BAB 1
Ketika kabus tebal
masih menyelubungi alam, dan sang mentari belum bersedia untuk menampakkan diri,
aku menjejakkan kaki pertama kali ke Kempung Jerai Tua. Irfan sentiasa di
sampingku. Kami tiba dengan menaiki sebuah teksi. Tambang yang dikenakan agak
mahal kerana tiada pemandu teksi yang sanggup membawa kami ke Kampung Jerai
Tua. Kampung yang terletak di hujung dunia kerana bukan mudah untuk ke sini.
Setelah puas memujuk dan berbincang akan jumlah tambang, barulah pemandu teksi
tersebut memberi kata persetujuan. Dan akhirnya aku tahu kenapa pemandu teksi
enggan menghantar aku dan Irfan ke kampung ini….
Kami ditinggalkan di tepi jalan. Sebaik sahaja teksi
berlalu pergi, keadaan terus menjadi gelap gelita. Dahiku berkerut kehairanan,
sambil mataku tak berkelip memandang keadaan sekeliling. Gelap! Aku tak nampak
apa-apa. Pejam atau celik sama sahaja.
“Irfan?”
“Ye kak.” Terdengar suara Irfan di sebelah. Tanganku
merayap menyentuh tubuh Irfan. Aku memegang erat tangan Irfan yang menggigil
kesejukan dan mungkin juga ketakutan. Aku tidak dapat melihat wajah Irfan dalam
kegelapan itu.
Itulah kali pertama
aku menjejakkan kaki ke Kampung Jerai Tua… pada pertengahan Januari.
“Kak Nia, betul ke ni kampung yang ibu sebut?” soalan
Irfan memecah keheningan pagi.
“Agaknya.” Aku sendiri tidak pasti kerana aku tidak
pernah menjejakkan kaki ke kampung ibu. Bagaimana jika pemandu teksi telah
membuat aniaya pada kami? Keresahan ini semakin menebal namun terpaksa
disembunyikan dari Irfan. “Kita tunggu hari cerah. Baru kita boleh pastikan.”
“Fan takutlah kak. Kenapa tak nampak pun rumah orang?”
“Nak nampak macam mana… hari belum siang lagi. Tu kat
atas sana tu
ada cahaya.” Hanya cahaya dari tempat tersebut sahaja yang kelihatan. Itupun
nun jauh di sana .
Sukar hendak membayangkan bagaimana rupa bentuk muka bumi Kampung Jerai Tua….
Namun lebih sukar memikirkan bagaimana nanti penerimaan keluarga bapa saudaraku
terhadap aku dan Irfan….
“Takkan satu je cahaya lampu kak? Takkan kampung ni ada
sebuah rumah je.” Rungut Irfan. Sejak di Pekan Manggis lagi, Irfan tak berhenti
merungut. Hendak mencari sebuah teksi pun bukan main susah. Bila aku beritahu
destinasiku, mereka terus menggeleng. Mujurlah akhirnya aku bertemu dengan
seorang pemandu teksi yang sanggup menghantar aku dan Irfan ke Kampung Jerai
Tua. Perjalanan dengan teksi tersebut mengambil masa hampir dua jam. Dari Pekan
Manggis, kami melalui sebuah pekan kecil sebelum sampai ke destinasi. Sakit
pinggangku duduk di dalam teksi daif itu.
“Fan jangan takut. Kakak kan ada.” Aku memujuk Irfan. Ketakutan yang
turut aku rasai, aku pendamkan saja di dalam hati. Sebagai seorang kakak, aku
tidak harus menunjukkan apa yang kurasa di dalam hati pada seorang adik yang
masih belum mengerti apa-apa.
Telefon bimbit aku keluarkan. Dengan cahaya
kebiru-biruan yang malap, aku suluh kawasan sekitar. Yang ada di kiri kanan
adalah semak-samun. Terdetik di hati kecilku yang pemandu teksi mungkin telah
menipu aku dan Irfan memandangkan kami berdua langsung tidak tahu di mana
letaknya Kampung Jerai Tua. Aku berdoa di dalam hati supaya kebimbangan aku itu
tidak menjadi kenyataan.
“Dah pukul berapa sekarang kak?” soal Irfan dengan suara
yang terketar-ketar.
Aku melihat jam di telefon. “Baru pukul 4.30 pagi.” Hari
belum pun subuh lagi. Lambatlah hendak menanti hari cerah. Selagi kawasan
tersebut belum disimbah cahaya matahari, aku tak mampu hendak bergerak walau
selangkah. Bahaya mungkin sedang menanti di sekeliling.
“Kakak hubungilah ibu segera. Bagitahu yang kita dah
sampai di kampung. Suruh ibu dengan abah menyusul segera.”
