Wednesday, January 30, 2013

PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4



BAB 4
            ‘TALAM DUA MUKA!’
            Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen yang dihantar ke blog Mawar. Dadanya berdebar-debar. Dia pandang kiri dan kanan.
Suhaila dan Aisyah sedang khusyuk membantu Dean menyiapkan tugasan. Mereka yang mempelawa diri untuk membantu Dean sebagai balasan pada Ayra yang telah sudi mewakili mereka semua untuk menghadiri kenduri kahwin kakak Nadira.
            ‘Siapa yang hantar mesej?’
Persoalan itu mengganggu hidup Ayra sekali lagi, membuatkannya jadi tak senang duduk selagi ianya belum selesai. Selagi belum tahu pengirimnya...
Sebelum ini, komen yang mengganggu seluruh hidupnya dihantar ke blog kesayangannya. Dua tiga hari Ayra cuba melupakan komen tersebut. Tapi bila mesej pula diterima, dia tak boleh duduk diam lagi. Pengirim misteri itu mengetahui nombor telefonnya. Nombor yang dia tidak pernah diberi pada sesiapa melainkan kawan-kawan rapat sahaja.
            Ayra mula diganggu dengan mesej-mesej yang menyentak jantung sejak petang semalam ketika berada bersama Dean. Pengirimnya langsung tak dikenali. Ayra beranikan diri dengan menghubungi nombor telefon yang tertera. Namun, panggilan tidak berangkat.
‘Tahu pun takut! Kalau berani, dah tentu dia tak akan ugut aku secara senyap. Tentu dia akan datang jumpa aku sendiri! Siapa sebenarnya yang sedang menakut-nakutkan aku? Tunjukkanlah siapa diri kau yang sebenar!’
Kadang-kadang Ayra jadi takut dan resah bila menerima mesej yang menakutkan, namun kadang-kadang sakit hati pulak apabila terasa seolah-olah dirinya sedang dipermainkan oleh seseorang.
            Tiada sesiapa yang tahu nombor telefon bimbitnya melainkan Syafiqah, Suhaila, Nadira, Aisyah dan Dean. Guru besar dan kerani tempat dia bertugas juga mengetahui nombor telefon yang baru didaftarnya dua bulan yang lalu.
Sebelum ini, Ayra tidak pernah memiliki kad SIM, apa lagi telefon bimbit. Atas desakan Dean dan pihak sekolah, dia terpaksa akur untuk menggunakan alat telekomunikasi tersebut. Kata mereka, senang untuk berhubung dengannya. Secara rasminya, dia mula menggunakan telefon bimbit baru dua bulan lepas.
            Bila dah ada telefon bimbit, ini pula yang terjadi! Ini yang dia tak suka! Terasa menyesal pulak dia kerana akur dengan permintaan rakan-rakan untuk menggunakan telefon bimbit.
            “Pucat saja muka kau! Kenapa?”
            Ayra tersentak lagi bila ditegur Dean.
            “Sakit?”
            Suhaila bimbang dengan keadaan Ayra yang dilihatnya sejak sehari dua ini asyik termenung panjang saja. Bimbang juga dia andai Ayra marah padanya kerana enggan memenuhi jemputan Nadira. Malah, pandai-pandai pulak dia memberi cadangan agar Ayra mewakilinya. Mungkin Ayra rasa terbeban dengan cadangannya itu.
            Ayra menggelengkan kepala. Telefon bimbit berada erat dalam genggaman. Tak ingin telefon tersebut jatuh ke tangan sesiapa pun saat ini. Jika ianya berlaku, hidupnya akan musnah sekali lagi. Ya, sekali lagi! Ayra tak sanggup. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
            “Mesej dari siapa?”
            Dean perasan perubahan pada raut wajah Ayra sebaik sahaja membaca mesej yang baru diterimanya. Muka Ayra kelat semacam.
            “Er... keluarga di kampung.”
Ayra terpaksa berbohong. Ada getar dalam nada suaranya. Harap Dean tak perasan.
Tiada sesiapa yang tahu kisah hidupnya yang tragis. Dan tiada sesiapa harus tahu kisah silam itu. Ayra sudah menutup buku. Dia sudah menjalani kehidupan baru sejak beberapa tahun yang lalu. Dia tak ingin diganggu lagi.
‘Tapi kenapa ada yang masih ingin menggangguku? Tak senangkah dengan kebahagiaan yang sedang aku kecapi sekarang?’
            “Oh ya... ada hal apa?” soal Dean.
            “Mereka tanya bila aku nak balik kampung.”
Bohong lagi! Dengan wajah yang selamba, Ayra berharap agar tidak ada yang berjaya membaca gelora di hatinya. Namun suaranya nyata sedikit bergetar.
