Friday, February 10, 2012

Cerpen - Pendirianku

Sesekali teringat juga kisah suka dan duka bersama Muhammad Raees Hady atau lebih senang ku panggil Ady. Perkenalan terjadi secara kebetulan. Hari itu aku singgah di Kedai Buku Malini untuk membeli alat tulis. Ady ada di situ, sedang membelek majalah. Sewaktu membayar di kaunter, aku dapat rasakan yang Ady sedang merenungku. Lama. Tergesa-gesa aku keluar dari kedai buku itu. Takut pun ada, menyampah pun ada. Lelaki mata keranjang! Gerutuku dalam hati. Ady mengekoriku! Kecut perutku. Aku percepatkan ayunan langkah.
“Saudari, tunggu!” Terdengar jeritan suara Ady buat pertama kali. Aku terus berhenti melangkah lalu menoleh ke arah Ady. Mata kita bertatapan. Kau ukir senyuman. Aduh, aku terus terpesona!
“Ini dompet saudari."
Ya Tuhan, aku tertinggal dompet di kedai buku tadi. Syukurlah kerana Ady sudi memulangkan dompetku. Kalau orang lain yang jumpa, entahlah… Nasib baik Ady tidak mengambil kesempatan di atas kelalaianku.
“Terima kasih.”
“Itulah, lain kali jangan tergesa-gesa!” Sindir Ady.
“Macam manalah saya tak tergesa-gesa, awak merenung saya macam nak terkam aje. Takut saya!”
“Saya ni harimau ke?” Ady tergelak.
Mulai detik itu, perkenalan di antara aku dengan Ady bermula dan terus berkembang. Ady merupakan anak seorang kontraktor terkemuka. Sebut sahaja nama bapanya, seluruh penduduk di situ akan mengenalinya. Tak sangka Encik Hisyamuddin mempunyai seorang anak lelaki yang merendah diri. Hidup Ady penuh dengan kemewahan. Aku? Aku hanyalah gadis pingitan yang serba kekurangan. Ayah hanyalah seorang petani serta mempunyai anak-anak yang ramai. Tinggal di sebuah rumah usang yang jauh terpencil dari kesibukan kota. Kata Ady, semua itu bukan penghalang untuk kami terus menjalinkan perhubungan. Justeru itu, aku tidak ragu-ragu untuk menerima cinta dari Ady. Ketika aku masih di UPSI, Ady pula sedang melanjutkan pelajaran di UKM. Jurusan kita berlainan. Aku bakal bergelar pendidik suatu hari nanti dan Ady pula bakal jurutera. Cinta kita terus bersemi. Setiap hujung minggu, Ady akan mengunjungiku di kampusku. Indahnya dunia kurasakan saat itu. Ady seorang lelaki yang mengambil berat dan pandai mengambil hatiku.
“Mengelamun jauh nampak! Ingat buah hati di kampung ke?” Sergahan Izzah mematikan lamunanku serta-merta.
“Tak adalah! Aku cuma berangan-angan nak jadi jutawan.” Ah Ady, kenapa namamu masih melekat di hati ini? Izzah ketawa mendengar jawapanku. Ketawalah Izzah selagi kau mampu ketawa. Izzah merupakan seorang gadis yang periang. Tika aku pertama kali sampai ke daerah ini, kaulah orang pertama yang mempelawa aku untuk tinggal serumah denganmu. Hatiku yang terluka ini sedikit sebanyak terhibur juga dengan telatah Izzah. Tika kesepian bertamu di hati, ingatanku sering tertumpu pada detik-detik manis bersama Ady. Terlalu sukar untuk dikikis ingatan terhadap Ady. Saban hari aku merinduimu, Ady. Sudah setahun berlalu, namun namamu terus subur di hati. Dan kerana Ady juga aku menderita…
“Ris, Ady hanya menyintai Ris sehingga akhir hayat. Hanya Ris sahaja yang berada di hati Ady untuk selamanya.” Kata-kata itulah yang menjadi penawar dukaku. Kusimpan kata-kata azimat itu jauh di sanubariku. Biarpun aku tahu Ady kini milik orang…
“Awak Arisha, kan?”
