BAB 2
“Kenapa dengan kau ni? Macam tak sihat aje,” tegur Suhaila.
“Muka aku macam orang tak sihat ke?”
Ayra meraba pipi dan
dahinya. Cepat-cepat dia menghadap cermin bulat atas meja. Dia membelek-belek
wajahnya. Nampak biasa saja!
“Lain macam aje kau sejak petang semalam. Tapi aku takut
nak tegur. Kau ada masalah ke?”
Suhaila dapat membaca reaksi Ayra yang tampak kurang
bercakap sejak petang semalam. Dia juga asyik mengelamun, seolah-olah ada
sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.
“Tak adalah. Aku okey apa.”
Ayra membetulkan
selendang yang dipakai. Beg galas dan fail atas meja segera dicapai.
“Jomlah. Dah pukul 7.30 ni.”
Ayra terus menuju ke muka
pintu, enggan mengulas komen yang baru keluar dari mulut Suhaila. Walaupun mereka
baru saja kenal, hanya beberapa bulan sahaja, namun Suhaila sudah pandai meneka
apa yang bermain jauh di sudut hatinya. Suhaila seolah-olah tahu yang dia
sedang menyembunyikan sesuatu.
Suhaila cepat-cepat menyapu gincu di bibirnya yang
mungil.
“Tunggu aku kat luar.”
Ayra menarik daun pintu. Matanya terus melekat pada pintu
bilik yang bertentangan dengan biliknya. Pintu bilik penghuni di hadapan dan di
kiri tertutup rapat.
Ayra menyandar di dinding konkrit asrama. Fail kemas
dalam pelukan. Matanya terpejam rapat. Sepotong ayat yang mengganggu hati dan
perasaan terus berlegar di kepala. Siapakah yang menghantar komen tersebut? Ayra
terus berteka-teki. Dia menggigit bibir. Langsung tak boleh meneka pengirim komen
misteri itu.
Bingung! Semalaman dia sukar tidur memikirkan komen
tersebut!
Ayra tidak mampu
menolak ke tepi atau membiarkan sahaja komen tersebut. Dia telah cuba untuk
tidak mengingati komen tersebut namun gagal. Sebaik terbaca komen tersebut, dia
cepat-cepat memadamkannya dan terus menutup komputer riba. Keresahan bermain di
fikiran. Dia terus meninggalkan tepian tasik dan kembali ke asrama.
Sampai sahaja di bilik, Ayra terus merebahkan diri atas
katil. Rakan sebiliknya, Suhaila masih belum pulang. Suhaila dan rakan-rakan
yang lain ke pasaraya Giant berhampiran The Lost World Of Tambun untuk membeli barang
keperluan. Elaun baru masuk. Kursus interaksi pula baru bermula. Selama dua
minggu semua guru LPBS (Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah) akan berkampung
di institut perguruan ketika semua guru-guru dan murid-murid sedang menikmati
cuti persekolahan.
Terasa kepala otaknya seperti hendak pecah memikirkan
komen yang melampau itu. Dia amat berharap pengirim komen tersebut tersilap
menghantar komen ke blog Mawar.
Ayra menghela nafas berat.
“Eh Ayra, mengantuk lagi ke?” sapa Aisyah yang menghuni
bilik bertentangan.
Aisyah tertunduk-tunduk
di muka pintu. Dia sedang menyarung kasut. Calon-calon guru tidak boleh memakai
kasut sembarangan. Mereka harus memakai kasut yang bertutup depan dan belakang.
Mata Ayra terus terbuka.
“Tak adalah. Saja berangan. Dira dah siap?”
“Tengah bersolek lagi tu ha... Ila?”
“Nak siap dah. Kejap lagi keluar la tu.”
“Eh, Iqa dah bangun ke?” soal Aisyah.
Ayra mengangkat bahu. Matanya tertancap ke pintu bilik Syafiqah
yang tertutup rapat. Syafiqah tidak mempunyai teman sebilik. Dia lebih suka
duduk seorang diri.
Aisyah terus mengetuk pintu bilik Syafiqah.
“Sekejap!” jerit Syafiqah dari dalam bilik.
“Tengah bersiap la tu.”
“Dia memang ambil masa ke bila bersiap?” soal Aisyah.
“Kadang-kadang.”
Selama lebih kurang empat
bulan tinggal serumah dengan Syafiqah, Ayra memahami serba sedikit teman
serumahnya itu. Syafiqah lemah-lembut orangnya. Bila melakukan sesuatu, dia
memerlukan masa yang panjang. Mandi berjam-jam, bersiap pun berjam-jam, nak
menyiapkan tugasan lagi lama masa yang diambil.
Ayra dan Syafiqah
menyewa rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar. Mereka mengajar di sekolah
yang berlainan. Ayra mengajar di sebuah sekolah di Padang Rengas, manakala
Syafiqah pula mengajar di Lubuk Merbau.
Di asrama, mereka tidak
tinggal sebilik. Ayra lebih selesa tinggal dengan rakan sebilik yang telah
ditentukan sejak mula-mula mendaftar pada bulan Mac yang lalu iaitu Suhaila. Syafiqah
pula memang tidak berteman sejak mula lagi.
“Kak Ayra, Kak Aisyah, maafkan Iqa, Iqa terlambat.”
Syafiqah tercegat di
pintu. Kasut hitam berkilat tergantung di tangan kiri.
