“Arghhh... bosannya!” jerit Fida sekuat hati sehingga mengejutkan lamunan sahabatnya, Jaja.
“Duduk tak buat apa, memanglah bosan. Cuba belek-belek majalah depan mata tu, ada juga faedahnya.” Balas Jaja yang sedang mencari ilham di tepian jendela.
“Dah… aku dah baca dah. Semua rencana yang tertulis aku dah khatam. Bosanlah! Kau tak rasa bosan ke duduk diam tak buat apa-apa?” soal Fida.
“Kau memanglah nampak aku duduk diam tak buat apa. Tapi otak aku ligat berfikir, tahu tak? Sampai nak pecah cari idea sesuai.”
“Ee… bosanlah. Macam manalah kau boleh jatuh hati dengan bidang penulisan? Hentikanlah minat kau tu kalau setakat menulis untuk diri sendiri.”
“Kau jangan hina aku, okey?” Jaja bercekak pinggang.
“Aku tak hina. Aku nak cabar kau. Cubalah kau hantar karya kau tu ke majalah.” Fida memberi cadangan.
“Aku belum ada keberanian…. Tunggulah, satu saat nanti aku pasti akan hantar. Kau tengoklah.”
“Huh!” Fida mencebik. “Arghhh… bosan!” dia menjerit lagi. “Hidup aku mendatar sekarang. Bangun pagi, bersiap-siap, sarapan, naik motor pergi kerja. Pukul 12.30 rehat. Makan. Kemudian masuk balik pejabat sampai pukul 4.00. Habis kerja, balik. Duduk rumah sampai malam. Tidur, Bangun dan perkara yang sama berulang lagi. Nak pergi bersiar-siar hujung minggu tak boleh. Tak ada kenderaan. Yang ada hanya motor. Tak boleh pergi jauh. Lesen tak ada. Bosanlah!”
Jaja tersengih. “Putaran hidup aku pun sama macam kau. Yang berbeza, otak aku ligat berfikir. Jadi taklah bosan sangat. Kau carilah hobi.”
“Hobi? Hobi apa nak buat? Hobi aku berjalan-jalan. Tapi tak ada kenderaan.”
“Naiklah bas.”
“Lecehlah! Melambatkan masa aku saja. Kalaulah aku ada boyfriend….”
“Itulah, kau jual mahal dengan Leman. Kalau kau terima dia, sekurang-kurangnya hujung minggu tak adalah terdengar jeritan bosan lagi!”
“Guard tu? Sorry!”
“Jangan hina. Dia ada juga kereta. Boleh bawa kau jalan-jalan hujung mingu.”
“Malu aku nak naik kereta dia tu.” Juih Fida.
Jaja hanya mampu menggeleng kepala. Citarasa Fida tinggi tak padan dengan kedudukannya sebagai kerani stor. Yang diidamkan Fida adalah penyelia kilang, bos dan artis. Jaja bangun meninggalkan ruang tamu, malas hendak melayan Fida yang seperti orang sakit jiwa itu. Hari-hari menjerit perkataan bosan. Sampai naik bosan Jaja mendengarnya.
“Jaja, kau nak ke mana?” soal Fida yang bertambah bosan jika tiada teman berbual.
“Tandas. Nak ikut?” Jaja tersengih-sengih.
“Huh!” Fida menjeling tajam. Dia mencapai remote tv di atas meja. Chanel Media Prima ditekan satu demi satu. Namun tiada rancangan menarik yang sedang ke udara.
“Bosan!!!” jeritnya sekuat hati bagi melepaskan perasaan yang terbuku di hati.
Fida meninggalkan pejabat. Tugasnya sebagai kerani stor sudah selesai. Dia menjenguk ke ruangan operator. Jaja sedang tekun bekerja.
“Tak balik lagi?” sapa Fida.
“Aku buat OT hari ni.” Balas Jaja.
Terpaksalah Fida pulang ke rumah bersendirian. Ketika sedang mengeluarkan motor dari garaj dia tiba-tiba ditegur seseorang.
“Nak pulang dah ke?”