Suhaila simpati pada Ayra. Ayra pernah beritahu padanya, sudah bertahun-tahun dia tidak balik Sabah kerana masalah kewangan. Dia yakin kerinduan Ayra pada keluarganya pasti tak tertanggung lagi. Sebab itulah Ayra asyik termenung sepanjang malam.
Ayra tunduk. Tiga pasang memandang ke arahnya, masing-masing cuba membaca apa yang terbuku di hatinya. Siapalah yang tidak gusar andai ada seseorang yang sedang memerhati gerak gerinya, sedangkan dia tidak tahu siapa orangnya. Tambah menakutkan bila orang tersebut tahu kisah lalunya yang penuh kepedihan dan kesedihan.
Ayra menarik nafas dan menghembuskannya perlahan-lahan, mencari sedikit ruang untuk merasai ketenangan.
“Bila kau nak balik kampung? Aku teringin nak ikut.”
Dean mengajukan pertanyaan yang sukar untuk dijawab.
“Aku pun nak ikut jugak.” Sampuk Aisyah. “Dah lama aku menyimpan impian untuk ke Sabah. Tapi tak tahu nak ke sana dengan siapa. Nak tuju ke mana. Sekarang, kau ada. Senanglah nak atur.”
            Habis! Takkan aku nak terus-terusan berbohong dengan mereka?
Sejujurnya, Ayra tak ingin menipu sahabat-sahabatnya itu. Dia merenung Suhaila. Hanya Suhaila yang tahu dia tak pernah balik Sabah sudah beberapa tahun. Ayra jadikan alasan kerinduan di hati pada keluarga nun di Sabah penyebab dia asyik termenung apabila Suhaila mengajukan pertanyaan.      
“Tak apalah, kalau tak sudi...”
Dean meninggalkan kerusi batu.
“Hoi, kau nak ke mana tu?” jerit Aisyah.
“Kafe, beli air.”
“Beli untuk kami semua.” Jerit Aisyah lagi.
            “Macam merajuk je si Dean tu!”
Suhaila yang sedang menyusun maklumat berguna untuk menyiapkan tugasan Dean meminta Ayra cepat pujuk Dean.
            “Biarkanlah! Tak kuasa nak pujuk.” Ayra mencebik.
            Dean bukannya jenis yang suka merajuk. Sudah beberapa bulan Ayra mengenali Dean. Semakin hari semakin masak dia dengan sikap Dean. Dean bukan lelaki yang cepat marah atau cepat hilang sabar. Dean matang berbanding usianya yang sebenar. Itulah yang membuatkan hati Ayra senang bila bersama Dean. Lelaki itu juga ditempatkan di sekolah dalam daerah Kuala Kangsar. Hujung minggu, Dean akan mengajak Ayra dan Syafiqah keluar ke pekan. Mereka berborak perihal sekolah masing-masing, karenah murid-murid dan guru-guru serta macam-macam lagi di restoran tepi sungai.
            “Peliklah kau ni. Lelaki baik macam Dean pun kau tak sudi. Nak tunggu lelaki yang macam mana lagi?”
Suhaila geleng kepala. Dia tumpang gembira kalau Ayra dan Dean menjalin hubungan. Dia berharap, sekurang-kurangnya perhubungan itu dapat mengurangkan kerinduan Ayra pada keluarganya.
Suhaila tiba-tiba terus terkenangkan tunangnya, seorang tentera laut. Mereka bercinta sejak sekolah menengah. Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, Muiz terus melamar Suhaila. Mereka merancang hendak berkahwin hujung tahun depan setelah Suhaila selesai mengikuti kursus LPBS.
            “Aku sedang tunggu putera katak.”
Ayra sedar, dia sedang buat lawak bodoh, sengaja melindungi permasalahan yang sedang melanda diri sejak akhir-akhir ini.
Ada seseorang yang tahu siapa dirinya yang sebenar. Orang itulah yang telah menghantar mesej-mesej tersebut sehingga membuatkan dia tidak dapat melelapkan mata sebelah malam dan hilang selera makan. Malah, tumpuan terhadap pelajaran dan kerja juga makin terganggu.
Ayra dalam ketakutan. Kalaulah aku tahu siapa orangnya... Ayra perhati kawasan sekitar. Mana tahu pengirim mesej ada di kawasan berdekatan, sedang memerhati gerak gerinya.
            “Ye la tu. Datang putera katak nanti, baru kau tahu. Nak pandang sebelah mata pun kau takut nanti.”
            Ayra menutup mulut, tergelak kecil. Sudah hampir enam tahun dia memulakan hidup baru. Sepanjang tempoh terseut juga, dia cuba melenyapkan kisah lalu yang telah memusnahkan hidupnya. Saat hampir berjaya melupakan peristiwa lalu, mesej yang menakutkan itu pula muncul.
Kenapa harus ada yang dengki dengan kebahagiaanku???