“Ada lagi orang lambat daripada kau Iqa.”
Aisyah mengerling ke
biliknya. Dia sebilik dengan Nadira.
“Hoi, kutuk aku ke?”
Nadira tercegat di muka
pintu bersama sepasang kasut Cinderella kesayangannya. Kasutnya yang
bertatahkan batu permata itu mengalahkan kasut pengantin.
“Bukan kutuk, tapi kami sedang puji. Cantik kau hari ni! Vouge! Dah tak macam nak ke kuliah dah.”
Mulut Aisyah boleh
tahan lancangnya. Dia suka mengenakan Nadira.
“Dah macam lecturer
kita, Dr. Kamelia. Kelas gitu!” usik Suhaila.
“Kalau tak bersolek, rugi pulak alat make up yang aku beli ribu riban
tu.”
Aisyah mencebik. Ayra senyum-senyum. Komen misteri lenyap
sekejap dari kepalanya. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan rakan sekelas
yang satu kepala. Suhaila, Aisyah, Nadira dan Syafiqah adalah teman rapatnya.
Ayra dan Aisyah berjalan menuruni anak tangga, diikuti Suhaila,
Nadira dan Syafiqah. Bilik mereka di aras tiga, blok C. Sampai sahaja di tempat
parkir, Nadira terus menekan alarm
keretanya.
Toyota Rush dihadiahkan
oleh ibunya kerana dia bersetuju untuk mengikuti kursus LPBS. Ibunya berharap
sangat agar dia menjadi seorang pendidik.
Nadira sebenarnya
langsung tidak berminat hendak bergelar seorang pendidik. Dia lebih suka dengan
pekerjaan glamour seperti menjadi
model atau pramugari. Namun hasratnya dibantah keras oleh orang tuanya. Dia
dipaksa menjadi guru sandaran tidak terlatih dan seterusnya diserap ke jawatan
tetap dengan mengikuti kursus di institut perguruan ketika cuti sekolah.
Nadira memandu keretanya menuju ke kawasan kafeteria. Dia
memarkir keretanya di bawah sepohon pokok. Lima orang gadis melangkah menuju ke
kafeteria untuk bersarapan.
“Diam saja Kak Ayra. Kenapa?” soal Syafiqah yang muda
setahun darinya.
“Err... tak ada apa-apa.”
Ayra mengukir senyum
hambar. Dia belum bersedia hendak menjawab soalan yang diajukan oleh Syafiqah
secara tiba-tiba itu.
“Tadi aku dah tegur,” balas Suhaila. “Sejak semalam Si
Ayra ni diam saja. Macam ada masalah besar je.”
“Aku tak apa-apalah.”
Ayra beratur. Dia mencapai
piring untuk mengisi kuih.
“Kalau ada masalah, ceritalah pada kami. Jangan segan.
Walaupun kita semua baru kenal, tapi kita kan dah macam adik-beradik.” Ujar
Aisyah.
“Betul cakap Aisyah. Jangan pendam masalah. Lebih baik
diluahkan. Mana tahu kami semua dapat membantu.” Sokong Suhaila.
“Terima kasih semua. Aku hargai bantuan korang semua.
Buat masa sekarang memang aku tiada masalah. Cuma, aku penat sikit. Hari Ahad
sampai sini, Isnin dan mula kuliah. Barang-barang masih dalam beg. Tak sempat
nak susun dalam almari lagi.”
“Tapi sempat lagi pergi online tepi kolam,” usik Suhaila.
“Kat sini internet free.
Sebab tu aku tak boleh lepaskan peluang.”
“Peluang untuk chatting
dengan pakwe,” sampuk Aisyah.
“Isy tak adalah... mana aku reti nak chatting.”
Ayra cepat-cepat isi dua
biji karipap dan memesan teh tarik lalu terus ke meja makan yang masih kosong.
Sebentar kemudian Suhaila dan Aisyah memenuhi tempat
kosong.
“Oh ye, hujung minggu ni kenduri kahwin kakak aku. Korang
semua kena datang tau.”
Nadira yang baru tiba
dengan nasi goreng menjemput rakan-rakan ke rumahnya.
“Penang... jauh tu. Kau nak pergi ke?” Aisyah memandang
tepat ke wajah Ayra.
“Aku ikut je.”
“Kalau nak pergi, kena bertolak awal sehari. Penang tu
jauh.”
Suhaila memberi
cadangan.
“Ish, tak jauhlah. Tapi, kalau korang nak datang awal,
aku lagi suka. Korang tidurlah kat rumah aku. Jangan risau, rumah aku tu banyak
bilik kosong.”
“Tapi bila kenduri, bilik kosong mesti penuh dengan
saudara mara kau. Eh Iqa, kau orang Kedah, kan? Jauh tak rumah kau dengan rumah
Dira.”
“Dekat je. Kak Dira kat Butterworth, Iqa kat Kulim. Kalau
korang nak duduk rumah Iqa pun apa salahnya. Hari Ahad tu Iqa suruh abang Iqa
hantar kita ke rumah Dira.”
“Okeylah Dira. Kalau tak ada apa-apa, kami datanglah nanti,”
ujar Suhaila.
‘Tidur di rumah Iqa?’ Ayra menghela nafas berat. Dia
tidak suka bermalam di rumah orang.
No comments:
Post a Comment