Skip to main content

akan muncul....xxx..

Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng di atas rak tepi katil. Sudah pukul 7.05 pagi. Entah bila dia berlalu pergi, langsung aku tidak sedar. Aku terlalu mengantuk kerana semalam kami berbual sehingga dinihari. Berbual tentang kisah lalu. Kisah kali pertama kami bertentang mata…. Aku bingkas bangun lalu meninggalkan katil. Dia mungkin baru sampai di pintu pagar. Aku harus menghalangnya pergi. Aku tak ingin melalui kehidupan ini tanpanya di sisi biarpun sesaat….

Langsir berjalur biru laut dan putih itu kuselit ke tepi. Jendela kubuka sedikit luas. Cahaya matahari sepantas kilat terus memancar ke dalam bilik. Seolah pokok yang baru disirami air, begitulah keadaannya dengan bilik yang sentiasa suram itu. Udara yang selama ini berlegar-legar di dalam bilik berganti tempat dengan udara bersih dari luar. Yang lebih nyaman dan segar. Mataku bulat memerhati ke perkarangan banglo dan terus ke jalan keluar. Tiada sesiapa di situ. Aku merintih kehampaan kerana tidak sempat menghalangnya pergi.

Tak guna aku mencarinya, kerana aku yakin dia takkan kutemui. Dia memang bijak menghilangkan diri kerana kawasan ini miliknya.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut menyinggah pipiku. Rambut terus menutupi pandangan mataku. Segera kuselit rambut depan yang menutup pandangan. Pemandangan indah Kampung Jerai Tua terbentang luas di depan mata. Sayu hatiku melihat kampung kelahiran ibu. Kampung yang masih serba kekurangan itu.

Terasa baru semalam aku menjejakkan kaki ke Kampung Jerai Tua. Cepat benar masa berlalu. Diam tak diam sudah hampir dua tahun aku menjadi sebahagian dari penduduk kampung itu. Walaupun aku tak ingin menjadi sebahagian penduduk kampung Jerai Tua, namun takdir Tuhan… di sinilah akhirnya aku terdampar. Di sebuah banglo suram, di puncak bukit…. Segalanya sudah tersurat. Aku akan berkelana di sini sehingga dia bebas dari segala tuduhan.

Sesekali terlintas di hatiku untuk ke Kampung Jerai Tua, menjejak sisa-sisa kenangan lalu. Namun aku sedar, aku tidak diterima oleh penduduk kampung. Mereka telah memulau aku seperti mana mereka memulaukan insan yang kusayang. Ah, betapa kejamnya mereka. Aku dibenci hanya kerana aku mencintai dia.

Kaki ini juga terasa berat hendak melangkah ke sana. Seolah-olah ada besi yang merantai kedua-dua belah kakiku. Aku tak boleh sekali-kali meninggalkan banglo ini! Aku ada tanggungjawab yang lebih besar di sini. Aku harus menanti kedatangannya. Dia pasti muncul malam ini. Aku harus berada di sini untuk menyambut kepulangannya demi membuktikan kesetiaanku hanya kepadanya. Cintaku ini tak akan beralih arah biar seribu tahun lagi.
Aku mengalih kedudukan, membelakangkan jendela. Mataku merawang ke seluruh bilik. Bilik yang indah namun sepi. Sesepi diriku…. Biarpun tiada keindahan lagi di sini, aku tidak akan sekali-kali meninggalkan banglo ini biar pun dipaksa. Biarlah aku hidup sendirian di sini. Aku lebih rela memenjarakan diriku di sini daripada pulang ke kampung. Keindahan di luar bukan lagi menjadi satu keutamaan. Semuanya sudah berlalu sebaik sahaja mereka memutuskan tali silaturrahim denganku hanya kerana aku enggan menurut kata mereka agar meninggalkan banglo ini segera.

Ketukan di pintu mematikan lamunanku. Aku segera menoleh ke arah pintu. Dadaku berdebar saat daun pintu terbuka kian luas. Diakah? Diakah yang akan muncul di depanku sebentar lagi? Dia yang sering datang pada lewat malam dan pergi sebelum mentari muncul. Dia yang kurindui…. Walaupun dia tidak pernah mengetuk pintu untuk memasuki bilik kepunyaannya ini, hatiku tetap berdebar-debar.

Seorang lelaki berjambang putih tercegat di muka pintu sambil menatang dulang. Terus lenyap debaran di hati ini sebaik sahaja melihat lelaki berjambang dan berwajah bengis itu melangkah masuk. Harapan yang menggunung tinggi turut punah sekelip mata. Dia tak mungkin datang pada siang hari kerana bimbang nyawanya terancam.

