"Baru balik dari sekolah?"
Ah, kau lagi! Hari-hari kaulah orang pertama yang selalu menegurku sebaik sahaja aku melangkah turun dari bas sekolah. Kalau gadis lain, tentu mereka suka jika sering disapa lelaki. Tapi, aku tidak. Aku memang tidak gemar dengan sikap kau itu. Benci! Menyampah! Tak ada kerja lain lagi ke yang kau boleh lakukan? Cuma yang kau tahu, melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang. Lelaki lain yang sebaya dengan kau tentu berada di menara gading sekarang atau sudah melangkah ke alam pekerjaan. Ah, buang masa saja jika aku layan pemuda yang tak ada masa depan seperti kau!
Masuk hari ini dah cukup seminggu kau menunggu kepulanganku dari sekolah. Sebelum ini aku tak pernah lihat kau. Dan aku langsung tak kenal siapa diri kau. Sudah hampir tiga bulan aku menetap di sini. Tak pernah aku lihat kau di kedai kopi mahupun di tempat lain. Mungkinkah kau orang luar yang bertandang ke rumah saudara mara yang menetap di kampung ini? Ah tak mungkin! Berdasarkan dialek yang kau tuturkan, aku yakin benar kau penduduk jati kampung ini.
Ah, persetankan dia! Buat apa aku memeningkan kepala memikirkan lelaki seperti kau. Aku benci dengan pemuda-pemuda yang suka lepak dan ganggu pelajar-pelajar sekolah.
"Nadyne, telefon!" Laung Kak Nadya sebaik sahaja aku tiba di rumah. Lelah pun masih belum hilang.
Telefon? Siapa pulak yang hubungi aku ni? Inilah panggilan pertama yang aku terima sejak tinggal di rumah Mak Nab. Seingat aku, nombor telefon rumah Mak Nab tak pernah aku berikan kepada sesiapa pun, hatta teman sekelas sekali pun. Dulu memang aku suka berbual di telefon, berjam-jam lamanya pun tak kisah. Tapi kini tidak lagi. Telefon bimbit juga telah aku jualkan.
"Lelaki." Bisik Kak Nadya sambil menghulurkan gagang telefon. Kak Nadya tersengih-sengih.
Lelaki? Aku bertambah hairan. Lelaki mana pulak yang ingin bercakap denganku?
Irshad?
Aku meletakkan gagang selesai sahaja berbual pendek dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Siapakah Irshad? Dari mana dia tahu aku tinggal di rumah Mak Nab? Telah aku ajukan soalan itu kepada Irshad, namun jawapan Irshad memeningkan kepalaku. Katanya, kalau dia dah suka seseorang, dia akan berusaha untuk mendapatkan maklumat gadis itu. Aku minta dia perkenalkan dirinya secara empat mata denganku, tapi dia enggan. Katanya, masih terlalu awal untuk mengatur temu janji. Mengada-ngada! Bukannya aku mahu buat temu janji dengannya, aku sekadar ingin melihatnya, sama ada Irshad itu memang wujud atau tidak.
Hairan! Entah-entah rakan sekelasku menyamar sebagai Irshad, sengaja untuk mengenakan aku. Ah, tak mungkin! Aku cam suara Daud, Maliq dan rakan-rakan sekelasku yang lain. Siapakah gerangan lelaki yang bernama Irshad? Mustahil Afzal menyamar sebagai Irshad. Telah aku padamkan namanya dalam kamus hidupku. Afzal lelaki tak guna yang terus menjauhkan diri apabila aku ditimpa kesusahan. Afzal, lelaki yang tak setia pada cinta. Afzal. lelaki yang pandai suka berjanji itu ini tapi takut untuk mengotakannya.
Aku tak terdaya lagi untuk memikirkan siapa Irshad. Dia ingin berkenalan lebih rapat denganku. Aku berterus-terang kepadanya yang aku sudah punya ramai kawan lelaki. Cukuplah kawan-kawan lelaki di sekolah, aku tidak ingin menambah kenalan lagi. Bukannya aku gadis yang sombong, tapi…kenangan lalu menyiksa jiwa.
