Wednesday, January 30, 2013

PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4



BAB 4
            ‘TALAM DUA MUKA!’
            Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen yang dihantar ke blog Mawar. Dadanya berdebar-debar. Dia pandang kiri dan kanan.
Suhaila dan Aisyah sedang khusyuk membantu Dean menyiapkan tugasan. Mereka yang mempelawa diri untuk membantu Dean sebagai balasan pada Ayra yang telah sudi mewakili mereka semua untuk menghadiri kenduri kahwin kakak Nadira.
            ‘Siapa yang hantar mesej?’
Persoalan itu mengganggu hidup Ayra sekali lagi, membuatkannya jadi tak senang duduk selagi ianya belum selesai. Selagi belum tahu pengirimnya...
Sebelum ini, komen yang mengganggu seluruh hidupnya dihantar ke blog kesayangannya. Dua tiga hari Ayra cuba melupakan komen tersebut. Tapi bila mesej pula diterima, dia tak boleh duduk diam lagi. Pengirim misteri itu mengetahui nombor telefonnya. Nombor yang dia tidak pernah diberi pada sesiapa melainkan kawan-kawan rapat sahaja.
            Ayra mula diganggu dengan mesej-mesej yang menyentak jantung sejak petang semalam ketika berada bersama Dean. Pengirimnya langsung tak dikenali. Ayra beranikan diri dengan menghubungi nombor telefon yang tertera. Namun, panggilan tidak berangkat.
‘Tahu pun takut! Kalau berani, dah tentu dia tak akan ugut aku secara senyap. Tentu dia akan datang jumpa aku sendiri! Siapa sebenarnya yang sedang menakut-nakutkan aku? Tunjukkanlah siapa diri kau yang sebenar!’
Kadang-kadang Ayra jadi takut dan resah bila menerima mesej yang menakutkan, namun kadang-kadang sakit hati pulak apabila terasa seolah-olah dirinya sedang dipermainkan oleh seseorang.
            Tiada sesiapa yang tahu nombor telefon bimbitnya melainkan Syafiqah, Suhaila, Nadira, Aisyah dan Dean. Guru besar dan kerani tempat dia bertugas juga mengetahui nombor telefon yang baru didaftarnya dua bulan yang lalu.
Sebelum ini, Ayra tidak pernah memiliki kad SIM, apa lagi telefon bimbit. Atas desakan Dean dan pihak sekolah, dia terpaksa akur untuk menggunakan alat telekomunikasi tersebut. Kata mereka, senang untuk berhubung dengannya. Secara rasminya, dia mula menggunakan telefon bimbit baru dua bulan lepas.
            Bila dah ada telefon bimbit, ini pula yang terjadi! Ini yang dia tak suka! Terasa menyesal pulak dia kerana akur dengan permintaan rakan-rakan untuk menggunakan telefon bimbit.
            “Pucat saja muka kau! Kenapa?”
            Ayra tersentak lagi bila ditegur Dean.
            “Sakit?”
            Suhaila bimbang dengan keadaan Ayra yang dilihatnya sejak sehari dua ini asyik termenung panjang saja. Bimbang juga dia andai Ayra marah padanya kerana enggan memenuhi jemputan Nadira. Malah, pandai-pandai pulak dia memberi cadangan agar Ayra mewakilinya. Mungkin Ayra rasa terbeban dengan cadangannya itu.
            Ayra menggelengkan kepala. Telefon bimbit berada erat dalam genggaman. Tak ingin telefon tersebut jatuh ke tangan sesiapa pun saat ini. Jika ianya berlaku, hidupnya akan musnah sekali lagi. Ya, sekali lagi! Ayra tak sanggup. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
            “Mesej dari siapa?”
            Dean perasan perubahan pada raut wajah Ayra sebaik sahaja membaca mesej yang baru diterimanya. Muka Ayra kelat semacam.
            “Er... keluarga di kampung.”
Ayra terpaksa berbohong. Ada getar dalam nada suaranya. Harap Dean tak perasan.
Tiada sesiapa yang tahu kisah hidupnya yang tragis. Dan tiada sesiapa harus tahu kisah silam itu. Ayra sudah menutup buku. Dia sudah menjalani kehidupan baru sejak beberapa tahun yang lalu. Dia tak ingin diganggu lagi.
‘Tapi kenapa ada yang masih ingin menggangguku? Tak senangkah dengan kebahagiaan yang sedang aku kecapi sekarang?’
            “Oh ya... ada hal apa?” soal Dean.
            “Mereka tanya bila aku nak balik kampung.”
Bohong lagi! Dengan wajah yang selamba, Ayra berharap agar tidak ada yang berjaya membaca gelora di hatinya. Namun suaranya nyata sedikit bergetar.