“Sarapan.” Lelaki itu meletakkan dulang ke atas meja. Entah sarapan apa yang dimasaknya pagi ini, aku tak ingin ambil tahu. Aku juga tak ingin melihatnya. Seleraku sudah tertutup. Tertutup dengan berita mengejut itu. Mujurlah berita tersebut palsu semata-mata. Namun selera ini tetap berada di tahap rendah tanpanya di sisi menemani diri ini.

“Biarkan di situ.” Aku terus menoleh ke luar jendela. Air mata kukesat. Mudah benar air mata ini mengalir setiap kali merasa hampa.

“Nia nak apa-apa lagi?”

“Terima kasih, Pak Mat. Nia tak nak apa-apa.” Hampa, benar-benar hampa. Namun aku takkan berputus asa menanti saat itu. Saat di mana kami akan bertemu secara terang-terangan, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang atau was-was. Masa akan menentukan kebenaran. Dia tidak bersalah. Dia lelaki terbaik yang pernah ku temui dalam hidup ini.

“Pak Mat, tunggu!” aku menahan Pak Mat yang sudah hampir ke pintu.

Pak Mat menoleh ke arahku. Sinar bebola matanya penuh simpati. Aku tak inginkan simpati siapa-siapa. Yang aku perlukan adalah doa. Doa supaya aku dan dia dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh rasa gembira dan bahagia setelah penat mengharungi derita.

“Ada apa?”

“Pak Mat jangan kunci pintu luar.”

“Kenapa?”

“Dia akan datang lagi malam ni.” Aku mahu dia datang tanpa sebarang halangan.

“Nia… Tuan kan dah tak ada. Nia kena terima hakikat ni.”

Aku tersenyum kelat. “Pak Mat… jangan percaya dengan cakap orang kampung. Dia masih hidup. Sihat walafiat. Baru semalam kami bertemu. Cuma keadaan sahaja yang tak mengizinkan dia muncul secara terang-terangan. Bila kebenaran sudah terbukti, dia tak akan sembunyi-sembunyi lagi menemui saya, Pak Mat.” Aku jelaskan perkara yang sebenar. Aku tetap yakin khabar gembira akan menyusul jua suatu hari nanti. Khabar dia tidak bersalah. Dia tidak pernah terlibat dengan kejadian buruk yang menimpa penduduk kampung.

“Jangan biarkan fikiran Nia dipengaruhi oleh perkara yang bukan-bukan. Hakikat yang Tuan sudah pergi tak dapat ditolak lagi.”

“Dia masih hidup!” hatiku menjadi panas tiba-tiba dengan dakwaan Pak Mat yang tak berasas. Telah aku minta dia untuk menemui Pak Mat, tetapi dia enggan. Aku mahu dia bertentang mata dengan Pak Mat untuk membuktikan kebenaran kata-kataku ini. Namun dia tetap enggan. Katanya, masanya masih belum tiba.

Pak Mat menggeleng-geleng kepala sebelum keluar dari bilikku.

Pak Mat sama seperti penduduk kampung yang lain. Mereka masih tak henti-henti menyakiti hatiku. Mereka berpakat mengatakan yang pekerja ladangnya sendiri yang telah membunuhnya. Sedikit pun aku tak percaya pada tuduhan orang kampung. Buktinya, dia setiap malam mengunjungiku. Cuma dia masih keberatan menampakkan diri terang-terangan kerana bimbang orang kampung yang sememangnya membencinya tidak dapat menerima kenyataan. Dia juga bimbang nyawanya diancam semula oleh pekerja ladang yang tak berpuas hati dengan layanannya.

Aku melangkah malas ke kerusi lalu melabuhkan punggung. Roti bakar dan sejag oren hanya menjadi tatapan mataku.

Walaupun pelbagai halangan menghalang, kami tidak pernah berputus asa. Sesungguhnya aku bersyukur kerana dipertemukan dengannya. Lelaki yang dipulaukan, dihina, dituduh macam-macam oleh orang kampung hanya kerana kisah silam yang belum tentu kesahihannya. Namun dia mempunyai sekeping hati yang suci dan murni sehingga akhirnya berjaya mengetuk pintu hatiku.

Aku meninggalkan meja lalu menapak ke jendela. Itulah tempat yang paling aku gemar menghabiskan masa sambil menantinya. Terasa tenang bila berada di situ. Ketenangan yang sukar dimengertikan. Dari jendela tersebut aku dapat melihat alam yang terbentang luas di depan mata. Hanya kehijauan yang terpampang, segar mata memandang.

