Friday, May 3, 2013

PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6


BAB 5
“Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak yang dihantar Dean.
Selain Ayra dan Suhaila, Dean juga turut belikan nasi lemak untuk Aisyah. Alasannya, sebagai membalas bantuan mereka bertiga yang telah membantunya menyiapkan tugasan Ilmu Pendidikan semalam.
            “Tak ada apa-apa. Kawan je.”
Ayra hanya menganggap Dean tidak lebih dari seorang rakan.  
            “Meraung Dean kalau dengar pengakuan kau ni. Kesian dia. Dia betul-betul suka pada kau. Takkan kau tak perasan semua tu?”
            “Dahlah. Aku malas nak berbual soal ni lagi. Aku dan Dean tak ada apa-apa.”
Ayra tak ingin terus didesak soal hati dan perasaan. Bukan sekali dua Suhaila mengajukan pertanyaan yang sama, tapi sudah berkali-kali. Dia pernah terfikir, mungkin Dean berpakat dengan Suhaila hendak mengorek apa yang terpendam di hatinya.
            Suhaila pernah menuduhnya sebagai seorang gadis yang kuat berahsia.
            “Bila Dean tinggalkan kau nanti, barulah kau akan hargai perasaannya.”
Suhaila menyokong kuat andai Ayra menerima cinta Dean. Lelaki itu baik orangnya dan suka membantu. Sesuai sangat dengan Ayra, seorang gadis periang. Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya. Cuma, sejak akhir-akhir ini dia nampak lebih pendiam.  
            Tidak! Ayra tidak dapat menerima kehadiran Dean sebagai seorang kekasih, apa lagi teman hidupnya. Ayra bangun lalu memerhati raut wajah di depan cermin. Mukanya kelihatan tidak bermaya.
Ah, malasnya nak ke Butterworth pagi esok...
Berat keadaan yang sedang dilalui sekarang. Ayra tahu, kesudahannya nanti dia yang akan merasai kekecewaan. Pasti Dean atau mana-mana lelaki tidak dapat menerimaya andai mereka tahu kisah lalu yang pahit dan pedih.
Pada usia remaja, Ayra terpaksa melalui detik-detik getir dalam hidup. Bersendirian menempuh cubaan dan dugaan! Bila diingat kembali kenangan itu, terasa dirinya cukup tabah, walaupun sebenarnya dia hampir tewas.
            “Jadi, sebelum terlambat, buangkanlah ego kau tu. Aku tahu kau sukakan Dean. Tapi mungkin kerana Dean tu cikgu juga macam kita, kau tak boleh terima. Yelah, zaman sekarang ni, kerjaya guru bukan lagi kerjaya yang dihormati masyarakat. Kerja kerajaan ni, manalah orang suka. Gadis zaman sekarang lebih suka memburu lelaki yang berjawatan tinggi, berstatus orang kaya. Tak kisah umur berapa, sebaya dengan bapa sendiri pun sanggup terima asalkan berharta. Mereka mencari kesenangan dengan jalan mudah.”
            “Kenapa dengan kau ni? Membebel sampai ke situ pulak!”
Bengang Ayra dengan tuduhan Suhaila. Dia benar-benar tersepit sekarang. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran mesej misteri tersebut.
            “Aku bukan membebel. Apa yang aku cakap tu adalah realiti.”
            “Aku faham. Tapi, kalaulah kau tahu keadaan yang sedang aku tanggung sekarang...” matanya tepat memandang ke wajah Suhaila.
Suhaila anak kedua dari tiga beradik, semua perempuan. Dia orang Kelantan. Ibunya guru dan bapanya Pengetua di daerah kelahirannya. Kakaknya pula sudah bergelar doktor, manakala adiknya masih berada di universiti. Sebulan sekali Suhaila akan balik kampung untuk menziarahi orang tuanya. Kadang-kadang orang tuanya yang akan datang menziarahinya di Kuala Kangsar. Bahagianya kehidupan Ila...
Ayra yakin Suhaila pasti tidak sanggup untuk menggantikan tempatnya. Air mata menitis jatuh membasahi pipi.
            “Kau ada masalah ke?”
Suhaila segera bangun lalu menghampiri Ayra yang sedang berdiri di sebelah meja hujung kepala katil. Suhaila menggenggam erat tangan Ayra. Selain kerinduan pada keluarga, Suhaila dapat merasakan yang Ayra ada menyimpan masalah lain yang jauh lebih berat.