Thursday, January 24, 2013

SALAM MAULIDUR RASUL



Salam Maulidur Rasul buat semua pengunjung...


Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

- sumber : wikipedia -

Tuesday, January 22, 2013

PPM Baru

Hari ni PPM baru masuk... I mean start keje. Last week dia dah datang untuk lapor diri. PPM dari sebuah sekolah di Klang. Sebelum ni dia pembantu kelas Pendidikan Khas. Sekarang tukar jadi Pembantu Pengurusan Murid (PPM) pulak. Tugasnya membantu guru prasekolah. Memandangkan beliau belum biasa dengan tugas barunya, jadi aku terpaksalah jadi mentor dulu. Bagitahu apa tugas dia. 

Sebelum ni, dekat seminggu jugak aku terpaksa handle budak pra lepas PPM lama aku berpindah ke KL. Handle budak pra bukan masalah besar. Yang tak laratnya nak mengurus kelas. Kena pastikan kelas sentiasa bersih termasuk tandas. Dalam keadaan skrg yg tengah sarat mengandung ni memang tak larat sangat2. Tambah2 berat badan makin naik. Dah 78.8 kg masa timbang semalam. Dan kaki pun ada masalah bengkak sebab berdiri/berjalan lama kata nurse.

Apa-apapun rasa bersyukur sangat sebab PPM dah masuk kerja. Kuranglah sikit beban aku. Tapi dalam tempoh tiga minggu ni aku kena train dia betul2. Terutama bab kewangan. Bab nak order barang2 pra. Sebab dia memang tak tahu langsung. Aku pulak dah nak start cuti 18 Feb nanti. Cikgu yang akan ganti tempat aku tu pun memang tak tahu apa-apa pasal pengurusan pra. Nasib baik budak pra tak ramai. Kalau tak, pening jugak dibuatnya.

Sekarang budak pra makan di kantin. Bulan dua nanti PPM akan start memasak. Makan kat kantin tak puas, tak boleh nak tambah. Tapi kalau makan kat pra, boleh tambah :) Tentu budak pra suka. Tambah2 PPM baru. Tentu rasa masakan pun ada kelainan berbanding PPM yang dulu.

Harap2 kerjasama aku dan PPM berjalan lancar dalam memajukan kelas pra kesayanganku.

