BAB 7
Tiba sahaja di bawah, Dean sudah tercegat di luar pagar
blok asrama perempuan.
“Aku mesej Dean, ajak dia join sekali. Dia kan sorang. Member
dia semua balik.”
Terang Aisyah
sebelum Ayra membebel. Kalau Ayra tahu Dean ikut sekali, pasti gadis itu akan
menolak. Kata Ayra, dia malas nak rapat dengan Dean. Rimas dia sebab Dean layan
dia lebih-lebih. Esok, mereka berdua akan ke Pulau Pinang. Aisyah berharap Dean
dapat menggunakan kesempatan itu untuk menawan hati Ayra.
Aisyah dan Suhaila sengaja mempercepat langkah, membiarkan
Ayra beriringan dengan Dean.
“Sayang, kenapa jalan lambat sangat?”
Sayang lagi! Ayra merengus! Tak suka dengan panggilan
tersebut.
Aisyah dan Suhaila tersenyum-senyum mendengar panggilan
Dean. Ayra pulak terus mencerlung tajam ke wajah Dean yang selamba itu. Geram
hatinya dengan panggilan ‘sayang’. Dia sudah memaklumkan pada Dean yang dia tak
suka Dean memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’. Kalau Dean panggil semua
gadis dengan panggilan ‘sayang’, Ayra tak adalah kisah sangat. Tapi, panggilan
tersebut hanya untuk dirinya.
Tik, tik! Mesej masuk lagi.
Ayra malas
hendak membacanya sekarang. Dia sudah dapat mengagak, mesej tersebut pastinya
dihantar oleh pengirim misteri. Biarlah! Ayra malas hendak ambil peduli soal
mesej tersebut buat masa sekarang. Masa sekarang adalah masa bersama Dean, Suhaila
dan Aisyah. Dia tak mahu diganggu. Kalau mesej tersebut dibaca sekarang, tentu
otaknya hanya akan memikirkan isi kandungan mesej tersebut.
Mesej kedengaran lagi dan lagi.
Ayra rimas!!!
“Bacalah mesej tu. Dari keluarga kau agaknya.”
Dean sejak
tadi perasan dengan mesej yang bertalu-talu masuk. Isyarat mesej tersebut
kedengaran dari telefon bimbit yang berada dalam genggaman Ayra. Tapi Ayra buat
tak tahu saja dengan mesej yang diterimanya. Dean sempat bilang, ada lima mesej
yang masuk. Mesej pertama masuk ketika mereka sedang berjalan, dan mesej yang
kelima masuk ketika mereka sudah melabuhkan punggung di kafeteria.
“Bacalah
mesej tu Ayra.”
Aisyah
menyokong cadangan Dean.
Ayra menyesal kerana tidak tukar profile telefon
bimbitnya kepada ‘silence’. Mahu tak mahu terpaksa juga dia akur dengan
permintaan Dean dan Aisyah.
‘HIDUP KAU AKAN MERANA! KAU AKAN TERIMA BALASAN TAK LAMA
LAGI!’
‘SEJAUH MANA KAU MELARIKAN DIRI, KEJAHATAN YANG KAU
LAKUKAN AKAN SETIA MENGEKORI.’
‘KAU TAK LAYAK MILIKI KEHIDUPAN!’
‘BERTAUBAT SEBELUM TERLAMBAT!!!’
‘HIPOKRIT!!!’
Ayra menghela nafas dan memadam semua mesej dari pengirim
yang tak dikenali itu. Sakit, benci dan marah silih berganti. Dia cukup bengang
dengan pengirim mesej tersebut yang berani dari jauh.
‘Cuba
tunjuk diri kau sekarang! Aku tak takut hendak bersemuka dengan kaulah!’ Ayra
mengutuk dalam hati. Panas hatinya dengan sikap manusia yang berani dari jauh.
Ayra tak
takut kalau diajak berhadapan. Dalam hal ini, dia yakin dia tak bersalah. Dia
hanya melakukan tindakan yang dirasakannya betul ketika itu. Biarlah dia
dituduh dengan bukti-bukti yang kukuh sekali pun, Allah tahu siapa di pihak
yang benar.