Menerusi jendela itu juga aku boleh melihat jalan masuk dengan jelas. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke perkarangan banglo menggunakan jalan tersebut tidak akan lepas dari pandangan mataku. Aku terus dan terus mengharap dia akan melangkah masuk ke perkarangan melalui jalan tersebut. Satu, dua, tiga.… Tiada sesiapa pun melalui jalan itu… aku melepas keluhan panjang. Aku ingin bersamanya setiap masa namun keadaan tidak mengizinkan.

Angin pagi bertiup lebih kencang. Sejuk. Di puncak bukit ini kesejukan lebih terasa. Aku lantas memeluk tubuh. Bibirku menggigil kesejukan. Kesejukannya mencengkam sehingga ke dalam tulang. Kesejukan itu terus menghanyutkan aku pada kenangan lalu.

Comments

Popular posts from this blog

Pengembalian Lebihan Caruman KWSP

Ke KWSP semalam. Hantar borang KWSP 14 untuk permohonan pengembalian lebihan caruman KWSP tahun lepas. Kat borang tu ada note : permohonan boleh buat dalam tempoh 2 tahun. Nasib baik penyata KWSP rumah. Baru aku perasan ada lebihan caruman 2 bulan tahun lepas. Dah genap setahun pun. Kalau lebih dari 2 tahun, aku pun tak pasti apa yang akan jadi dgn duit yang tersimpan tu. 
Sebenarnya tahun lepas aku dah keluarkan duit KWSP dua kali. Kali pertama atas nama permohonan pengeluaran untuk beli rumah. So, dapat keluarkan separuh. Dua bulan kemudian, aku keluarkan lagi lepas dapat surat Pemberian Taraf Berpencen (PTB). Belum kerani setel pemberhentian potongan KWSP dalam slip gaji, aku dah keluarkan. Terdesak masa tu sebab baru masuk rumah. Banyak duit nak pakai. Pasang gril, awning, lawyer, perabot dan macam2 urusan lagilah untuk masuk rumah baru ni. Yang beli rumah tu tahulah kos nak masuk rumah. 
Dipendekkan cerita, selepas dapat surat PTB & selepas keluarkan duit, dalam slip gaji pe…

Cara Buka Akaun Perniagaan Maybank

Awal tahun ni me n hubby sibuk urus buka akaun perniagaan iaitu akaun semasa di Maybank.Sebelum tu try nak buka akaun CIMB tp banyak prosedur wpun deposit awal 1k je. Dgn maybank kena 2k.Mula2 mintak borang dulu kat kaunter cakap nak buka ak perniagaan. Dorang bg sekeping kad. Dalam tu perlu isi nama perniagaan, pemilik, no pendaftaran ssm dan rujukan. Rujukan atau introducer ni kena cari syarikat yg dah ada akaun semasa dgn maybank. Mujur ada kawan yg dah ada akaun semasa. Lepas isi semua hantar balik ke maybank. Bawak sekali salinan sijil pendaftaran ssm, cop syarikat, salinan ic pemilik. Duit 2k tak payah lg sbb maybank nak buat carian dulu..tgk sama ada bisnes kita ni wujud dan ok ke tak. Tempoh masa diambil dlm seminggu and than dorang call utk urusan pembukaan. Masa tu standby duit 2k. Cop syarikat kena bawak selalu. Dah selesai baru kita boleh mohon maybank2u. Tu pun lepas dorang update. Me and hubby dtg keesokan hari utk mohon maybank2u. Kali pertama dtg lupa bawak cop so kena…

PERCUTIAN ATAS KAPAL - STAR CRUISE LIBRA

Alkisahnya, 1-2 Dec yg lalu, weolls FZ telah menghabiskan cuti 2h 1m atas kapal mewar Star Cruise Libra.
Dah lama plan nak ke sini, dalam 2 tahun lepas. asyik tergendala sebab ada yang nak pakej ke Krabi Phuket dan ada yang nak try semalam jer.
Akhirnya kami pakat pilih untuk rasa pengalaman semalam bermalam di atas kapal tengah laut. Sebulan sebelum (atau lebih, aku pun dah tak ingat), iolls pun survey2 la harga dan blog pengalaman mereka yang pernah ambil pakej ni.
Ada dua cara booking : online terus ke website star cruise atau by agen.
Aku try book utk my fmly tiga beranak dulu. Alhamdulillah, 3 orang RM770 (tak masuk cukai atas kapal RM50 sekepala). RM770 tu untuk 2 dewasa dan 1 kanak2 3 tahun. Pakej termasuk makan, kabin inside room (tak der tingkap).
Acu nak book untuk warga FZ yg lain, katanya dah penuh. Gabra aku dibuatnya. Biasa bercuti ramai2. Ni takkan kami 3 beranak jer?
Aku pun try contact agen. Katanya masih ada kekosongan. Tapi harganya lebih mahal RM50/kepala. Terpaksa…