“Line kosong,
dik.” Aku mengetuk-ngetuk Nokia 3100 di telapak tangan sambil otak ligat
berfikir. Bukan keresahan ibu akan keselamatan kami berdua yang menjadi
persoalan, tetapi bagaimana penerimaan bapa saudaraku nanti.
“Kita kena cari rumah Pak Long. Irfan tak tahan cuaca di
sini. Sejuk…” menggigil-gigil suara Irfan. Kesejukan ini juga tak pernah
kurasai di bandar mahu pun di tempat lain yang pernah ku jejaki.
“Bila hari cerah baru kita boleh cari rumah Pak Long.”
Aku menepuk beg pakaianku. Irfan menyuluh dengan telefon bimbit. “Irfan duduk
sini. Nanti kakak ambil tuala dalam beg Fan.” Aku tidak mahu Irfan merengek
kesejukan. Tuala terpaksa dijadikan selimut.
Irfan akur. Kepalanya terlentok di atas ribaanku. Tak
sampai lima
minit, dengkuran kecil terus terdengar. Mengantuk benar si Irfan. Keadaan yang
sunyi sepi itu membolehkan telingaku menangkap bunyi air yang sedang mengalir.
Semakin lama, semakin asyik aku dibuai bunyi deruan air dan burung-burung yang
berdecit. Sang mentari akhirnya menampakkan diri.
Irfan masih terlentok di ribaanku. Dia keletihan. Aku
juga keletihan. Perjalanan yang bermula dari Pudu Raya mengambil masa hampir 10
jam. Namun sesaat pun aku tak mampu lelapkan mata. Aku ketakutan, keresahan dan
kebimbangan.
Hari sudah cerah namun kabus masih menyelubungi alam.
Aku dan Irfan berdiri betul-betul di tepi jalan tanah merah yang menghala entah
ke mana. Di tepi jalan tanah merah, kelihatan dua buah kereta dan sebuah van
berderet di bawah bangsal. Bangsal yang tidak sempurna binaannya. Namun tidak
kelihatan rumah di kawasan berhampiran. Di sebelah belakang pula kelihatan
sebatang sungai sederhana luas. Tebing sungai tersebut ditumbuhi semak-samun
yang tebal. Ada
jambatan kayu yang sempit merintangi sungai tersebut.
“Kak, arah mana satu kita nak tuju? Jalan ni ke atau
ikut jambatan sungai?” Irfan membuka mulut.
Aku teringat pesan ibu. Katanya, rumah Pak Long terletak
di seberang sungai. Mungkin sungai inilah yang dimaksudkan ibu. Aku dan Irfan
mencapai kata persetujuan untuk mengikut jalan merentasi sungai. Di seberang sana , aku tidak nampak
apa-apa melainkan semak samun, pohon-pohon kelapa dan hutan tebal yang
membentuk bukit. Mungkin Kampung Jerai Tua terletak nun di kaki bukit.
Ketika berdiri di atas jambatan kayu itulah, buat
pertama kalinya aku melihat sebuah banglo tersergam megah nun di atas bukit.
Aku yakin, arus sungai yang sedang mengalir berpunca daripada bukit tersebut.
Terpaku seketika aku kerana banglo tersebut seolah-olah menyapu awan.
Kedudukannya di puncak bukit juga melahirkan rasa kagum dalam hati. Lalu terus
tertanam impian di dasar hati untuk menjengah banglo tersebut suatu hari nanti.
Tentu indah binaannya.
Aku dan Irfan melintasi jambatan kayu tersebut dengan
berhati-hati. Arus deras mengalir di bawah. Batu-batu besar dan pokok bunga
raya yang sedang kembang bunganya mengindahkan sungai tersebut. Wajah Irfan
tampak sedikit ceria dengan keindahan alam yang disaksikannya. Dia tersenyum
memandangku. Pandanganya kemudian dialihkan semula pada sungai yang sederhana
lebar itu. Kami belum pernah menjejakkan kaki ke sebuah kampung di pedalaman
sebelum ini.
Aku dan Irfan kemudian memasuki denai sempit yang
dilitupi semak samun kiri dan kanan. Jalan tanah merah itu kami redah. Rasa
takut tak henti-henti diluahkan Irfan. Dan aku terus memainkan perananku
sebagai seorang kakak yang juga pelindung bagi seorang adik.
Ketika merentas denai, kepala penuh dengan pelbagai
pertanyaan kerana sebuah rumah pun belum kelihatan. Kebimbangan ini aku simpan
saja di dalam hati. Telingaku tiba-tiba menangkap bunyi enjin motosikal. Bunyi
deruan enjin membuatkan hatiku sedikit tenang. Itu memberi petunjuk, ada rumah
orang kampung di kawasan tersebut. Mungkin Kampung Jerai Tua terletak jauh nun
di dalam hutan.