Sudah masuk minggu ketiga, kau masih setia menanti kepulanganku. Buat apa kau sia-siakan masa emasmu dengan menantiku. Apa yang ada pada aku ini sehingga menarik perhatianmu? Tak bosankah kau dengan aku yang tak pernah melayan kehendakmu. Kau ajak aku berbual, aku tolak. Kau pelawa aku minum, pun aku tolak. Berhentilah menggangguku.
Aku tidak akan sekali-kali melayan lelaki sepertimu. Aku bukanlah gadis murahan yang sekali ditegur terus boleh diusung ke sana dan ke mari. Jangan kau harap wajahmu yang kacak akan dapat mencairkan kekerasan hatiku.
"Masam aje muka, kena marah dengan cikgu ke?"
Terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi.
Geramnya aku! Muka aku masam ke, manis ke, buat apa kau peduli? Biarkan aku begini. Ingin sekali aku menjerit dan menyatakan yang aku bencikan kau, bencikan usikan kau. Tapi fikiran aku masih waras. Hatiku masih mampu menahan sabar. Dan aku tidak mahu memalukan kau di hadapan teman-teman kau. Jatuh pula saham kau nanti. Lebih baik aku mendiamkan diri. Pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas yang sama pasti tersenyum-senyum setiap kali terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi menggangguku. Pasti mereka cukup arif menilai sikap kau. Lelaki yang tak tahu malu. Tak pernah aku layan, tapi kau masih tak jemu-jemu menggangguku. Memang kau seorang lelaki yang penyabar…
Aku suka tinggal di kampung yang terletak di pedalaman ini. Segala-galanya yang ada di kampung memikat hatiku, kecuali satu. Kau! Ah, kenapa mesti ada kau di sini? Jika kau tiada, tentu bertambah tenteram kehidupanku di sini.
Kampung ini telah banyak mengajar aku erti ketabahan hidup. Mama juga tidak lagi bersedih sejak tinggal di sini. Aku sedar mama menderita akibat perbuatan papa. Badan mama kurus dan saban hari mama menangis. Syukurlah kerana di kampung ini mama telah banyak berubah. Aku dan Kak Nadya gembira melihat perubahan mama. Di kampung ini juga aku sudah dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Tidak seperti di bandar dulu. Jiwaku tertekan dan aku tewas untuk menghadapi dugaan hidup. Masalah mama dan papa mengganggu pelajaranku. Hinggakan semangat untuk belajar terus pudar.
Suasana di kampung ini berbeza sekali dengan di bandar. Segala-galanya mendamaikan. Kampung terpencil ini terlalu indah buatku. Kicauan burung dan lambaian pohon kelapa memikat hatiku. Aku juga dapat merasa betapa dinginnya mandi air bukit. Aku bahagia di sini. Di bandar dulu, aku hidup dalam kemewahan. Namun kemewahan tersebut tidak dapat memberi ketenangan padaku. Bahkan kemewahan itulah yang meragut kebahagiaan keluargaku.
Pip! Pip!
Hon motosikal yang lalu di hadapan rumah Mak Nab mengejutkan lamunanku. Aku cam siapa penunggang motosikal tersebut. Kau! Sempat lagi kau menghadiahkan senyuman untuk aku. Terus aku mencebik! Tak sampai lima minit, kau lalu lagi di hadapan rumah Mak Nab dengan motor kapcai. Aku terus melangkah ke dalam rumah, malas untuk melayan karenahmu yang seperti budak-budak.
Hari ini aku terima panggilan dari Irshad lagi. Selang tiga hari aku akan terima panggilan darinya. Irshad, siapa dirimu yang sebenar? Kau membuatkan aku sering tertanya-tanya. Kau masih menyatakan keinginanmu untuk berkenalan dengan aku. Dan seperti biasa, aku tidak pernah melayan keinginanmu itu. Selagi kau tidak berani untuk berhadapan dan bertentang mata denganku, aku tidak akan menerima kehadiranmu dalam hidupku. Apa yang membuatkan kau begitu beria-ia untuk menjalin persahabatan denganku? Tiada apa-apa keistimewaan pada diri ini. Aku gadis yang banyak menanggung derita...
"Sekarang ni Nadyne dah ada peminat, mama. Selalu terima panggilan dari lelaki."