Sunday, January 20, 2013

PROMO KALUNG : PROLOG


PROLOG
Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng di atas rak tepi katil. Sudah pukul 7.05 pagi. Entah bila dia berlalu pergi, langsung aku tidak sedar. Aku terlalu mengantuk kerana semalam kami berbual sehingga dinihari. Berbual tentang kisah lalu. Kisah kali pertama kami bertentang mata….  Aku bingkas bangun lalu meninggalkan katil. Dia mungkin baru sampai di pintu pagar. Aku harus menghalangnya pergi. Aku tak ingin melalui kehidupan ini tanpanya di sisi biarpun sesaat….
Langsir berjalur biru laut dan putih itu kuselit ke tepi. Jendela kubuka sedikit luas. Cahaya matahari sepantas kilat terus memancar ke dalam bilik. Seolah pokok yang baru disirami air, begitulah keadaannya dengan bilik yang sentiasa suram itu. Udara yang selama ini berlegar-legar di dalam bilik berganti tempat dengan udara bersih dari luar. Yang lebih nyaman dan segar. Mataku bulat memerhati ke perkarangan banglo dan terus ke jalan keluar. Tiada sesiapa di situ. Aku merintih kehampaan kerana tidak sempat menghalangnya pergi.
Tak guna aku mencarinya, kerana aku yakin dia takkan kutemui. Dia memang bijak menghilangkan diri kerana kawasan ini miliknya.
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut menyinggah pipiku. Rambut  terus menutupi pandangan mataku. Segera kuselit rambut depan yang menutup pandangan. Pemandangan indah Kampung Jerai Tua terbentang luas di depan mata. Sayu hatiku melihat kampung kelahiran ibu. Kampung yang masih serba kekurangan itu.
Terasa baru semalam aku menjejakkan kaki ke Kampung Jerai Tua. Cepat benar masa berlalu. Diam tak diam sudah hampir dua tahun aku menjadi sebahagian dari penduduk kampung itu. Walaupun aku tak ingin menjadi sebahagian penduduk kampung Jerai Tua, namun takdir Tuhan… di sinilah akhirnya aku terdampar. Di sebuah banglo suram, di puncak bukit….  Segalanya sudah tersurat. Aku akan berkelana di sini sehingga dia bebas dari segala tuduhan.
            Sesekali terlintas di hatiku untuk ke Kampung Jerai Tua, menjejak sisa-sisa kenangan lalu. Namun aku sedar, aku tidak diterima oleh penduduk kampung. Mereka telah memulau aku seperti mana mereka memulaukan insan yang kusayang. Ah, betapa kejamnya mereka. Aku dibenci hanya kerana aku mencintai dia.
Kaki ini juga terasa berat hendak melangkah ke sana. Seolah-olah ada besi yang merantai kedua-dua belah kakiku. Aku tak boleh sekali-kali meninggalkan banglo ini! Aku ada tanggungjawab yang lebih besar di sini. Aku harus menanti kedatangannya. Dia pasti muncul malam ini. Aku harus berada di sini untuk menyambut kepulangannya demi membuktikan kesetiaanku hanya kepadanya. Cintaku ini tak akan beralih arah biar seribu tahun lagi.
Aku mengalih kedudukan, membelakangkan jendela. Mataku merawang ke seluruh bilik. Bilik yang indah namun sepi. Sesepi diriku…. Biar pun tiada keindahan lagi di sini, aku tidak akan sekali-kali meninggalkan banglo ini biar pun dipaksa. Biarlah aku hidup sendirian di sini. Aku lebih rela memenjarakan diriku di sini daripada pulang ke kampung. Keindahan di luar bukan lagi menjadi satu keutamaan. Semuanya sudah berlalu sebaik sahaja mereka memutuskan tali silaturrahim denganku hanya kerana aku enggan menurut kata mereka agar meninggalkan banglo ini segera.
            Ketukan di pintu mematikan lamunanku. Aku segera menoleh ke arah pintu. Dadaku berdebar saat daun pintu terbuka kian luas. Diakah? Diakah yang akan muncul di depanku sebentar lagi? Dia yang sering datang pada lewat malam dan pergi sebelum mentari muncul. Dia yang kurindui…. Walaupun dia tidak pernah mengetuk pintu untuk memasuki bilik kepunyaannya ini, hatiku tetap berdebar-debar.
Seorang lelaki berjambang putih tercegat di muka pintu sambil menatang dulang. Terus lenyap debaran di hati ini sebaik sahaja melihat lelaki berjambang dan berwajah bengis itu melangkah masuk. Harapan yang menggunung tinggi turut punah sekelip mata. Dia tak mungkin datang pada siang hari kerana bimbang nyawanya terancam. 
“Sarapan.” Lelaki itu meletakkan dulang ke atas meja. Entah sarapan apa yang dimasaknya pagi ini, aku tak ingin ambil tahu. Aku juga tak ingin melihatnya. Seleraku sudah tertutup. Tertutup dengan berita mengejut itu. Mujurlah berita tersebut palsu semata-mata. Namun selera ini tetap berada di tahap rendah tanpanya di sisi menemani diri ini.