            Ayra sudah tidak mampu menahan perasaan lagi. Sedih, sedih sangat. Ayra melepaskan perasaan dengan menangis sepuas hati. Dugaan yang sedang dilalui tak tertanggung lagi. Kecewa dengan apa yang dialami, dia pernah pasang niat untuk menamatkan saja riwayat hidupnya.
Mujurlah akalnya masih panjang. Mujurlah masih ada iman di dada. Allah masih sayangkannya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan suatu ujian yang tak mampu ditanggung.
‘Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menempuh segala dugaan di alam fana ini.’
            “Maafkan aku, Ayra. Aku tak ada niat nak sakiti hati kau. Maafkan kata-kata aku tadi.”
Bersungguh-sungguh Suhaila memohon maaf sambil mencium tangan Ayra.
            Ayra mengetap bibir, cuba menahan sendu yang semakin menjadi-jadi. Sudah lama dia tak melepaskan perasaan dengan menangis sepuas-puasnya seperti sekarang. Hampir enam tahun dia berjaya mengawal keadaan. Tapi hari ini, dia tak mungkin lagi dapat menyembunyikan perasaan hati.
‘Aku tak pernah rasa bahagia!’
            “Ayra, maafkan aku...”
Air mata Suhaila bergenang di kelopak mata, turut simpati melihat keadaan Ayra walaupun dia tidak tahu punca sebenar tangisan Ayra.
            “Jangan salahkan diri kau. Aku bukan menangis kerana kata-kata kau tu. Langsung aku tak ambil hati. Tiba masanya nanti, aku akan ceritakan segalanya. Berikan aku sedikit masa lagi.”
            “Kau ada masalah?”
Suhaila mengesat air mata. Dia menepuk lembut bahu Ayra. Ayra mengangguk, tertunduk dan menangis lagi.
            “Ceritakan pada aku. Aku janji akan bantu kau.”
Suhaila memeluk erat tubuh Ayra.
“Betullah tekaan aku sebelum ini. Melihat gerak-geri dan air muka kau, aku yakin kau sedang menghadapi masalah besar.”
            “Sekarang bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan semua ni.”
            Ayra sebenarnya mahu luahkan kisah yang pernah dilaluinya pada seseorang. Dia pernah baca artikel dalam majalah, dengan berkongsi masalah yang sedang dihadapi, dapat mengurangkan bebanan di hati. Setakat ini, hanya Suhaila sahaja teman yang boleh dipercayai untuk memegang rahsia yang selama ini tersimpan kemas di sanubari.
            Dia juga berharap Suhaila masih sudi berkawan dengannya sebaik sahaja gadis itu tahu apa yang telah dia lakukan...
‘Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku tidak berniat untuk melakukan sesuatu seperti itu.’

BAB 6
            Ayra melangkah keluar dari bilik air sambil membimbit baldi yang berisi mandian badan, syampu, pencuci wanita, pencuci muka serta span menuju ke bilik. Dia menolak daun pintu yang tidak berkunci. Suhaila sedang mengadap skrin komputer di mejanya.
            “Khusyuk nampak. Buat apa tu?”
Ayra menyapa sambil meletakkan baldi di balik pintu.
            “Main game.”
            “Dah agak dah. Apa yang best sangat tu main game. Aku tak pernah cuba.”
            “Baik kau jangan cuba-cuba. Kalau dah cuba sure kau tak boleh berhenti.”
            “Ye ke... kalau macam tu aku tak nak cubalah!”
Suhaila tersengih. Ayra membuka pintu almari lalu mengeluarkan penyangkut baju yang dibawa dari rumah sewa. Tuala segera digantungkannya pada penyangkut baju. Ayra menuju ke tingkap dan menggantungkan penyangkut di situ. Biar kena cahaya matahari.
            Matanya sempat melirik ke arah telefon bimbit yang berada di atas meja. Ada cahaya yang berkelip-kelip. Cahaya yang berkelip-kelip itu menandakan ada mesej yang masuk dan belum dibaca. Jantungnya terus berdegup kencang. Resah hatinya setiap kali menerima mesej. Rasa mahu tutup sahaja telefon bimbit tersebut.
            Harap-harap mesej dari Dean. Ayra sempat berdoa.
Mengeluh Ayra sebaik sahaja membaca mesej. Hari ni saja sudah enam kali dia menerima mesej yang membuatkan fikirannya jadi serabut. Semakin hari semakin kerap mesej menerjah ke kotak mesej. Siapa pengirimnya dan apa motifnya yang sebenar, dia masih samar-samar.
Ayra sudah banyak kali balas mesej tersebut dengan meminta pengirim mesej tersebut datang bersemuka dengannya, tapi tiada balasan. Kalau dia telefon, jangan harap nak berangkat.
