2.30 pagi
13 Mei
5 tahun yang lalu
Aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari handset Motorola. Tertera perkataan 'My Home' di skrin. Jantung terus berdegup kencang. Sudah kuduga pastinya ia panggilan kecemasan. Adikku menghubungi dari telefon rumah.
Dia memaklumkan ayah diserang sawan tarik lagi. Ayah terkena angin ahmar sudah tiga tahun lebih. Di sepanjang tempoh tersebut, sudah banyak kali ayah kena sawan tarik. Tak kira masa. Pagi, petang, siang, malam. Kali ni ayah diserang sawan tarik dalam tidur. Biasanya selepas beberapa ketika ayah akan kembali normal. Namun dia tidak akan ingat apa yang berlaku ke atasnya.
Kata adikku, kali ini ayah tak sedar. Jiran dipanggil untuk melihat keadaan ayah. Jiran mengesahkan yang ayah tidak bernafas lagi. Terasa bagai mimpi, kami kehilangan ayah tersayang.
Aku terus bersiap ala kadar. 2.45 pagi aku bertolak balik ke kampung dari Kuala Kangsar, sendirian! Perasaan takut memandu seorang diri sudah tidak wujud dalam diri. Yang ada hanyalah nak cepat sampai ke rumah. Aku sempat menghubungi adikku yang berada di Seri Iskandar, namun panggilan tidak diangkat.
Hampir jam 5.00 pagi aku tiba di rumah. Terus aku menuju ke tempat jenazah ayah ditempatkan. Adik dan kakakku sedang mengaji. Kemenyan dibakar. Sayu melihat raut wajah ayah... arwah kelihatan tenang... Ayah meninggal di usia 71 tahun.
Kini, yang tinggal hanyalah kenangan. Hanya gambar dan video menjadi tatapan kala kesunyian. Semoga roh ayah tenang di alam sana, dan semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Amin.
No comments:
Post a Comment