            “Biarkan di situ.” Aku terus menoleh ke luar jendela. Air mata kukesat. Mudah benar air mata ini mengalir setiap kali merasa hampa.
            “Nia nak apa-apa lagi?”
            “Terima kasih, Pak Mat. Nia tak nak apa-apa.” Hampa, benar-benar hampa. Namun aku takkan berputus asa menanti saat itu. Saat di mana kami akan bertemu secara terang-terangan, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang atau was-was. Masa akan menentukan kebenaran. Dia tidak bersalah. Dia lelaki terbaik yang pernah ku temui dalam hidup ini.
            “Pak Mat, tunggu!” aku menahan Pak Mat yang sudah hampir ke pintu.
            Pak Mat menoleh ke arahku. Sinar bebola matanya penuh simpati. Aku tak inginkan simpati siapa-siapa. Yang aku perlukan adalah doa. Doa supaya aku dan dia dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh rasa gembira dan bahagia setelah penat mengharungi derita.
Ada apa?”
            “Pak Mat jangan kunci pintu luar.”
“Kenapa?”
“Dia akan datang lagi malam ni.” Aku mahu dia datang tanpa sebarang halangan.
“Nia… Tuan kan dah tak ada. Nia kena terima hakikat ni.”
            Aku tersenyum kelat. Bicara Pak Mat terasa kelakar. “Pak Mat… jangan percaya dengan cakap orang kampung. Dia masih hidup. Sihat walafiat. Baru semalam kami bertemu. Cuma keadaan sahaja yang tak mengizinkan dia muncul secara terang-terangan. Bila kebenaran sudah terbukti, dia tak akan sembunyi-sembunyi lagi menemui saya, Pak Mat.” Aku jelaskan perkara yang sebenar. Aku tetap yakin khabar gembira akan menyusul jua suatu hari nanti. Khabar dia tidak bersalah. Dia tidak pernah terlibat dengan kejadian buruk yang menimpa penduduk kampung. 
            “Jangan biarkan fikiran Nia dipengaruhi oleh perkara yang bukan-bukan. Hakikat yang Tuan sudah pergi tak dapat ditolak lagi.”
“Dia masih hidup!” hati ini menjadi panas tiba-tiba dengan dakwaan Pak Mat yang tak berasas. Telah aku minta dia untuk menemui Pak Mat, tetapi dia enggan. Aku mahu dia bertentang mata dengan Pak Mat untuk membuktikan kebenaran kata-kataku ini. Namun dia tetap enggan. Katanya, masanya masih belum tiba.
Pak Mat menggeleng-geleng kepala sebelum keluar dari bilikku.
Pak Mat sama seperti penduduk kampung yang lain. Mereka masih tak henti-henti menyakiti hatiku. Mereka berpakat mengatakan yang pekerja ladangnya sendiri yang telah membunuhnya. Sedikit pun aku tak percaya pada tuduhan orang kampung. Buktinya, dia setiap malam mengunjungiku. Cuma dia masih keberatan menampakkan diri terang-terangan kerana bimbang orang kampung yang sememangnya membencinya tidak dapat menerima kenyataan. Dia juga bimbang nyawanya diancam semula oleh pekerja ladang yang tak berpuas hati dengan layanannya.
Aku melangkah malas ke kerusi lalu melabuhkan punggung. Roti bakar dan sejag oren hanya menjadi tatapan mataku.
Walaupun pelbagai halangan menghalang, kami tidak pernah berputus asa.  Sesungguhnya aku bersyukur kerana dipertemukan dengannya. Lelaki yang dipulaukan, dihina, dituduh macam-macam oleh orang kampung hanya kerana kisah silam yang belum tentu kesahihannya. Namun dia mempunyai sekeping hati yang suci dan murni sehingga akhirnya berjaya mengetuk pintu hatiku.
Aku meninggalkan meja lalu menapak ke jendela. Itulah tempat yang paling aku gemar menghabiskan masa sambil menantinya. Terasa tenang bila berada di situ. Ketenangan yang sukar dimengertikan. Dari jendela tersebut aku dapat melihat alam yang terbentang luas di depan mata. Hanya kehijauan yang terpampang, segar mata memandang.
Menerusi jendela itu juga aku boleh melihat jalan masuk dengan jelas. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke perkarangan banglo menggunakan jalan tersebut tidak akan lepas dari pandangan mataku. Aku terus dan terus mengharap dia akan melangkah masuk ke perkarangan melalui jalan tersebut. Satu, dua, tiga.… Tiada sesiapa pun melalui jalan itu… aku melepas keluhan panjang. Aku ingin bersamanya setiap masa namun keadaan tidak mengizinkan.
Angin pagi bertiup lebih kencang. Sejuk. Di puncak bukit ini kesejukan lebih terasa. Aku lantas memeluk tubuh. Bibirku menggigil kesejukan. Kesejukannya mencengkam sehingga ke dalam tulang. Kesejukan itu terus menghanyutkan aku pada kenangan lalu.