"Itu bukan peminat Nadynelah, kak."
"Tak nak mengaku pulak.” Kak Nadya mencubit pipiku.
"Nadyne, mama harap Nadyne tumpukan perhatian pada pelajaran dulu. Ketepikan dulu soal cinta." Sampuk mama.
"Mama, Nadyne tak bercinta dengan lelaki tu. Kenal dia pun tak, mama." Aku membela diri.
"Setakat nak berkawan, mama tak halang. Tapi pandai-pandailah jaga diri."
Mama, kau terlalu mengambil berat tentang diriku. Aku berjanji akan membahagiakan hidupmu, mama. Aku berjanji akan memenuhi segala impianmu…
Aku tahu mengapa mama meminta aku agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Mama takut aku kecundang di tangan lelaki. Pengalaman hidup masa lalu telah banyak mengajar mama. Mama tidak mahu aku dan Kak Nadya menerima nasib yang serupa dengannya. Mama telah banyak berkorban untuk aku, Kak Nadya dan papa.
Papa? Ah, papa seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan! Papa tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dalam keluarga. Papa hanya tahu melepaskan kemarahannya pada mama. Aku dan Kaka Nadya turut menjadi mangsa kemarahan papa. Sakitnya tamparan dan tali pinggang papa menghentam tubuhku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hidupku diselubungi ketakutan yang memanjang. Terasa saat itu tiada gunanya lagi aku meneruskan hidup sehingga aku pernah cuba untuk membunuh diri...
Mama banyak berkorban untuk papa. Malangnya papa tidak pernah menghargai pengorbanan mama. Mama sanggup membuang orang tua semata-mata kerana cintakan papa. Kedegilan mama kerana tidak mahu dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya menyebabkan mama disingkirkan.
Sehinggalah kelahiran Kak Nadya, datuk dan nenek masih tidak dapat menerima perkahwinan mama dengan papa. Akhirnya mama mengerti dia tidak diperlukan lagi oleh keluarganya. Mama tidak pernah pulang lagi untuk menemui orang tuanya. Aku dan Kaka Nadya tidak pernah melihat datuk dan nenek sebelah mama mahupun papa. Orang tua papa telah lama meninggal dunia ketika papa masih bersekolah. Papa dibesarkan oleh bapa saudaranya.
Masih kuingat lagi kemesraan papa tika aku dan Kak Nadya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu kehidupan kami sekeluarga sedehana sahaja. Papa masih pekerja bawahan. Papa telah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang pada kami. Papa tidak pernah memarahi kami, jauh sekali untuk memukul. Apa yang kami hajati akan cuba dipenuhi. Ah, betapa aku bahagia saat itu, mempunyai seorang ayah yang penyayang. Tuhanku, kenapa manusia cepat benar berubah?
"Awak seorang gadis yang sangat cantik. Tapi kalau awak bertudung, lagi cantik!" Kau menghampiriku. Satu tindakan yang agak berani. Selama ini kau hanya berani menyapaku dari jauh sahaja.
"Tolong jangan ganggu saya!" Aku membuka mulut buat pertama kali. Sindiran lelaki itu terlalu tajam.
"Saya bukannya mengganggu, cuma memberi teguran secara ikhlas. Awak tentu tambah cantik jika bertudung. Satu lagi teguran ikhlas dari saya, kalau awak nak tinggal di kampung, kenalah ikut cara kampung. Tak manis kalau anak dara macam awak ni berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan."
"Awak siapa pandai-pandai tegur saya? Macamlah awak tu baik sangat! Satu-satunya kerja yang awak tahu buat hanyalah melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang!” Aku melepaskan kemarahan. Tentu kejadian tempoh hari menyebabkan dia berani berkata begitu. Ketika dia melalui rumah Mak Nab, aku memang berpakaian ringkas. Cuaca yang panas menyebabkan aku berpakaian begitu.
"Sebagai saudara sesama Islam haruslah kita saling tegur-menegur jika ada sesuatu yang tak kena. Tak semestinya saya ni abang awak atau ayah awak atau… suami awak baru saya boleh nasihat. Tak gitu?"