Dia tidak
berniat hendak membunuh. Dia hanya mempertahankan diri.
“Maaf kalau aku ni jadi penyibuk. Er... mesej dari
siapa?”
Dean mengajukan pertanyaan bila dilihatnya wajah Ayra
bertukar kelat sebaik sahaja membaca mesej. Ayra macam ada masalah. Dialah
orang pertama yang akan menghulurkan bantuan andai Ayra sedang dalam
kesempitan.
“Dari Maxis... keluarga pun ada... kawan ada... semua
ada.”
Balas Ayra dengan nada acuh tak acuh. Dia leka memerhati
Aisyah dan Suhaila yang sedang memesan makanan di kaunter.
“Teman lelaki pun ada?” usik Dean, sengaja ingin menduga.
“Menggada-ngadalah kau ni. Teman lelaki aku kan buta,
pekak dan bisu, mana reti nak bermesej.”
Ayra sedaya upaya menceriakan hati. Dia mahu keadaan
kembali normal.
“Ye lah tu... silap haribulan kata-kata kau tu jadi
kenyataan. Ha, siapa nak jawab nanti?”
“Aku buat lawak jelah. Kau ni, ambil serius pulak!”
“Dah lebih dari tiga kali dah kau cakap teman lelaki kau
tu buta, pekak dan bisu. Aku cuma nak ingatkan kau je.”
“Maaf, aku tak bermaksud pun. Kau pun satu, dah tahu aku
tak ada teman lelaki, masih nak usik aku dengan soalan macam tu lagi.”
“Maaf sayang, abang cuma nak tahu jer, gadis ayu sebelah
abang ni sebenarnya dah berpunya atau belum...”
Ayra tarik muka. Memang mengada-ngada betullah! Dean tersengih.
Ayra hanya mampu menggeleng kepala. Berusaha keras macam mana pun, Dean takkan
dapat memilikinya.
BAB 8
“Pukul berapa kau dan Dean nak bertolak ke Butterworth?”
“9.30 pagi ni. Dean kata, dalam dua ke tiga jam
sampailah. Jomlah ikut sekali.”
Ayra terus memujuk Suhaila yang sedang sibuk membetulkan
cadar. Dia rasa tak sedap hati jika hanya dia dan Dean sahaja yang menghadirkan
diri ke kenduri kahwin kakak Nadira. Gadis itu turut menjemput rakan-rakan
sekelas yang lain. Kalau mereka datang, pasti mereka akan terkejut bila melihat
dia dan Dean datang bersama. Bertambah yakinlah mereka yang dia dan Dean
menjalin hubungan istimewa.
“Eh, tak mahulah!”
Suhaila menggeleng-geleng
kepala dengan dahi berkerut. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu, membuang habuk-habuk
yang melekat.
“Dira dah pesan kat aku awal-awal lagi suruh kita semua
pergi. Siap pesan suruh kita bawa teman masing-masing lagi tau. Dia tak kisah kita
nak bawa sesiapa pun. Tunang, teman lelaki, adik, abang, mak, ayah semua dia
jemput.”
Ayra terus
memujuk. Dia berharap sangat Suhaila tak jadi berjumpa tunangnya dan seterusnya
dapat menyertai dia dan Dean ke utara.
“Maksud Dira tu, teman lelaki la. Teringin sangat dia nak
tengok tunang Ila, boyfriend aku.”
Aisyah yang
berdiri di muka pintu menyampuk. Dia melangkah masuk lalu terus duduk di kerusi
Suhaila.
“Eh, ke situ pulak. Dia tak sebut pun teman yang kita
kena bawa tu seharusnya seorang lelaki.”
Ayra membetulkan
tudung. Untuk ke majlis kenduri, dia mengenakan selendang dan baju kurung
bunga-bunga kecil. Baju kurung tersebut baru dibelinya sebulan lepas. Dia
membeli baju kurung siap jahit. Sejak melangkah ke alam pekerjaan, dia
memerlukan banyak baju kurung. Dibelinya sedikit demi sedikit. Baju kurungnya
sudah ada sepuluh pasang.
“Hmm... yelah tu. Aku dan Ila satu rumah dengan dia. Kami
faham sangat la dengan perangai dia tu. Tak boleh orang lebih sikit dari dia.”