“Ye saya, kenapa?” “Saya Farzana. Saya akan ditunangkan dengan Ady bulan depan. Jangan ganggu Ady, faham! Awak memang tak layak berdampingan dengan Ady. Sedarlah sikit siapa diri awak tu!”
“A…awak akan bertunang dengan Ady? Tapi kenapa Ady tak bagitahu saya?”
“Lupakan Ady! Dia akan menjadi milik saya. Jangan ganggu dia lagi!”
Keluarga Ady tidak merestui perhubungan kami. Alasan mudah yang diberikan, aku tidak setaraf dengan mereka. Perbezaan taraf hidup memisahkan aku dan Ady. Kiranya ini menjadi penghalang, aku rela melepaskan Ady pergi. Pergilah pada Farzana yang sama taraf denganmu dan Farzana yang amat mengharapkan cintamu, Ady. Humbankan namaku dari ingatanmu. Biarkan aku sendiri menanggung derita ini.
“Ris, kenapa ni? Ady tak faham dengan sikap Ris yang tiba-tiba sahaja berubah.” Ady menggoncang tubuhku. Mulutku bagai terkunci untuk bersuara. Air mata semakin deras mengalir.
“Pandanglah Ady, Ris. Ady menyinggung perasaan Ris ke?”
“Inilah pertemuan terakhir kita.”
“Ris, kenapa Ris cakap macam ni?”
“Sudahlah. Ris dah tahu segala-galanya. Ady akan bertunang dengan gadis lain, kan? Gadis yang sama taraf dengan Ady.”
“Er…tapi….”
“Cintailah Farzana sepenuh hati, Ady.”
“Tak mungkin Ady dapat mencintai Zana sepertimana Ady mencintai Ris. Lagipun perkahwinan ini bukan atas kerelaan Ady, tapi atas desakan orang tua Ady.”
“Berjanjilah pada Ris yang Ady akan mencintai Farzana dan melayan bakal isteri Ady dengan baik.”
“Tapi Ris…”
“Berjanjilah!”
“Ris…”
“Selamat tinggal Ady! Ris akan doakan kebahagiaan Ady.”
Perpisahan tanpa kerelaan pun terjadi. Kedukaan menyelubungi hidupku. Sebak dada menahan kesedihan. Jika ini sudah suratan takdir, aku terima dengan kepasrahan. Untuk mententeramkan jiwa, aku memohon untuk ditempatkan di pantai timur. Jauh beribu batu dari keluargaku dan Ady. Sebuah daerah pedalaman yang serba kekurangan seperti diriku ini. Kehadiranku di sini disambut mesra anak-anak yang dahagakan ilmu pengetahuan. Biarlah aku berbakti untuk mereka. Tit tit! Lamunanku terhenti bila mendengar isyarat penerimaan mesej. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Siapakah pengirimnya? Dalam menghadapi kekecewaan ini ada juga insan yang ingin menghulurkan salam perkenalan. Mana mungkin aku dapat menerimanya jika hati dan perasaan ini telah berkecai. Saat ini aku lebih suka bersendirian dan mengingati kenangan indah bersama Ady. Pintu hatiku sudah tertutup untuk bercinta lagi.
“Amboi, dapat mesej dari siapa?” Soal Izzah sambil senyum lebar.
“Entah…dia hanya tulis namanya, Haaziq dan bekerja di sebuah bank. Itu saja.”
“Peminat kau agaknya.” Aku biarkan sms Haaziq. Namun keesokan harinya, dan seterusnya berlarutan sehingga seminggu, aku terus menerima sms dari Haaziq. Pagi petang siang malam dia menghantar mesej, menyatakan hasrat ingin berkawan denganku secara serius. Lalu pada hari kelapan aku membalas sms Haaziq, memohon padanya agar jangan mengganggu aku lagi dengan smsnya. Sia¬-sia saja usahamu Haaziq kerana hati ini masih terluka. Minggu kedua, minggu ketiga dan sebulan, aku tidak menerima lagi sms dari Haaziq. Hatiku lega. Haaziq memahami bahawa aku tidak suka diganggu. Tetapi….hati ini mula diragut resah yang memanjang apabila menerima sms Haaziq pagi tadi. Haaziq mahu datang ke rumah sewa. Bingung aku dibuatnya.