"Huh! Nasihat diri awak tu dulu sebelum nak menasihati saya!" Aku terus mempercepatkan ayunan langkah. Darahku membuak-buak. Berani betul kau menegur caraku. Kita bukannya sahabat atau saudara yang membolehkan kau menegur apa yang tak kena denganku. Aku akui, memang aku gadis yang sensitif.
Aku terus ke dalam bilik dan menghempas diri ke atas katil. Aku bengang dengan sikap kau yang kurang ajar. Kenapa kau suka ganggu hidup aku? Semakin lama, semakin kau menjadi-jadi. Mentang-mentanglah aku tak pernah tinggikan suara pada kau setiap kali kau menggangguku. Ah, kenapa masalah tak habis-habis menyerang hidupku?
Deringan telefon di luar bilik kedengaran. Aku segera menghampiri.
"Boleh saya cakap dengan Nadyne?"
"Orang lelaki semuanya sama! Nak menasihati orang lain tapi diri sendiri jauh lebih teruk!" Aku terus menghempas gagang.
Aduh, kasihan Irshad! Dia terpaksa menjadi mangsa kemarahanku. Aku terlalu mengikut perasaan.Telefon berdering lagi.
"Maafkan saya."
"Tak semua lelaki sama. Saya boleh buktikan. Awak ada masalah ke? Saya sedia mendengar luahan hati awak."
"Saya tak kenal awak."
"Awak ada masalah ke?"
Dugaan awak memang tepat, Irshad. Aku ada masalah dengan insan bernama lelaki.
"Awak jangan hubungi saya lagi."
"Kenapa..."
Aku terus matikan panggilan sebelum Irshad sempat menghabiskan kata-katanya. Insan bernama lelaki hanya menyusahkan hidup aku, menyakitkan hati aku!
Kebahagiaan hidup bertahan seketika cuma.
Kehadiran Munirah, setiausaha papa yang jelita sejak tiga tahun lalu perlahan-lahan mengubah sikap papa. Papa lupa diri, sekaligus melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan suami.
Pertemuan mama dengan Munirah menimbulkan kemarahan papa. Mama merayu Munirah agar meninggalkan papa. Munirah tidak mengendahkan rayuan mama. Tanpa pengetahuan mama, aku pula yang pergi menemui Munirah. Aku lepaskan geram padanya. Akibatnya, aku dipukul papa setengah mati. Munirah mengambil tindakan drastik dengan mengugut untuk meninggalkan papa jika papa tidak menceraikan mama. Akhirnya papa menurut kehendak Munirah. Alasan papa menceraikan mama ialah kerana mama tidak pandai melayan kehendak suami dan gagal menjadi seorang ibu yang baik. Papa tuduh mama itu ini. Semua yang dilakukan mama tak pernah disenangi papa. Ah, bijaknya papa berkata-kata. Kesalahan sendiri tak pernah diakui. Mama telah dihalau papa tanpa belas kasihan.
Papa menghalang aku dan Kak Nadya mengikut mama namun halangan papa tidak kami endahkan. Mujurlah ada Mak Nab, pembantu rumah yang baik hati. Mak Nab mengajak kami tinggal bersamanya di kampung.
Mak Nab mengajak aku menghadiri majlis kenduri kahwin. Mama tak dapat ikut kerana kurang sihat. Kak Nadya pula ada hal. Aku mengenakan sepasang baju kurung corak batik. Rambut kutocang satu.
Terpegun aku melihat betapa ramai orang yang menghadiri majlis kenduri. Tampak betul-betul meriah. Tak pernah aku melihat suasana sebegini sewaktu menetap di bandar. Dari kanak-kanak bertatih sehinggalah orang tua, semuanya ada. Namun khemah yang didirikan terlalu kecil berbanding jumlah tetamu yang datang. Sesetengahnya terpaksa berdiri menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk, termasuklah aku dan Mak Nab.
“Baru sampai Mak Nab?”
Terdengar suara seseorang menegur Mak Nab. Aku terus toleh ke kiri. Kau! Tersenyum-senyum macam kerang busuk. Aku terus alih pandangan.
“Mari Mak Nab. Di hujung sana ada tempat kosong.”
