Monday, July 6, 2009

Prolog ~ Menjejak Memori



-->
RIFQI memasukkan biji getah yang dikutip bersama Azizul dan Rahmat ke dalam balang. Mulutnya kumat-kamit mengira biji getah. Seratus dua belas biji getah yang berjaya dikutipnya. Petang esok, dia akan membawa biji getahnya ke rumah Azizul. Mereka telah berjanji hendak bermain congkak bersama-sama.
“Rifqi! Cepat mandi. Dah nak masuk waktu Maghrib ni.” Terdengar laungan ibunya dari arah dapur.
“Baik mak!” ujar Rifqi.
Rifqi segera menyimpan balang berisi biji getah di atas almari. Dia segera mencapai tuala yang tergantung di belakang pintu lalu melangkah ke bilik air.
Selesai mandi, Rifqi menyarung baju tidur. Dia ke ruang tamu lalu memasang peti televisyen. Sambil menunggu azan Maghrib berkumandang dari masjid berhampiran, Rifqi menonton siri kartun kegemarannya. Menonton sambil berbaring menyebabkan Rifqi yang kepenatan akhirnya tertidur.
“Assalamualaikum! Rifqi! Rifqi!”
Rifqi yang sudah terlena terus terjaga apabila terdengar sayup-sayup namanya dipanggil. Dia bingkas bangun lalu bergerak ke jendela. Azizul dan Rahmat sedang terpacak di luar.
“Alia dah pulang!” Azizul separuh menjerit.
Terpancar kegembiraan di wajah Azizul.
“A... Alia?”
“Orang ramai sedang berkumpul di rumah Nek Pah. Kami nak ke sana, kau nak ikut tak?”
Rifqi terus bersetuju. Mereka bertiga segera menuju ke rumah Nek Pah. Benarlah apa yang didakwa oleh Azizul dan Rahmat. Ramai orang berada di dalam dan di luar rumah Nek Pah. Kereta polis turut kelihatan di halaman. Rifqi, Azizul dan Rahmat terus menyelit di celah-celah orang ramai.
Nun di atas rumah kelihatan Alia berada bersebelahan Nek Pah. Wajah Alia kelihatan sugul. Dia kelihatan sesekali membuka mulut apabila diajukan pertanyaan oleh neneknya.
“Jadi selama ni, Alia disembunyikan oleh Pak Husin dan Mak Kiah?” soal seorang mak cik berbaju Kedah bunga-bunga kecil yang inginkan kepastian.
“Ye... mereka dah mengaku perbuatan mereka tu. Polis dah tahan mereka sekarang. Patutlah mereka berpindah pada hari yang sama Alia hilang. Tapi kita semua sangka mereka berpindah kerana enggan duduk di kampung ni lagi. Maklumlah, harga getah menurun. Berapa sangatlah yang mereka dapat. Sudahlah sikit, kena bahagi dengan pemilik tanah lagi.” Jelas mak cik berbadan agak gempal yang duduk di sebelah mak cik berbaju Kedah.
Rifqi, Azizul dan Rahmat terus memasang telinga.
“Dengar khabar Alia hilang ingatan. Sebab tu dia tak hubungi Nek Pah.”
“Dia tergelincir di tepi sungai. Kepalanya terhantuk di batu lalu terus pengsan. Kebetulan Pak Husin lalu di situ. Dia terus selamatkan Alia. Mereka memang berkenan dengan sikap Alia sejak dulu lagi. Mereka juga simpati kerana kanak-kanak lain enggan berkawan dengan Alia. Lalu mereka ambil keputusan untuk menjaga Alia. Tambahan pula mereka tiada anak. Sepanjang Alia bersama mereka, dia dijaga dengan baik. Mereka juga mengubah namanya. Tapi Alia tidak dihantar ke sekolah. Pak Husin bimbang rahsia Alia terbongkar.”
“Macam mana ingatan Alia boleh kembali semula?”
“Ingatannya kembali secara tiba-tiba. Waktu tu Alia sedang berada di kebun Pak Husin bersendirian. Bila Alia sedar siapa dirinya, dia jadi bingung lalu terus keluar dari kebun. Dia terus menuju ke balai polis untuk meminta pertolongan.” Ujar mak cik berbadan gempal yang mendapat maklumat tersebut dari mulut Alia sendiri dan anggota polis yang telah membantu Alia.