“Izzah, tolonglah aku. Dulu, smsnya mengganggu, sekarang orangnya pulak. Haaziq nak datang sini. Dia tak faham ke yang aku tak mahu diganggu saat ini.” Izzah hanya tersenyum melihat aku yang resah gelisah. Geramnya aku. Izzah buat muka selamba sahaja.
“Ris, aku mohon maaf banyak-banyak. Sebenarnya aku yang perlu dipersalahkan dalam soal ni. Haaziq tu sepupu aku. Dia beria-ia sangat nak berkenalan dengan kau setelah dia lihat gambar kau dalam handset aku. Kau tak marah, kan?”
“Izzah!” Aku menggigit bibir, geram! Terima kasih Izzah. Aku tahu, kau sekadar ingin membantu aku untuk menyembuhkan kelukaan di hati ini. Untuk bersahabat dengan Haaziq, boleh. Tapi untuk cinta….serik! Tak ingin aku kecewa buat kali kedua. Luka di hati masih berdarah dan tak mungkin akan sembuh dalam masa terdekat. Dari cerita Izzah, aku mendapat tahu Haaziq dikecewakan oleh kekasihnya. Kekasih Haaziq sudah menjadi isteri orang. Kita senasib Haaziq. Bezanya, aku tidak dikecewakan oleh Ady. Tapi keadaan yang meragut kebahagiaan kami. Tahukah kau Ady, aku menangis seharian di hari perkahwinanmu. Emak tidak kuasa memujuk aku lagi. Bahkan emak turut bersedih melihat keadaanku. Hanya Allah yang mengetahui segalanya. Dalam doaku, aku tidak lupa menyebut namamu, mendoakan agar kau mengecap kebahagiaan bersama Farzana. Jika kau bahagia, aku juga akan turut bahagia. Aku sedar, kau dilahirkan bukan untukku, tapi untuk Farzana. Ady….aku sudah dapat menerima kenyataan bahawa kau kini menjadi suami Farzana, biarpun terlalu pahit untukku telan. Tiada jodoh antara kita Ady… Itulah kata-kata yang sering aku bisikkan pada diriku sendiri. Tuhan, aku sedar ini ujian dariMu. Aku insaf kini. Sesungguhnya kekecewaan ini mengajar aku erti ketabahan. Semoga kebahagiaan menjadi milikmu, Ady. Jadilah seorang suami yang bertanggungjawab serta curahkan sepenuh kasih sayangmu pada Farzana. Aku masih mampu meneruskan hidup ini walau tanpa kau di sisi. Tuhan masih bersamaku. Pertemuanku dengan Haaziq di rumah sewa tidak berakhir begitu saja. Sms dan panggilan telefon mengunjungiku saban hari. Haaziq banyak memberi semangat untuk aku meneruskan hidup ini. Kata Haaziq, walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan juga. Dan kata Haaziq lagi, pasti ada hikmah atas apa yang telah berlaku. Kau sudah melupakan kekasih hatimu yang tidak ikhlas mencintaimu. Aku ingin menjadi sepertimu Haaziq. Mudah untuk melenyapkan kisah lalu. Namun aku tidak berhasil. Ady masih melekat di hati ini. Empat bulan berkenal mesra, Haaziq menghantar wakil untuk merisikku. Sesuatu yang aku tidak pernah jangka akan berlaku dalam tempoh yang sesingkat ini. Emak, ayah, Mak Long dan Pak Long serta Izzah menyarankan agar aku menerima Haaziq.
“Dah seminggu tapi Risha belum beri kata putus.”
