PROLOG
Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu
kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng di atas
rak tepi katil. Sudah pukul 7.05 pagi. Entah bila dia berlalu pergi, langsung
aku tidak sedar. Aku terlalu mengantuk kerana semalam kami berbual sehingga
dinihari. Berbual tentang kisah lalu. Kisah kali pertama kami bertentang
mata…. Aku bingkas bangun lalu
meninggalkan katil. Dia mungkin baru sampai di pintu pagar. Aku harus
menghalangnya pergi. Aku tak ingin melalui kehidupan ini tanpanya di sisi
biarpun sesaat….
Langsir berjalur biru laut dan putih itu kuselit ke
tepi. Jendela kubuka sedikit luas. Cahaya matahari sepantas kilat terus
memancar ke dalam bilik. Seolah pokok yang baru disirami air, begitulah
keadaannya dengan bilik yang sentiasa suram itu. Udara yang selama ini
berlegar-legar di dalam bilik berganti tempat dengan udara bersih dari luar.
Yang lebih nyaman dan segar. Mataku bulat memerhati ke perkarangan banglo dan
terus ke jalan keluar. Tiada sesiapa di situ. Aku merintih kehampaan kerana
tidak sempat menghalangnya pergi.
Tak guna aku mencarinya, kerana aku yakin dia takkan
kutemui. Dia memang bijak menghilangkan diri kerana kawasan ini miliknya.
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut menyinggah pipiku.
Rambut terus menutupi pandangan mataku.
Segera kuselit rambut depan yang menutup pandangan. Pemandangan indah Kampung
Jerai Tua terbentang luas di depan mata. Sayu hatiku melihat kampung kelahiran
ibu. Kampung yang masih serba kekurangan itu.
Terasa baru semalam aku menjejakkan kaki ke Kampung
Jerai Tua. Cepat benar masa berlalu. Diam tak diam sudah hampir dua tahun aku
menjadi sebahagian dari penduduk kampung itu. Walaupun aku tak ingin menjadi
sebahagian penduduk kampung Jerai Tua, namun takdir Tuhan… di sinilah akhirnya
aku terdampar. Di sebuah banglo suram, di puncak bukit…. Segalanya sudah tersurat. Aku akan berkelana
di sini sehingga dia bebas dari segala tuduhan.
Sesekali terlintas
di hatiku untuk ke Kampung Jerai Tua, menjejak sisa-sisa kenangan lalu. Namun
aku sedar, aku tidak diterima oleh penduduk kampung. Mereka telah memulau aku
seperti mana mereka memulaukan insan yang kusayang. Ah, betapa kejamnya mereka.
Aku dibenci hanya kerana aku mencintai dia.
Kaki ini juga terasa berat hendak melangkah ke sana . Seolah-olah ada
besi yang merantai kedua-dua belah kakiku. Aku tak boleh sekali-kali
meninggalkan banglo ini! Aku ada tanggungjawab yang lebih besar di sini. Aku
harus menanti kedatangannya. Dia pasti muncul malam ini. Aku harus berada di
sini untuk menyambut kepulangannya demi membuktikan kesetiaanku hanya
kepadanya. Cintaku ini tak akan beralih arah biar seribu tahun lagi.
Aku mengalih kedudukan, membelakangkan jendela. Mataku
merawang ke seluruh bilik. Bilik yang indah namun sepi. Sesepi diriku…. Biar pun
tiada keindahan lagi di sini, aku tidak akan sekali-kali meninggalkan banglo
ini biar pun dipaksa. Biarlah aku hidup sendirian di sini. Aku lebih rela
memenjarakan diriku di sini daripada pulang ke kampung. Keindahan di luar bukan
lagi menjadi satu keutamaan. Semuanya sudah berlalu sebaik sahaja mereka
memutuskan tali silaturrahim denganku hanya kerana aku enggan menurut kata
mereka agar meninggalkan banglo ini segera.
Ketukan di pintu
mematikan lamunanku. Aku segera menoleh ke arah pintu. Dadaku berdebar saat
daun pintu terbuka kian luas. Diakah? Diakah yang akan muncul di depanku
sebentar lagi? Dia yang sering datang pada lewat malam dan pergi sebelum
mentari muncul. Dia yang kurindui…. Walaupun dia tidak pernah mengetuk pintu
untuk memasuki bilik kepunyaannya ini, hatiku tetap berdebar-debar.
Seorang lelaki berjambang putih tercegat di muka pintu
sambil menatang dulang. Terus lenyap debaran di hati ini sebaik sahaja melihat
lelaki berjambang dan berwajah bengis itu melangkah masuk. Harapan yang
menggunung tinggi turut punah sekelip mata. Dia tak mungkin datang pada siang
hari kerana bimbang nyawanya terancam.
“Sarapan.” Lelaki itu meletakkan dulang ke atas meja.
Entah sarapan apa yang dimasaknya pagi ini, aku tak ingin ambil tahu. Aku juga
tak ingin melihatnya. Seleraku sudah tertutup. Tertutup dengan berita mengejut
itu. Mujurlah berita tersebut palsu semata-mata. Namun selera ini tetap berada
di tahap rendah tanpanya di sisi menemani diri ini.
“Biarkan di situ.”