Wah, baiknya kau! Ikhlas atau nak menunjuk-nunjuk? Aku kawal diri yang tersangat meluat dengan sikap kau. Tentunya ada niat yang tersembunyi. Sindiran kau tempoh hari masih mengganggu emosiku.
Kau layan aku dan Mak Nab baik sekali. Kau yang hidangkan makanan. Kau yang berikan bunga telur. Kau yang carikan tisu untuk aku. Tersentuh juga hati kecilku dengan layanan istimewa darimu.
Aku pandang sekeliling. Barulah aku sedari, hanya aku seorang sahaja gadis remaja yang tidak bertudung. Dan mungkin kerana itu juga, aku menjadi perhatian sejenak.
"Untuk awak."
Aku terpinga-pinga. Bungkusan di tangan kau masih belum aku sambut. Untuk apa tiba-tiba kau menghadiahkan aku sesuatu? Aku bukannya sahabatmu, jauh sekali kekasihmu.
"Tak sudi?"
Hairan! Setahu aku, kita saling tidak mengenali, malah pergaduhan hampir berlaku di antara aku dan kau tempoh hari. Alih-alih hari ini kau mahu menghadiahkan aku sesuatu. Pelik! Mimpi apa kau malam semalam?
"Awak masih marah dengan teguran saya tempoh hari? Saya sekadar beri nasihat, terpulang pada awak nak menerimanya atau tidak. Saya tak memaksa. Saya buat begitu sebab saya tak suka dengar orang cakap tentang awak di belakang. Sebab tu saya sanggup bersemuka dan berterus-terang dengan awak. Saya bagitahu mereka yang awak pasti akan berubah, cuma awak memerlukan sedikit masa. Lagipun….saya tak sampai hati dengar kutukan mereka pada awak. Panas telinga ni!"
Aku terkedu mendengar bicaramu. Kau telah membelaku di hadapan mereka yang tidak senang dengan kehadiranku di sini.
"Saya tak akan ganggu awak lagi. Jadi, awak tak perlu lihat muka saya lagi lepas ni. Nah, ambil hadiah dari saya yang tak seberapa ni."
Kau menarik tanganku lalu meletakkan bungkusan. Aku terpinga-pinga.
Setibanya di rumah Mak Nab, aku terus membuka bungkusan yang kau hadiahkan padaku. Selendang. Sehelai selendang berwarna biru laut. Terasa kau sengaja mahu menyindirku, lalu aku terus menyimpan selendang itu ke dalam kotak di bawah katil.
Aku melangkah turun dari bas ketika jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Kiri dan kanan tidak aku toleh lagi, bimbang terpandang wajahmu. Aku berjalan terus ke depan. Sesuatu yang 'luar biasa' telah berlaku. Aku tidak mendengar lagi jeritan suaramu. Syukurlah. Mungkin kau sudah memahami kehendak hatiku yang tidak suka diganggu. Barulah aman rasa hati ini.
Dua… tiga… empat hari… aku masih tidak mendengar suaramu. Rutin hidupku sejak hampir dua bulan yang lalu ialah mendengar jeritan suaramu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Tapi sekarang…Hairan! Adakah kau masih di kedai kopi itu, melepak bersama rakan-rakanmu? Atau adakah kau sudah insaf lalu pergi melakukan sesuatu yang lebih berfaedah? Ke mana kau menghilang? Mustahil cepat benar kau berubah sikap…
Hari ini aku beranikan diri menoleh ke arah kedai kopi. Kucuba amati. Ternyata benar telahanku, kau tiada lagi di situ. Ke mana kau menghilangkan diri secara tiba-tiba? Kotak fikiranku diasak pelbagai persoalan.
Betapa hari-hari yang aku lalui terasa sepi tanpamu. Tiba-tiba aku jadi rindu akan usikan nakalmu. Selama ini memang aku benci dengan usikanmu, tapi sekarang.... Ah, aku sendiri tidak faham dengan perasaanku sendiri!
Setelah hampir sebulan tidak mendengar suaramu apatah lagi melihat wajahmu, kerinduan di hati kian menyesak.
Aku beranikan diri menghampiri teman-temanmu di kedai kopi. Aku ingin tahu ke mana kau menghilangkan diri. Aku harus mendapatkan jawapan. Agar terhurai segala persoalan yang bermain di fikiran.