“Penakut!!!”
Ayra melepaskan geram. Daripada rasa takut pada mulanya, kini perasaannya bertukar menjadi marah setiap kali menerima mesej sebegitu.
“Terkejut aku!”
Suhaila mengurut dada. Dia memandang Ayra. “Kau cakap dengan siapa?”
“Maaf...”
Ayra tergelak kecil. Dia terlepas cakap.  
“Err... boleh tak nak kesan seseorang melalui nombor telefon?”
            “Maksud kau, kau nak dapatkan maklumat pemilik sekian-sekian nombor?”
            “Ya. Boleh tak?”
Ayra berharap sangat untuk mengetahui identiti si pengirim yang misteri itu.
            “Susah. Maklumat pemilik nombor telefon dirahsiakan oleh penyedia telekomunikasi. Kenapa? Kau selalu terima panggilan dari nombor yang tak dikenali ke?”
            “Bukan panggilan, sekadar mesej je.”
            “Peminat kau agaknya. Peminat dalam diam. Cemburu la Dean kalau dia tahu semua ni.”
            “Entahlah Ila, bila aku balas mesej, tanya siapa dia, dia diam je. Langsung tak balas.”
Ayra belum bersedia memberitahu Suhaila kandungan mesej yang sering diterimanya itu. Dia lebih suka biarlah Suhaila fikir yang dia menerima mesej dari peminat rahsia atau secret admirer. Itu lebih baik buat masa sekarang.
            Kalau diberitahu Suhaila isi kandungan mesej tersebut, Ayra yakin Suhaila pasti akan bertanya bertalu-talu. Terpaksalah Ayra ceritakan dari A sampai Z, kisah yang tak ingin dikenang lagi. Suhaila mungkin akan rasa simpati atau juga membencinya setelah mendengar kisah itu.
            Belum masanya lagi...
            “Entah-entah... Dean?” duga Suhaila setelah terdiam sejenak. “Setahu aku, hanya Dean sahaja yang terang-terangan menyukai kau.”
            “Dean?” Ayra menjuih. “Mustahil. Aku ada nombor Dean.”
            “Mana tahu mungkin Dean ada nombor kedua yang kita semua tak tahu. Lepas tu dia gunakan nombor tu untuk uji kau. Nak tengok kau ni jenis cepat layan mesej ke tak.”
            Suhaila terus membuat andaian. Macam-macam cara seorang lelaki untuk menarik perhatian gadis yang dicintainya. Suhaila terbayang wajah Muiz, lelaki yang cuba menarik perhatiannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Macam-macam cara Muiz lakukan. Antaranya, menghantar surat, mempertahankannya ketika dia diganggu pelajar lelaki lain, menulis namanya pada setiap helaian buku dan macam-macam lagi.
            “Mungkin juga... geliga otak kau!”
Ayra pura-pura teruja dengan pendapat Suhaila. Suhaila fikir sebegitu kerana dia tidak mengetahui isi kandungan mesej yang diterima Ayra. Kalau Suhaila tahu isi kandungan mesej, pasti dia tidak akan mengeluarkan pendapatnya itu. Ayra tetap dengan keputusannya untuk tidak menceritakan isi kandungan mesej pada sesiapa sahaja. Dia mahu membuat siasatan.
            “Dean dah parah tu. Baik kau terima sajalah cinta dia tu. Baik apa budak tu walaupun...”
            “Walaupun apa?”
            Geram Ayra bila Suhaila sengaja tidak menghabiskan kata-katanya.
            “Ngada-ngada sikit.... ops, maaf, aku sedang kutuk boyfriend kau.”
            Suhaila ketawa mengekek sambil menutup mulut. Itulah kekurangan Dean yang nampak ketara. Agak mengada! Cerewet pun ya. Memilih bukan main. Kalau gadis tu tak berkulit putih, tak ada pelajaran, jangan harap dia nak pandang.
            “Eh, ke situ pulak. Kutuklah kalau kau nak kutuk pun. Ada aku kesah?”
            Ayra langsung tak terasa apa-apa dengan kutukan Suhaila ke atas Dean. Dia pun sebenarnya sokong dengan pendapat Suhaila. Dean mengada-ngada! Dean melayannya seolah-olah mereka adalah pasangan kekasih. Bila dalam kelas, Dean akan mencari tempat duduk di sebelahnya. Kalau pensyarah suruh tubuh kumpulan, Dean cepat-cepat memasukkan namanya sekali. 
            “Woi, korang sedang kutuk sapa?”
