Wednesday, May 8, 2013

PROMO MENJEJAK MEMORI - PROLOG & BAB 1


PROLOG

RIFQI memasukkan biji getah yang dikutip bersama Azizul dan Rahmat ke dalam balang. Mulutnya kumat-kamit mengira biji getah. 112 biji getah yang berjaya dikutipnya. Petang esok, dia akan membawa biji getahnya ke rumah Azizul. Mereka telah berjanji hendak bermain congkak bersama-sama.
            “Rifqi! Cepat mandi. Dah nak masuk waktu maghrib ni.” Terdengar laungan ibunya dari arah dapur.
            “Baik mak!” ujar Rifqi.
Rifqi segera menyimpan balang berisi biji getah di atas almari. Dia segera mencapai tuala yang tergantung di belakang pintu lalu melangkah ke bilik air.
            Selesai mandi, Rifqi menyarung baju tidur. Dia ke ruang tamu lalu memasang peti televisyen. Sambil menunggu azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran, Rifqi menonton siri kartun kegemarannya. Menonton sambil berbaring menyebabkan Rifqi yang kepenatan akhirnya tertidur.
            “Assalamualaikum! Rifqi! Rifqi!”
            Rifqi yang sudah terlena terus terjaga apabila terdengar sayup-sayup namanya dipanggil. Dia bingkas bangun lalu bergerak ke jendela. Azizul dan Rahmat sedang terpacak di luar.
            “Alia dah pulang!” Azizul separuh menjerit. Terpancar kegembiraan di wajah Azizul.
            “A... Alia?!
            “Orang ramai sedang berkumpul di rumah Nek Pah. Kami nak ke sana, kau nak ikut tak?”
            Rifqi terus bersetuju. Mereka bertiga segera menuju ke rumah Nek Pah. Benarlah apa yang didakwa oleh Azizul dan Rahmat. Ramai orang berada di dalam dan di luar rumah Nek Pah. Kereta polis turut kelihatan di halaman. Rifqi, Azizul dan Rahmat terus menyelit di celah-celah orang ramai.
            Nun di atas rumah kelihatan Alia berada bersebelahan Nek Pah. Wajah Alia kelihatan sugul. Dia kelihatan sesekali membuka mulut apabila diajukan pertanyaan oleh neneknya.
            “Jadi selama ni, Alia disembunyikan oleh Pak Husin dan Mak Kiah?” soal seorang mak cik berbaju Kedah bunga-bunga kecil yang inginkan kepastian.
            “Ye... mereka dah mengaku perbuatan mereka tu. Polis dah tahan mereka sekarang. Patutlah mereka berpindah pada hari yang sama Alia hilang. Tapi kita semua sangka mereka berpindah kerana enggan duduk di kampung ni lagi. Maklumlah, harga getah menurun. Berapa sangatlah yang mereka dapat. Sudahlah sikit, kena bahagi dengan pemilik tanah lagi,” jelas mak cik berbadan agak gempal yang duduk di sebelah mak cik berbaju Kedah.
            Rifqi, Azizul dan Rahmat terus memasang telinga.
            “Dengar khabar Alia hilang ingatan. Sebab tu dia tak hubungi Nek Pah.”
            “Dia tergelincir di tepi sungai. Kepalanya terhantuk di batu lalu terus pengsan. Kebetulan Pak Husin lalu di situ. Dia terus selamatkan Alia. Mereka memang berkenan dengan sikap Alia sejak dulu lagi. Mereka juga simpati kerana kanak-kanak lain enggan berkawan dengan Alia. Lalu mereka ambil keputusan untuk menjaga Alia. Tambahan pula mereka tiada anak. Sepanjang Alia bersama mereka, dia dijaga dengan baik. Mereka juga mengubah namanya. Tapi Alia tidak dihantar ke sekolah. Pak Husin bimbang rahsia Alia terbongkar.”