Mulut Fida kumat kamit. Dah tahu tanya lagi. Bosan! Mahu sahaja dia terbang dari tempat tersebut.
“Abang Leman pun dah nak pulang. Fida dahaga tak? Abang Leman nak ajak minum.”
“Terima kasih ajelah!” Fida tidak pernah memberi muka pada Leman. Namun Leman tidak pernah berhenti mengusiknya. Satu kilang sudah tahu. Fida cepat-cepat menghidupkan enjin motor. Dia segera memecut laju membelah jalan raya. Kilang roti ditinggalkan segera.
Fida menggetap bibir. Melalui cermin sisi, dia dapat melihat sebuah kereta sedang mengikutinya. Leman! Lelaki tu masih tak faham-faham! Rungut Fida. Dia membelok ke kanan, memasuki kawasan kampung. Leman juga membelok keretanya ke sebelah kanan. Tak guna! Fida membebel. Setahunya Leman menyewa di sebuah taman perumahan, bukan rumah kampung sepertinya. Dia dan Jaja menyewa rumah kampung kerana sewanya yang rendah berbanding ruman di taman.
Tiba-tiba…
“Mak!!!!!!!!!” Fida menjerit kuat. Dia telah melanggar sesuatu! Kakinya segera menekan brek. Kepala ditoleh ke belakang. Seekor itik sedang menggelupur.
Fida bingung. Apa yang harus aku lakukan sekarang? Melarikan diri? Membantu itik yang sedang nazak? Fida masih kebingungan di atas motor. Leman sudah tidak mengekorinya. Mungkin dia memang patut melarikan diri.
“Ha, kakak langgar itik Tok Yah.” Satu suara kedengaran dari dalam semak berdekatan. Seorang budak lelaki terjengul sambil mendukung anak ayam.
Fida kaget. Ada saksi yang melihat perlanggaran tersebut. Ah, budak mentah! Fida yang ketakutan segera memecut laju motor. Dia kenal dengan Tok Yah. Nenek tua itu memang garang orangnya. Mulutnya becok. Bercakap tak pernah berlapik.
Sampai sahaja di rumah, Fida terus masuk ke dalam bilik. Peristiwa yang berlaku terus mengganggu fikirannya. Budak lelaki itu pasti akan mengkhabarkan kepada Tok Yah apa yang dilihatnya. Fida berharap itik Tok Yah selamat. Jika mati, habislah Fida. Fida ingat lagi waktu Tok Yah kehilangan anak ayamnya yang baru menetas kerana dilanggar kereta. Dia terus menyumpah seranah pemandu tersebut.
“Boleh aku masuk?” terdengar suara Jaja di luar.
“Ma… masuklah.” Balas Fida yang berteleku di atas katil. Dia tidak sedar dua jam sudah pun berlalu.
Jaja menolak daun pintu.
“Aku dengar kau langgar itik Tok Yah sampai mati. Betul ke?” soal Jaja yang inginkan kepastian.
“Kau pun tahu?” kecut perut Fida.
“Satu kampung dah tahu Fida…. Apasal kau biar je itik tu sebaik kau langgar dia?”
“Aku… aku takut tuannya marah.”
“Memang tuannya marah pun. Ha, selama ni kau asyik merungut bosan. Mulai saat ini, aku yakin kau tak akan merasa bosan lagi. Hidup kau juga takkan mendatar lagi. Tok Yah sedang tunggu kau di luar tu!”
“Hah?!”
Jaja tersenyum sinis.
“Pergilah keluar, minta maaf kat Tok Yah.”
Perlahan-lahan Fida bangun meninggalkan katil. Sebentar lagi dia pasti akan dimaki hamun Tok Yah. Betul kata Jaja, hidupnya tidak akan menjadi bosan lagi. Bukankah ini yang aku mahu? Fida menyesal. Sepatutnya dia merasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Ilahi kepadanya selama ini. Putaran hidup yang baik. Dia harus bersyukur dan bukannya merungut bosan dengan apa yang dilaluinya.
Hidupnya tidak mendatar lagi!
p/s : tahun 2007 punya story..adaptasi 50% kisah benar..hehehehe...