Aisyah yang entah dari planet mana muncul tiba-tiba. Sempat lagi dia mengetuk pintu dengan kuat, dengan harapan Suhaila dan Ayra akan terkejut. Dia yakin, sahabat-sahabatnya itu tentu sedang bergosip sakan di dalam bilik.
“Bagilah salam kalau nak masuk!”
Suhaila membebel. Dia mengurut dada, terkejut dengan ketukan Aisyah. Mengalahkan bunyi guruh di langit.
            “Assalamualaikum... rakan-rakanku yang sedang bergosip...”
            Aisyah menukar lirik, melodinya masih sama dengan lagu raya dendangan Jamal Abdillah. Siap dengan aksi sekali.
            Suhaila dan Ayra ketawa berdekah-dekah dengan aksi Aisyah. Gadis Selangor itu memang kelakar orangnya. Kalau di kelas, dialah yang akan menceriakan kelas dengan lawaknya. Pensyarah juga suka padanya. Suruh menyanyi, berlakon, menari, semuanya tak pernah ditolak Aisyah. Dia akan lakukannya dengan caranya sendiri. Aksinya akan mengundang ketawa semua pelajar.
“Kutuk aku ya?”
Aisyah melabuh punggung atas katil Ayra. Dia mencapai bantal kecil berbentuk hati lalu terus dipeluknya erat.
            “Tak adalah! Kau kan kawan kami, takkan kami nak kutuk pulak,” balas Suhaila.
“Baiknya... syukur aku dapat kawan macam korang tau. Dah tu, sapa yang korang kutuk tu?”
Aisyah masih tak puas hati. Masa di luar tadi, bukan main Suhaila dan Ayra rancak berbual. Siap ketawa-ketawa lagi. Aisyah panas pedih di dalam biliknya. Dia sedang membaca novel.
“Nak cerita tak Ayra?”
Suhaila pandang tepat ke wajah Ayra. Ayra terkelip-kelip matanya memandang Suhaila.
“Korang ni buat suspen aje. Cepatlah cakap!”
Aisyah sudah tidak sabar. Suhaila dan Ayra pasti menyembunyikan cerita yang menarik dari pengetahuannya. Dia harus korek sampai dapat.
“Pasal Dira ke?” Aisyah memperlahankan suara.
“His, tak ada kena mengena langsung!”
“Dah tu???”
Aisyah terus mendesak.
“Aku terima mesej dari pengirim yang tak dikenali. Ila syak Dean yang hantar.”
Ayra membuka cerita. Kalau dengan Aisyah, jangan haraplah nak simpan rahsia. Pasti akan dikoreknya sampai dapat. Tambah-tambah lagi kalau dia dah tahu sebahagian cerita.
“Mana mesej tu? Bak sini aku nak baca!”
Aisyah sudah bangun. Dia menghulur tangan. Tersentak Ayra dengan permintaan Aisyah. Suhaila tak ada pulak sampai mintak nak baca mesej.
“Aku dah padam.”
Ayra bercakap benar. Dia memang akan memadam setiap mesej yang diterimanya dari pengirim misteri tersebut. Dia tak boleh biarkan mesej tersebut tanpa dipadam. Bimbang kalau ada yang terbaca nanti.
            “Huh! Dia tulis apa?”
Aisyah agak kecewa. Tapi dia masih tak puas hati selagi tak tahu isi kandungan mesej yang diterima Ayra.
“Biasalah. Ayat nak tackle awek la tu. Betul tak Ayra?’
Suhaila mengenyit mata pada Ayra. Dia dapat mengagak, Ayra pasti rimas dengan sikap Aisyah yang suka ambil tahu hal orang.
“Ya. Betullah tu. Perut aku ni terasa lapar pulak. Korang tak lapar ke?”
Ayra segera menukar topik. Makin dilayan makin menjadi.
“Aku pun lapar. Jom ke kafe.”
Aisyah menggosok perutnya yang agak buncit. Tinggi dan beratnya tidak sepadan. Puas sudah makan ubat kurus, badannya tetap tak kurus-kurus. Makin berisi adalah. Cemburu jugak dia dengan tubuh badan Ayra dan Suhaila. Pakai apa pun nampak cantik.
            “Jom!”
Suhaila bingkas bangun lalu meninggalkan katil. Aisyah pulak terus melangkah keluar dari bilik.
            “Kita jumpa kat bawah nanti.”
            Jerit Aisyah dari luar bilik.




No comments:

SGI Vacation Club Damai Laut Holiday Resort

Minggu lepas kami bercuti di SGI VC Holiday Resort yang terletak di Lumut selama 3 hari 2 malam. Kami check in pada hari Jumaat bersamaan 25...