KALUNG : Terbitan KarnaDya
RM16.00
p/s : Kalung amat istimewa bagi diriku

Friday, January 18, 2013

Menghitung Hari Yang Mendebarkan

Hari berganti hari
Detiknya kian hampir
Kekadang rasa cemas
Dan kekadang rasa tak sabar
Menanti kehadiran orang baru
Dalam kehidupanku

Bagaimanakah rasanya?
Hanya pengalaman insan lain menjadi pedoman
Kesakitan yang disebut-sebut
Tak terjangkau oleh fikiran
Namun segalanya hilang
Bila melihat si kecil

Pengalaman pertama
Pastinya perit
7-8 jam sudah wajib
Hanya doa dan ayat-ayat
Menjadi peneman
Mempercepatkan kelahiran

Ya Allah, ku mohon permudahkanlah segalanya... Amin

Nukilan;
ZZ
34 minggu
KK

sumber : pakcik google

Sunday, January 13, 2013

PROMO NOVEL MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 3


BAB 3
            Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. Suhaila tak jadi pergi kerana ada temujanji dengan tunangnya. Aisyah pula mereka alasan remeh, selsema!
Syafiqah beria-ia mengajak Ayra bertamu di rumahnya. Ayra segan jika dia seorang sahaja bertamu di rumah Syafiqah. Kalau ada peneman, taklah dia segan sangat. Biasalah, di rumah orang, nak buat sesuatu mesti terasa kekok.
“Kami wakilkan kau dan Iqa pergi ke majlis kenduri kakak Dira.”
“Alah, jomlah. Tak elok kita menolak jemputan Dira.”
Ayra tidak bersetuju dengan cadangan Aisyah yang mahu mewakilkan dia dan Syafiqah ke kenduri di rumah Nadira. Pandai-pandai saja buat keputusan.
“Sebenarnya, kami tak selesa dengan Dira tu. Dia suka menunjuk-nunjuk. Tujuan dia jemput kita ke kenduri kakak dia tu, bukan setakat untuk pergi makan tu. Mesti dia nak tunjuk rumah dia yang besar tu.”
Suhaila meluahkan apa yang terpendam di hati. Dia sudah masak dengan sikap Nadira yang suka menunjuk-nunjuk.
“Korang ni, ada-ada saja.”
Ayra juga sebenarnya perasan dengan sikap Nadira yang gemar menunjuk-nunjuk. Tapi takkanlah tujuan Nadira jemput ke kendurinya pun sebab nak menunjuk-nunjuk? Fikiran Ayra tak adalah sampai ke situ.
“Kau bermalamlah di rumah Iqa. Pagi Ahad tu, baru korang gerak ke rumah Dira.”
Aisyah cuba mengatur.
“Sebenarnya aku tak suka bermalam kat rumah orang ni.”
“Alah, rumah Iqa, teman serumah kau jugak. Bukannya orang lain pun.”
Memanglah Syafiqah tu bukan orang lain, tapi... abang Syafiqah! Ayra tak selesa dengan abang Syafiqah! Nazim pernah bermalam di rumah sewa mereka. Dia hendak ke Kuala Lumpur. Hujan lebat ketika Itu. Nazim yang menunggang motosikal singgah bermalam di rumah sewa mereka sebelum menyambung perjalanannya keesokan hari.
Mata keranjangnya boleh tahan. Itulah yang buat Ayra gusar jika terpaksa bermalam di rumah Syafiqah.
“Apa kata kau ajak Dean. Dia mesti setuju kalau kau ajak teman ke kenduri rumah Dira tu.”
Suhaila memberi cadangan lain pulak.
“Kalau kau pergi dengan Dean, kau tak payah bermalam di rumah Iqa. Dean ada kereta.” Tambah Suhaila.
“Dean???”
Aisyah dan Suhaila mengangguk serentak.
*          *          *
Nadira bengang bila Aisyah dan Suhaila menolak jemputan. Ayra dan Syafiqah pula belum memberi kata putus. Dia terus meninggalkan institut perguruan sebaik sahaja tamat kuliah petang Khamis. Mukanya masam mencuka. Langsung tak cakap apa-apa.
Sikap Nadira itu membuatkan Ayra tak senang duduk. Dia rasa tak sedap hati kerana telah menghampakan pelawaan Nadira.
‘Tapi, kalau aku ikut Syafiqah, keselamatan aku pulak yang tak terjamin.’ Ayra resah!
            Masalah komen misteri di blog Mawar belum selesai, datang pula masalah baru. Nak tak nak, Ayra terpaksa mengajak Dean menemaninya ke rumah Nadira. Dia tak sampai hati hendak membiarkan jemputan Nadira. Tak baik. Mungkin akan membawa pergaduhan besar nanti. Ayra tak ingin bermasam muka dengan Nadira dan rakan-rakan sekelas yang lain.
            “Berangan!”
            Hentaman kuat atas meja mengejutkan lamunan Ayra. Kus semangat dibuatnya. Ayra mendongak kepala. Dean terbahak-bahak.
‘Setan betul Dean! Suka sangat menyergah. Tak boleh tengok aku senang sikit, mulalah dia kacau daun.’
Ayra mengetap bibir sambil menjeling tajam, mengharap agar Dean memahami isyarat yang sedang ditunjukkannya dengan lirikan mata dan gerakan bibir. Dia tidak suka disergah! Sudah banyak kali Ayra beritahu Dean yang dia tidak suka dengan sikapnya yang satu itu.
Ayra mengomel dalam hati. Dia tak berani luahkan kata-kata, bimbang hati Dean terguris dan seterusnya membatalkan rancangan yang telah diatur.
            “Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku mati tau!”
            “Kalau kau mati, aku pun turut akan mati. Kau sendiri pun tahu, aku tak boleh hidup tanpa kau.”
            Dean berhenti ketawa. Ayra mencebik bibir. Malas nak layan gurauan Dean. Hatinya langsung tak terusik dengan kata-kata Dean. Dia sudah biasa dengan kata-kata itu.
            “Siap dah tugasan?”
Dean menadah tangan, langsung tak mempedulikan kata-kata Ayra. Bertambah sakit hati Ayra dengan sikap Dean yang selamba itu. Sekurang-kurangnya mintaklah maaf.
            “Yang mana?”
            “Mrs. Tan... Ilmu Pendidikan.”
            “Ya Allah, kau tak siap lagi ke? Tiga bulan Mrs. Tan bagi masa tau untuk kita siapkan tugasan tu. Takkanlah kau masih tak siap?”
            “Maklumat semua aku dah kumpul. Nak karang tak pandai.”
            “Mrs. Tan tak suruh pun kita siapkan tugasan dia tu macam karang novel.”
            “Tolong aku?” rayu Dean.
            “Tak ada masa.”
            “Esok kan cuti lagi. Takkan kau sibuk pulak?”
            Ayra terus teringat jemputan kenduri kakak Nadira. Inilah masa yang sesuai untuk meminta bantuan Dean. Dia berharap agar Dean tiada sebarang program esok.
            “Ada hal ke esok?”
            Dean cepat-cepat menggeleng. Pertanyaan Ayra itu seolah-olah ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh gadis itu bersamanya.
            “Aku boleh tolong kau siapkan assignment.”
            “Yes!”
            “Tapi ada syaratnya.”
            “Hah? Ada syarat pulak...”
            Dean ketawa lagi. Ayra terus menyebut syarat yang dikenakan pada Dean. Lelaki itu senyum gembira dengan syarat yang baru didengarnya. Pucuk dicita ulam mendatang.
Ayra memang dah agak. Kalau Dean diajak ke Sabah sekali pun, pasti lelaki itu akan bersetuju.
            Masalah untuk memenuhi undangan dari Nadira sudah selesai. Dean sudi menemaninya ke kenduri perkahwinan kakak Nadira esok pagi. Ikutkan hati, Ayra sebenarnya malas hendak menghadiri majlis tersebut sebab jarak dari Ipoh ke Pulau Pinang bukannya dekat. Berjam-jam masa akan dihabiskan dalam kereta.
Namun, bila mengenangkan tak ada seorang pun rakan yang sudi memenuhi undangan  Nadira, terpaksalah Ayra mengalah. Lagipun, Nadira jemput makan kenduri, tak sampai hati pula Ayra hendak menghampakan permintaannya itu.
‘Alah, sekali sekala aku keluar dari kepompong apa salahnya.’
            Tik, tik! Kedengaran isyarat penerimaan mesej. Ayra segera mencapai telefon bimbit dan membuka peti mesej.
Berderau darahnya sebaik sahaja membaca mesej tersebut! Matanya berpinar. Nafasnya seakan terhenti. 


