Saturday, July 19, 2008

KUNCI DIMENSI


Sinopsis:
Empat sahabat, Farhan, Imran, Sofea dan Anis secara kebetulan telah terperangkap di sebuah kota misteri. Mereka berusaha mencari jalan keluar dengan bantuan Adam, rakan dari kota misteri.
Reka bentuk bangunan yang sama menyebabkan empat sahabat sukar mengingati jalan keluar. Masa kian suntuk. Mereka tidak boleh terus berada di kota misteri. Air yang lebih berharga daripada emas menjadi penghalang utama untuk mereka bertahan lebih lama di situ.
Kunci Dimensi yang menjadi penghubung dunia mereka yang sebenar dan kota misteri harus dicari segera. Kehadiran mereka turut dihidu Kumpulan Pencari Kunci Dimensi. Mereka pasti ditawan kumpulan tersebut andai gagal menemui kunci dimensi.

p/s:
Kunci Dimensi adalah novel awal remajaku yang kedua selepas Alia. Kunci Dimensi berbeza dari segi genre berbanding Alia. Masih di bawah penerbit yang sama, KarnaDya Solutions, Kunci Dimensi membawa pembaca mengembara ke sebuah dunia di mana penduduknya sedang berjuang untuk hidup. Bagaimanakah rasanya hidup di dunia yang serba maju (dari segi peralatan teknologi sehingga manusia dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata) namun tiada sungai, kolam, awan, hutan dan binatang (akibat kejahatan manusia itu sendiri)? Mampukah manusia dari zaman 2008 bertahan di dunia sebegitu rupa? Semoga adik-adik pembaca mendapat serba sedikit pengajaran dari cerita ini (walaupun ianya sekadar imiginasi penulis).
Sedikit Sedutan:
“Iyalah! Tempat ini macam baru lepas dilanggar garuda.” Dakwa Farhan. Dia mendongak ke atas. Matahari memancar cahaya terik. Tidak kelihatan segumpal awan pun di atas sana.
Empat sahabat terus berjalan. Mereka menyentuh dinding bangunan. Bahagian bawah dibina dari batuan emas. Bahagian dinding dan keseluruhannya dibina dari kaca yang bersinar-sinar dipantul cahaya matahari. Mereka cuba mencari pintu bangunan namun gagal. Bangunan di situ seolah-olah tiada pintu masuk!
“Entah-entah... tempat ini didiami...” Farhan telan liur.
“Didiami apa?” soal Sofea yang langsung tidak dapat menangkap maksud Farhan.
“Orang bunian.” Bisik Farhan.
“Hah, orang bunian?” Anis melopong. Bulu romanya sudah menegak. “Entah-entah mereka sedang pandang kita sekarang. Sedangkan kita tidak dapat melihat mereka. Eee... takutlah. Jomlah kita kembali ke gua. Kita kena pulang segera sebelum apa-apa berlaku pada kita.”
“Saya tidak mahu balik selagi saya tidak tahu lebih lanjut tentang kota ini yang penuh misteri. Saya yakin ini bukan tempat bunian. Jika ini tempat bunian, tentu kita sudah ditangkap awal-awal lagi.” Farhan tidak bersetuju dengan cadangan Anis untuk kembali ke kampung. Dia akan merasa tidak puas hati selagi gagal mendapat sebarang maklumat tentang kota misteri tersebut.
“Anis, awak janganlah bimbang. Saya rasa kota ini tidak berbahaya. Jika berbahaya, tentu semasa kita masuk ke kota ini, kita sudah ditangkap.” Imran cuba menenangkan ketakutan Anis walaupun dia sendiri sebenarnya masih was-was. Namun, dia juga seperti Farhan. Dia tidak akan puas hati selagi tidak mendapat maklumat lanjut tentang kota yang misteri lagi sepi itu.
“Assalamualaikum!”
Empat sahabat segera menoleh ke arah satu suara yang memberi salam. Kelihatan seorang lelaki di situ. Dia berpakaian kemas dan kelihatan berjenama. Namun wajahnya sedikit lesu.
“Boleh pak cik minta sedikit air? Sudah dua hari pak cik tidak minum air.” Lelaki itu mendekati empat sahabat.
Empat sahabat berpandangan. Mereka berbisik-bisik. Ternyata kota tersebut berpenghuni. Lelaki itu manusia biasa, bukannya makhluk bunian seperti yang disangka.
“Awak percayakah pak cik itu tidak minum air sudah dua hari?” soal Sofea dalam nada berbisik ke telinga Anis. “Tengok cara pemakaiannya... saya tidak percayalah.” Luahnya. Pak cik itu berpakaian pelik namun segak. Tidak kelihatan dia seorang pengemis yang kelaparan.
“Seteguk pun jadilah.” Pak cik tersebut merayu sambil matanya tidak lepas memandang botol mineral di tangan Imran.
“Betul pak cik tak minum air selama dua hari?” soal Farhan, masih kurang percaya dengan dakwaan pak cik tersebut.
Pak cik itu mengangguk.
Kelesuan di wajahnya menunjukkan yang dia tidak berbohong. Imran lalu menghulurkan botol air mineral kepada pak cik tersebut. “Ambillah.” Dia merasa simpati dengan pak cik tersebut.
“Semua?” Mata pak cik tersebut bulat memandang Imran. Dia seperti tidakpercaya dengan

kata-kata Imran.

Imran mengangguk. Dia menghadiahi senyuman.

“Terima kasih banyak-banyak!” Pak cik tersebut terus mengambil botol dari tangan Imran. Dia mengangkat tangan dan kelihatan berbisik sesuatu pada jam tangannya. Empat sahabat memerhati penuh kehairanan. Sebentar kemudian, pak cik tersebut hilang dari pandangan.

Empat sahabat tercengang-cengang! Sofea dan Anis berpegangan tangan. Mereka ketakutan.

4 comments:

dS said...

Wah! Cantiklah cover KD ini, pasti berjaya memikat hati pembaca cilik di seluruh dunia!

*Tahniah drp Kak DS!!!

Catatan ZZ said...

amboi! seluruh dunia???
mm..harap2 begitulah hehe...
Thanks!

mohad said...

salam.. apa khabar sekarang..

Catatan ZZ said...

w'salam..baik.

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...