BAB 3
Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis
perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. Suhaila tak jadi pergi kerana
ada temujanji dengan tunangnya. Aisyah pula mereka alasan remeh, selsema!
Syafiqah
beria-ia mengajak Ayra bertamu di rumahnya. Ayra segan jika dia seorang sahaja
bertamu di rumah Syafiqah. Kalau ada peneman, taklah dia segan sangat. Biasalah,
di rumah orang, nak buat sesuatu mesti terasa kekok.
“Kami
wakilkan kau dan Iqa pergi ke majlis kenduri kakak Dira.”
“Alah,
jomlah. Tak elok kita menolak jemputan Dira.”
Ayra tidak bersetuju
dengan cadangan Aisyah yang mahu mewakilkan dia dan Syafiqah ke kenduri di
rumah Nadira. Pandai-pandai saja buat keputusan.
“Sebenarnya,
kami tak selesa dengan Dira tu. Dia suka menunjuk-nunjuk. Tujuan dia jemput
kita ke kenduri kakak dia tu, bukan setakat untuk pergi makan tu. Mesti dia nak
tunjuk rumah dia yang besar tu.”
Suhaila
meluahkan apa yang terpendam di hati. Dia sudah masak dengan sikap Nadira yang
suka menunjuk-nunjuk.
“Korang ni,
ada-ada saja.”
Ayra juga
sebenarnya perasan dengan sikap Nadira yang gemar menunjuk-nunjuk. Tapi
takkanlah tujuan Nadira jemput ke kendurinya pun sebab nak menunjuk-nunjuk? Fikiran
Ayra tak adalah sampai ke situ.
“Kau
bermalamlah di rumah Iqa. Pagi Ahad tu, baru korang gerak ke rumah Dira.”
Aisyah cuba
mengatur.
“Sebenarnya
aku tak suka bermalam kat rumah orang ni.”
“Alah,
rumah Iqa, teman serumah kau jugak. Bukannya orang lain pun.”
Memanglah Syafiqah
tu bukan orang lain, tapi... abang Syafiqah! Ayra tak selesa dengan abang Syafiqah!
Nazim pernah bermalam di rumah sewa mereka. Dia hendak ke Kuala Lumpur. Hujan lebat
ketika Itu. Nazim yang menunggang motosikal singgah bermalam di rumah sewa mereka
sebelum menyambung perjalanannya keesokan hari.
Mata
keranjangnya boleh tahan. Itulah yang buat Ayra gusar jika terpaksa bermalam di
rumah Syafiqah.
“Apa kata
kau ajak Dean. Dia mesti setuju kalau kau ajak teman ke kenduri rumah Dira tu.”
Suhaila
memberi cadangan lain pulak.
“Kalau kau
pergi dengan Dean, kau tak payah bermalam di rumah Iqa. Dean ada kereta.”
Tambah Suhaila.
“Dean???”
Aisyah dan Suhaila
mengangguk serentak.
* * *
Nadira
bengang bila Aisyah dan Suhaila menolak jemputan. Ayra dan Syafiqah pula belum
memberi kata putus. Dia terus meninggalkan institut perguruan sebaik sahaja
tamat kuliah petang Khamis. Mukanya masam mencuka. Langsung tak cakap apa-apa.
Sikap
Nadira itu membuatkan Ayra tak senang duduk. Dia rasa tak sedap hati kerana
telah menghampakan pelawaan Nadira.
‘Tapi,
kalau aku ikut Syafiqah, keselamatan aku pulak yang tak terjamin.’ Ayra resah!
Masalah komen misteri di blog Mawar belum selesai, datang
pula masalah baru. Nak tak nak, Ayra terpaksa mengajak Dean menemaninya ke
rumah Nadira. Dia tak sampai hati hendak membiarkan jemputan Nadira. Tak baik.
Mungkin akan membawa pergaduhan besar nanti. Ayra tak ingin bermasam muka
dengan Nadira dan rakan-rakan sekelas yang lain.