Thursday, January 10, 2013

Kisah Penjual Produk

Bukan produk kurus... bukan pakaian... aku nak story kisah penjual buku yang datang ke sekolah pagi tadi. Ada 2 orang yang datang. Awek2 cun yg petah berbicara, sesuai dengan pekerjaannya mempromosikan buku bahasa Inggeris untuk kanak-kanak. Tau aje aku tengah menunggu kelahiran baby pertama, dia apa lagi terus promosi buku yang hemdak dijual, siap boleh buat ansuran lagi. Sebenarnya masa pesta buku 2,3 tahun lepas, aku dah pernah ditarik tangan dan diceramah pasal produk yang sama. Memanglah buku tu amat berguna buat aku bakal ibu dan sebagai guru prasekolah.

Nak beli guna duit pra, perkapita yang dapat tak cukup pulak. Sebab jumlah murid yang sikit. Nak beli sendiri, hmmm... nak sambut baby ni nak kena guna duit banyak. Biarlah aku dahulukan yang penting dulu. Buku tu bila2 pun boleh beli bila ekonomi dah stabil. Sebagai jurujual biasalah mereka takkan berhenti promosi selagi hasrat tak tercapai. Aku pulak tekadkan hati agar tak berubah pendirian...hehe... dan akhirnya aku berjaya dgn alasan nak balik bincang dgn suami dulu. Jurujual pun macam dah biasa dengan alasan aku tu.

Hak membeli hak aku jadi mereka tak boleh memaksa. Alhamdulillah aku tidak tergugat kali ni. Maklumlah harga produk yang dijual bukannya murah cecah ribuan ringgit. Kalau setakat bawah RM50, aku akan beli kot atas dasar kesian...huhu...

Saturday, January 5, 2013

Lapan Bulan Sudah

Kandunganku sudah masuk 8 bulan. Diam tak diam aku sudah mengandung selama 32 minggu. Due date semakin menghampiri. Awal bulan Mac. Rasa hati bercampur-baur. Teruja menyambut orang baru, debar hendak merasai kesakitan bersalin dan mcm2 lagi...

Berat daripada 62kg kini sudah hampir mencecah 80kg! Dengan berat macam ni, memang rasa mencabar sangat. Rasa penat, termengah-mengah, semput, tak larat...semua ada. Nak tidur dah tak selesa. Kejap mengereng ke kiri, kejap ke kanan. Kalau duduk, nak bangun pulak susah. Kena duduk atas kerusi atau sofa baru senang bangun. Bila dah duduk lama, nak bangun tu kena berhenti kejap...baru boleh melangkah. Kalau dudk dalam kereta lama2, pinggang rasa sakit. Jadi tak selesa. Kejap mengalih ke kiri, kejap ke kanan, mengurangkan kesakitan.

Soal makan, tak usah cakap. Makan punya la banyak. Berbeza kalau tak mengandung. Kejap2 lapar. Kalau dulu makan pagi dan petang jer. Sekarang 6x sehari pun tak kenyang2 selagi tak tidur.

Aku cadang nak ambil cuti 2 minggu lebih awal. 18 Feb ni aku akan start cuti. Aku dah tak larat nak menapak di sekolah lagi. Bila mengajar, suara dah semput, termengah-mengah. Bila mengaji pun sama.