            “Macam mana ingatan Alia boleh kembali semula?”
            “Ingatannya kembali secara tiba-tiba. Waktu tu Alia sedang berada di kebun Pak Husin bersendirian. Bila Alia sedar siapa dirinya, dia jadi bingung lalu terus keluar dari kebun. Dia terus menuju ke balai polis untuk meminta pertolongan,” ujar mak cik berbadan gempal yang mendapat maklumat tersebut dari mulut Alia sendiri dan anggota polis yang telah membantu Alia.
            Akhirnya misteri kehilangan Alia terbongkar juga.
            Rifqi sudah memohon maaf dari Alia kerana telah memungkiri janji. Alia mengaku yang dia sedikit pun tidak menyimpan dendam terhadap Rifqi dan rakan-rakan yang lain.
            Alia sudah kembali ke sekolah. Dia tidak bersendirian lagi. Rifqi, Azizul, Rahmat, Dalila, Jamilah dan semua murid tahun lima menjadi kawan baiknya.
            Rifqi tersenyum lega. Perasaan bersalahnya terus lenyap.
            “Rif! Rif! Bangun!”
            Sayup-sayup terasa namanya sedang dipanggil. Sebentar kemudian badannya pula terasa bergoncang. Gambaran wajah Alia dan rakan-rakan terus terbang satu per satu.
            Rifqi membuka mata. Dia terkulat-kulat memandang wajah ibunya.
            “Dah masuk waktu maghrib ni. Tak elok tidur waktu begini. Cepat bangun!” Puan Kamsiah membebel.
            “Hah!”
Rifqi menggenyeh biji matanya. Dia terpinga-pinga. Dia tidak berada di dalam kelas sekarang... tetapi di ruang tamu rumahnya.
“Erm... Azizul dan Rahmat ada datang sini tak sebentar tadi?”
Masih terdengar namanya dilaung kedua sahabatnya itu. Mereka datang untuk memaklumkan kepulangan Alia.
            “Tak ada sesiapapun yang datang. Mimpilah tu! Cepat bangun pergi ambil wuduk,” perintah Puan Kamsiah.
            “Tapi... erk...”
Rifqi bangun lalu duduk di atas sofa. Dia termangu di situ. Tak mungkin kepulangan Alia hanya satu mimpi!
            “Laa... kenapa duduk di situ lagi. Abah dah tunggu nak solat bersama tu.” Puan Kamsiah menggeleng-geleng kepala.
            “Mak... Alia dah dijumpai ke?”
Rifqi berharap sangat apa yang dilaluinya sebentar tadi bukannya mimpi.
            “Kenapa Rif tiba-tiba tanya soalan tu? Rif... budak Alia tu dah setahun hilang. Langsung tak ada khabar. Entah hidup entah mati. Kau bermimpi Alia ye?” duga Puan Kamsiah apabila melihat sikap Rifqi yang pelik. Bangun tidur sahaja, terus tanya tentang Alia. “Rifqi... Rifqi... kau mengigau! Itulah, tidur waktu senja lagi!”
            Rifqi meraup lemah mukanya. Mimpi yang indah. Mimpi yang membahagiakan. Mimpi yang melenyapkan perasaan bersalah. Ah, semua itu hanya mimpi! Rifqi melepaskan keluhan panjang. Dia bangun meninggalkan sofa dan menuju ke bilik air dengan muka moyok.
            Teringat dia ramalan seorang bomoh yang mengatakan Alia akan kembali semula selepas 12 tahun. Benarkah ramalan tersebut? Sebagai orang Islam, dia seharusnya tidak mempercayai ramalan. Namun, kerana terlalu mengharap, Rifqi tetap membilang hari. Diam tak diam sudah setahun berlalu...
Ini bermakna dia harus menanti 11 tahun lagi...