“Aku no komen.
Setakat yang aku kenal, dia kira okey la. Sesuai untuk dibuat kawan. Suka
membantu. Tak kedekut.”
Ayra memberi komen dari sudut pandangan positif. Nadira
memang gadis yang suka membantu. Kalau dia tak faham sesuatu, Nadiralah tempat
dia bertanya. Nadira tak lokek ilmu.
“Soal tu, aku pun setuju.”
Suhaila
akur dengan sikap murah hati yang ada pada Nadira. Gadis itulah yang selalu
memenuhkan peti ais di dapur dengan beraneka makanan. Siapa nak makan ambil
saja. Dia tak kedekut.
“Cuma dia
tu belagak sikit. Dengan pensyarah tak pernah pun dia nak tunjuk rasa hormat.
Anak orang berada la katakan.”
Itu salah
satu sikap Nadira yang Aisyah tidak gemar. Sukar betul untuk Nadira menunjukkan
rasa hormatnya pada pensyarah apa lagi pada rakan-rakan.
“Eh, orang tua dia kerja apa ye?”
Ayra ada
dengar mengenai status Nadira yang dikategorikan sebagai orang berada. Yang
memusykilkan hatinya, kalau Nadira anak orang berada, kenapa masih nak bekerja
dengan kerajaan atau lebih mudah, kuli kerajaan! Otaknya ligat berfikir sambil
tangan memasang krongsang di bahu kanan.
“Bapa dia tu kan ada perniagaan sendiri. Mak dia pulak
kalau tak silap aku Pegawai PPD.”
Aisyah mencapai sebatang pen lalu diketuk-ketuk atas
meja. Sejak mula berkenalan lagi, dia sudah mengajukan pelbagai pertanyaan pada
Nadira. Kebetulan pula, Nadira memang suka bercerita tentang kehebatan orang
tuanya. Mereka berjaya dalam bidang masing-masing.
“Patut la. Segan pulak aku nak bertandang rumah dia.”
Ayra menyuarakan kegusaran.
“Dean ada. Iqa pun nak pergi juga, kan?”
“Harap-harap jumpa Iqa kat sana.”
Ayra berharap sangat Syafiqah akan memenuhi jemputan
Nadira. Adalah teman di rumah orang kahwin nanti. Tak adalah bosan sangat sebab
ada Dean dan Syafiqah. Nadira pasti tidak terlayan mereka lagi. Pasti dia
sibuk.
“Bercerita pasal Iqa ni... kau rasa, okey ke dia tu?”
Aisyah membuka cerita baru. Suhaila meletak penyapu. Dia
juga macam berminat dengan cerita baru yang akan dibuka Aisyah.
“Okey, kenapa?”
“Dia ada pakwe tak lagi?”
Ayra mengangkat bahu. Dia memang tak tahu status
Syafiqah, masih solo atau sudah berpunya. Di rumah sewa, dia dan Syafiqah
jarang bercerita soal peribadi.
“Cantik, lemah lembut... mesti ramai yang berkenan, kan?”
“Entahlah. Dia tak pernah bercerita dengan aku soal tu.”
“Kau ni, duduk serumah tu cuba la korek rahsia
sikit-sikit.”
Desak Aisyah
selamba. Kalau dialah yang duduk serumah dengan Syafiqah, tentu rahsia gadis
tersebut sudah dikoreknya. Syafiqah ala-ala misteri. Duduk bilik seorang diri.
Jarang berbual kosong atau melepak di bilik rakan-rakan lain. Sesekali berbual,
sopannya mengalahkan gadis Melayu.
“Tak minat.”
Ayra
melabuhkan pungung di kerusi sambil menunggu panggilan dari Dean. Dia tak minat
nak korek rahsia orang. Dia juga ada rahsia sendiri. Silap hari bulan,
rahsianya pulak yang akan dikorek nanti.
“Kau ni...”
Aisyah
menggeleng kepala, agak kecewa kerana dia gagal mendapat info dari Ayra.
Suhaila hanya tersenyum. Hairan Aisyah dengan sikap Ayra yang tak berminat
langsung kalau diajak bergosip.
“Pakwe Dira handsome
tau!”