Dalam keadaan sekarang aku harus banyak bersabar sambil bermuhasabah diri, kenang balik beginilah mak kandung aku dulu...

p/s : LCD screen monitor samsung aku dah ok setelah sebulan bertapa di kedai

Wednesday, January 2, 2013

Hari Pertama Sesi Persekolahan 2013

Hari ni adalah hari pertama sesi persekolahan bagi negeri Perak dan yang sewaktu dengannya. Alhamdulillah, berjaya bangun awal dan sediakan sarapan sebelum gerak ke sekolah jam 7.10am. 10 minit kemudian tiba di kawasan sekolah. Nampak kereta GB dah ada kat tempat parking. GK Pentadbiran sampai beberapa saat lebih awal dari aku. Kat tempat parking bawah, nampak kereta merah. Sure cikgu baru. 

Terus aku ke pejabat untuk tulis nama dan sain (sadis, sekolah aku ni masih guna sistem lama). Rupanya aku orang yang ke6 kalau tak salah tiba di sekolah. Kemudian aku cop buku rancangan mengajar aku yang aku buat dalam sistem fail untuk ditandatangan GB. 

Selesai urusan, aku pun menapak ke kelas pra yang terletak kat hujung sekali. Mengah jugakla menapak dalam keadaan aku sekarang ni. PPM dah ada termasuk 2 orang murid perempuan. Sorang budak lama, sorang budak baru yang nampak ok jer. Tak der merengek ke apa.

Aku sambut kedatangan sorang demi sorang murid. Ikut pendaftaran seramai 10 orang jer. Tapi hari pertama ni ada lagi pertambahan seramai 3 orang. Ketiganya lelaki. Aduss.. Jadi jumlah muridku 8 lelaki dan 5 perempuan. Hero2 pulak yang ramai. 

Sorang saja pelajar yang merengek. Umo 5 tahun, lelaki. Tak biasa lagi. Dah nak habis kelas, baru dia nak berkawan. 

Minggu ni dan minggu depan aku masih ada PPM. Lepas tu tak tau apa citer coz PPM ku aku berpindah ke KL. Aku harap time ni budak2 pra dah memahami peraturan dan tak buat hal lagi... Amin. Kalu tak, jenuh jugak aku nak handle dalam keadaan aku mcm ni. Tak terkejar!

Harap esok semua murid ok...

Tuesday, January 1, 2013

Selamat Tahun Baru 2013

Assalam buat pengunjung teratak hamba... cewah! Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca apa yang tercatat di sini. Sbut saja tahun baru pasti semua orang (tak la semua) akan memasang azam baru atau sambung azam tahun lepas yg belum tercapai lagi. Awal-awal tahun ni kita biasanya bersmangat untuk merangka azam dan seterusnya berusaha untuk mencapainya.. tak gitu. 

Aku pun tak dapat lari dari merangka azam baru 2013. Tak nak lah yang susah-susah yang sukar untuk dicapai contohnya di penghujung 2013 ni duit dalam akaun aku mesti ada sejuta. Konpem tak tercapai punya. Haha... juta rupiah boleh la. 

Azam pertamaku... untuk menjadi ibu yang dapat mendidik anak dengan baik. Cewah! Sebelum ni jadi ibu kepada anak-anak murid jer. But this year aku akan jadi ibu pada anak sendiiri. Terujanya walaupun dalam debar. 

Azam keduaku... Harap dapat kembali ke berat idealku iaitu 58kg. Sekarang berat dah mencecah 76kg! Mak ai, mampukah aku turunkan berat badan sebanyak 20kg selama 6 bulan? Yakin boleh! Pasti boleh! Skurang-kurangnya ujung tahun 2013 nanti berat aku bawah 60kg dah... Amin. Kalau tidak, baju satu almari tu terpaksalah aku lelong dah tempah baju baru pulak. Huhu...membazir jer kan. Baik aku diet.

Azam ketiga... nak menjejakkan kaki ke luar negara. Huhu... Kesian kan, umur dah sebegini belum lagi melihat negara orang. Hanya setakat ke sempadan je Thailand jer. Aku verangan nak ke Beijing hujung tahun ni. Time musim sejuk. Kalau dapat pegang salji lagi best! Kalau tak mampu, setakat ke Indonesia pun jadilah. Harap2 plan menjadi la.

Azam keempat... dapat menyiapkan at least 2 manuskrip dewasa dan 2 manuskrip kanak-kanak. Siapkan manuskrip jer. Terbit belum tentu. Hantar tahun ni, biasanya next year baru diterbitkan. Aku perlukan banyak masa bagi mneyiapkan manuskrip coz aku menulis ikut mood dan ikut masa lapang yang ada. Menulis hanya sebahagian daripada hobiku. 

Azam kelima... tentulah aku mahu menjadi insan yang baik berbanding tahun2 sebelumnya. Baik sebagai hambaNya, baik kepada suami, baik kepada mak, keluarga, saudara mara, rakan setugas dan murid-murid...

Cukuplah 5 azam. Buat banyak azam pun kalau tak tercapai nak buat apa kan. 5 ni pun dah agak berat jugak nak capai kalau tak berusaha keras. Terutama azam ke2 tu. Hehe...

Korang ada azam? Kongsi2lah :)

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...