Akhirnya misteri kehilangan Alia terbongkar juga.
Rifqi sudah memohon maaf dari Alia kerana telah memungkiri janji. Alia mengaku yang dia sedikit pun tidak menyimpan dendam terhadap Rifqi dan rakan-rakan yang lain.
Alia sudah kembali ke sekolah. Dia tidak bersendirian lagi. Rifqi, Azizul, Rahmat, Dalila, Jamilah dan semua murid tahun lima menjadi kawan baiknya.
Rifqi tersenyum lega. Perasaan bersalahnya terus lenyap.
“Rif! Rif! Bangun!”
Sayup-sayup terasa namanya sedang dipanggil. Sebentar kemudian badannya pula terasa bergoncang. Gambaran wajah Alia dan rakan-rakan terus terbang satu persatu.
Rifqi membuka mata. Dia terkulat-kulat memandang wajah ibunya.
“Dah masuk waktu Maghrib ni. Tak elok tidur waktu begini. Cepat bangun!” Puan Kamsiah membebel.
“Hah!”
Rifqi menggenyeh biji matanya. Dia terpinga-pinga. Dia tidak berada di dalam kelas sekarang.... tetapi di ruang tamu rumahnya.
“Er... Azizul dan Rahmat ada datang sini tak sebentar tadi?”
Masih terdengar namanya dilaung kedua sahabatnya itu. Mereka datang untuk memaklumkan kepulangan Alia.
“Tak ada sesiapa pun yang datang. Mimpilah tu! Cepat bangun pergi ambil wuduk.” Perintah Puan Kamsiah.
“Tapi... er...”
Rifqi bangun lalu duduk di atas sofa. Dia termangu di situ. Tak mungkin kepulangan Alia hanya satu mimpi!
“Laa... kenapa duduk di situ lagi. Abah dah tunggu nak solat bersama tu.” Puan Kamsiah menggeleng-geleng kepala.
“Mak... Alia dah dijumpai ke?”
Rifqi berharap sangat apa yang dilaluinya sebentar tadi bukannya mimpi.
“Kenapa Rif tiba-tiba tanya soalan tu? Rif... budak Alia tu dah setahun hilang. Langsung tak ada khabar. Entah hidup entah mati. Kau bermimpi Alia ye?” duga Puan Kamsiah apabila melihat sikap Rifqi yang pelik. Bangun tidur sahaja, terus tanya tentang Alia. “Rifqi... Rifqi... kau mengigau! Itulah, tidur waktu senja lagi!”
Rifqi meraup lemah mukanya. Mimpi yang indah. Mimpi yang membahagiakan. Mimpi yang melenyapkan perasaan bersalah. Ah, semua itu hanya mimpi! Rifqi melepaskan keluhan panjang. Dia bangun meninggalkan sofa dan menuju ke bilik air dengan muka moyok.
Teringat dia ramalan oleh seorang bomoh yang Alia akan kembali semula selepas dua belas tahun. Benarkah ramalan tersebut? Sebagai orang Islam, dia seharusnya tidak mempercayai ramalan. Namun, kerana terlalu mengharap, Rifqi tetap membilang hari. Diam tak diam sudah setahun berlalu....
Ini bermakna dia harus menanti sebelas tahun lagi....

p/s : aku sendiri belum berkesempatan utk melihat novel yang dah terbit ni. khabarnya dah sampai ke kampung minggu lepas. ingat nak blk kg tapi ujung minggu asyik ada program jer. ni baru selesai program perkhemahan...next week lak bengkel teater kanak2.. nampaknya minggu satu lagi baru aku dpt balik kg dan belek2 my novel ni. semalam ke popular taiping...dah sampai novel aku ni..masih dalam kotak, belum dipamerkan.. ikutkan hati nak beli jer.. tapi tak jadi.. baik aku beli terus dr penerbit...

4 comments:

dS said...

Tahniah!

Nak tau tak? Akak dah dapat 1 copy Jumaat lps (oder online) tp blm baca... tengah cari mood yg sesuai...

Catatan ZZ said...

YE KE?
TKSH BYK2...HUHU..PEMBELI PERTAMA KOT???

Anonymous said...

ooo sempat gi popular bagai...
kata nak g cuci kete je...

Catatan ZZ said...

pah gi cuci keta la...pastu merayap ke popular sat nak tgk my novel...

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...