Thursday, September 27, 2007

Hati ke Hati

“Semuanya RM10.40.” Ujar pemilik gerai acuh tak acuh. Matanya masih merenung tajam pada lelaki di hadapannya.
Izhanie menyerahkan wang secukupnya. Selesai masalah! Tiada lagi perbalahan. Tanpa membuang masa sesaat pun dia segera beredar dari gerai tersebut. Dia harus mengejar masa agar tidak terlewat untuk menghadiri kuliah.
“Saudari, tunggu!”
Izhanie berhenti melangkah lalu menoleh ke belakang. Lelaki yang kehilangan dompet itu memandang tepat ke wajahnya. Apahal dengan mamat ni? Renungannya seolah-olah mahu menelan aku. Dia menggerutu.
“Terima kasih.” Lelaki itu menghampirinya, tersengih-sengih malu.
La… nak ucap terima kasih saja ke? Tadi, dia cuma lihat wajah lelaki itu dari tepi. Namun, bila berhadapan... lidahnya tiba-tiba kelu. Boleh tahan. Matanya tak berkelip memandang lelaki itu.
“Kita saling kenal ke?” aju lelaki itu kehairanan apabila ditenung lama gadis di hadapannya.
Izhanie terus menggeleng dan mula mengatur langkah. Malu! Dia gagal mengawal diri. Kenapa dengan aku ni? Lima belas minit lagi kuliah akan bermula. Dia tidak harus membuang waktu lagi. Kuliah yang akan dihadirinya memerlukan dia memberi perhatian sepenuhnya.
“Saya akan bayar balik.” Lelaki itu cuba menyainginya.
“Tak payahlah.” Dia memang ikhlas ketika menghulurkan bantuan. Tak terfikir pun dia untuk menuntut lelaki itu membayar balik wangnya. Dan dia turut menghalalkan duitnya. Alah, setakat RM 5.70 aje, bukannya beribu-ribu. Dapat juga aku pahala.
Lelaki itu tetap bersaing dengannya. Dia terasa rimas bila beriringan dengan lelaki yang tidak dikenali. Isy, kenapa dia mengekori aku? Kan aku dah cakap tak perlu bayar balik wang aku tu. Dia seharusnya bersyukur dan terus pergi sebelum aku mengubah fikiran.
“Ini dikira hutang. Saya mesti bayar balik duit awak tu.” Lelaki itu bertegas. Dia harus membayar balik wang gadis itu dan kalau boleh dia mahu mengucapkan terima kasih pada gadis itu dengan caranya yang tersendiri. Hatinya terdetik untuk berkenalan dengan gadis budiman itu lebih dekat.
Izhanie berhenti melangkah. Lelaki itu ditenung tajam. “Ada duit ke? Bukan ke dompet awak hilang?” dia melepaskan sindiran. Ah, macamlah aku tak tahu taktik orang sepertinya untuk mendapat makanan percuma. Bila perut sudah kenyang, mulalah mereka berlakon. Dompet hilanglah, makanan ada lipaslah dan macam-macam lagi. Huh, nak bayar balik duit aku konon1 Macamlah aku tak tahu dia tu sesen pun tak ada. Boleh jalanlah!
“Betul, saya tak tipu! Dompet saya memang hilang.” Lelaki itu membela dirinya seperti ketika dimarahi pemilik gerai. “Saya pun tak tahu bila dan di mana dompet saya tu hilang. Sedar-sedar dah tak ada dalam poket ni. Malu saya tadi.” Dia tidak boleh membiarkan gadis itu percaya tuduhan pak cik pemilik gerai. Itu akan menjadi penghalang kepadanya untuk berkenalan dengan gadis itu.
“Okey, katakan dompet awak tu benar-benar hilang.” Izhanie mula bengang dengan sikap lelaki itu yang terus berdalih. “Ha, tu…” Dia memuncungkan mulut ke arah telefon bimbit di genggaman lelaki itu. “Gunalah handset canggih awak tu. Hubungi kawan awak, minta tolong kawan awak bayarkan. Tak adalah pak cik tu nak marah-marah.” Dia mencebik. Ada juga perasaan malu rupanya mamat ni. Kelakarnya. Tak payahlah nak bagitahu aku tentang dompet kau tu. Sikit pun aku tak percaya. Dia memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Pakaiannya yang selekeh memudahkannya untuk meneka siapakah lelaki itu yang sebenar. Tentunya kutu lepak. Ah, sayang, wajah sekacak ini menjadi anak muda yang tidak berguna pada masyarakat. Kalau pergi agensi model, tentu dah diterima. Sayangnya lelaki macam dia mana pernah nak fikir masa depan. Yang mereka tahu hanya berseronok.
“Er….” Lelaki itu terkedu! Bodoh, apasal aku tak terfikir pun nak call Joe! Malu mula menyelinap. Dia tidak boleh biarkan gadis itu fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. “Er… bagi tahu saya di mana awak tinggal. Saya janji malam ni juga, saya jelaskan hutang. Saya betul-betul terhutang budi pada awak.” Lelaki itu akan membuktikan yang dia bercakap benar. Kepercayaan gadis itu harus diraih kerana hatinya sudha terpaut pada gadis itu!
Ah, ini tentu taktiknya untuk mengetahui di mana aku tinggal. Bila dah tahu, silap-silap haribulan dia akan datang cari aku bila dalam kesusahan. Ah, aku bukannya bank. Boleh jalan da! Izhanie mencebik.
“Awak tinggal kat mana? Rumah sewa? Kolej?”
“Atas pokok!” balasnya dengan perasaan geram. “Saya dah halalkan hutang awak tu. Saya tolong awak tadi tu… bukan sebab saya mahu awak rasa terhutang budi pulak pada saya. Saya tolong tadi sebab saya… saya dah terlewat nak ke kuliah, tak larat nak tunggu lakonan.” Ujarnya sambil merenung tepat ke wajah lelaki itu, menafikan yang dia sememangnya ikhlas.
Mereka bertentang mata sejenak. Namun akhirnya dia mengalah. Renungan lelaki itu lebih berbisa. Dia segera memaliskan pandangan. Entah mengapa hatinya berdebar-debar bila menatap wajah lelaki. Walaupun membisu, tetapi lelaki itu seolah-olah sedang berbicara dengannya. Dari hati ke hati!

No comments:

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...