“Berangan!”
Hentaman kuat atas meja mengejutkan lamunan Ayra. Kus
semangat dibuatnya. Ayra mendongak kepala. Dean terbahak-bahak.
‘Setan
betul Dean! Suka sangat menyergah. Tak boleh tengok aku senang sikit, mulalah
dia kacau daun.’
Ayra
mengetap bibir sambil menjeling tajam, mengharap agar Dean memahami isyarat
yang sedang ditunjukkannya dengan lirikan mata dan gerakan bibir. Dia tidak
suka disergah! Sudah banyak kali Ayra beritahu Dean yang dia tidak suka dengan
sikapnya yang satu itu.
Ayra
mengomel dalam hati. Dia tak berani luahkan kata-kata, bimbang hati Dean
terguris dan seterusnya membatalkan rancangan yang telah diatur.
“Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku mati tau!”
“Kalau kau mati, aku pun turut akan mati. Kau sendiri pun
tahu, aku tak boleh hidup tanpa kau.”
Dean berhenti ketawa. Ayra mencebik bibir. Malas nak layan
gurauan Dean. Hatinya langsung tak terusik dengan kata-kata Dean. Dia sudah
biasa dengan kata-kata itu.
“Siap dah tugasan?”
Dean
menadah tangan, langsung tak mempedulikan kata-kata Ayra. Bertambah sakit hati Ayra
dengan sikap Dean yang selamba itu. Sekurang-kurangnya mintaklah maaf.
“Yang mana?”
“Mrs. Tan... Ilmu Pendidikan.”
“Ya Allah, kau tak siap lagi ke? Tiga bulan Mrs. Tan bagi
masa tau untuk kita siapkan tugasan tu. Takkanlah kau masih tak siap?”
“Maklumat semua aku dah kumpul. Nak karang tak pandai.”
“Mrs. Tan tak suruh pun kita siapkan tugasan dia tu macam
karang novel.”
“Tolong aku?” rayu Dean.
“Tak ada masa.”
“Esok kan cuti lagi. Takkan kau sibuk pulak?”
Ayra terus teringat jemputan kenduri kakak Nadira. Inilah
masa yang sesuai untuk meminta bantuan Dean. Dia berharap agar Dean tiada
sebarang program esok.
“Ada hal ke esok?”
Dean cepat-cepat menggeleng. Pertanyaan Ayra itu seolah-olah
ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh gadis itu bersamanya.
“Aku boleh tolong kau siapkan assignment.”
“Yes!”
“Tapi ada syaratnya.”
“Hah? Ada syarat pulak...”
Dean ketawa lagi. Ayra terus menyebut syarat yang dikenakan
pada Dean. Lelaki itu senyum gembira dengan syarat yang baru didengarnya. Pucuk
dicita ulam mendatang.
Ayra memang
dah agak. Kalau Dean diajak ke Sabah sekali pun, pasti lelaki itu akan bersetuju.
Masalah untuk memenuhi undangan dari Nadira sudah
selesai. Dean sudi menemaninya ke kenduri perkahwinan kakak Nadira esok pagi.
Ikutkan hati, Ayra sebenarnya malas hendak menghadiri majlis tersebut sebab
jarak dari Ipoh ke Pulau Pinang bukannya dekat. Berjam-jam masa akan dihabiskan
dalam kereta.
Namun, bila
mengenangkan tak ada seorang pun rakan yang sudi memenuhi undangan Nadira, terpaksalah Ayra mengalah. Lagipun, Nadira
jemput makan kenduri, tak sampai hati pula Ayra hendak menghampakan permintaannya
itu.
‘Alah,
sekali sekala aku keluar dari kepompong apa salahnya.’
Tik, tik! Kedengaran isyarat penerimaan mesej. Ayra
segera mencapai telefon bimbit dan membuka peti mesej.
Berderau
darahnya sebaik sahaja membaca mesej tersebut! Matanya berpinar. Nafasnya
seakan terhenti.
No comments:
Post a Comment