat gila berjalan tu. Slow2 dan pelan2. Harap tak ada lagi sebarang bengkel atau taklimat sehingga ku bersalin dijangka awal Mac nanti. Aku dah tak larat. 

Di dewan, aku bertemu dengan member2 lama satu maktab yang tinggal beberapa orang jer. 5 perempuan dan 4 lelaki jer kalau tak silap. Aku duduk sebelah Rosnida. Di belakang aku pulak Suhaila dan Rosmiati. Rupanya member aku Sue pun mengandung anak ke2. Dah 5 bulan dan dijangka bersalin bulan Mei. Sempat lagi aku tanya pengalaman bersalin anak pertama. Katanya memang sakit tapi tak ada apa-apa. Aku tanya tak takut ke nak bersalin anak ke2 sebab dah ada pengalaman, dia senyum je dan relax. Tabik spring aku kat dia.

Janji Melayu 2.45 petang jadi 3.30 petang. Huhu... penat menunggu dgn ekonnya yang tak sejuk. Salah pilih tempat :(

En. Khairam membentangkan aktiviti2 yang akan dijalankan sepanjang 2013. Antaranya program mento menti. Seorang mento akan dilantik dari kalangan guru pra untuk membimbing 15 menti dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Sebulan kena 4 jam. Adusss....lomah den bab2 gini. Tambah2 kalau dibuat hari Sabtu. Tak larat woi. 

Yang lain2 macam yang tahun2 lepas jugak. Graviti area, karnival pra, guru inovasi, pertandingan gerak tari 1 malaysia dll yg aku tak berapa nak beri fokus sangat. Pemantauan pun ada. 

Jam 5.15 petang taklimat selesai. Sebelum balik aku sempat ambik buku Rancangan Pelajaran Tahunan dan beberapa modul. Tak sempat makan dah coz pinggang sakit duduk lama. Aku pun terus balik.

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...