Promo MDIC : BAB 1



KOMPUTER riba dari dalam beg dikeluarkan. Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba itu menjadi milik Ayra. Sudah lama dia mengimpikan untuk memiliki sebuah komputer riba, sejak bergelar mahasiswi, namun hajatnya itu tidak kesampaian.
Semasa di UiTM Arau dulu, pinjaman yang dia dapat sekadar cukup untuk perbelanjaan pengajian enam semester. Selesai diploma, dia sambung ke ijazah sarjana muda pula selama dua tahun di tempat yang sama.
Dia tiada sumber kewangan lain, hanya mengharapkan pinjaman PTPTN dan pendapatan yang diperolehi dengan bekerja ketika cuti semester. Selesai pengajian, dapatlah dia mengumpul sedikit wang dengan bekerja di sebuah pasar raya.
Apabila ditawarkan untuk mengikuti kursus Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau LPBS, Ayra terus membeli komputer riba. Gembira hatinya saat komputer riba bertukar tangan daripada penjual kepada dirinya. Komputer riba itu ditatang bagai minyak yang penuh. Bukan mudah untuk memilikinya, sebab itu Ayra menjaga komputer ribanya dengan baik.
Ayra mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, dengan opsyen Bahasa Inggeris. Kekurangan guru Bahasa Inggeris menyebabkan mereka dipanggil untuk mengikuti kursus LPBS. Ayra bersyukur kerana tidak sampai tiga bulan menjadi guru sandaran tidak terlatih atau GSTT, akhirnya dia ditawarkan kursus LPBS untuk diserap ke jawatan tetap.
Mengikut perjanjian, Ayra perlu menghadiri kursus interaksi setiap kali cuti sekolah di IPG Kampus Ipoh. Pengisytiharan naik taraf IPG Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru telah dilakukan pada tahun 2006. Pengisytiharan ini memberikan satu perubahan besar kepada institusi perguruan dengan bermulanya Program Pensiswazahan Guru yang dijalankan di IPG seperti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR).
Selain itu, IPG juga mula menjalankan latihan pra perkhidmatan yang boleh memberi pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda kepada guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSM) seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan B.Ed TESL.
Kampus Ipoh salah satu daripada 27 Institut Pendidikan Guru yang ada di Malaysia. Terletak di Hulu Kinta, Ipoh, IPG ini menawarkan pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kampus Ipoh mempunyai lapan blok asrama perempuan dan hanya tiga blok asrama lelaki.
Duduk berhadapan kolam di belakang blok A sambil menghirup udara segar memberi ketenangan yang sungguh bermakna buat Ayra. Dia melayari internet dan mengemaskini blog yang baru dibina. Dia berasa bebas bersendirian di situ. Tiada sesiapa yang mengganggu. Ayra boleh melayari internet selama mana dia mahu tanpa sebarang gangguan.
Semalam, hampir tiga jam dia berada di situ sambil melayari internet.Gila dia dengan dunia tanpa sempadan itu. Sebelum ini, Ayra kurang berminat dengan dunia internet. Dia sekadar melayari internet untuk mencari maklumat bagi menyiapkan tugasan. Namun sejak diperkenalkan oleh Nadira dengan blog, twitter, dan facebook, hatinya mula tertarik untuk memiliki akaun-akaun itu. Namun, masa tidak mengizinkan. Dia bukannya selalu melayari internet. Hanya hari-hari tertentu sahaja. Buat masa sekarang Ayra lebih berminat untuk memiliki blog.
Sebenarnya, banyak kebaikan blog jika pandai memanfaatkannya. Pengguna boleh memaparkan produk-produk yang dihasilkan. Jika rajin berusaha, mereka mampu menjadi jutawan dalam masa yang singkat. Pelayar internet semakin bertambah bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Ada juga yang mempamerkan hasil karya seperti sajak, cerpen dan novel. Malah ada juga yang memaparkan sesuatu topik untuk dibincangkan. Tapi, jika disalahgunakan, diri sendiri yang akan menerima akibatnya nanti.
Jari-jemarinya pantas menggerakkan tetikus lalu menekan ‘klik’ pada Mozilla Firefox sebaik sahaja isyarat sambungan internet sudah terpampang. Nadira yang mengajarnya membina blog. Hendak buat sendiri, dia tidak pandai. Baginya, Nadira seorang yang pakar. Nadira juga memiliki blog yang sudah berusia lima tahun. Namun sejak setahun lalu, blog Nadira tidak dikemaskini lagi. Terbiar begitu sahaja.
Ayra menarik nafas dan memandang alam sekitar di depan mata. Air kolam dan bukit-bukau yang hijau menenangkan jiwa. Memandang keindahan alam yang masih belum tercemar itu membuatkan matanya yang pedih kembali segar. Ayra menghabiskan masa selama beberapa minit menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa sebelum menyambung kembali aktiviti.
Mawar – itulah nama blog kesayangan Ayra. Dia tidak tahu hendak letak nama yang sesuai ketika mendaftar blog. Memandangkan dia minat pada bunga, jadi dia terus meletakkan nama Mawar ketika Nadira memintanya memberikan nama blog.
Minggu pertama, Ayra hanya letak info tentang pelbagai spesies bunga. Info itu turut diperolehi daripada internet. Adalah dua tiga orang peminat bunga yang mengunjungi blog Mawar dan memberikan respons mereka mengenai bunga. Ia menjadi perangsang buat Ayra untuk terus mengemaskini blog dan meletakkan sebanyak mungkin info tentang bunga.
Setakat ini, sudah lapan info yang dimasukkan berkaitan bunga. Blog Mawar masih kosong, berbeza dengan rakan-rakan blog lain yang sering dikunjungi. Tiada hiasan yang diletakkan melainkan beberapa kuntum bunga yang menjadi wallpaper. Nadira sekali lagi membantu Ayra meletakkan wallpaper bunga-bungaan. Ada jam digital dan kalendar di sebelah tepi. Maklumat diri langsung tidak ada. Gambar bunga mawar menggantikan gambar pemilik blog.
Pada mulanya, Nadira berkeras hendak meletakkan gambar Ayra. Apa lagi, Ayra terus menentang habis-habisan. Dia bukannya malu hendak meletakkan gambar, tetapi dia ada alasan tersendiri mengapa enggan mendedahkan diri. Identitinya biarlah menjadi rahsia.
“Apalah kau ni... itu pun nak malu. Manalah tahu, ada lelaki yang tersalah masuk blog kau ni, terus terpikat bila terlihat gambar kau.”
“Aku bukan nak cari jodoh dengan blog aku ni.”
Ayra tetap berkeras dengan keputusannya. Nadira terpaksa akur dengan keputusan temannya itu.
Mata Ayra tertancap pada satu komen di bawah entri terbaru yang dimasukkannya dua hari lepas. Dia memasukkan entri itu ketika berada di perpustakaan. Ketika itu, dia ke sana untuk mencari buku-buku yang sesuai bagi menyiapkan tugasan. Mujur dengan bantuan rakan-rakan, iaitu Dean dan Suhaila, mereka berjaya mengumpul maklumat tugasan. Malah berjaya menyiapkan tugasan lebih awal.
Selesai menyiapkan tugasan, Ayra menggunakan kesempatan untuk meletakkan entri baru di blog menggunakan sumber buku dari perpustakaan.
Jari-jemarinya menggosok keypad sehingga anak panah berhenti pada perkataan ‘1 komen.’ Ayra terus klik di situ kerana teruja hendak membaca komen yang dihantar pengunjung blog Mawar.
Terkebil-kebil matanya membaca sepotong ayat yang tercatat di situ.