BAB 1

KENAPA awak terus cari saya?” Nada suaranya tinggi.
“Saya nak minta maaf. Saya tak sepatutnya memungkiri janji,” luah Rifqi bersungguh-sungguh.
Rifqi cuba mencuri tatap wajah gadis berselendang putih itu, namun gagal. Gadis itu seperti mahu menyembunyikan wajahnya. Rifqi bergerak ke hadapan dan gadis itu juga turut berpusing, sengaja melindungi wajahnya yang entah bagaimana. Cahaya purnama yang suram gagal menyuluh wajahnya yang disembunyikan di sebalik selendang putih.
“Saya dah maafkan awak. Cukuplah, jangan cari saya lagi.” Gadis itu terus berlalu meninggalkan Rifqi.
“Tunggu!”
Rifqi cuba mengejar gadis itu. Namun gadis itu yang sedang bergerak tanpa menjejakkan kakinya ke tanah itu perlahan-lahan terbang tinggi ke awan biru.
“Tunggu!!!” jerit Rifqi sekuat hati.
Dia tidak mahu kehilangan gadis itu sebelum sempat mengajukan pertanyaan apa sebenarnya yang berlaku pada gadis itu. Ke mana menghilang? Kenapa menghilang?
“Hoi!”
Terasa ada yang menepuk bahunya. Sakit! Matanya terus terbuka.
“Kau mimpi apa hah?” Iqram terjegil memandangnya. “Terhenti jantung aku, tahu tak?” Dia yang sedang khusyuk mengulang kaji pelajaran di ruang tamu, terhenti apabila terdengar jeritan dari dalam bilik utama.
“Aku... aku mimpi...” Rifqi terus bangun.
Dia meraup mukanya yang berpeluh. Mimpi itu berlegar-legar di ingatan.
“Maafkan aku.”
Jeritan suaranya telah mengganggu konsentrasi Iqram. Dan mungkin juga turut mengganggu dua lagi penghuni unit pangsapuri tersebut; Kher dan Adi.
 “Kau suruh siapa tunggu? Kuat benar kau menjerit.”
 Rifqi menggeleng. “Hanya mimpi,” luahnya.
Mimpi yang sering berulang-ulang, yang terus mengganggu kehidupannya sejak sebelas tahun yang lalu. Kadang-kadang mimpi indah dan kadang-kadang buruk. Hanya dalam mimpi dia dapat bertemu dengan seseorang yang amat dirindui perkhabarannya.
 Rifqi bangun meninggalkan katil. Air mineral di dalam botol atas meja belajar diteguknya. Dia melangkah setapak lalu menyandar di tepi tingkap. Dadanya masih berombak. Mimpi yang dilaluinya sebentar tadi membuatkan dia tidak dapat menyambung tidur semula. Gadis itu kembali ke dalam ingatannya. Gadis yang semasa zaman kanak-kanak dulu pernah menjadi sahabat baiknya. Namun hubungan mereka renggang akibat khabar angin.
Dia yang bersalah dalam hal ini kerana terburu-buru mempercayai fitnah yang disebarkan.
Huahhh... Iqram segera menutup mulut. Matanya pejam celik. “Aku ngantuklah. Tolong tutup lampu nanti.”
Iqram terus menghempas diri atas katil. Dia benar-benar mengantuk setelah belajar tanpa henti hampir tiga jam. Sebentar kemudian terdengar dengkuran yang mulanya perlahan dan kemudian semakin kuat.
Lamunan Rifqi terganggu terdengar dengkuran. Dia lantas menutup lampu dan terus melangkah ke pintu bilik. Bilik tersebut harus ditinggalkan segera bagi mencari ketenangan.
“Kau nak ke mana?” soal Iqram yang terganggu tidurnya apabila terdengar bunyi daun pintu terkuak.
“Keluar, ambil angin malam.” Rifqi terus menutup lampu.
“Dah pukul dua pagi. Kau jangan nak cari masalah. Demam kau nanti!” Iqram memberi amaran.
Kawasan Pangsapuri Serindik tempat kediaman para pelajar Kolej Indera Jaya sudah diketahui memang keras. Sejak akhir-akhir ini pelbagai kejadian ganjil menimpa penghuninya.
“Aku nak jalan-jalan. Kau jangan bimbang. Aku tak pergi jauh.”
Rifqi tidak mempedulikan amaran Iqram. Dia lalu melangkah keluar. Bilik tengah dan hujung kelihatan gelap. Kher dan Adi tentu sudah dibuai mimpi. Rifqi menutup pintu dan gril perlahan-lahan agar tidak mengganggu tidur rakan-rakannya.
Dia harus mengambil angin di luar bagi menenangkan semula perasaannya. Mimpi tersebut membuatkan dia terus dihenyak perasaan bersalah. Selama 12 tahun dia gagal melenyapkan perasaan tersebut dari danau hatinya. Ternyata perasaan tersebut telah mengganggu seluruh kehidupannya. Cuba dilupakan apa yang telah berlaku agar perasaan bersalah berkurangan, namun usahanya tidak berjaya. Peristiwa tersebut terus menghantuinya sampai sekarang.
Rifqi melangkah ke dalam lif. Lif bergerak turun ke bawah. Rifqi terus melayan perasaannya tanpa mempedulikan amaran Iqram.
