Wednesday, December 31, 2008

Elisa

“Jangan masuk campur urusan kami!” Basir memberi peringatan.

Kemarahannya membuak-buak dengan kehadiran budak mentah yang tak dikenali itu.

“Saya tak ada sebarang urusan dengan dia! Jangan percaya cakap dia.” Elisa harus meraih kepercayaan Rifqi agar Rifqi membantunya menyelamatkan diri dari Basir.

“Saya tak boleh masuk campur urusan awak dengan gadis ni? Hei, awak tahu tak siapa gadis ni? Dia teman wanita saya!”

Muka Basir terus merona merah kerana dia baru mengetahui lelaki yang kacau daun itu rupa-rupanya teman lelaki Elisa. Patutlah Elisa tidak memberi peluang padanya. Rupa-rupanya gadis itu sudah berpunya.

“Elisa... kenapa Elisa tak berterus terang pada abang yang Elisa dah berpunya?” soal Basir yang seperti hendak menangis.

Bunga yang dipuja sudah menjadi milik orang.

Elisa tida pandai berlakon. Dia membisu. Dia biarkan Rifqi memeluk bahunya untuk meyakinkan Basir yang mereka memang pasangan kekasih walaupun dia sebenarnya kurang senang dengan tindakan Rifqi itu.

“Sudahlah! Sekarang awak dah tahu gadis ni teman wanita saya. Saya bagi amaran, kalau awak ganggu lagi, tahulah nanti!” Rifqi menuding jari tepat ke muka Basir.

Mahu tak mahu Basir terpaksa beredar dari tempat tersebut walaupun berat hendak meninggalkan Elisa. Dia sudah menempah meja makan di sebuah restoran untuk makan tengah hari bersama Elisa. Tiket wayang juga sudah dibeli.

Rifqi terus menjatuhkan tangannya sebaik sahaja kereta lelaki bermisai itu hilang dari pandangan. Elisa menarik nafas lega. Rifqi telah menyelamatkannya tanpa diduga. Besar ertinya pertolongan Rifqi itu yang telah melepaskannya dari masuk ke dalam mulut harimau.

“Awak tak kisah ke hilang beribu ringgit dari lelaki tu atas tindakan saya ni?”

Pang!

Ringan sahaja tangan Elisa singgah di pipi Rifqi. Hinaan Rifqi tak dapat diterima sebegitu sahaja. Dia masih punya harga diri.

“Jangan cakap sesuka hati awak sebab awak langsung tak kenal siapa saya!” Elisa segera berlalu dari situ.

Rifqi menggosok pipi. Mukanya yang mulanya kelat bukan kerana menahan sakit tetapi kerana ditampar seorang gadis di tempat awam tiba-tiba berubah ceria. Bibirnya mengulum senyum. Ternyata sangkaannya salah. Gadis bendul itu tak seburuk yang disangka. Dia ditampar kerana telah berkata sesuatu yang tidak benar mengenai gadis itu.

“Elisa....” akhirnya dia tahu nama gadis itu.

p/s : sedutan dari manuskrip yang bakal diterbitkan

No comments:

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...