Suhaila membuka cerita. Aisyah tercengang. Dia memandang
Suhaila, mengharap Suhaila akan bercerita lebih lanjut.
“Kau tau mana?”
“Dia tunjuk gambar. Orang KL. Handsome gila wei. Dia tak tunjuk kau ke?”
Suhaila ketawa mengekek. Tak sangka pulak Nadira hanya
menunjukkan gambar teman lelakinya pada dia seorang.
“Sampai hati dia tak tunjuk kat aku!”
Aisyah menekan telapak tangan dengan penumbuk kanannya.
“Kenduri ni mesti pakwe dia ada jugak. Korang tak
teringin nak tengok live ke?”
Ayra mengumpan rakan-rakan. Aisyah tentu pecah air liur
kalau dapat tengok teman lelaki Nadira depan-depan.
“Bangga gila la Dira tu bila aku melopong tengok pakwe
dia. Memang handsome! Kalau kau
tengok, mesti mulut kau pun melopong jugak Asiyah.”
“Eh, kau rasa member
kita tu suci tak lagi?”
Ayra tersentak dengan pertanyaan Aisyah. Dia memandang
Suhaila. Gadis iti menjongket bahu.
“Siapa yang kau maksudkan?”
“Diralah... siapa lagi.”
“Eh, manalah aku tahu. Wallahualam.”
Ayra geleng
kepala, malas nak ambil tahu soal itu.
“Tengok bentuk badan dia tu, aku rasa dia dah tak ada
dara lagi.”
“Entahlah Aisyah, aku tak pulak perhati bentuk badan dia
sampai begitu sekali. Lagipun, aku bukannya reti baca semua tu.”
“Boleh nampak apa... kau tu prihatin la sikit bentuk
badan wanita yang dah kahwin dan yang belum kahwin. Berbeza apa... Orang lelaki
boleh cam tau wanita yang masih suci dan yang belum. Zaman sekarang kan susah
nak cari gadis yang masih suci. Kalau kau buka internet tu, kau boleh tengok
sendiri ramai gadis yang dah hanyut. Tambah-tambah yang dah ada boyfriend. Sanggup gadai kesucian demi
nak buktikan kasih sayang.”
Ayra tak nafikan kebenaran kata-kata Suhaila. Dunia akhir
zaman. Yang belum kahwin sudah tiada harga diri, yang sudah bergelar isteri,
ada juga yang masih suci....
“Yang lelaki pun dua kali lima. Jangan salahkan kaum kita
saja tau. Budak-budak remaja zaman sekarang ni kebanyakannya terpedaya dengan
janji manis orang lelaki. Kenal sehari dua dah sanggup serah diri.”
Suhaila membela kaum wanita. Ayra angguk setuju. Tak
betul kalau kaum hawa saja yang dikecam.
“Hmm... aku setuju. Lepas tu, berlakukan gejala buang
bayi. Kesian betul dengan bayi-bayi yang tak berdosa ni. Senang-senang je
mereka buang bayi yang tak diingini, macam buang sampah. Kesian bayi tu, mati
kesejukan... ada yang mati kena bakar... ada yang mati kelemasan.”
Ayra terbayang gambar-gambar bayi yang dibuang. Manusia
apakah yang sanggup buang bayi sendiri? Tak sayangkah mereka dengan bayi yang
dikandung sembilan bulan sepuluh hari? Ayra menghela nafas berat. Malas untuk
memikirkan yang selanjutnya.
Isyarat penerimaan mesej kedengaran lagi. Ayra mencapai telefon
bimbit di atas meja dalam debar lalu
membuka peti mesej.
‘Dah siap belum? Aku kat bawah ni.’
Ayra menarik nafas lega. “Aku gerak dulu.”
“Kirim salam pada Dira.” Ujar Suhaila.
“Jangan lupa ambil gambar pakwe Dira.”
Sempat lagi Aisyah menyampaikan pesanan. Ayra tergelak
kecil sambil menyarung kasut.
Hubungi saya atau klik sini http://buku.karangkraf.com/bukuprima/senarai-buku/default.aspx#.UYsdpaJvDzI
untuk mendapatkan novel KALUNG
No comments:
Post a Comment