Aku segera menahan sebaik sahaja motorsikal yang
ditunggangi seorang lelaki semakin hampir. Aku mahu bertanya kepada lelaki yang
menunggang tersebut akan arah rumah Pak
Long, bapa saudaraku. Ibu yang memintaku mencari rumah Pak Long. Ibu hanya
menyebut nama kampung tempat diamnya Pak Long, tetapi tidak diberi bayangan
bagaimana rumah Pak Long atau nombor rumah.
Motosikal terus berlalu! Aku kebingungan. Adakah lelaki
tersebut tidak melihat isyarat tangan yang kuberi? Atau dia dalam keadaan
tergesa-gesa sehingga tidak sempat untuk berhenti seketika.
“Kenapa orang tu tak berhenti kak?” Irfan turut
meluahkan kehairanan.
Aku menjungkit bahu. “Sibuk agaknya.” Kami teruskan
perjalanan. Sesekali kami terpaksa membuat lompatan supaya dapat mengelak denai
yang becak. Hujan mungkin turun semalam menyebabkan jalan becak. Rumah-rumah
kampung masih tidak kelihatan. Sedangkan aku dan Irfan sudah berpeluh. Aku
tetap yakin Kampung Jerai Tua nun di dalam sana .
“Kak, tu! Rumah orang. Kita dah sampai kampung ibu.”
Irfan separuh menjerit.
Akhirnya setelah berjalan tanpa henti sehingga badan
berpeluh-peluh, kami menemui sebuah kedai makan.
Sedikit kelegaan mengganti keresahan. Sebuah kedai yang
berdinding buluh separas pinggang terletak di sebelah kiri denai. Terdapat
beberapa orang pelanggan berada di dalam kedai tersebut. Kedai yang beratap
nipah. Meja pelanggan pula dibina dari papan dan buluh. Terasa seperti berada
di zaman 6o-an. Gambaran kedai kopi tersebut persis dalam filem Melayu klasik
yang sering ditonton di kaca tv.
Tiga orang lelaki yang berada di kedai kopi tersebut
terus memandang ke arah aku dan Irfan ketika kami menghampiri kedai tersebut.
Aku berdebar-debar. Pandangan mereka menakutkan aku. Tak berkelip! Tiada
senyuman! Mereka melopong memandang aku dan Irfan seolah-olah kami berdua
adalah makhluk asing yang baru muncul di kampung mereka.
“Assalamualaikum,”
aku memberi salam. Memberi petanda kepada mereka yang kami datang bukan dengan
niat jahat.
“Kumsalam.” Lelaki
berbaju biru lusuh dan berkain pelikat menjawab salam yang tak penuh. Seperti
dia tidak ikhlas. “Cari siapa?” dia menyoal lagi dengan nada sedikit tinggi.
Rokok daun di bibirnya hampir terjauh.
Tali perutku terasa terjerut. Genggaman Irfan kian erat.
Mereka melayan aku dan Irfan seolah-olah kami adalah orang jahat. Atau… mereka
mungkin tidak suka dengan kehadiran orang luar ke kampung mereka.
“Er… Encik Tahir.”
Tahir adalah nama sebenar Pak Long, abang kandung ibu. Aku tidak pernah melihat
wajah Pak Long. Aku juga tidak pernah tahu kewujudan bapa saudara sebelah ibu.
Ibu tidak pernah menceritakan tentang adik-beradiknya sehingga aku sangkakan
ibu yatim piatu. Rupa-rupanya ibu masih mempunyai seorang abang lelaki. Tak
sabar aku hendak bertemu dengan bapa saudaraku itu. Aku harap dia mempunyai
anak perempuan yang sebaya atau hampir sebaya denganku.
“Tahir?” dahi
lelaki tersebut berkerut seribu.
Aku terus jadi resah dengan reaksi lelaki tersebut,
seakan-akan dia belum pernah mendengar nama bapa saudaraku itu. Aku berdoa
semoga kami tidak tersalah destinasi. Aku sudah tidak berduit lagi hendak
berpatah balik kerana semua duit yang dibekalkan ibu habis untuk membayar teksi
dan membeli sedikit makanan buat mengalas perut.
Lelaki berbaju biru lusuh itu memandang ke arah dua
orang lagi temannya. Mereka berbisik-bisik. Aku sabar menanti jawapan.
Harapanku tinggi agar lelaki tersebut mengenali bapa saudaraku itu. Masalah
akan melandaku jika Pak Long sudah berpindah. Terpaksalah aku meminta bantuan
mereka untuk menghantarku keluar dari tempat ini.