“Haaziq, kenapa cepat sangat? Kita baru berkenalan. Haaziq pun masih belum tahu latar belakang Ris sepenuhnya. Ris dari keluarga yang serba kekurangan.”
“Semua itu tak penting bagi Haaziq. Haaziq hanya akan memandang kejujuran di hati Risha.”
“Keluarga Haaziq?” Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Kalau keluarga Haaziq tak setuju, tak adalah Haaziq nak hantar wakil untuk merisik, kan?” Setelah melihat kesungguhan Haaziq, aku akhirnya bersetuju. Lagipun, kata Izzah, cinta boleh hadir selepas perkahwinan. Seminggu kemudian majlis pertunangan dilangsungkan serba sederhana. Aku dikejutkan dengan panggilan dari seseorang suatu petang. Panggilan yang membuatkan aku tidak dapat tidur malam. Panggilan yang membuatkan tugas seharianku terganggu. Ady mahu bertemu denganku. Aku mereka pelbagai alasan untuk tidak bertemu dengannya. Bukan kerana aku sudah menjadi tunangan orang, tetapi memang hati ini sudah tawar untuk bersua dengannya lagi. Apa guna bertemu dengan Ady, kerana yang pasti pertemuan tersebut akan menambahkan luka di hati.
“Antara kita dah tak ada apa-apa perhubungan lagi.” Aku terpaksa mengalah. Ady berjanji, dia tidak akan mengganggu aku lagi jika aku sudi bertemu dengannya.
“Ady selalu merindui Ris. Perkahwinan tak memberi kebahagiaan pada Ady. Zana banyak melukai hati Ady. Ady tak dapat menunaikan janji Ady pada Ris untuk mencintai Zana sepenuh hati.”
“Ady, Ris dah bertunang. Tak elok kalau orang nampak Ris berjumpa dengan suami orang. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ady berbincanglah dengan Zana. Jangan nak libatkan Ris.”
“Ady dah merancang untuk berpisah dengan Zana.”
“Ady, janganlah bertindak terburu-buru. Fikirlah secara rasional. Masih ada waktu untuk Ady dan Zana memperbaiki kesilapan.” Aku mengatur langkah.
“Ris, jangan tinggalkan Ady!” Ady mencapai pergelangan tanganku.
“Risha!” Aku terpanar. Haaziq berdiri tidak jauh dari situ! Aku menangis lagi. Haaziq telah memutuskan pertunangan. Haaziq memberi alasan yang aku masih belum dapat melupakan cinta pertamaku, Ady. Perkahwinan kami pasti goyah jika di hatiku hanya ada Ady. Itu kata Haaziq. Pada hakikatnya, aku sudah belajar untuk melupakan Ady. Aku yakin kehadiran Haaziq pasti dapat melenyapkan ingatan aku pada Ady sedikit demi sedikit. Haaziq telah membuat tindakan melulu sebelum sempat aku memberi penjelasan. Sampai hatimu Haaziq….aku tersiksa untuk kali kedua.
“Ady dah bercerai dengan isterinya?” Soal Izzah. Aku mengangguk. Bercerai atau tidak bukan urusanku lagi.
“Kau masih cintakan Ady?” Tak ada gunanya aku mencintai lelaki yang tak pandai menghargai cintaku ini. “Ris, aku nak minta maaf. Aku yang kenalkan Haaziq dengan kau. Aku harapkan kau dan dia akan ke jinjang pelamin. Tak sangka pulak boleh jadi macam ni.”