Rifqi sentiasa menaruh harapan agar mendapat khabar mengenai seseorang. Seseorang yang sering menghantui kehidupannya sejak sekian lama. Seseorang yang sekarang entah di mana berada, entah hidup entah tidak. Sehingga sekarang Rifqi masih gagal melupakan kanak-kanak yang tentunya jika masih hidup sudah seusia dengannya sekarang. Perasaan bersalah terus bersemi di dalam hatinya. Kalaulah dia tidak memungkiri janji, pasti dia dan kanak-kanak itu akan menjadi sahabat baik sehingga sekarang. Rifqi benar-benar merindui persahabatannya dengan kanak-kanak itu. Andai masa boleh di undur, sudah lama dia mahu kembali ke zaman kanak-kanaknya. Dia tidak akan memungkiri janji lagi. Dia akan ke tempat yang dijanjikan untuk memungut biji getah. Jika dia menepati janji, pasti dia akan mendapat tahu apa sebenarnya yang telah menimpa kanak-kanak itu.
Puntianak? Benarkah dakwaan sesetengah penduduk kampung yang kanak-kanak itu sudah diambil ibunya? Kenapa dia sering bermimpi melihat kanak-kanak itu menjadi puntianak? Benarkah mimpinya itu? Benarkah dakwaan orang kampung? Ah, tak mungkin seorang manusia boleh bertukar menjadi puntianak secara tiba-tiba! Semua ini tak masuk akal. Rifqi tetap menyangkal pendapat sesetengah orang kampung tentang kehilangan kanak-kanak itu.
“Apa maknanya jika kita selalu mimpikan seseorang?”
Rifqi teringat perbualannya dengan Badrul, rakan yang dikenali sejak zaman persekolahan dan kini menjadi rakan sekuliah di kolej.
 “Dia ada dekat di hati kau,” selamba Badrul membalas.
 “Dan setiap kali aku mimpikannya, dia pasti akan memberitahu aku yang dia sudah memaafkan aku.”
 “Kenapa? Kau ada buat salah dengan orang tu ke? Hati-hati... mimpi selalunya berlawanan. Itu tandanya dia masih enggan memaafkan kau.”
 Itulah yang membuatkan Rifqi resah. Pendapat Badrul yang mengatakan mimpi selalunya bertentangan dengan kenyataan terus menghantui hidupnya. Jika dia sering bermimpi yang kanak-kanak itu masih hidup, mungkin itu bererti yang kanak-kanak itu sudah mati. Mati? Argh! Rifqi tidak sanggup menghadapi kenyataan itu. Pasti perasaan bersalah akan terus menghantuinya seumur hidup.
  Dia sudah jauh meninggalkan Blok D, tempat penginapan pelajar lelaki Kolej Indera Jaya. Dia terus berjalan di lereng bukit. Angin malam terus bertiup. Entah sampai bila dia akan hidup dalam keadaan yang tidak tenang. Kerana peristiwa tersebut, seluruh kehidupannya terganggu. Sebaik sahaja tamat UPSR, keluarganya terus berpindah ke Kuala Kangsar. Bapanya ditugaskan di sebuah sekolah di daerah tersebut sebelum dinaikkan pangkat dan bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah. Namun sejak empat tahun lalu, ayahnya memulakan tugas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya. Walau ke mana keluarganya berpindah, peristiwa tersebut terus mengekorinya. Itulah masalahnya. Memori lalu tidak akan lenyap seiring dengan perpindahannya.
Rifqi mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sebaik mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Melonjak gembira Rifqi dan berharap dengan pemergiannya ke luar negara, dia akan dapat melupakan kenangan pahit itu. Dugaannya salah. Dia terus-terusan dihantui perasaan bersalah. Setelah dua tahun di Kanada, Rifqi terus mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan menyambung pelajarannya di sini. Rifqi juga sudah nekad hendak kembali ke kampung tersebut bagi mendapat khabar tentang seseorang.
12 tahun sudah berlalu. Ramalan salah seorang bomoh masih lekat di ingatannya... Kanak-kanak tersebut akan kembali selepas 12 tahun. Sekembalinya dia ke alam manusia, dia akan menjadi seseorang yang mempunyai kuasa sakti dan hidup dalam kemewahan. Satu ramalan yang sukar untuk dipercayai tetapi tetap ditunggu.
Langkahnya terhenti apabila terdengar sesuatu. Dia memasang telinga. Matanya liar mencari arah tangisan yang kedengaran itu. Tiada! Bulu romanya menegak. Menurut Iqram, jika bulu roma menegak, itu tandanya ada ‘sesuatu’ di kawasan tersebut. Sejak hari pertama dia mendaftar diri di asrama kolej, Iqram terus memberi amaran kepadanya supaya jangan bersendirian di tengah malam. Pelbagai peristiwa pelik dialami penghuni asrama lelaki dan perempuan.
 Ada warga yang pernah nampak seorang perempuan berjalan seorang diri sekitar jam 1.00 hingga 3.00 pagi. Rambutnya panjang mengurai. Sesiapa yang terserempak, pasti akan jatuh sakit.
 Tangisan itu terus kedengaran. Persis milik seorang gadis yang sedang meratap kekecewaan.
Tanpa membuang masa, Rifqi terus berpatah balik! Dia tidak mahu mencari nahas.



 Beli di sini untuk membaca cerita sepenuhnya boleh hubungi saya atau klik


No comments:

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...