"Maafkan saya...saya nak jumpa...er...er..." Siapakah nama kau? Nampak sangat selama ini aku tak pernah ambil tahu tentang dirimu. Yang ada hanya perasaan benci...
"Irshad?"
“Irshad? Lelaki yang selalu mengganggu saya tu, namanya Irshad?”
Jadi insan yang selalu menghubungiku melalui telefon dan selalu menggangguku tika aku pulang dari sekolah adalah orang yang sama. Patutlah sejak aku terima hadiah darimu, aku turut tidak lagi menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Irshad. Suara kau di dalam telefon jauh bezanya.
"Dia dah ke Jerman."
Itulah jawapan yang kuterima mengapa kau menghilangkan diri secara tiba-tiba. Mulanya aku menyangka rakan-rakanmu mahu mempermainkan aku. Setelah Pak Mat pemilik kedai kopi mengiakannya, barulah aku percaya. Kau pulang ke kampung untuk bercuti. Dan kini kau kembali ke Jerman, meneruskan pengajianmu dalam bidang kejuruteraan automatif. Dua tahun baru kau akan tamat pengajianmu. Satu tempoh yang singkat sekiranya aku memang mahu berjauhan denganmu. Namun, jauh di sudut hati kecil ini, terasa dua tahun itu satu jangka masa yang amat panjang…
Maafkan aku Irshad kerana menuduhmu yang bukan-bukan. Kau bukan seperti yang aku fikirkan. Tentu kau hanya tersenyum mendengar luahan kemarahanku tempoh hari. Tuduhan aku pada kau semuanya tidak benar. Tapi tuduhan kau ke atas aku, memang benar…Mujurlah kau sudah tiada di sini lagi. Jika tidak, pasti aku malu hendak bertentang mata denganmu. Tapi Irshad, aku sebenarnya lebih suka jika kau masih di sini…
"Kenapa Nadyne? Akak lihat...Nadyne sekarang selalu sangat bermenung."
"Tak adalah kak." Aku cuba menafikan. Memang aku sering bermenung sekarang. Ingatan aku selalu melayang pada kau.
Irshad... insan yang aku tak pernah hargai kehadirannya. Kenapa lambat benar aku hendak memahami perasaan hati ini terhadapmu? Setelah kau pergi, yakinlah aku yang kau amat bererti dalam hidupku. Ketiadaan kau menyebabkan aku jadi perindu sepi...
Teguran darimu masih terngiang-ngiang di telinga. Terus aku membuka almari pakaian. Baju yang tidak sesuai dipakai oleh seorang gadis Muslim terus aku ketepikan! Tudung pemberianmu aku gayakan di depan cermin. Jika aku mahu menjadi orang kampung ini, aku haruslah bijak membawa diri. Irshad, berikan aku sedikit masa untuk berubah. Dua tahun lagi, pasti kau akan melihatku dengan rupa dan gaya yang berlainan. Aku akan menunggu kepulanganmu, Irshad.
“Nadyne?”
Aku terhenti melangkah. Segera aku toleh ke sisi. Seorang lelaki yang sudah agak lama tidakku temui berdiri di sebelahku dengan senyuman di bibir.
“Kau dah berubah. Aku hampir tak kenal kau.” Dia memandangku dari atas ke bawah.
“Manusia pasti akan berubah jua suatu hari nanti.” Balasku. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya. Yang anehnya, aku langsung tidak merasa gembira bertemu dengannya. Sudah hilangkah perasaan hati ini terhadapnya?
Afzal mengangguk, bersetuju dengan pendapatku.
Papa datang secara tiba-tiba! Aku dan Kak Nadya terkejut dengan kehadiran papa yang tak diundang, apatah lagi mama. Wajah papa tampak sugul…
Papa memohon maaf atas kesalahannya. Papa benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu. Munirah telah diceraikan papa. Dan kini papa mahu merujuk semula dengan mama.
“Terpulang pada mama. Kami akan akur dengan setiap keputusan mama. Kalau mama mahu kembali ke pangkuan papa, kami tidak akan menghalang. Begitu juga sekiranya keputusan mama adalah yang sebaliknya. Namun, yang pasti, kami akan sentiasa berada di sisi mama.” Luah Kak Nadya apabila mama memohon pendapat kami berkenaan niat papa.