“Izzah, dah banyak kali kau minta maaf dari aku. Sudahlah. Segalanya dah berlalu. Aku tak mahu ingat lagi.” Aku menerima berita yang mengejutkan suatu hari. Haaziq sudah berkahwin dengan kekasih pertamanya. Kekasih yang pernah mengecewakan perasaannya. Haaziq memutuskan pertunangan dengan memberi alasan bahawa aku masih mencintai Ady. Itu hanyalah alasannya semata-mata. Hakikatnya aku hanyalah persinggahan sementara buat Haaziq. Walau apapun yang telah kau lakukan pada aku, aku tetap akan mendoakan kebahagiaanmu bersama Farzana, gadis yang kononnya telah kau lupakan apabila mengambil tindakan berkahwin dengan lelaki lain. Ternyata kau masih gagal untuk melupakan Farzana. Buktinya, sebaik sahaja Farzana habis edah, kau terus menyambar Farzana. Ah, gadis itu sering sahaja menjadi penghalang untuk aku mengecap kebahagiaan! Ady saban hari terus setia merayuku, cuba merebut cintaku kembali. Hati ini sudah hancur, Ady. Tak ada gunanya kau merayuku lagi. Hati ini sudah tertutup buat insan bernama lelaki. Cuti persekolahan aku kembali ke kampung. Adik-adikku menyambut girang kepulanganku. Gembira hatiku dapat bertemu dengan adik-adikku, Arina, Aziah, Aznida dan Afiq. Namun kegembiraan bertukar menjadi sedih apabila mendapat tahu ayah mengidap kencing manis. Tambah menyedihkan apabila melihat luka di kaki ayah yang semakin teruk saban hari. Ayah terkena sabit ketika sedang menebas beberapa minggu lalu. Ayah tidak dapat melakukan kerja-kerja berat lagi.
“Durian tentu dah gugur kat dusun. Tak ada ke sesiapa tolong pungutkan buah-buah durian tu, mak?” Emak terdiam. Soalanku tidak dijawab.
“Terbiar macam tu saja?” Bukannya sepokok dua sahaja pokok durian di kebun. Tapi berbelas-belas. Selain durian, pokok rambutan, langsat dan manggis pun ada. Biasanya, ayah akan mendapat pendapatan sampingan pada musim buah-buahan dengan menjual buah durian, langsat, rambutan dan manggis. Emak menggeleng.
“Ady, dia yang bantu menguruskan dusun.”
“Apa? Mak terima pertolongan Ady?”
“Dia yang hulurkan bantuan, bukan mak yang minta. Dia bersungguh-sungguh nakkan kau, Ris. Kenapa kau masih tak dapat menerimanya kembali? Mak dah lihat keikhlasannya pada kau.” Ady bukan seperti Ady yang kukenal dulu. Ady sudah banyak berubah. Ady tidak lagi mengikut telunjuk orang tuanya. Ady sudah bijak membuat keputusan sendiri. Dan aku juga bukan seperti aku yang dulu lagi. Gadis yang sering mendengar dan mengikut kata orang. Tiada pendirian! Jika ya kata mereka, aku terus bersetuju. Jika tidak kata mereka, aku terus tidak bersetuju. Itu dulu. Aku kini hanya akan membuat keputusan sendiri, mengikut gerak hati. Baik atau buruk, biar aku yang tanggung sendiri.
“Ris masih marahkan Ady, kan?” Aku diam.
“Ris masih marah sebab Ady kahwin dengan pilihan orang tua Ady, kan?”
“Ris dah tak tahu macam mana nak fahamkan Ady. Segala yang telah berlaku Ris dah lupakan. Ris tak mahu ingat lagi. Ris harap Ady faham pendirian Ris.”
“Kalau macam tu, kenapa Ris tak mahu sambung kembali hubungan kita? Atau…Ris masih menyimpan perasaan pada Haaziq?”
“Haaziq tak ada kena-mengena dengan keputusan Ris.” Biarlah aku hidup sendirian tanpa cinta. Aku tidak ingin dikecewakan lagi. Maafkan aku Ady, aku tidak dapat menerimamu kembali….
~ Terima kasih sudi membaca ~
p/s : Cerpen ni asalnya karya my sis (kakak sulungku yg juga berbakat dlm bidang penulisan). Memandangkang dia tulis hanya utk simpanan sendiri, so aku ambik dan edit sesuai dengan zaman skrg. Akhirnya tersiarlah dalam majalah Dara.com Keluaran Jan 2006.

1 comment:

budakserius™ said...

Nice entry : )

jom terjah blog http://infoserius.com

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...