“Pak Long?” lelaki
itu mengajukan pertanyaan beberapa minit kemudian.
“Ye, Pak Long.” Aku
mengangguk kelegaan. Aku tidak tersalah tempat. Memang benar inilah kampung
kelahiran ibu. Irfan juga mengukir senyum.
“Kenapa cari dia?
Kamu berdua ni siapa?”
Aku segera
menjelaskan pada mereka bahawa aku dan Irfan adalah anak saudara kepada Pak
Long. Lelaki tersebut seperti terkejut dan tidak mempercayai kata-kataku.
Mereka menjelaskan padaku yang Pak Long tiada anak saudara. Malah anak sendiri
pun tiada. Aku terus dihantui perasaan was-was. Benarkah Pak Long yang
dimaksudkan mereka adalah abang kandung ibu atau seseorang yang kebetulan
mempunyai nama dan panggilan yang sama?
“Kamu anak siapa?” soal lelaki berbaju biru lusuh pula.
“Roziah.” Aku
menyebut nama penuh ibu dengan harapan dia mengenali ibu.
Mereka kelihatan
terkejut apabila aku menyatakan yang aku adalah anak kepada Roziah, adik Pak Long.
Mereka rancak berbual. Aku gagal menangkap topik perbualan mereka tetapi aku
yakin mereka sedang berbual tentang ibu. Akhirnya salah seorang dari lelaki
tersebut melahir kekesalan kerana menyangka ibu sudah tiada. Aku tidak salahkan
mereka kerana seingatku, ibu tidak pernah kembali ke kampung kelahirannya.
Tentulah mereka berfikiran sedemikian.
“Kamu nak ke rumah
Pak Long?”
Akhirnya, salah
seorang dari mereka menawarkan bantuan untuk menghantar aku dan Irfan ke rumah
Pak Long.
* * * * * *
Pagi Khamis itu, buat pertama kalinya aku dapat melihat
rumah tempat kelahiran ibu…. Sungguh daif sehingga membuatkan air mataku hampir
menitis.
“Kak, nampak macam tak de orang tinggal kat sini je. Fan
takutlah.” Irfan menyuarakan apa yang dirasainya. “Entah-entah pak cik tadi tu
tipu kita….” Irfan tidak dapat menyembunyikan keresahannya. Tangannya masih
erat memegang lenganku.
“Fan tak usah bimbang. Fan tunggu sini ye. Biar kakak
cakap dulu dengan Pak Long.” Aku harus perkenalkan diri terlebih dahulu dan
kemudian memberitahu tujuan kedatanganku dan Irfan supaya Pak Long tidak
terkejut nanti.
Aku tinggalkan Irfan di bawah sepohon pokok rendang,
tidak jauh dari rumah yang didakwa sebagai rumah Pak Long. Aku mahu menjelaskan
sendiri tujuan kedatanganku pada Pak Long. Pada saat itu aku paling bimbang
andai Pak Long menolak kehadiranku dan Irfan. Aku tidak mengenali Pak Long jadi
aku tidak tahu bagaimanakah reaksi Pak Long nanti.
Aku melangkah menghampiri rumah Pak Long yang terletak
beberapa meter sahaja di hadapan mataku. Sebuah rumah kecil yang berdinding
kayu dan beratap zink. Bahagian anjungnya berdinding separuh. Sepanjang
perjalanan ke rumah Pak Long, aku dapat melihat bentuk rumah yang hampir
serupa. Sudah dapat aku bayangkan keadaan ekonomi mereka.
Di sebelah kiri rumah Pak Long, pokok kelapa tinggi
menjulang. Pokok manggis, langsat, rambutan dan remia turut kelihatan. Halaman
rumah kelihatan redup kerana cahaya matahari terhalang oleh daun-daun pokok.
Angin bertiup lembut. Hatiku terasa tenang….
Namun rumah Pak Long sunyi dan sepi seolah-olah tidak
berpenghuni. Hanya kedengaran bunyi kokokan ayam di belakang rumah. Aku memberi
salam. Namun tiada yang menyambut salamku. Terdetik hatiku yang aku dan Irfan
telah dipermainkan oleh lelaki di kedai makan. Irfan semakin resah. Dia
memanggilku lalu mengajakku beredar dari situ segera. Takut katanya dengan rumah
yang kelihatan seram dan langsung tidak berseri itu.
Lalu aku tinggikan suara sehingga ke tahap maksimum.
“Nak apa?” seorang perempuan dengan rambut mengerbang
terjengul di jendela.
untuk mendapatkan novel KALUNG
No comments:
Post a Comment