Aku terus menoleh ke luar jendela. Air mata kukesat. Mudah benar air mata ini
mengalir setiap kali merasa hampa.
“Nia nak apa-apa
lagi?”
“Terima kasih, Pak
Mat. Nia tak nak apa-apa.” Hampa, benar-benar hampa. Namun aku takkan berputus
asa menanti saat itu. Saat di mana kami akan bertemu secara terang-terangan,
tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang atau was-was. Masa akan menentukan
kebenaran. Dia tidak bersalah. Dia lelaki terbaik yang pernah ku temui dalam
hidup ini.
“Pak Mat, tunggu!”
aku menahan Pak Mat yang sudah hampir ke pintu.
Pak Mat menoleh ke
arahku. Sinar bebola matanya penuh simpati. Aku tak inginkan simpati
siapa-siapa. Yang aku perlukan adalah doa. Doa supaya aku dan dia dapat
menjalani kehidupan ini dengan penuh rasa gembira dan bahagia setelah penat
mengharungi derita.
“Ada
apa?”
“Pak Mat jangan
kunci pintu luar.”
“Kenapa?”
“Dia akan datang lagi malam ni.” Aku mahu dia datang
tanpa sebarang halangan.
“Nia… Tuan kan
dah tak ada. Nia kena terima hakikat ni.”
Aku tersenyum
kelat. Bicara Pak Mat terasa kelakar. “Pak Mat… jangan percaya dengan cakap
orang kampung. Dia masih hidup. Sihat walafiat. Baru semalam kami bertemu. Cuma
keadaan sahaja yang tak mengizinkan dia muncul secara terang-terangan. Bila
kebenaran sudah terbukti, dia tak akan sembunyi-sembunyi lagi menemui saya, Pak
Mat.” Aku jelaskan perkara yang sebenar. Aku tetap yakin khabar gembira akan
menyusul jua suatu hari nanti. Khabar dia tidak bersalah. Dia tidak pernah
terlibat dengan kejadian buruk yang menimpa penduduk kampung.
“Jangan biarkan
fikiran Nia dipengaruhi oleh perkara yang bukan-bukan. Hakikat yang Tuan sudah
pergi tak dapat ditolak lagi.”
“Dia masih hidup!” hati ini menjadi panas tiba-tiba
dengan dakwaan Pak Mat yang tak berasas. Telah aku minta dia untuk menemui Pak
Mat, tetapi dia enggan. Aku mahu dia bertentang mata dengan Pak Mat untuk
membuktikan kebenaran kata-kataku ini. Namun dia tetap enggan. Katanya, masanya
masih belum tiba.
Pak Mat menggeleng-geleng kepala sebelum keluar dari
bilikku.
Pak Mat sama seperti penduduk kampung yang lain. Mereka
masih tak henti-henti menyakiti hatiku. Mereka berpakat mengatakan yang pekerja
ladangnya sendiri yang telah membunuhnya. Sedikit pun aku tak percaya pada
tuduhan orang kampung. Buktinya, dia setiap malam mengunjungiku. Cuma dia masih
keberatan menampakkan diri terang-terangan kerana bimbang orang kampung yang
sememangnya membencinya tidak dapat menerima kenyataan. Dia juga bimbang
nyawanya diancam semula oleh pekerja ladang yang tak berpuas hati dengan
layanannya.
Aku melangkah malas ke kerusi lalu melabuhkan punggung.
Roti bakar dan sejag oren hanya menjadi tatapan mataku.
Walaupun pelbagai halangan menghalang, kami tidak pernah
berputus asa. Sesungguhnya aku bersyukur
kerana dipertemukan dengannya. Lelaki yang dipulaukan, dihina, dituduh
macam-macam oleh orang kampung hanya kerana kisah silam yang belum tentu
kesahihannya. Namun dia mempunyai sekeping hati yang suci dan murni sehingga
akhirnya berjaya mengetuk pintu hatiku.
Aku meninggalkan meja lalu menapak ke jendela. Itulah
tempat yang paling aku gemar menghabiskan masa sambil menantinya. Terasa tenang
bila berada di situ. Ketenangan yang sukar dimengertikan. Dari jendela tersebut
aku dapat melihat alam yang terbentang luas di depan mata. Hanya kehijauan yang
terpampang, segar mata memandang.
Menerusi jendela itu juga aku boleh melihat jalan masuk
dengan jelas. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke perkarangan banglo
menggunakan jalan tersebut tidak akan lepas dari pandangan mataku. Aku terus
dan terus mengharap dia akan melangkah masuk ke perkarangan melalui jalan
tersebut. Satu, dua, tiga.… Tiada sesiapa pun melalui jalan itu… aku melepas
keluhan panjang. Aku ingin bersamanya setiap masa namun keadaan tidak
mengizinkan.
Angin pagi bertiup lebih kencang. Sejuk. Di puncak bukit
ini kesejukan lebih terasa. Aku lantas memeluk tubuh. Bibirku menggigil
kesejukan. Kesejukannya mencengkam sehingga ke dalam tulang. Kesejukan itu
terus menghanyutkan aku pada kenangan lalu.
KALUNG : Terbitan KarnaDya RM16.00 |
p/s : Kalung amat istimewa bagi diriku
No comments:
Post a Comment