Penipu! Topeng Muka Kau Akan Terbongkar!

Terpinga-pinga Ayra dengan baris ayat itu. Berulang kali dia membacanya, masih tidak percaya komen begitu dihantar ke blog kesayangannya. Pucat muka Ayra. Dahinya berkerut-kerut. Jantungnya berdegup kencang.
‘Pengirimnya; anonymous! Tak diketahui! Siapa penipu? Topeng siapa pula yang akan dibuka?’
Komen itu dihantar di bawah catatan yang berkaitan dengan penanaman bunga melur. Langsung tiada kaitan!
Ayra cepat-cepat daftar masuk ke akaun Google untuk segera memadam komen itu. Habislah kalau pengunjung lain membaca komen daripada seseorang yang enggan memperkenalkan dirinya itu. Tentu mereka akan memikirkan sesuatu yang buruk tentang dirinya. Itulah yang dia bimbang.
Ayra berjaya memadam komen itu. Dia menarik nafas lega untuk seketika. Terus hilang minatnya untuk mengemaskini blog. Dia juga hilang minat untuk membaca blog-blog lain. Fikirannya terus melayang pada komen itu tadi.
‘Penipu! Topeng muka kau akan terbongkar!’
Keresahan terus melanda jiwa. Siapakah yang menghantar komen itu? Adakah penghantar komen itu saja suka-suka? Atau ada makna tersirat? Peluh menitik di dahi. Ketakutan menguasai dirinya. Ayra bingkas meninggalkan tempat itu bersama komputer ribanya.

                                                                       

P/S : Dapatkan novel MDIC keluaran Buku Prima di toko buku berhampiran dengan harga RM19.90 sebuah.

Comments

Popular posts from this blog

Pengembalian Lebihan Caruman KWSP

Cara Buka Akaun Perniagaan Maybank

PERCUTIAN ATAS KAPAL - STAR CRUISE LIBRA