Aku kemaskan barang-barang. Sebak rasa hati hendak meninggalkan rumah Mak Nab. Namun lebih sebak hati ini hendak meninggalkan kampung permai ini. Terlalu banyak kenangan tercipta di sini biarpun persinggahanku seketika cuma.
Irshad, tentu kita tidak akan bertemu lagi. Aku akan pergi dari sini. Aku tidak sempat menunggu kepulanganmu. Mama sudah memaafkan kesalahan papa dan sanggup memberi peluang kedua untuk papa. Begitu murninya hati mama. Papa sudah benar-benar insaf. Esok, papa akan menjemput kami untuk pulang ke rumah.
Aku tidak mampu menjadi seperti mama. Afzal datang merayuku, ingin kembali bercinta seperti dulu. Dia telah lama cuba menjejakiku. Katanya, sejak pemergian aku, barulah dia tahu bahawa dia amat mencintaiku. Aku memahami perasaanmu Afzal. Aku juga berkeadaan sepertimu sejak pemergian seseorang. Maaf Afzal, aku tidak dapat menerima kehadiranmu semula dalam hidup aku.
Irshad, terima kasih di atas teguran kau tempoh hari. Terima kasih juga di atas kenangan indah yang telah kau berikan padaku. Sekiranya kau masih di sini, pasti aku akan mencari kau untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih di atas segalanya.
"Nah, surat!” Kak Nadya menghulurkan sepucuk surat ketika aku selesai mengemaskan pakaian.
"Surat? Dari siapa?" Aku mencapai surat yang dihulurkan Kak Nadya. Terpinga-pinga. Tiada seorang pun teman lama sekolahku yang tahu aku tinggal di kampung ini. Aku ke sini secara tiba-tiba tanpa sempat bertukar alamat dengan teman-temanku.
"Setem dari Jerman. Nadyne ada penpal ke?”
Aku cuma ada penpal dari Argentina dan Itali sahaja. Itupun sudah lama terputus hubungan.
Jerman? Aku mengamati setem. Memang benar. Mungkinkah dari Irshad? Nama itu terus bermain di kotak fikiranku.
Aku terus membawa surat ke dalam bilik. Isi surat aku keluarkan. Mataku terus tertumpu pada baris-baris ayat yang tertera.
Nadyne...
Saya harap warkah saya ini tidak mengganggu kosentrasi Nadyne. Mungkin Nadyne sudah dapat menduga siapa saya, kan?
Saya beranikan diri mengutus surat pada Nadyne setelah saya mendapat tahu dari Halim yang Nadyne datang ke kedai kopi Pak Mat mencari saya. Sehingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa Nadyne mencari saya sedangkan saya tahu Nadyne membenci saya.
Nadyne, luangkanlah sedikit masa untuk membalas surat saya. Saya harus mendengar jawapan kenapa Nadyne mencari saya. Jika Nadyne kesuntukan masa, terus sahaja singgah di cyber cafe. Saya sertakan alamat email saya di bawah.
Cepat-cepat berikan jawapan pada saya. Namun jika pencarian Nadyne itu itu tidak membawa sebarang erti, lupakanlah surat ini.
Ikhlas,
Irshad.
Aku terus ke cyber cafe di pekan petang itu.
p/s : Tersiar Dalam Majalah Remaja Edisi Jun 2006. Pun hasil karya kakak aku jugak yang aku dah edit 70%. Cerpen ni juga terselit dalam Kompilasi Cerpen Remaja Best (buku prima)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort
Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...
-
Teringin nak ke Teluk Senangin dr dulu lagi. Selalu dengar cerita keseronokan pengunjung ke Teluk Senangin. Lagipun tak jauh sangat dr rumah...
-
Ke KWSP semalam. Hantar borang KWSP 14 untuk permohonan pengembalian lebihan caruman KWSP tahun lepas. Kat borang tu ada note : permohonan ...
-
Salam buat pengunjung blog... Rumah pertamaku masih dalam proses. Loan semua dah lulus, tinggal tunggu nak dapat kunci jer. Hati terfikir...
No comments:
Post a Comment