Suhaila simpati pada Ayra. Ayra pernah beritahu padanya, sudah bertahun-tahun dia tidak balik Sabah kerana masalah kewangan. Dia yakin kerinduan Ayra pada keluarganya pasti tak tertanggung lagi. Sebab itulah Ayra asyik termenung sepanjang malam.
Ayra tunduk. Tiga pasang memandang ke arahnya, masing-masing cuba membaca apa yang terbuku di hatinya. Siapalah yang tidak gusar andai ada seseorang yang sedang memerhati gerak gerinya, sedangkan dia tidak tahu siapa orangnya. Tambah menakutkan bila orang tersebut tahu kisah lalunya yang penuh kepedihan dan kesedihan.
Ayra menarik nafas dan menghembuskannya perlahan-lahan, mencari sedikit ruang untuk merasai ketenangan.
“Bila kau nak balik kampung? Aku teringin nak ikut.”
Dean mengajukan pertanyaan yang sukar untuk dijawab.
“Aku pun nak ikut jugak.” Sampuk Aisyah. “Dah lama aku menyimpan impian untuk ke Sabah. Tapi tak tahu nak ke sana dengan siapa. Nak tuju ke mana. Sekarang, kau ada. Senanglah nak atur.”
            Habis! Takkan aku nak terus-terusan berbohong dengan mereka?
Sejujurnya, Ayra tak ingin menipu sahabat-sahabatnya itu. Dia merenung Suhaila. Hanya Suhaila yang tahu dia tak pernah balik Sabah sudah beberapa tahun. Ayra jadikan alasan kerinduan di hati pada keluarga nun di Sabah penyebab dia asyik termenung apabila Suhaila mengajukan pertanyaan.      
“Tak apalah, kalau tak sudi...”
Dean meninggalkan kerusi batu.
“Hoi, kau nak ke mana tu?” jerit Aisyah.
“Kafe, beli air.”
“Beli untuk kami semua.” Jerit Aisyah lagi.
            “Macam merajuk je si Dean tu!”
Suhaila yang sedang menyusun maklumat berguna untuk menyiapkan tugasan Dean meminta Ayra cepat pujuk Dean.
            “Biarkanlah! Tak kuasa nak pujuk.” Ayra mencebik.
            Dean bukannya jenis yang suka merajuk. Sudah beberapa bulan Ayra mengenali Dean. Semakin hari semakin masak dia dengan sikap Dean. Dean bukan lelaki yang cepat marah atau cepat hilang sabar. Dean matang berbanding usianya yang sebenar. Itulah yang membuatkan hati Ayra senang bila bersama Dean. Lelaki itu juga ditempatkan di sekolah dalam daerah Kuala Kangsar. Hujung minggu, Dean akan mengajak Ayra dan Syafiqah keluar ke pekan. Mereka berborak perihal sekolah masing-masing, karenah murid-murid dan guru-guru serta macam-macam lagi di restoran tepi sungai.
            “Peliklah kau ni. Lelaki baik macam Dean pun kau tak sudi. Nak tunggu lelaki yang macam mana lagi?”
Suhaila geleng kepala. Dia tumpang gembira kalau Ayra dan Dean menjalin hubungan. Dia berharap, sekurang-kurangnya perhubungan itu dapat mengurangkan kerinduan Ayra pada keluarganya.
Suhaila tiba-tiba terus terkenangkan tunangnya, seorang tentera laut. Mereka bercinta sejak sekolah menengah. Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, Muiz terus melamar Suhaila. Mereka merancang hendak berkahwin hujung tahun depan setelah Suhaila selesai mengikuti kursus LPBS.
            “Aku sedang tunggu putera katak.”
Ayra sedar, dia sedang buat lawak bodoh, sengaja melindungi permasalahan yang sedang melanda diri sejak akhir-akhir ini.
Ada seseorang yang tahu siapa dirinya yang sebenar. Orang itulah yang telah menghantar mesej-mesej tersebut sehingga membuatkan dia tidak dapat melelapkan mata sebelah malam dan hilang selera makan. Malah, tumpuan terhadap pelajaran dan kerja juga makin terganggu.
Ayra dalam ketakutan. Kalaulah aku tahu siapa orangnya... Ayra perhati kawasan sekitar. Mana tahu pengirim mesej ada di kawasan berdekatan, sedang memerhati gerak gerinya.
            “Ye la tu. Datang putera katak nanti, baru kau tahu. Nak pandang sebelah mata pun kau takut nanti.”
            Ayra menutup mulut, tergelak kecil. Sudah hampir enam tahun dia memulakan hidup baru. Sepanjang tempoh terseut juga, dia cuba melenyapkan kisah lalu yang telah memusnahkan hidupnya. Saat hampir berjaya melupakan peristiwa lalu, mesej yang menakutkan itu pula muncul.
Kenapa harus ada yang dengki dengan kebahagiaanku???

No comments:

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...